Sunday, June 22, 2008
Terubuk Dari Kuching
Bukan kerana penulis menggemari rasa ikan Terubuk masin, tetapi orang selalu memberi gambaran bahawa kunjungan ke Kuching seolah-olah tidak sempurna jika tidak membeli ikan Terubuk masin untuk dibawa pulang sebagai buah tangan kepada keluarga atau teman-teman. Harganya bermacam-macam, bergantung kepada saiznya, ada yang 3 untuk RM10, ada yang RM10 seekor, semua itu di Pasar Satok.
Pengalaman menaiki bot dari untuk ke seberang sungai adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan sehinggakan penulis dua kali menyeberang ke seberang sungai di Kampung Gersik, sekali siang, sekali malam. Pertama kali menaikinya terasa seperti hendak terbalik saja. Tambangnya mengikut masa, siang 40sen, selepas 7 petang ia menjadi 50sen dan RM1 selepas 10 malam.
Di Kampung Gersik di tepi sungai ada pemandangan yang sangat cantik serta deretan susunan kerusi meja bagi pengunjung yang ingin menjamu selera. Baru sekarang penulis dapat merasai keenakan Mee Kolok, walaupun dalam kekeliruan samada kuah supnya itu hendaklah dicurahkan kedalam meenya atau dihirup sikit-sikit dari mangkuk yang berlainan. Sayang sekali, penulis kurang gemar dengan rasanya. Di Kampung Gersik juga ada kilang kek lapis Sarawak yang diusahakan oleh Dayang Salhah yang menyambut kedatangan pengunjung dengan menyediakan pelbagai jenis kek lapis untuk dirasa secara percuma.
Penulis tidak sekali-kali akan melupakan jasa baik seorang pemandu teksi yang sanggup berpatah balik mencari penulis untuk memulangkan kamera yang tertinggal dalam teksinya. Perempuan Cina dalam pemilik kedai kraftangan yang mengenali pemandu teksi Melayu tersebut berkata kepada kami, “tidak seperti di tempat lain, orang Sarawak memang baik-baik semua”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment