Showing posts with label Hospital. Show all posts
Showing posts with label Hospital. Show all posts

Tuesday, December 14, 2010

Catatan Buat Anakanda Kedua

Anakandaku yang kedua,

Sudah genap seminggu kamu lahir ke dunia ini. Kamu lahir pada suatu petang Ahad awal Disember pada permulaan musim sejuk, bukan di negara asal ummi dan ayah kamu tapi di sebuah tempat yang sangat jauh dari tempat asal bangsa kita. Tempat ini mereka panggil Islamabad dan ayah tidaklah berapa gemar dengan perangai orang di sini secara keseluruhannya, nanti ayah akan cerita dengan lebih lanjut tentang itu. Kamu lahir di sebuah hospital yang berada tidak jauh dari rumah kita di Islamabad ini, cuma lima minit pemanduan, di Hospital Medicsi yang terletak di bangunan Menara Saudi Pak, Blue Area. Apabila kamu sudah dewasa nanti dan kita tidak berada di Islamabad lagi, ayah ingin sekali membawa kamu dan keluarga kita ke sini lagi untuk menunjukkan kepada kamu tempat lahir kamu, rumah yang kita pernah huni dan tempat kamu dan kakakmu bermain.

Doktor yang mengendalikan proses kelahiran kamu bernama Doktor Tehmina Rehman, ayah sangat gemar dengan cara dan tutur katanya sejak pertama kali ummi dan ayah berjumpa dengannya. Ayah masih ingat bidan yang membantu doktor tersebut adalah bernama Rabia yang ayah marah sekali padanya kerana dia menjerit tidak tentu pasal dalam dewan bersalin itu, mengingatkan ayah pada Doktor Wong di Hospital Kuala Terengganu sewaktu ummi melahirkan kakakmu Embun setahun lapan bulan yang lalu. Selepas kena marah Rabia tidak menjerit lagi tetapi bercakap dengan suara yang perlahan. Dia menyangka ayah dan ummi adalah pelajar universiti di Islamabad dan dia agak terkejut apabila mengetahui siapa kami yang sebenarnya. Tetapi jururawat muda yang bernama Khadija itu sangat menyenangkan, dia melayan ummi dengan baik sekali. Jururawat lain yang membantu adalah Sanaa, Fatma, Nadira dan beberapa jururawat lain lagi yang ayah lupa tanyakan nama mereka. Mereka enggan menerima sebarang wang tips dari ayah sewaktu ayah memberikan kepada mereka sebelum kita pulang ke rumah.

Telah ayah sebutkan tadi anakku, kamu punyai seorang kakak. Embun namanya. Dia menerima kamu dengan gembira. Semasa kamu dalam kandungan lagi setiap hari dia menggosok-gosok perut ummi dan menyebut "baby, baby, baby". Dan selepas kamu lahir dia begitu teruja sampai terjerit-jerit kegirangan sewaktu pertama kali dia menatap wajah kamu. Dia mencium kamu berkali-kali. Kak Embun belum pandai bercakap seperti orang dewasa tetapi ayah tahu dia sangat menyayangi kamu. Pagi semalam sewaktu ayah dan ummi bangun dari tidur kami lihat Embun sudah berada di sisi kamu, mencium kamu sambil tersenyum sendirian diselangi gelak kecil. Ayah bahagia sekali melihat kamu berdua. Dan ayah sungguh terharu tatkala kamu telah keluar dengan selamat dari perut ummi sampai jatuh air mata ayah di lantai bilik bersalin itu, juga kerana tidak tahan sebak melihat bagaimana sakit dan terseksanya ummi berjuang untuk melahirkan kamu. Alhamdulillah, kamu lahir sebagai bayi yang sempurna berambut hitam pekat yang lebat. Dan ummi juga baik-baik sahaja selepas melahirkan kamu, dia kelihatan begitu ceria dan bermaya sebaik sahaja selepas melahirkan kamu.


Semalam ayah adakan majlis Aqiqah di rumah kita untuk kamu. Kawan ayah membantu ayah mendapatkan seekor biri-biri yang besar, seberat 50kg sebelum disembelih dan berharga Rs12,500. Dagingnya ayah kepada ayah (to'ki kamu) yang masakkan untuk dimakan bersama nasi minyak, ayam masak merah dan acar yang disediakan oleh emak kepada ummi (tok mama kamu) dan dibantu oleh ibu kepada ayah (nenek kamu) dan juga adik bongsu ayah (Poksu kamu). Tok mama telah datang ke rumah kita di Islamabad di musim luruh lalu dua bulan sebelum kamu dilahirkan dan To'ki, Nenek dan Poksu datang di sini dari Terengganu setelah tiga hari kamu dilahirkan.

Semalam ramai sekali tetamu datang meraikan kelahiran kamu ke dunia ini dan mereka mengucapkan tahniah kepada ummi dan ayah serta Kak Embun. Ada yang memberikan hadiah dan ada yang memberikan duit kepada kamu. Isteri kepada duta Malaysia di Pakistan melakukan upacara "belah mulut" kepada kamu dengan menyuapkan air zam zam dan tamar dan duta sendiri telah memulakan upacara memotong jambul kamu, sambil diikuti oleh semua tetamu yang hadir. Kami lakukan itu sambil melagukan selawat nabi secara beramai-ramai. Majlis itu sangat meriah dan tentu Embun akan cemburu kepada kamu kerana ayah tidak sempat melakukan untuknya dulu kerana ayah terlalu sibuk dengan persiapan untuk berpindah ke Islamabad pada masa itu.


Ayah telah cuba mendaftar nama rasmi kamu dengan pihak berkuasa tempatan di sini, tetapi seperti biasa mereka menjadikannya sebagai suatu proses yang sangat sukar. Pertama kali ayah pergi, pada pukul 11 tengah hari Rabu itu, mereka tidak benarkan ayah masuk ke bangunan pejabat itu kerana menurut mereka semua kakitangan sedang bermesyuarat. Ayah pergi lagi pada pukul 2 petang dan setelah berjumpa  seorang pegawai di dalam sebuah bilik yang kelihatan seperti stor lama yang buruk, ayah diberi beberapa borang dan diminta untuk melakukan "affidavit" (seperti surat akuan bersumpah Malaysia) bagi mengesahkan kamu adalah anak kandung ayah yang sebenar, walaupun ayah telah menunjukkan surat pengesahan bersalin dari hospital. Ayah terpaksa berkejar ke Abpara untuk untuk melakukan affidavit seperti yang diminta. Dan setelah siap ayah sudah tidak boleh ke pejabat itu lagi kerana mereka telah menutup pejabat seawal pukul 3 petang! Mereka sangat tidak cekap dan bodoh.


Keesokan harinya ayah pergi lagi dengan seorang kawan ayah yang pandai berbahasa Urdu untuk menyerahkan semua borang dan dokumen yang mereka mahu. Ayah terpaksa berjumpa dengan tiga orang pegawai yang bershalwar kamiz yang duduk di lain-lain bilik (yang macam stor lama itu) sebelum semuanya selesai dan akhir sekali seorang pegawai pun berkata bahawa ayah perlu menunggu 20 hari sebelum datang lagi untuk bertanyakan sijil lahir sudah siap atau pun belum. Kawan ayah berbangsa Pakistan itu pun memberikan pelbagai alasan dan ugutan yang bersangkutan dengan Kementerian Luar Negeri, imigresen dan visa, dan akhirnya pegawai itu bersetuju bahawa sijil lahir kamu akan siap dalam masa 10 hari. Ayah tidak menaruh harapan yang tinggi kepada janji setiap orang yang berbangsa Pakistan, ayah tunggu dan lihat saja. Apabila sijil lahir kamu siap nanti, ayah akan daftarkan kelahiran kamu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad bagi memastikan kewarganegaraan kamu adalah Malaysia. Jangan kamu bimbang, anakku. Tidak sekali-kali ayah jadikan kamu sebagai warganegara Pakistan negara yang tidak ada harapan dan masa depan ini.

Anakandaku yang wangi,

Ayah telah mengalunkan azan di telinga kamu setelah jururawat Nadira selesai membersihkan kamu dan memakai pakaian tebal yang berlapis-lapis kepada kamu. Mereka tidak benarkan ayah mengazankan lebih awal daripada itu seperti yang diamalkan di Malaysia. Dan mereka tidak bersihkan kamu dengan baik pun, ayah perhatikan masih ada terdapat kotoran darah dan lendir kering di rambut kamu yang lebat itu. Ayah mandikan kamu dan shampu rambut kamu sebersih-bersihnya setelah kami bawa balik kamu ke rumah keesokan harinya. Tujuan ayah azan ke telinga kamu adalah supaya kamu terbiasa dengan kalimah-kalimah suci itu. Ayah juga ingin kamu tahu kamu telah dilahirkan sebagai seorang Muslim.

Jadilah kamu seorang Muslim yang taat yang mengamalkan segala ajaran Islam dengan sebenar-benarnya walau ke mana pun kamu pergi, walau bagaimana besarnya perbezaan antara mereka dengan kamu dan biar pun mereka menganggap kamu pelik dan asing semata-mata kerana kamu mengamalkan ajaran agama kamu. Dan inginlah ayah berpesan kepada kamu sebagaimana pesan Luqman kepada anaknya yang diceritakan dalam kitab suci kita al-Quran, janganlah anakku sekali-kali kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan syirik itu adalah sangat zalim, serta berbuat baiklah kamu anakku kepada kedua-dua ibu bapa kamu.

Marwa adalah nama kamu dan Kekwa adalah nama melayu kamu yang akan ayah gunakan untuk merujuk kepada kamu di blog ini. Kamu harus baik-baik sama kakakmu Embun. Selamat datang ke dunia, Kekwa.



Ayahandamu yang sangat berbangga.

Thursday, April 02, 2009

Bukan "April Fool"


Saya ingin memanggilnya keajaiban. Kerana sedang kami mempersiapkan mental bagi menghadapi sebuah kelahiran secara pembedahan caesarian, tetapi Tuhan kemudian memberikan sebuah berita gembira yang sungguh tidak tersangka. Semalam doktor membuat keputusan bahawa mereka patut mengimbas kedudukan uri Mawar kerana setiap kali memeriksa perut Mawar dia mendapati kedudukan kepala bayi adalah menghala ke bawah dan itu sangat normal.

Dua kali doktor terpaksa melakukan imbasan kerana dia bagaikan tidak percaya bahawa uri Mawar telah naik ke kedudukan asal dengan drastik sekali. Imbasan kali kedua hanya mengesahkan keputusan yang sama, dan itu memberi isyarat bahawa Mawar akan dapat pulang ke rumah dan perlu menunggu tarikh jangka bersalin untuk bersalin secara normal. Di saat kami sudah hampir berhenti berharap Tuhan seperti selalunya, memberikan apa yang kami mahu. Alhamdulillah.

Sebenarnya dua hari sebelum itu, nenek saudara saya yang merupakan seorang bidan telah datang melawatnya ke hospital. Dia telah membawakan sebotol air penawar dan telah mengusap-ngusap perut Mawar sambil bercakap-cakap dengan perut Mawar. Katanya perut Mawar kelihatan sangat normal dan tiada apa-apa yang buruk. Jadi benarlah semua telahan Toksu Mekchik. Saya tidak pasti jika selepas ini persepsi skeptikal Mawar terhadap bidan akan berubah, mungkin berubahlah agaknya.

Petang itu juga Mawar ingin terus menikmati French Fries kegemarannya di Noodle Station dan malam itu juga Mawar ingin terus menghidup udara laut dan mendengar deruan ombak di Batu Burok. Sekarang tiada apa pun yang mustahil kalau Tuhan telah mentakdirkannya begitu.

Thursday, March 26, 2009

Tidak Mahu Menangis Lagi



Tadi doktor memaklumkan bahawa pembedahan akan dilakukan pada 12 April kerana pada 10 dan 11 April sudah tiada kelapangan masa lagi, nampaknya terlalu ramai ibu-ibu yang akan menjalani pembedahan. Dalam nada gurauan Mawar bertanya jururawat, adakah wujud suatu ubat tidur yang membolehkan saya tidur dengan lama dan hanya akan buka mata setelah tiba hari 12 April? Dalam senyuman jururawat membalas manja, "amboi, amboi..."

Saya telah cetak entri saya sebelum ini- Pasrah, bersekali dengan komen-komen dari pembaca dan saya bawakan kepada Mawar di katil hospital. Dia sangat terharu membaca doa dan kata-kata prihatin dari pembaca-pembaca. Dia terhibur seketika. Saya kira itu telah membantu dia untuk menjadi lebih sabar, tabah dan rasional dalam mencari hikmah di sebalik semua yang telah dilalui.

Sejenak dia berkata kepada saya,

"Tuhan telah selalu memberikan apa yang kita mahu. Kita mahu kahwin, kita dapat. Saya mahukan anak, saya dapat. Kamu mahu pergi tunai umrah, kamu dapat. Kita dapat segala yang kita mahu. Cuma sekali ini sahaja Tuhan memberikan apa yang kita tidak mahu, untuk tinggal sebentar di hospital ini. Kalau sudah Tuhan yang takdirkan begini, kenapa kita tidak harus terima?"

Ya, benar sekali. Semoga Tuhan ampunkan segala keterlanjuran kata, rasa dan laku. Setelah selalunya dikurniakan segala yang dihajati, cuma sekali ini Tuhan menguji, lalu sepatutnya ini bukanlah diterima sebagai sesuatu yang sangat teruk atau buruk. Semoga kami akan mempelajari dan menghayati hikmah yang paling berharga selepas ini.

Sunday, March 22, 2009

Pasrah

Akhirnya Khamis lepas doktor pakar telah membenarkan Mawar untuk pulang ke rumah untuk tiga hari. Itupun setelah seorang jururawat menyedari bahawa Mawar sudah menjadi sangat tertekan dan menangis sendirian di katilnya. Dia terpaksa menandatangani beberapa kertas yang antara lainnya menyatakan bahawa dia pulang atas pilihan sendiri walaupun bertentangan dengan pendapat doktor dan atas risiko sendiri. Sepanjang tiga hari di rumah saya dapat melihat dia sangat gembira dan setiap masa berharap agar dia tidak perlu kembali ke wad di hospital, tapi dia tidak punyai pilihan itu.

Selepas tiga hari Mawar terpaksa kembali ke hospital itu. Mawar terlebih dahulu dimarahi oleh doktor yang tidak berpuas hati dengan keputusan doktor terdahulu yang telah membenarkan dia pulang untuk tiga hari. Macam-macam yang dibebelkan oleh doktor perempuan berketurunan cina itu. Setelah dua jam lebih menunggu untuk didaftarkan (5.15- 7.30 petang), akhirnya Mawar ditempatkan di wad kelas ketiga kerana tiada lagi kekosongan di wad kelas pertama. Secara jujurnya, kami lebih menyukai wad kelas ketiga kerana di situ Mawar akan berjumpa dengan ramai kawan-kawan pesakit yang ditempatkan dalam bilik besar secara beramai-ramai. Di situ juga terdapat tingkap yang mana melalui tingkap tersebut Mawar boleh melihat cahaya matahari, pokok-pokok dan kenderaan yang lalu lalang di bawah. Di situ juga tiada had bilangan pelawat yang ingin melawat pesakit.

Kalau di wad kelas pertama dan kedua hanya dua orang pelawat yang dibenarkan masuk pada-satu-satu masa melawat. Tidak ada orang yang boleh menunggu atau menjaga pesakit pada waktu-waktu lain selain dari waktu melawat, terpakai di semua wad (kelas pertama, kedua dan ketiga). Saya hanya boleh berjumpa Mawar pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang, dan 4.30 hingga 7.00 petang. Malah kadang-kadang jika Mawar teringin bersarapan dengan susu segar serta corn flakes kegemarannya, saya hanya boleh memberikan kepada pengawal keselamatan untuk menyampaikannya kepada Mawar. Saya tidak dibenarkan menyampaikannya sendiri kepada Mawar. Peraturan-peraturan itu sangat menyusahkan dan saya sangat kecewa! Kadang-kadang ia kelihatan seperti sebuah depot tahanan atau penjara.

Pada petang ini Mawar telah dipindahkan ke wad kelas kedua pula, bermakna sekarang hanya dua orang pelawat yang dibenarkan menunggu pada satu-satu masa. Wad kelas kedua masih menyediakan tingkap seperti mana wad kelas ketiga, ini sangat melegakan. Mawar ingin kekal di kelas wad ketiga tetapi itu pun tidak dibenarkan oleh jururawat yang bertugas, jadi sebagai seorang tahanan di hospital itu Mawar hanya terpaksa menurut. Selepas ini Mawar mungkin diarahkan sekali lagi berpindah ke wad kelas pertama yang sangat tidak digemari olehnya. Semalam doktor telah memberitahu Mawar mungkin terpaksa berada di wad untuk tempoh tiga minggu lagi. Mawar mungkin akan menjalani satu pembedahan untuk kelahiran pada 10 atau 11 April ini.

Jururawat di wad kelas pertama lebih prihatin dan lemah lembut tutur kata mereka, tidak seperti jururawat di kelas ketiga yang cepat marah dan selalu menjawab pertanyaan pesakit dengan cara yang sangat kasar, sarkastik dan malah biadap. Contohnya Mawar dibenarkan menggunakan telefon tangan apabila di wad kelas pertama tanpa ditegur, malah ketika diberi rawatan pun mereka tidak pernah berkata apa-apa jika dia perlu menjawab panggilan. Tetapi di wad kelas ketiga jururawat memarahi Mawar sewaktu dia menjawab satu panggilan, membebel dan seterusnya mengarahkan dengan tegas supaya Mawar mematikan (switch off) telefon. Ada banyak lagi contoh-contoh layanan double standard yang lain mengikut kelas-kelas yang diamalkan secara konsisten oleh jururawat di sana. Semakin tinggi kelas wad tersebut, semakin baguslah layanan yang diberikan oleh jururawat dan jika semakin rendah kelas wad tersebut bermakna semakin teruklah layanan dan cara tutur bicara jururawatnya.

Jika saya kaya saya tidak ingin membiarkan Mawar melalui pengalaman yang teruk itu. Tetapi saya fikir saya belum mampu untuk menghantarnya ke hospital swasta. Saya akur bahawa di hospital kerajaan kami terpaksa lebih banyak bersabar kerana itulah sifat hospital kerajaan. Saya faham bahawa kerajaan masih belum mampu untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, kakitangan yang lebih ramai, kemudahan infrastruktur yang lebih selesa dan sebagainya atas alasan-alasan yang cuma diketahui oleh pihak pemerintah yang bijak pandai. Mungkin hasil kerajaan belum cukup banyak, mungkin juga kerana kerajaan berpendapat perkhidmatan sekarang sudah cukup bagus atau anda pun tahu apa jawapannya.

Saya tidak boleh banyak mengadu atau membebel. Ia tidak akan mengubah apa-apa. Saya cuma ada dua pilihan. Pilihan pertama, saya perlu menjadi kaya dan banyak duit supaya mampu mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta. Pilihan kedua, saya terus dengan hospital kerajaan dan mestilah banyak bersabar. Mujurlah di dunia ini wujud perkataan sabar.

Tuesday, March 10, 2009

"Wad Kelas Pertama"

Masuk hari ini sudah enam hari Mawar berehat di hospital. Bukan kerana dia merasa sakit di bahagian mana-mana, cuma doktor berpendapat bahawa dia perlu berehat di hospital kerana masalah yang dipanggil placenta praevia tahap II. Berada di hospital bukan sesuatu yang menyeronokkan, malah adalah sesuatu yang sungguh membosankan. Lebih-lebih lagi di hospital kerajaan yang mempunyai ramai jururawat yang sudah berhati kering. Sudah enam hari dia "dikurung" dalam bilik yang kononnya kelas pertama itu, bermakna sudah enam hari jugalah dia tidak pernah melihat pemandangan luar dan memijak tanah. Di situ tiada tingkap dan dia langsung tidak dibenarkan keluar dari wad itu.

Esok saya tidak akan melawatnya kerana saya akan keluar bertugas di luar stesen. Ini akan menjadi hari pertama saya tidak melawatnya di hospital. Biasanya saya akan melawat dua kali setiap hari, tengah hari dan petang menjelang Maghrib. Dan selalunya hanya saya seorang sahaja yang melawatnya pada setiap hari. Menurut doktor, dia mungkin akan berada di hospital untuk tempoh hingga sebulan lagi.

Tadi sewaktu melawatnya di katil hospital dia berkata kepada saya, secara bergurau pada mulanya, "saya nak ikut awak balik hari ni". Tetapi air matanya perlahan-lahan keluar menitik dan jatuh ke atas pipinya dan ke atas baju hospitalnya yang berwarna pink. Dia gelak dan menangis pada masa yang sama. Dia memang ingin bergurau tetapi dia sudah menjadi sangat tertekan. Saya jadi serba salah. Saya mengerti dia sedang menghadapi saat sukar yang membosankan dalam hidupnya.

-Sabar itu cantik, Mawar

Saya membekalkannya banyak buku, tetapi sekarang itupun sudah tidak membantu. Saya bertanya kepada jururawat jika pada suatu hari saya boleh membawanya keluar dari tempat itu supaya Mawar boleh memijak tanah, melihat pokok dan merasai udara di luar. Tanpa perasaan dan tanpa berfikir jururawat itu cepat-cepat menjawab, "Tak boleh. Dia mempunyai masalah PP, jadi tak boleh langsung keluar dari wad. Ke koridor pun tak boleh."

Saya tahu walau apa pun penjelasan saya, ia tidak akan mengubah apa-apa pun. Tetapi saya berkata kepada jururawat itu, "Kesian dia, dia berasa sangat tertekan sekarang. Tadi dia menangis dan berharap dapat pulang ke rumah. Yang tidak sakit pun akan menjadi sakit".

Jururawat itu membalas, "Ya memang bosan, tetapi memang tak boleh."

Saya rasa jururawat itu tidak sensitif dan kurang berperikemanusiaan. Apa salahnya membenarkan pesakit yang "sihat" itu keluar mengambil angin. Dia boleh duduk di atas kerusi roda dan saya boleh menolaknya. Lagipun Mawar bukannya langsung tidak boleh berdiri atau berjalan, sekarang ini dia memang berjalan sendiri untuk ke tandas, mengambil air panas dan sebagainya. Bukannya dia terlantar di atas katil, malah dia masih boleh berdiri semasa solat seperti orang lain yang sihat.

Sekarang saya tidak tahu lagi bagaimana hendak menggambarkan betapa pendeknya akal jururawat itu. Dan betapa geramnya saya.

Tuesday, July 31, 2007

Hospital Kerajaan



Sungguhlah malang itu tidak berbau dan pada hari Khamis minggu lepas adik yang tinggal bersama-sama penulis ditimpa suatu kemalangan. Segalanya terjadi apabila dia tidak mampu untuk mengawal motosikal Yamaha LCnya selepas membuat suatu brek mengejut sebelum bonggol di hadapan rumah seorang Dato’ itu. Ada dua bonggol yang dibina di hadapan rumahnya dan kami fikir ianya bukanlah sesuatu yang perlu diwujudkan di situ, tambahan pula tiada papan tanda yang memberitahu tentang kewujudannya di situ.

Mujur juga adik saya sentiasa berada dalam keadaan sedar selepas kemalangan itu dan dia cepat menghubungi saya di pejabat. Sesampai di tempat kejadian dilihat mukanya penuh darah yang mengalir dari luka yang agak panjang di atas kening dan agak dalam di dagunya. Baju kerja 7-Eleven yang dipakainya carik di atas bahu kesan daripada geseran dan tompok darah di sana-sini. Saya menjadi gementar melihat keadaanya.

Bagaimanapun, khidmat di unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah benar-benar mengecewakan kami. Kami membayar yuran pendaftaran sebanyak RM1 dan selepas sejam (11.30- 12.30 pagi) menunggu di ruang menunggu untuk diberi rawatan dia masih tidak dipanggil oleh mana-mana doktor. Darah yang tadi berlumuran di mukanya telahpun kering dan luka dahinya yang telah dibalut ringkas masih juga tidak berhenti darahnya. Kami membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan di hospital lain, tentunya sebuah hospital swasta.

Kami terus diberi layanan dan rawatan yang sepatutnya sebaik sahaja sampai di Kuala Terengganu Specialist Hospital dan pastilah kami terpaksa membayar harga yang mahal untuk itu. Lapan jahitan di atas keningnya! Sepatutnya adik saya perlu sakit sekali sahaja, kerana sakit hati pada sejam penantian yang sia-sia di hospital kerajaan itu adalah sesuatu yang tidak perlu kami lakukan dari awal-awal lagi.