Thursday, June 26, 2008

Najib & Kisah Altantuya

Menyelak Utusan Malaysia di pagi ini penulis terbaca tajuk muka hadapannya: Satu penipuan- Najib, 'Akuan sumpah Raja Petra bertujuan cemar imej politik saya'. Di Berita Harian pula tertera: Raja Petra bohong: Najib, TPM dakwa penulis blog sengaja reka tuduhan untuk cemar reputasi.

Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang!

Apabila Wanita Memandu

Penulis selalu mempunyai pengalaman yang buruk apabila berhadapan dengan karenah pemandu wanita di jalanan. Kebanyakan mereka semuanya berkongsi sikap yang sama sewaktu memandu dan menyebabkan pemandu yang lain menjadi sakit hati dan susah.

Jika anda hendak cepat dia di hadapan anda akan memandu dengan sangat perlahan. Jika dia perlu berhenti atau masuk simpang dia akan lupa memberi isyarat atau hanya akan memberi lampu isyarat di saat-saat akhir. Dia suka meletakkan kenderaan di bahu jalan dan menghalang lalu lintas serta menyebabkan kesesakan. Jika dia ingin menukar lorong jalan dia jarang memberi isyarat dan dia tidak kisah jika anda datang dari belakang dengan lajunya. Dia suka berada di lorong kanan dan memandu dengan perlahan. Dia boleh membrek kenderaan tanpa ada sebab. Kadang-kadang dia memotong di situasi atau tempat yang berbahaya.

Jika dia melihat anda hendak keluar dari simpang yang sesak dan sukar dia tidak akan memberi anda sebarang peluang. Jika dia perlu keluar dari simpang dia hanya akan keluar tanpa mempedulikan anda yang sedang memandu laju. Jika anda lambat sedikit bergerak setelah lampu isyarat menjadi hijau dia di belakang anda akan membunyikan hon sekuat hati. Jika anda pejalan kaki yang hendak melintas jalan, dia akan memperlajukan kenderaannya supaya anda tidak dapat melintas. Jika dia membuat kesilapan pemanduan, dia jarang mengangkat tangan tanda minta maaf atau terima kasih.

Kebanyakan mereka sangat takut dan tidak berkeyakinan. Mereka gagal menaakul dan membuat keputusan dengan tepat. Jika ada yang berani, mereka berani dengan bodohnya sehingga anda rasa bimbang bahawa dia akan terlibat dengan kemalangan jalan raya, nau’zubillah. Dulu saya pun tidak percaya tentang cerita pemanduan wanita yang dikatakan teruk, tetapi sekarang saya sudah faham mengapa dan bagaimana. Saya tidak tahu kalau di Arab Saudi mereka mengharamkan wanita memandu adalah disebabkan mereka tahu bahawa kebanyakan wanita akan memandu dengan teruk.

Mawar akan mengambil ujian memandu bagi mendapatkan lesen memandu tidak lama lagi. Penulis berharap dia tidak menjadi seperti kebanyakan pemandu wanita yang lain. Jika anda seorang wanita yang boleh memandu dan sedang membaca tulisan ini, saya juga berharap anda tidak menjadi pemandu wanita yang tipikal, saya pun sudah penat menjadi skeptikal.

Dasar Tak Baca Artikel

Seorang perempuan berkata kepada saya,
“Eh, saya rasa awak patut baca artikel pasal perempuan supaya awak akan faham tentang hati dan perasaan seorang perempuan”. Saya terdiam.

Baru sebentar tadi, saya merasakan bahawa perempuan itu juga tidak memahami hati dan perasaan seorang lelaki. Lalu saya katakan padanya,
“Dasar perempuan tak baca artikel tentang lelaki!” Dia tergelak besar.

Sunday, June 22, 2008

Oh, Aisyah!


Mawar dan penulis baru saja menonton filem Ayat-ayat Cinta yang diadaptasikan daripada novel karya Habiburrahman El-shirazy yang sungguh terkenal di Indonesia. Kami teruja dengan watak Aisyah yang menggambarkan segala kedamaian dan toleransi Islam, walaupun kami sepakat bahawa filem itu tidak sebagus novelnya. Banyak prinsip-prinsip yang sangat dititikberatkan oleh penulis asal novel tersebut cuma bagai dipijak-pijak oleh pembuat filem itu. Filem itu tidak seperti yang pembaca novel bayang dan mahukan. Walau apapun, tahniah Indonesia yang berjaya menghasilkan filem sebegitu sedang Malaysia masih merakam realisme haru biru rempit dan bohsia selain menayang cinta murahan.

Malam semalam kami memilih untuk menaiki bas dari Shah Alam ke Kuala Terengganu dan kami fikir ianya sesuatu yang sangat menyeronokkan kerana itulah kali pertama kami akan menaiki bas untuk suatu perjalanan yang agak jauh di waktu malam. Tiba-tiba ada kelibat seorang perempuan berpurdah yang duduk di kerusi hadapan kami. Perwatakannya yang agak lincah dan berkeyakinan mengingatkan kami kepada Aisyah yang berpurdah dalam filem yang kami baru tonton, sehinggakan terpacul perkataan “Aisyah” daripada mulut penulis. Penulis saling berpandangan dengan Mawar dan kami tergelak kecil.

Dia berseorangan, kerusi di sebelahnya kosong. Mawar menjadi gelisah apabila melihat seorang pemuda yang duduk di tepi gadis berpurdah itu kerana dia membayangkan kesukaran dirinya apabila berada dalam situasi tersebut. Mawar telah menulis sesuatu di skrin telefon bimbitnya dan menghulurkan telefon itu kepada gadis berpurdah di hadapannya itu supaya dia dapat membacanya. Setelah membaca nota itu, gadis berpurdah itu menoleh ke belakang ke arah kami dan Mawar berkata kepadanya, “dia suami saya, awak boleh tukar tempat duduk dengannya dan duduk sebelah saya”.

Kami bertukar tempat duduk. Dalam bas, pada sepanjang malam itu penulis tidak lagi duduk bersebelahan dengan isteri sendiri, tetapi di sebelah lelaki yang tidak dikenali dan Mawar dengan gadis berpurdah yang sememangnya bernama Aisyah! Bagaikan terlalu sempurna untuk menjadi sebuah kebetulan. Tetapi kami gembira dapat menghilang kegelisahannya kerana kami rasakan bahawa kami sangat memahaminya sebagaimana kami memahami watak Aisyah yang cuba dibayangkan oleh penulis novel Ayat-ayat Cinta.

Dan penulis cuba membayangkan bagaimana rupa Aisyah di balik purdah kelabu itu…

Terubuk Dari Kuching


Bukan kerana penulis menggemari rasa ikan Terubuk masin, tetapi orang selalu memberi gambaran bahawa kunjungan ke Kuching seolah-olah tidak sempurna jika tidak membeli ikan Terubuk masin untuk dibawa pulang sebagai buah tangan kepada keluarga atau teman-teman. Harganya bermacam-macam, bergantung kepada saiznya, ada yang 3 untuk RM10, ada yang RM10 seekor, semua itu di Pasar Satok.


Pengalaman menaiki bot dari untuk ke seberang sungai adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan sehinggakan penulis dua kali menyeberang ke seberang sungai di Kampung Gersik, sekali siang, sekali malam. Pertama kali menaikinya terasa seperti hendak terbalik saja. Tambangnya mengikut masa, siang 40sen, selepas 7 petang ia menjadi 50sen dan RM1 selepas 10 malam.


Di Kampung Gersik di tepi sungai ada pemandangan yang sangat cantik serta deretan susunan kerusi meja bagi pengunjung yang ingin menjamu selera. Baru sekarang penulis dapat merasai keenakan Mee Kolok, walaupun dalam kekeliruan samada kuah supnya itu hendaklah dicurahkan kedalam meenya atau dihirup sikit-sikit dari mangkuk yang berlainan. Sayang sekali, penulis kurang gemar dengan rasanya. Di Kampung Gersik juga ada kilang kek lapis Sarawak yang diusahakan oleh Dayang Salhah yang menyambut kedatangan pengunjung dengan menyediakan pelbagai jenis kek lapis untuk dirasa secara percuma.

Penulis tidak sekali-kali akan melupakan jasa baik seorang pemandu teksi yang sanggup berpatah balik mencari penulis untuk memulangkan kamera yang tertinggal dalam teksinya. Perempuan Cina dalam pemilik kedai kraftangan yang mengenali pemandu teksi Melayu tersebut berkata kepada kami, “tidak seperti di tempat lain, orang Sarawak memang baik-baik semua”.

Kepanasan Air Panas La


Kolam Air Panas La, terletak di dalam Daerah Besut itu amat istimewa untuk ibu yang sungguh berasa senang setiap kali mengunjunginya kerana dia akan berpeluang untuk merendam sebahagian daripada badannya yang lumpuh ke dalam air yang sangat panas itu dan dia mendakwa kesihatannya terasa lebih baik selepas itu.

Penulis juga percaya ianya begitu. Walaupun kepenatan dan berpeluh-peluh dengan teruk selepas berendam tetapi seperti ada kuasa baru yang dirasakan. Ia terasa bagaikan seolah-olah baru keluar dari sauna, malah lebih baik daripada sauna. Jika Kolam Air Panas La itu tidak sejauh 60km daripada Setiu, tentu penulis tidak kisah untuk selalu berkunjung ke sana.

Terdapat dua kolam air panas yang utama, yang paling atas itu adalah yang paling panas, sehinggakan memaksa pengunjung perlu turun ke dalamnya secara perlahan-lahan biasanya dimulakan dengan kaki dan tangan. Kata orang kepanasan itu boleh memasakkan telur ayam, tapi kami tidak pula melakukan eksperimen itu. Kolam yang sedikit bawahnya, agak kurang panas, dengan kesuamannya yang selesa untuk merendam seluruh badan termasuk muka.

Wednesday, June 11, 2008

Ishan Tidak Bertunang

Penulis menyangka sahabat penulis, Ishan Qureshi yang bekerja sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik itu telah pun bertunang pada bulan lepas. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, beliau baru menceritakan segala-galanya tadi kepada penulis.

Pada mulanya sebelum majlis pertunangan tersebut, bakal tunangnya telah bersetuju untuk menetapkan hantaran kahwin pada kadar RM8,000.00. Walaubagaimanapun, semasa majlis pertunangan itu mereka telah menyatakan lebih daripada itu, mereka mahukan lebih 10 ribu. Ayah Ishan telah memberikan jawapan yang sangat bijak, iaitu menangguhkan urusan perkahwinan itu terlebih dahulu walaupun mereka pada mulanya ingin mempercepatkan urusan pernikahan itu.

Selepas majlis pertunangan itu, sahabat saya Ishan berhubung melalui telefon dengan 'tunangnya'. Dia memberitahu kepada perempuan itu bahawa dia sebenarnya terlebih mampu untuk menyediakan wang yang diminta itu, tetapi sangat kecewa dengan sikap bakal tunangnya yang tidak menepati janji dan tidak berpegang pada prinsip. Lalu dia memberikan kata putus bahawa pertunangan itu tidak sah! Apapun, di sini penulis tidak berminat untuk bercerita tentang reaksi dan tindak balas pihak perempuan itu terhadap keputusan mengejut pihak Ishan dan keluarganya.

Sekarang ini, Ishan telah pun berjumpa dengan seorang teman wanita yang baru dan akan bertunang tidak lama lagi. Saya bangga dengannya kerana dia baru sahaja menyedarkan perempuan tersebut seisi keluarga bahawa lelaki boleh mendapatkan sesiapa sahaja yang dia suka dan perempuan tidak boleh menghukum pihak pengantin lelaki dengan meletakkan syarat wang hantaran yang terlalu tinggi dan syarat lain-lain yang bukan-bukan.

Rugilah ibu bapa perempuan itu tidak dapat bermenantukan seorang PTD yang baik, berilmu, handsome…

Bersalam Dengan Menteri

Penulis sangat kagum dengan seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2007 sebuah kementerian yang diadakan di PICC pada Isnin lepas. Mufidah yang merupakan seorang Pegawai Khidmat Pelanggan di sebuah jabatan bukan sahaja bertudung litup dan labuh, malah terlebih penting lagi dia adalah seorang muslimah yang komited.

Oleh kerana Menteri (seorang lelaki) yang menyampaikan anugerah tersebut berjabat tangan dengan semua penerima tidak kira lelaki dan perempuan, Mufidah dengan bijaknya telah meletakkan tangannya di bawah tudungnya yang labuh dan bersalam dengan menteri yang berketurunan Arab itu dengan berlapik tudungnya.

Tidak ramai yang sanggup melakukan sesuatu yang seperti itu, kerana penerima-penerima wanita lain walaupun ada yang bertudung labuh seperti Mufidah tetapi masih berjabat tangan menteri tersebut dengan selambanya. Atau mungkin terpaksa?

Friday, June 06, 2008

Suara Ketidakpuashatian Kepada Badawi




Sewaktu berita tersebar bahawa kerajaan menaikkan lagi harga petrol daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter, penulis masih berada di Langkawi. Sempatlah kami turut melibatkan diri dalam kesesakan jalanraya di sekitar sebuah stesen minyak Petronas di pinggiran Pekan Kuah sewaktu kami hendak pulang ke hotel yang terletak di tepi stesen minyak tersebut. Diperhatikan jalan telah mulai sesak sejak pukul 6 petang dan ianya berlarutan sehingga ke pukul 1 pagi dengan kenderaan beratur sejauh lebih 1KM.

Polis juga turut membantu mengawal lalulintas dan juga emosi pemandu-pemandu yang mengalami kemurungan berikutan pengumuman hadiah terbesar daripada kerajaan itu dan ditambah pula dengan kesesakan yang sangat teruk itu. Penulis dan adik mengambil keputusan untuk keluar dari kenderaan kami dan berjalan kaki untuk pulang ke hotel. Pelbagai ragam yang kami saksikan sendiri.

Yang paling mengejutkan adalah suatu teriakan yang agak kuat dan bersemangat daripada sebuah Gen.2 biru yang kedengaran seperti, “Puk***k Badawi! Puk***k Badawi!”, penulis lalu tersenyum. Dia sedang mewakili seluruh rakyat Malaysia.

Ibu Telah Sampai di Langkawi





Akhirnya kakak dan penulis dapat juga merealisasikan hasrat ibu yang sudah enam tahun uzur (lumpuh sebelah badan) diserang strok untuk melihat sendiri Pulau Langkawi yang selalu disebut-sebut orang itu. Kebetulan kami ke Alor Setar kerana bersama-sama rombongan ‘menghantar’ sepupu yang berjumpa jodohnya dengan orang sana, kami terus terlanjur ke Jeti Kuala Perlis pada petangnya. Rombongan semuanya 15 orang yang terdiri daripada adik beradik, termasuk ipar, anak-anak saudara serta keluarga makcik kami dari Cherating.

Permulaannya agak tidak menyeronokkan. Bukan sahaja kerana keagresifan penyedia-penyedia tempat letak kereta di sekitar jeti yang sungguh menakutkan, tetapi juga dek penantian demi penantian yang sangat membosankan ahli rombongan. ‘Ejen’ pelancongan itu sangat tidak menepati masa dan caranya mengatur perjalanan kami sungguh merimaskan. Ditambah pula dengan bilik penginapan yang disediakan amat mengecewakan dan itu membuatkan kami terpaksa berpindah di tengah malam ke suatu hotel yang lain.

Walaubagaimanapun pengalaman di ketinggian perbukitan Langkawi dalam kereta kabel itu merupakan sesuatu yang tidak kami lupakan. Tapi sayang ibu terlalu takut untuk mencubanya, kalau tidak tentu dia mempunyai sesuatu yang istimewa untuk diceritakan kepada kawan-kawannya sekembalinya nanti selain daripada cerita menaiki feri yang melambung-lambung dilanda ombak dan terhenti seketika kerana rosak, lawatan ke kompleks Mahsuri, membeli-belah di Pekan Kuah dan sebagainya.

Kami seterusnya berharap agar dapat membawa ibu mengalami sendiri kesejukan Cameron Highland, semoga Tuhan terus mengurniakan kami kesihatan dan rezki.

Beban Memiliki Sebuah Kereta

Penulis terpegun mendengar cerita Yvonne bahawa dia tidak mempunyai kereta sendiri dan tidak memiliki lesen memandu. Kerana menurutnya, kos untuk memandu kereta sendiri di London adalah sangat tinggi kerana pemandu dikenakan bayaran sebanyak £8 sehari sebagai Caj Kesesakan (Isnin hingga Jumaat) dan kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta. Seseorang hanya boleh memandu jika dia benar-benar kaya. Tetapi itu tidak menjadi masalah kepadanya kerana sistem pengangkutan awamnya sangat efisyen dan boleh dipercayai.

Saya juga berharap saya tidak perlu memiliki sebuah kereta, kerana saya tidak kaya dan membiayai sebuah kereta adalah sesuatu yang membebankan saya. Saya bukan sahaja perlu membayar ansurans bulanannya, tetapi juga perlu mengisi petrol (yang baru dinaikkan harganya oleh kerajaan), menghantar untuk diservis, memperbaharui insurans dan cukai jalan, dan membaiki kerosakannya jika sesuatu yang tidak baik terjadi. Separuh daripada gaji saya hanya dihabiskan atas sebuah kereta.

Tetapi, tinggal di Terengganu saya tidak mempunyai pilihan seperti Yvonne. Bukan sahaja sistem pengangkutannya yang tidak menyeluruh, tetapi saya sudah menjadi sebahagian daripada ahli masyarakat yang percaya bahawa saya mesti memiliki sebuah kereta, kalau tidak tentu saya akan menjadi orang yang pelik dan tidak hebat.

Bukan saya hendak menjadi orang yang hebat, tetapi saya cuma mahu menjadi ahli masyarakat yang normal. Jadi, walaupun saya sebenarnya masih belum benar-benar mampu untuk mempunyai kereta sendiri tetapi saya perlu hidup di bawah bayangan dan ekspektasi masyarakat saya yang mahu melihat saya memiliki sebuah kereta.

Gadis British Berkebaya

Segalanya bermula apabila kenalan penulis Desmond memperkenalkan Yvonne kepada kami sewaktu dia membawa Yvonne yang bekerja sebagai jururawat di London untuk menikmati keindahan pantai di Setiu. Lalu penulis menjemputnya ke rumah kami di Setiu dan menikmati sedikit hidangan minum petang sambil berbual-bual dengan ibu penulis yang langsung tidak berbahasa Inggeris.

Yvonne berasa sangat gembira apabila penulis dan Mawar bersetuju untuk memenuhi hasratnya yang ingin menyaksikan suatu majlis perkahwinan orang Melayu. Pada hari itu dia kelihatan sungguh cantik apabila dipakaikan baju kebaya. Terima kasih pada En. Muzafar yang bersusah-payah melayan kami sewaktu majlis kenduri perkahwinan anak perempuannya di rumahnya di Dungun.

Tidak seperti kebanyakan gadis British yang tipikal Yvonne agak tradisional dalam beberapa perkara. Contohnya, dia tidak percaya kepada pembedahan kosmetik yang disifatkannya sebagai tiruan dan suatu bentuk penipuan. Menurutnya, dia bagaikan kecewa apabila semakin ramai orang London yang mempunyai sikap yang tidak mahu kelihatan tua seolah-olah mereka tidak akan mati. Yvonne juga tidak pernah menggunakan telefon bimbit dan tidak menggunakan komputer atau internet kecuali untuk memeriksa emailnya sekali seminggu.

Sewaktu kami bawakan dia ke masjid kristal, banyak sekali soalan tentang Islam yang diajukannya pada Mawar dan penulis. Tentang solat, aurat, haji, masjid dan pelbagai perkara lagi. Rupanya Yvonne juga pernah belajar tentang Islam sewaktu di zaman persekolahannya dulu. Apapun, kami sangat senang dapat berkenalan dan menghabiskan masa bersama-samanya yang sangat menghormati kami dan cara hidup kami.