Sunday, June 22, 2008

Oh, Aisyah!


Mawar dan penulis baru saja menonton filem Ayat-ayat Cinta yang diadaptasikan daripada novel karya Habiburrahman El-shirazy yang sungguh terkenal di Indonesia. Kami teruja dengan watak Aisyah yang menggambarkan segala kedamaian dan toleransi Islam, walaupun kami sepakat bahawa filem itu tidak sebagus novelnya. Banyak prinsip-prinsip yang sangat dititikberatkan oleh penulis asal novel tersebut cuma bagai dipijak-pijak oleh pembuat filem itu. Filem itu tidak seperti yang pembaca novel bayang dan mahukan. Walau apapun, tahniah Indonesia yang berjaya menghasilkan filem sebegitu sedang Malaysia masih merakam realisme haru biru rempit dan bohsia selain menayang cinta murahan.

Malam semalam kami memilih untuk menaiki bas dari Shah Alam ke Kuala Terengganu dan kami fikir ianya sesuatu yang sangat menyeronokkan kerana itulah kali pertama kami akan menaiki bas untuk suatu perjalanan yang agak jauh di waktu malam. Tiba-tiba ada kelibat seorang perempuan berpurdah yang duduk di kerusi hadapan kami. Perwatakannya yang agak lincah dan berkeyakinan mengingatkan kami kepada Aisyah yang berpurdah dalam filem yang kami baru tonton, sehinggakan terpacul perkataan “Aisyah” daripada mulut penulis. Penulis saling berpandangan dengan Mawar dan kami tergelak kecil.

Dia berseorangan, kerusi di sebelahnya kosong. Mawar menjadi gelisah apabila melihat seorang pemuda yang duduk di tepi gadis berpurdah itu kerana dia membayangkan kesukaran dirinya apabila berada dalam situasi tersebut. Mawar telah menulis sesuatu di skrin telefon bimbitnya dan menghulurkan telefon itu kepada gadis berpurdah di hadapannya itu supaya dia dapat membacanya. Setelah membaca nota itu, gadis berpurdah itu menoleh ke belakang ke arah kami dan Mawar berkata kepadanya, “dia suami saya, awak boleh tukar tempat duduk dengannya dan duduk sebelah saya”.

Kami bertukar tempat duduk. Dalam bas, pada sepanjang malam itu penulis tidak lagi duduk bersebelahan dengan isteri sendiri, tetapi di sebelah lelaki yang tidak dikenali dan Mawar dengan gadis berpurdah yang sememangnya bernama Aisyah! Bagaikan terlalu sempurna untuk menjadi sebuah kebetulan. Tetapi kami gembira dapat menghilang kegelisahannya kerana kami rasakan bahawa kami sangat memahaminya sebagaimana kami memahami watak Aisyah yang cuba dibayangkan oleh penulis novel Ayat-ayat Cinta.

Dan penulis cuba membayangkan bagaimana rupa Aisyah di balik purdah kelabu itu…

8 comments:

Hartini Omar said...

tuan,
tindakan tuan dan mawar bertukar tempat duduk harus dipuji.. tak ramai yang boleh berkorban utk individu yg tidak dikenali
-dan dia juga seorang aisyah? whata coincidence!

Artozy said...

dan dari shah alam ke kuala terengganu? semoga saya dapat berjumpa mawar saya :)

Anonymous said...

i have to say this is your best posting ever..!

the title, the wordings, the story, the "kesinambungan"...
wow...!!

had it been interprated into a short indie movie, an award or two might have been of yours! (d'hell with some ahmad's doughter!)

keep writing.. keep inspiring!

-joe-

Anonymous said...

Nanti aku nak pinjam vcd ayt2 cinta.
- Al-ghazali

Ahmad WM Omar said...

Hartini, ya, namanya yang Aisyah itulah yang mengejutkan kami!

Artozy, dari SA ke KT? Dan semoga cepatlah.

Joe, thanks. You always make me feel like writing all my life. I wish I could eventually write a book.

Al-ghazali, tiada masalah, aku akan bawakan kepadamu di kunjungan akan datang.

Anonymous said...

eh, aku baca balik, pasal ko menghentam pengarah kerana GAGAL mengadaptasi seratus peratus novel ke dalam filem... sepanjang pengalaman aku, mmg org yang baca buku dulu (mana2 cerita pun, harry potter ke, LOTR ke..) takkan berpuas hati apabila filemnya ditayangkan... sbb tak same lah, ade bab yang kene potong la.. Dan org yang tgk filem tapi blum baca bukunya lagi akan lebih appreciate filem tu more than anything, namun ttp tak terpanggil nak baca buku sebenar pun... seni itu luas, namun tak semua org boleh appreciate semua cabang seni...
sastera dan filmography tetap ada peminat tersendiri

-joe-

Ahmad WM Omar said...

Saya tidaklah menghentam pengarah filem tersebut kerana "GAGAL mengadaptasi seratus peratus novel ke dalam filem", tetapi saya cuma kecewa bahawa dia tidak sekurang-kurangnya menggambarkan Fahri sebagai seorang individu Muslim yang menjaga batas pergaulan. Contohnya, dalam novel Maria terpaksa menggunakan bakul tersebut kerana ingin menjaga prinsip Fahri yang tidak mahu mengadakan pertemuan yang tidak penting dengan mahramnya, tetapi filemnya memaparkan adegan Maria makan bersama-sama dengan Fahri dan kawan-kawannya dalam satu dulang yang sama. Filemnya juga memaparkan adegan mereka ber"dating" di sungai Nil.

Saya tidak kisah jika pengarah tidak mengadaptasikan 100% (namanya pun adaptasi) dan perlu mengubah serba sedikit plot dan watak demi kesesuaian tetapi mengekalkan semangat dan prinsip yang asas. Apapun, saya juga telah mengakuinya bahawa ia masih sebuah karya filem yang baik dan patut ditonton.

wszuriati said...

Salam,
tuan, saya sangat tertekan kerana tidak dapat membaca blog tuan dan saya sendiri kerana kabel telefon telah dicuri dan menyebabkan strymex di rumah saya mati sejak sebulan yang lalu... VCD ayat-ayat cinta pun belum dapat ditonton kerana ada kesibukan yang sedang menghambat di sini. Minggu depan saya exam.harap tuan dpt doakan saya.

Nurahadi...