Anakandaku yang kedua,
Sudah genap seminggu kamu lahir ke dunia ini. Kamu lahir pada suatu petang Ahad awal Disember pada permulaan musim sejuk, bukan di negara asal ummi dan ayah kamu tapi di sebuah tempat yang sangat jauh dari tempat asal bangsa kita. Tempat ini mereka panggil Islamabad dan ayah tidaklah berapa gemar dengan perangai orang di sini secara keseluruhannya, nanti ayah akan cerita dengan lebih lanjut tentang itu. Kamu lahir di sebuah hospital yang berada tidak jauh dari rumah kita di Islamabad ini, cuma lima minit pemanduan, di Hospital Medicsi yang terletak di bangunan Menara Saudi Pak, Blue Area. Apabila kamu sudah dewasa nanti dan kita tidak berada di Islamabad lagi, ayah ingin sekali membawa kamu dan keluarga kita ke sini lagi untuk menunjukkan kepada kamu tempat lahir kamu, rumah yang kita pernah huni dan tempat kamu dan kakakmu bermain.

Doktor yang mengendalikan proses kelahiran kamu bernama Doktor Tehmina Rehman, ayah sangat gemar dengan cara dan tutur katanya sejak pertama kali ummi dan ayah berjumpa dengannya. Ayah masih ingat bidan yang membantu doktor tersebut adalah bernama Rabia yang ayah marah sekali padanya kerana dia menjerit tidak tentu pasal dalam dewan bersalin itu, mengingatkan ayah pada Doktor Wong di Hospital Kuala Terengganu sewaktu ummi melahirkan kakakmu Embun setahun lapan bulan yang lalu. Selepas kena marah Rabia tidak menjerit lagi tetapi bercakap dengan suara yang perlahan. Dia menyangka ayah dan ummi adalah pelajar universiti di Islamabad dan dia agak terkejut apabila mengetahui siapa kami yang sebenarnya. Tetapi jururawat muda yang bernama Khadija itu sangat menyenangkan, dia melayan ummi dengan baik sekali. Jururawat lain yang membantu adalah Sanaa, Fatma, Nadira dan beberapa jururawat lain lagi yang ayah lupa tanyakan nama mereka. Mereka enggan menerima sebarang wang tips dari ayah sewaktu ayah memberikan kepada mereka sebelum kita pulang ke rumah.
Telah ayah sebutkan tadi anakku, kamu punyai seorang kakak. Embun namanya. Dia menerima kamu dengan gembira. Semasa kamu dalam kandungan lagi setiap hari dia menggosok-gosok perut ummi dan menyebut "baby, baby, baby". Dan selepas kamu lahir dia begitu teruja sampai terjerit-jerit kegirangan sewaktu pertama kali dia menatap wajah kamu. Dia mencium kamu berkali-kali. Kak Embun belum pandai bercakap seperti orang dewasa tetapi ayah tahu dia sangat menyayangi kamu. Pagi semalam sewaktu ayah dan ummi bangun dari tidur kami lihat Embun sudah berada di sisi kamu, mencium kamu sambil tersenyum sendirian diselangi gelak kecil. Ayah bahagia sekali melihat kamu berdua. Dan ayah sungguh terharu tatkala kamu telah keluar dengan selamat dari perut ummi sampai jatuh air mata ayah di lantai bilik bersalin itu, juga kerana tidak tahan sebak melihat bagaimana sakit dan terseksanya ummi berjuang untuk melahirkan kamu. Alhamdulillah, kamu lahir sebagai bayi yang sempurna berambut hitam pekat yang lebat. Dan ummi juga baik-baik sahaja selepas melahirkan kamu, dia kelihatan begitu ceria dan bermaya sebaik sahaja selepas melahirkan kamu.
Semalam ayah adakan majlis Aqiqah di rumah kita untuk kamu. Kawan ayah membantu ayah mendapatkan seekor biri-biri yang besar, seberat 50kg sebelum disembelih dan berharga Rs12,500. Dagingnya ayah kepada ayah (to'ki kamu) yang masakkan untuk dimakan bersama nasi minyak, ayam masak merah dan acar yang disediakan oleh emak kepada ummi (tok mama kamu) dan dibantu oleh ibu kepada ayah (nenek kamu) dan juga adik bongsu ayah (Poksu kamu). Tok mama telah datang ke rumah kita di Islamabad di musim luruh lalu dua bulan sebelum kamu dilahirkan dan To'ki, Nenek dan Poksu datang di sini dari Terengganu setelah tiga hari kamu dilahirkan.
Semalam ramai sekali tetamu datang meraikan kelahiran kamu ke dunia ini dan mereka mengucapkan tahniah kepada ummi dan ayah serta Kak Embun. Ada yang memberikan hadiah dan ada yang memberikan duit kepada kamu. Isteri kepada duta Malaysia di Pakistan melakukan upacara "belah mulut" kepada kamu dengan menyuapkan air zam zam dan tamar dan duta sendiri telah memulakan upacara memotong jambul kamu, sambil diikuti oleh semua tetamu yang hadir. Kami lakukan itu sambil melagukan selawat nabi secara beramai-ramai. Majlis itu sangat meriah dan tentu Embun akan cemburu kepada kamu kerana ayah tidak sempat melakukan untuknya dulu kerana ayah terlalu sibuk dengan persiapan untuk berpindah ke Islamabad pada masa itu.
Ayah telah cuba mendaftar nama rasmi kamu dengan pihak berkuasa tempatan di sini, tetapi seperti biasa mereka menjadikannya sebagai suatu proses yang sangat sukar. Pertama kali ayah pergi, pada pukul 11 tengah hari Rabu itu, mereka tidak benarkan ayah masuk ke bangunan pejabat itu kerana menurut mereka semua kakitangan sedang bermesyuarat. Ayah pergi lagi pada pukul 2 petang dan setelah berjumpa seorang pegawai di dalam sebuah bilik yang kelihatan seperti stor lama yang buruk, ayah diberi beberapa borang dan diminta untuk melakukan "affidavit" (seperti surat akuan bersumpah Malaysia) bagi mengesahkan kamu adalah anak kandung ayah yang sebenar, walaupun ayah telah menunjukkan surat pengesahan bersalin dari hospital. Ayah terpaksa berkejar ke Abpara untuk untuk melakukan affidavit seperti yang diminta. Dan setelah siap ayah sudah tidak boleh ke pejabat itu lagi kerana mereka telah menutup pejabat seawal pukul 3 petang! Mereka sangat tidak cekap dan bodoh.

Keesokan harinya ayah pergi lagi dengan seorang kawan ayah yang pandai berbahasa Urdu untuk menyerahkan semua borang dan dokumen yang mereka mahu. Ayah terpaksa berjumpa dengan tiga orang pegawai yang bershalwar kamiz yang duduk di lain-lain bilik (yang macam stor lama itu) sebelum semuanya selesai dan akhir sekali seorang pegawai pun berkata bahawa ayah perlu menunggu 20 hari sebelum datang lagi untuk bertanyakan sijil lahir sudah siap atau pun belum. Kawan ayah berbangsa Pakistan itu pun memberikan pelbagai alasan dan ugutan yang bersangkutan dengan Kementerian Luar Negeri, imigresen dan visa, dan akhirnya pegawai itu bersetuju bahawa sijil lahir kamu akan siap dalam masa 10 hari. Ayah tidak menaruh harapan yang tinggi kepada janji setiap orang yang berbangsa Pakistan, ayah tunggu dan lihat saja. Apabila sijil lahir kamu siap nanti, ayah akan daftarkan kelahiran kamu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad bagi memastikan kewarganegaraan kamu adalah Malaysia. Jangan kamu bimbang, anakku. Tidak sekali-kali ayah jadikan kamu sebagai warganegara Pakistan negara yang tidak ada harapan dan masa depan ini.
Anakandaku yang wangi,
Ayah telah mengalunkan azan di telinga kamu setelah jururawat Nadira selesai membersihkan kamu dan memakai pakaian tebal yang berlapis-lapis kepada kamu. Mereka tidak benarkan ayah mengazankan lebih awal daripada itu seperti yang diamalkan di Malaysia. Dan mereka tidak bersihkan kamu dengan baik pun, ayah perhatikan masih ada terdapat kotoran darah dan lendir kering di rambut kamu yang lebat itu. Ayah mandikan kamu dan shampu rambut kamu sebersih-bersihnya setelah kami bawa balik kamu ke rumah keesokan harinya. Tujuan ayah azan ke telinga kamu adalah supaya kamu terbiasa dengan kalimah-kalimah suci itu. Ayah juga ingin kamu tahu kamu telah dilahirkan sebagai seorang Muslim.
Jadilah kamu seorang Muslim yang taat yang mengamalkan segala ajaran Islam dengan sebenar-benarnya walau ke mana pun kamu pergi, walau bagaimana besarnya perbezaan antara mereka dengan kamu dan biar pun mereka menganggap kamu pelik dan asing semata-mata kerana kamu mengamalkan ajaran agama kamu. Dan inginlah ayah berpesan kepada kamu sebagaimana pesan Luqman kepada anaknya yang diceritakan dalam kitab suci kita al-Quran, janganlah anakku sekali-kali kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan syirik itu adalah sangat zalim, serta berbuat baiklah kamu anakku kepada kedua-dua ibu bapa kamu.
Marwa adalah nama kamu dan Kekwa adalah nama melayu kamu yang akan ayah gunakan untuk merujuk kepada kamu di blog ini. Kamu harus baik-baik sama kakakmu Embun. Selamat datang ke dunia, Kekwa.
Ayahandamu yang sangat berbangga.