Thursday, March 26, 2009

Tidak Mahu Menangis Lagi



Tadi doktor memaklumkan bahawa pembedahan akan dilakukan pada 12 April kerana pada 10 dan 11 April sudah tiada kelapangan masa lagi, nampaknya terlalu ramai ibu-ibu yang akan menjalani pembedahan. Dalam nada gurauan Mawar bertanya jururawat, adakah wujud suatu ubat tidur yang membolehkan saya tidur dengan lama dan hanya akan buka mata setelah tiba hari 12 April? Dalam senyuman jururawat membalas manja, "amboi, amboi..."

Saya telah cetak entri saya sebelum ini- Pasrah, bersekali dengan komen-komen dari pembaca dan saya bawakan kepada Mawar di katil hospital. Dia sangat terharu membaca doa dan kata-kata prihatin dari pembaca-pembaca. Dia terhibur seketika. Saya kira itu telah membantu dia untuk menjadi lebih sabar, tabah dan rasional dalam mencari hikmah di sebalik semua yang telah dilalui.

Sejenak dia berkata kepada saya,

"Tuhan telah selalu memberikan apa yang kita mahu. Kita mahu kahwin, kita dapat. Saya mahukan anak, saya dapat. Kamu mahu pergi tunai umrah, kamu dapat. Kita dapat segala yang kita mahu. Cuma sekali ini sahaja Tuhan memberikan apa yang kita tidak mahu, untuk tinggal sebentar di hospital ini. Kalau sudah Tuhan yang takdirkan begini, kenapa kita tidak harus terima?"

Ya, benar sekali. Semoga Tuhan ampunkan segala keterlanjuran kata, rasa dan laku. Setelah selalunya dikurniakan segala yang dihajati, cuma sekali ini Tuhan menguji, lalu sepatutnya ini bukanlah diterima sebagai sesuatu yang sangat teruk atau buruk. Semoga kami akan mempelajari dan menghayati hikmah yang paling berharga selepas ini.

Sunday, March 22, 2009

Pasrah

Akhirnya Khamis lepas doktor pakar telah membenarkan Mawar untuk pulang ke rumah untuk tiga hari. Itupun setelah seorang jururawat menyedari bahawa Mawar sudah menjadi sangat tertekan dan menangis sendirian di katilnya. Dia terpaksa menandatangani beberapa kertas yang antara lainnya menyatakan bahawa dia pulang atas pilihan sendiri walaupun bertentangan dengan pendapat doktor dan atas risiko sendiri. Sepanjang tiga hari di rumah saya dapat melihat dia sangat gembira dan setiap masa berharap agar dia tidak perlu kembali ke wad di hospital, tapi dia tidak punyai pilihan itu.

Selepas tiga hari Mawar terpaksa kembali ke hospital itu. Mawar terlebih dahulu dimarahi oleh doktor yang tidak berpuas hati dengan keputusan doktor terdahulu yang telah membenarkan dia pulang untuk tiga hari. Macam-macam yang dibebelkan oleh doktor perempuan berketurunan cina itu. Setelah dua jam lebih menunggu untuk didaftarkan (5.15- 7.30 petang), akhirnya Mawar ditempatkan di wad kelas ketiga kerana tiada lagi kekosongan di wad kelas pertama. Secara jujurnya, kami lebih menyukai wad kelas ketiga kerana di situ Mawar akan berjumpa dengan ramai kawan-kawan pesakit yang ditempatkan dalam bilik besar secara beramai-ramai. Di situ juga terdapat tingkap yang mana melalui tingkap tersebut Mawar boleh melihat cahaya matahari, pokok-pokok dan kenderaan yang lalu lalang di bawah. Di situ juga tiada had bilangan pelawat yang ingin melawat pesakit.

Kalau di wad kelas pertama dan kedua hanya dua orang pelawat yang dibenarkan masuk pada-satu-satu masa melawat. Tidak ada orang yang boleh menunggu atau menjaga pesakit pada waktu-waktu lain selain dari waktu melawat, terpakai di semua wad (kelas pertama, kedua dan ketiga). Saya hanya boleh berjumpa Mawar pada pukul 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang, dan 4.30 hingga 7.00 petang. Malah kadang-kadang jika Mawar teringin bersarapan dengan susu segar serta corn flakes kegemarannya, saya hanya boleh memberikan kepada pengawal keselamatan untuk menyampaikannya kepada Mawar. Saya tidak dibenarkan menyampaikannya sendiri kepada Mawar. Peraturan-peraturan itu sangat menyusahkan dan saya sangat kecewa! Kadang-kadang ia kelihatan seperti sebuah depot tahanan atau penjara.

Pada petang ini Mawar telah dipindahkan ke wad kelas kedua pula, bermakna sekarang hanya dua orang pelawat yang dibenarkan menunggu pada satu-satu masa. Wad kelas kedua masih menyediakan tingkap seperti mana wad kelas ketiga, ini sangat melegakan. Mawar ingin kekal di kelas wad ketiga tetapi itu pun tidak dibenarkan oleh jururawat yang bertugas, jadi sebagai seorang tahanan di hospital itu Mawar hanya terpaksa menurut. Selepas ini Mawar mungkin diarahkan sekali lagi berpindah ke wad kelas pertama yang sangat tidak digemari olehnya. Semalam doktor telah memberitahu Mawar mungkin terpaksa berada di wad untuk tempoh tiga minggu lagi. Mawar mungkin akan menjalani satu pembedahan untuk kelahiran pada 10 atau 11 April ini.

Jururawat di wad kelas pertama lebih prihatin dan lemah lembut tutur kata mereka, tidak seperti jururawat di kelas ketiga yang cepat marah dan selalu menjawab pertanyaan pesakit dengan cara yang sangat kasar, sarkastik dan malah biadap. Contohnya Mawar dibenarkan menggunakan telefon tangan apabila di wad kelas pertama tanpa ditegur, malah ketika diberi rawatan pun mereka tidak pernah berkata apa-apa jika dia perlu menjawab panggilan. Tetapi di wad kelas ketiga jururawat memarahi Mawar sewaktu dia menjawab satu panggilan, membebel dan seterusnya mengarahkan dengan tegas supaya Mawar mematikan (switch off) telefon. Ada banyak lagi contoh-contoh layanan double standard yang lain mengikut kelas-kelas yang diamalkan secara konsisten oleh jururawat di sana. Semakin tinggi kelas wad tersebut, semakin baguslah layanan yang diberikan oleh jururawat dan jika semakin rendah kelas wad tersebut bermakna semakin teruklah layanan dan cara tutur bicara jururawatnya.

Jika saya kaya saya tidak ingin membiarkan Mawar melalui pengalaman yang teruk itu. Tetapi saya fikir saya belum mampu untuk menghantarnya ke hospital swasta. Saya akur bahawa di hospital kerajaan kami terpaksa lebih banyak bersabar kerana itulah sifat hospital kerajaan. Saya faham bahawa kerajaan masih belum mampu untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, kakitangan yang lebih ramai, kemudahan infrastruktur yang lebih selesa dan sebagainya atas alasan-alasan yang cuma diketahui oleh pihak pemerintah yang bijak pandai. Mungkin hasil kerajaan belum cukup banyak, mungkin juga kerana kerajaan berpendapat perkhidmatan sekarang sudah cukup bagus atau anda pun tahu apa jawapannya.

Saya tidak boleh banyak mengadu atau membebel. Ia tidak akan mengubah apa-apa. Saya cuma ada dua pilihan. Pilihan pertama, saya perlu menjadi kaya dan banyak duit supaya mampu mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta. Pilihan kedua, saya terus dengan hospital kerajaan dan mestilah banyak bersabar. Mujurlah di dunia ini wujud perkataan sabar.

Friday, March 20, 2009

Tag Dari Narumi: Gambar keenam

Saya telah menerima tag daripada Narumi dan kali ini saya memilih untuk menjawabnya.

Instructions:
1. Go to your photos folder in your computer.
2. Go to the 6th folder of photos.
3. Go to the 6th picture in that folder.
4. Put the picture on your blog and description of it.
5. Invite six friends to join the challenge.
6. Link them in your blog and let them know they have been challenged.

Gambar ini diambil pada Disember 2006 dari tingkat atas tempat penginapan di Darby Park sewaktu menghadiri parti sempena perpisahan seorang rakan bekas pelajar UIAM berasal dari Kashmir yang akan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Kami bermalam di situ pada malam itu dan saya kehilangan sandal kesayangan saya sewaktu bersolat Fajar di Masjid KLCC pada awal pagi itu, lalu pulang ke hotel dengan berkaki ayam. Saya teringat pesan kawan saya yang berasal dari Iraq berharap supaya saya tidak serik untuk berjemaah di masjid hanya disebabkan kehilangan sandal pada pagi itu. Saya jawab, sudah tentu tidak.

Walaubagaimana pun saya tidak akan melakukan perkara seperti di no. 5 dan 6 di atas.

Tuesday, March 17, 2009

Menjaga Tepi Kain Orang

Seorang gadis belasan tahun kelihatan baru turun dari motosikal yang dibawa oleh seorang remaja lelaki yang masih berpakaian sekolah. Saya terdiam dan berhenti seketika kerana terlalu berminat untuk memerhati tingkah laku mereka. Gadis yang perasan saya memerhatikannya menjeling ke arah saya. Saya pandang kembali kepadanya sambil mengerutkan dahi secara sengaja.

Gadis yang bertudung itu kemudian bersalam dengan remaja lelaki yang telah menghantarnya pulang ke rumah itu. Kemudian dia mencium tangan lelaki itu. Mereka kelihatan sangat bahagia, berbunga-bunga. Dari warna kulit dan pakaiannya saya rasa dia seorang gadis Melayu yang beragama Islam dan masih di sekolah menengah. Gadis itu kemudian berlari-lari menaiki tangga dengan girangnya.

Peristiwa itu cukup mengganggu fikiran saya. Saya khuatir jika sekiranya gadis itu tidak pernah tahu bahawa apa yang dilakukannya itu salah dan bertentangan dengan nilai agama Islam dan adat Melayu. Saya sangat risau mengenai keadaan dirinya, maruah dia dan keluarganya. Saya sangat pedulikannya, apatah lagi kerana kami tinggal di kejiranan yang sama. Tetapi pada petang itu saya tidak berkata apa-apa kepadanya, cuma melihat. Cuma selepas itu saya berasa menyesal kerana tidak terus menegurnya dan menyampaikan sedikit pesanan.

Jika saya diberi peluang untuk terserempak dengannya lagi (saya harap saya akan) saya ingin menegurnya dan memberitahu kepadanya tentang kesilapan atau kejahilannya itu. Dan semoga ayahnya tidak akan datang memarahi saya jika dia akan mengetahui perbuatan saya itu nanti.

Tuesday, March 10, 2009

"Wad Kelas Pertama"

Masuk hari ini sudah enam hari Mawar berehat di hospital. Bukan kerana dia merasa sakit di bahagian mana-mana, cuma doktor berpendapat bahawa dia perlu berehat di hospital kerana masalah yang dipanggil placenta praevia tahap II. Berada di hospital bukan sesuatu yang menyeronokkan, malah adalah sesuatu yang sungguh membosankan. Lebih-lebih lagi di hospital kerajaan yang mempunyai ramai jururawat yang sudah berhati kering. Sudah enam hari dia "dikurung" dalam bilik yang kononnya kelas pertama itu, bermakna sudah enam hari jugalah dia tidak pernah melihat pemandangan luar dan memijak tanah. Di situ tiada tingkap dan dia langsung tidak dibenarkan keluar dari wad itu.

Esok saya tidak akan melawatnya kerana saya akan keluar bertugas di luar stesen. Ini akan menjadi hari pertama saya tidak melawatnya di hospital. Biasanya saya akan melawat dua kali setiap hari, tengah hari dan petang menjelang Maghrib. Dan selalunya hanya saya seorang sahaja yang melawatnya pada setiap hari. Menurut doktor, dia mungkin akan berada di hospital untuk tempoh hingga sebulan lagi.

Tadi sewaktu melawatnya di katil hospital dia berkata kepada saya, secara bergurau pada mulanya, "saya nak ikut awak balik hari ni". Tetapi air matanya perlahan-lahan keluar menitik dan jatuh ke atas pipinya dan ke atas baju hospitalnya yang berwarna pink. Dia gelak dan menangis pada masa yang sama. Dia memang ingin bergurau tetapi dia sudah menjadi sangat tertekan. Saya jadi serba salah. Saya mengerti dia sedang menghadapi saat sukar yang membosankan dalam hidupnya.

-Sabar itu cantik, Mawar

Saya membekalkannya banyak buku, tetapi sekarang itupun sudah tidak membantu. Saya bertanya kepada jururawat jika pada suatu hari saya boleh membawanya keluar dari tempat itu supaya Mawar boleh memijak tanah, melihat pokok dan merasai udara di luar. Tanpa perasaan dan tanpa berfikir jururawat itu cepat-cepat menjawab, "Tak boleh. Dia mempunyai masalah PP, jadi tak boleh langsung keluar dari wad. Ke koridor pun tak boleh."

Saya tahu walau apa pun penjelasan saya, ia tidak akan mengubah apa-apa pun. Tetapi saya berkata kepada jururawat itu, "Kesian dia, dia berasa sangat tertekan sekarang. Tadi dia menangis dan berharap dapat pulang ke rumah. Yang tidak sakit pun akan menjadi sakit".

Jururawat itu membalas, "Ya memang bosan, tetapi memang tak boleh."

Saya rasa jururawat itu tidak sensitif dan kurang berperikemanusiaan. Apa salahnya membenarkan pesakit yang "sihat" itu keluar mengambil angin. Dia boleh duduk di atas kerusi roda dan saya boleh menolaknya. Lagipun Mawar bukannya langsung tidak boleh berdiri atau berjalan, sekarang ini dia memang berjalan sendiri untuk ke tandas, mengambil air panas dan sebagainya. Bukannya dia terlantar di atas katil, malah dia masih boleh berdiri semasa solat seperti orang lain yang sihat.

Sekarang saya tidak tahu lagi bagaimana hendak menggambarkan betapa pendeknya akal jururawat itu. Dan betapa geramnya saya.

Etika Pakaian Kolam Renang Batu Burok

Saya gembira akhirnya mereka membuka pusat akuatik Batu Burok yang mempunyai kolam renang bersaiz olimpik kepada orang ramai, setelah lama kami menunggu. Jadi bolehlah saya pergi berenang dengan selesa.

Tapi saya berharap yuran masuk ke kolam renang awam itu sepatutnya lebih rendah. Saya mungkin cuma dapat menggunakan separuh daripada masa pembukaannya pada setiap sesi kerana jadualnya yang tidak mesra orang bekerja. Mereka membuka dari 4.30 hingga 6.30 petang, dan tutup pada malamnya. Saya pulang dari kerja biasanya pada pukul 6 petang. Saya juga perlu solat Asar, terperangkap dalam kesesakan jalanraya dan perlu menukar pakaian. Untuk berenang saya juga perlu melakukan sedikit regangan pada sebelumnya bagi menghindar daripada kesakitan otot dan sebagainya. Jadi, nampaknya saya langsung tidak berpeluang untuk berenang pada hari bekerja.

Pada kunjungan kali pertama, saya memakai seluar renang ketat (tight) labuh separas buku lali. Di atasnya saya pakai seluar pendek supaya saya nampak tidak terlalu seksi. Saya sudah terbiasa begitu, malah ianya dibenarkan sewaktu saya menjadi anggota kelab penyelamat kolam renang (lifesaving club) di sebuah universiti islam dulu. Apabila saya hendak masuk ke kolam petugas penyelamat di situ menyuruh saya membuka seluar pendek itu.

Saya bertanya, "kenapa saya tidak boleh pakai?"
Dia jawab, "memang tidak boleh pakai, kamu kena buka."

Setelah melemparkan satu reaksi air muka yang tidak puas hati, saya masuk juga ke dalam kolam renang dengan seluar pendek itu dan kemudian membukanya dari dalam air . Saya letakkan seluar pendek yang sudah basah itu di tepi kolam. Saya berharap penyelamat itu puas hati kerana dia telah menang.

Pada kunjungan kali kedua, saya meminta kebenaran untuk memakai seluar pendek tanpa memakai tight di dalam, kerana saya fikir sebelum ini dia tidak benarkan saya memakai dua lapis seluar. Sebetulnya saya malu apabila tempat-tempat tertentu di badan saya cuma ditutup dengan seluar yang sangat ketat dan menampakkan segala bentuk fizikal, jadi saya cuba untuk pakai seluar pendek sahaja yang lebih lebih longgar, walaupun itu akan menampakkan bahagian bawah peha dan lutut saya. Saya cuba memilih kemudharatan yang lebih ringan (choose a lesser evil). Tetapi, si penyelamat itu tidak juga membenarkan saya memakai seluar pendek, dia menyuruh saya memakai seluar tight juga. Saya pun terpaksa pakai seluar tight dan berenang. Betapa susahnya hendak saya praktis apa yang saya percaya di negeri pelopor Islam hadhari ini.

Sepuluh minit selepas itu saya lihat dia benarkan seseorang masuk ke kolam dan berenang dengan hanya memakai seluar pendek yang longgar. Anda bayangkanlah bagaimana terbakarnya perasaan saya dengan sikap double standard itu. Sewaktu hendak keluar dari kolam renang menuju ke bilik persalinan, saya sengaja lalu betul-betul di hadapannya. Saya tahu dia memandang ke arah saya tapi saya langsung tidak memandang ke arahnya. Biar dia tahu saya sangat marah dan kecewa dengan mentalitinya yang tidak berkelas!

Tiada Jenayah Yang Sempurna

Sekarang saya percaya bahawa dalam sesuatu pilihanraya di Malaysia, memang berlaku penipuan dan pengadilan yang berat sebelah. Sebelum ini saya kurang yakin kerana saya tidak pernah melihat sendiri, hanya mendengar dan membaca di mana-mana. Tetapi tidak sehingga semalam, kerana saya sudah melihat sendiri tentang penipuan itu. Saya berasa sangat marah dengan jabatan dan orang-orang yang terlibat kerana perbuatan itu sangat tidak bermoral, tidak adil dan mereka berdosa kerana menipu rakyat.

Seseorang yang agak dikenali telah mengaku kepada saya bahawa dia telah diberikan kad pengenalan kedua sebelum tibanya pilihanraya kecil di Kuala Terengganu baru-baru ini! Kad pengenalan itu telah dikeluarkan kepadanya bagi membolehkan alamatnya dalam kad pengenalan ditukarkan menjadi alamat di Kuala Terengganu dan seterusnya namanya dimasukkan dalam daftar pemilih bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu. Sebelum itu, alamatnya adalah di negeri lain dan dia memang pengundi berdaftar di negeri tersebut.

Dia telah terlupa dan tersalah menggunakan "kad pengenalan" barunya itu untuk sesuatu urusan. Tetapi setelah menyedari perkara itu, dia terpaksa memperbetulkannya kerana alamat dalam "kad pengenalan" barunya itu adalah alamat yang salah dan rumah tersebut langsung tidak wujud! Lalu dia terpaksa mengaku bahawa kad pengenalan yang itu adalah kad pengenalan yang keduanya, dan dia juga masih menyimpan kad pengenalan yang pertama. Selepas itu saya cuba menyemak nombor kad pengenalannya itu dalam sistem daftar pemilih di laman web SPR, ternyata namanya terdaftar sebagai seorang pemilih dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Sekarang saya telah faham bagaimana timbulnya cerita JPN Terengganu telah bekerja sampai waktu malam pada hari-hari sebelum menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini. Dan saya syak dalam hati bahawa JPN, SPR dan BN memang terlibat dalam penipuan ini.

Saturday, March 07, 2009

Selamat Tinggal Unta




Pada mulanya saya fikir saya tidak akan dapat meminum susu unta kerana beranggapan bahawa susu itu akan punyai bau dan rasa yang hamis, tetapi sangkaan saya meleset kerana susu tersebut tidak mempunyai bau dan rasa yang hamis. Ianya terasa seperti susu segar yang dibeli di pasar raya walaupun ia baru diperah di depan mata kami dan kemudiannya diletakkan dalam botol. Ia dijual dengan harga SR5 setiap satu, saya menghabiskan sebotol di ladang itu di hadapan unta-unta itu juga.

Apa yang saya suka dengan dengan masjid nabawi dan masjidil haram adalah kerana imam di sana akan menunggu ma'mum dengan lama sekali setelah azan dilaungkan. Jadi ma'mum yang tinggal jauh dari masjid masih sempat untuk datang berjemaah secara penuh. Tidak seperti di kampung saya, bilal akan terus mengalunkan iqamat sebaik sahaja dia habis solat sunat qabliyah.

Orang Arab kebanyakannya sangat mengambil berat tentang saf dalam solat berjemaah. Mereka akan menyuruh orang-orang di dalam safnya supaya menyamakan kaki-kaki mereka dalam satu saf yang lurus. Malah mereka tidak segan-silu memaut bahu anda untuk dirapatkan kepadanya dan memberi isyarat kepada anda supaya ke bergerak belakang atau ke hadapan sedikit bagi meyamakan saf. Ini berbeza sekali dengan masyarakat di tempat saya yang langsung tidak mengambil berat akan hal ini, malah mereka buat-buat tidak endah apabila saya cuba mengarahkan mereka supaya berbuat demikian.

Akhirnya saya tinggalkan Mekah dan tanah suci. Saya bawa pulang segala kenangan, pengalaman dan pelajaran. Semoga kerinduan akan membawa saya kembali.

Wednesday, March 04, 2009

Dua Kali Hilang Selipar

Pagi itu sesudah solat subuh di masjidil haram saya sengaja termenung duduk di tangga, merenung ke arah kaabah dan orang yang bertawaf yang tidak pernah kurang selalu bertali-arus. Pemandangan itu terlalu indah dan suci. Saya tidak kisah duduk berlama-lama begitu, malah nikmat itu sangat menyenangkan. Semasa ingin pulang ke tempat penginapan, selipar saya sudah tiada di tempatnya. Saya terus keluar masjid tanpa alas kaki dan menuju ke sebuah jalan antara Zamzam Tower dan Darul Tawheed, ada ramai peniaga di kaki lima jalan menjual pelbagai jenis barangan termasuk selipar. Saya membeli sepasang dengan harga SR3 walaupun perempuan berkulit hitam dalam purdah itu pada mulanya meletakkan SR5.

Kemudian saya bersendirian mencari tempat untuk mengambil teksi untuk berniat ihram di miqat Tana’im. Lama saya terpaksa menunggu kenderaan pacuan empat roda itu penuh sebelum ia menukarkan saya dan dua orang warga Mesir ke sebuah kenderaan yang lain pula, dan selepas itu barulah kami bertolak ke Tana’im. Dalam penantian yang lebih setengah jam itu saya sempat berbual-bual dengan dua adik-beradik warga Mesir. Abangnya lebih ramah mungkin kerana dia tahu berbahasa Inggeris, tetapi adiknya menunjukkan reaksi tidak senang saat saya menyebut nama Husni Mubarak. Semasa di Masjid Tana’im pun si abangnya itu seolah-olah mengajak saya menyertai mereka berdua sehingga selesai umrah, tetapi saya buat-buat tidak faham.

Pulang dari Tana’im saya mengambil van yang penuh dengan penumpang warga Bangladesh, hanya saya seorang yang bukan. Oleh kerana pemandu van itu tidak cukup duit kecil untuk memulangkan baki, akhirnya tambang saya SR2 dibayar oleh salah seorang daripada mereka. Sampai di masjidil haram saya meneruskan tawaf dan kemudian solat zuhur berjemaah. Selesai solat saya berjalan antara Safa dan Marwa meyempurnakan sa’ie. Waktu hendak pulang, saya tidak menjumpai rak kasut 95 di mana telah saya letakkan selipar yang saya baru beli pagi tadi. Hampir sejam saya mencari dan saya bingung. Saya bingung kerana saya cukup yakin bahawa rak itu tertulis 95 dan ia berada dalam kawasan yang saya telah pusing berkali-kali untuk mencarinya. Sampai kaki saya penat dan pecah tumitnya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bersolat dan kemudian membeli sepasang lagi selipar SR3. Saya pulang ke bilik dalam keletihan dan tertidur sehingga terlepas makan tengah hari yang disediakan di tempat penginapan.

Saya rasa Tuhan mengajar sesuatu dan saya telah belajar sesuatu.

Tuesday, March 03, 2009

Penarik Unta & Pelajar Dari Maghribi





Hari-hari yang berikutnya di Mekah saya menziarahi beberapa tempat yang bersejarah yang mempunyai kaitan dengan dengan Rasulullah. Antaranya Arafah, Jabal Rahmah, Mina, Mudzalifah dan berniat umrah di miqat Ja’ranah. Dalam perjalanan pulang kami singgah untuk melihat Bukit Tsur yang di atasnya terletak Gua Tsur yang mempunyai cerita yang menarik.

Di Jabal Rahmah terdapat banyak penarik unta dan jurugambar segera yang agresif dan suka menipu. Sebaik sahaja bas kami berhenti mereka semua menarik unta-unta berhias mereka ke muka pintu bas kami dan memaksa kami menaiki unta mereka untuk mendaki Bukit Rahmah sambil diambil gambar oleh jurugambar. Beberapa orang dalam rombongan kami telah ditipu oleh mereka. Pada mulanya berjanji untuk mengenakan SR5 sebagai tambang tetapi mereka akan meminta lebih setelah sampai di atas bukit dan sebelum menuruni bukit. Jika anda meminta untuk diambil gambar hanya dua keping tetapi mereka dengan sesuka hatinya mengambil enam keping dan memaksa anda membeli kesemuanya dengan harga SR10 setiap satu.

Ada yang terkena dan tidak puas hati, akhirnya sampai ke pengetahuan mutawif dan pemandu bas. Pemandu bas berbangsa Indonesia yang telah lama menetap di Mekah itu memarahi penarik unta tersebut dalam bahasa Arab yang keras dan bising. Ada orang Arab lain yang memarahi penarik unta itu juga, saya mendengar dia berkata "Rasulullah tidak mengajar kamu berbuat begini”. Tapi akhirnya saya lihat pemandu bas kami menyepak dan menumbuk penarik unta itu dan dia menarik untanya pergi dari situ. Mereka yang tertipu sangat berterima kasih pada pemandu bas itu.

Sepanjang masa di Mekah saya lebih suka menghabiskan masa bersendirian daripada bersama ahli rombongan kami. Saya tidak selesa bertawaf dan sa’ie dalam kumpulan dan mengikut mutawif membaca doa dalam bahasa Arab secara kuat-kuat sepatah demi sepatah. Dan pada masa-masa lapang juga saya sering ke masjid, kedai-kedai dan kawasan di sekitar masjidil haram secara sendirian. Saya seronok berjumpa dengan dua pelajar Malaysia yang belajar di Maghribi tetapi mereka singgah di Mekah dulu untuk ziarah dan menunaikan umrah sebelum pulang ke Malaysia. Beberapa kali kami keluar makan bersama dan berjalan-jalan. Mereka lebih muda daripada saya dan saya juga berasa menjadi muda seperti mereka.

Kedua-duanya petah berbahasa Arab, malah beberapa orang Arab yang kami jumpa sewaktu membeli-belah memuji bahasa Arab fushah mereka yang sempurna. Untunglah saya dibantu mereka sewaktu tawar-menawar dan selalu mendapat diskaun yang hebat hasil dari kemanisan kata-kata dari mulut Syakir dan Sabri. Saya tidak akan lupakan kenangan merasai hidangan di Al-tazaj dan memakan ayam di restoran Al-baik yang sangat sesak di Azizyyah Mekah. Sewaktu dalam teksi menuju balik ke masjidil haram saya melihat Syakir berlawak dengan pemandu teksi itu seolah-olah dia berbicara dalam dialek Besut dengan pakciknya, sangat fasih!

Melihat Kaabah dan Menyentuhnya





Saya tinggalkan Madinah dengan harapan yang menggunung supaya dapat berkunjung lagi ke situ suatu hari nanti, semoga saya akan kembali bersama orang-orang tersayang. Kami berihram dari tempat penginapan lagi dan terus menuju ke Bir Ali untuk berniat umrah. Saya cuba menghayati apa yang saya sedang lakukan dengan penuh hikmah dan pengajaran, kerana saya tidak lakukan perkara yang sedemikian itu jika ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah. Saya datang kerana menyahut panggilan Tuhan, itu yang saya lafazkan berulang-ulang.

Kami singgah di sebuah wadi yang dijadikan hentian rehat bagi pemandu di lebuh raya untuk solat Maghrib dan membeli sedikit makanan, sepertinya kebab, dan jus mangga. Ianya tidaklah selengkap R&R di Malaysia, tetapi lebuh rayanya yang tidak mempunyai bayaran tol (atau saya yang tidak perasan?) amat mengagumkan saya. Kalaulah perkara itu terjadi di tanah saya! Oh, tak mungkin, kerana mereka baru sahaja mengumumkan untuk menaikkan lagi kadar bayarannya.

Kami akhirnya sampai di kota Mekah dan apa yang ingin saya katakan, ia tidak seperti apa yang saya saya bayangkan kerana sekarang saya fikir ia terlalu moden. Kaabah kelihatan terlalu kecil apabila dikelilingi bangunan hotel dan pusat membeli-belah yang besar-besar dan gah begitu. Kami tinggal di sebuah tempat penginapan yang selesa betul-betul di hadapan pintu Almalik Abdulaziz, alhamdulillah, semoga rajinlah saya beribadat mencari keredhaanNya. Dan selepas makan malam dalam keadaan berihram kami terus menyempurnakan umrah dengan melakukan tawaf, sa'ie dan akhirnya tahallul. Saya tidak bercukur kepala, cuma menggunting sedikit hujung rambut.

Saya rasakan bagai tidak percaya saya sudah melihat kaabah, dan ia bukan dalam mimpi kerana saya berada dalam dunia yang nyata. Lantai batu putih yang sejuk di sekelilingnya telah saya pijak, saya mengelilingi kaabah, melambai-lambai ke arahnya, meminum air dari telaga zamzam sambil mengadap ke arahnya, bersolat serta berdoa betul-betul di hadapannya. Kali ini saya melihat kaabah yang benar dengan mata saya sendiri, bukan melihat gambarnya.

Saya melalui suatu pengalaman yang terlalu rohani, tidak mungkin dapat saya gambarkan melalui tulisan di sini. Dan saya juga tidak ingin menjadi seperti artis Malaysia yang tipikal bercerita tentang umrah ziarahnya serta mengapa dan bagaimana mereka menangis tatkala pertama kali melihat kaabah. Biarlah ia menjadi perkara peribadi dan pelajaran yang paling berguna untuk diri sendiri.

Subhanallah, alhamdulillah, laa ilaaha illallah, allahuakbar. Saya berserah dan sujud. Tuhan...!

Monday, March 02, 2009

Ketenangan Yang Mengasyikkan





Hari kedua di Madinah kami menziarahi Masjid Quba’. Kami digalakkan supaya dalam keadaan berwudhu’ dari tempat penginapan dan terus bersembahyang dalam masjid Quba’ apabila tiba, supaya nanti kami akan beroleh pahala seperti menunaikan satu umrah. Sewaktu meminjam kamera seorang gadis dalam kumpulan rombongan kami, saya tersentuh hujung jarinya dengan tidak sengaja, dia marah kerana dia fikir wudhu'nya terbatal lalu dia tidak akan mendapat pahala tersebut. Tapi saya tak kisah kerana saya tidak berfikir seperti dia.

Kemudian kami dibawa melawat ke “ladang kurma”. Mati-mati saya fikir kami akan masuk ke kawasan ladang dan melihat buah kurma yang masak pada pokok-pokok kurma yang kelihatan seperti pokok kelapa sawit yang tinggi. Sangkaan saya meleset, ladang tersebut memang ada, tetapi cuma berada di belakang kedai jualan kurma. Saya tidak dapat melihatnya dari dekat kerana ia berpagar dan sudah tentulah saya tidak dapat menjamah batangnya apatah lagi untuk mengait buahnya. Kurma yang paling mahal adalah kurma Ajwa, dijual sehingga SR80 sekilo, dikatakan jenis kurma yang dimakan oleh nabi.

Seterusnya kami ke Bukit Uhud, tempat perang Uhud, di situ letaknya kubur bapa saudara Rasulullah, Hamzah Bin Abdulmutalib. Diabadikan juga sebuah sekolah rendah yang diberi nama sempena namanya. Walaupun cuacanya agak panas, tetapi suhunya agak sejuk, peluh yang menitis pun terasa sejuk. Ziarah diteruskan dengan kunjungan ke Masjid Qiblatain. Saya tidak tahu mengapa mutawif itu beria-ia menerangkan kepada kami bahawa tiada apa-apa fadhilat yang khas jika bersembahyang di situ, tetapi saya turun juga dari bas dan melakukan solat tahiyyatul masjid tanda penghormatan ke atas masjid itu.

Petang selepas solat asar saya berjalan di sekeliling masjid bersendirian dan akhirnya duduk di satu kawasan yang sangat lapang di kanan masjid jika kita datang dari pintu belakang mihrab. Ada banyak keluarga yang seolah-olah berkelah, kanak-kanak berlari riang. Tiba-tiba ada 5 orang kanak-kanak yang berumur 7 hingga 11 tahun datang menyapa saya. Dua daripada dari Oman dan 3 lagi dari Mesir dan mereka semua bertutur dalam bahasa Arab. Mereka sangat gembira apabila saya menyebut beberapa perkataan Arab. Tetapi mereka juga bersungguh-sungguh berusaha untuk bercakap dalam bahasa Inggeris. Mereka semua asyik mengikut saya dan bertanya itu ini dan sebagainya. Mereka menarik-narik tangan saya serta menepuk-nepuk badan saya jika ingin meminta lebih perhatian sewaktu mereka bercerita kerana semua orang ingin bercakap kepada saya pada masa yang sama. Ah, gangguan yang agak menyenangkan!

Malam itu selepas Maghrib saya diketemukan dengan kawan lama yang dulu sama-sama menuntut di Gombak, tetapi selepas dua semester dia pergi melanjutkan pelajarannya di Universiti Madinah. Saya sungguh terharu dengan pertemuan itu kerana kami sudah lama tidak berjumpa. Saya dulu pernah bermusafir dengannya ke Tapah Road Perak dan kami pulang ke Gombak dengan hanya menaiki bas bersambung-sambung sehingga lima bas kalau tidak silap. Sekurang-kurangnya itu adalah antara memori yang boleh saya ungkitkan kembali sewaktu dia membelanjakan saya makan kebab di sebuah restoran Arab tidak jauh dari masjid Nabawi. Semasa dia memesan makanan saya mendengar bahasa Arabnya cukup lancar sekali, betapa saya ingin menjadi sepertinya. Saya berkata kepadanya, kalau saya mempunyai seorang anak lelaki saya berharap anak saya akan menjadi baik dan pandai seperti dia.

Rasa berat hati hendak meninggalkan Rasulullah di Madinah. Madinah adalah sebuah bandar yang sangat tenang walaupun dikunjungi ribuan manusia tanpa putus-putus. Sebelum zuhur pada hari terakhir di Madinah saya sengaja berjalan sekali lagi mengelilingi masjid nabi. Selepas zuhur melakukan ziarah ke makam baginda dan dua sahabatnya. Saya diselubungi suatu perasaan yang sangat hiba, tetapi biarlah itu menjadi suatu kenangan yang paling baik di memori saya sahaja.

Sewaktu hendak meninggalkan bandar Madinah saya seakan-akan terdengar lagu bahasa Inggeris yang saya selalu dengar,
“Madinatunnabi madinatunnabi, the city of the prophet is like home to me, I'll travel through the world but I doubt that I will see a city with such wonder as Madinah, my heart is never far from the home of the Ansar and the city of the prophet almadinah ”.

Sekarang saya rasa saya faham bagaimana perasaan penggubah lagu itu sehingga dia boleh mencipta lagu yang indah sebegitu. Dan Tuhan, janganlah Kau hilangkan perasaan rindu ini!

Sunday, March 01, 2009

Berjumpa Mullah di Kubur




Pagi itu selesai bersolat subuh buat pertama kalinya di masjid nabi saya terus berdiam dalam rumah Allah itu. Tanpa perasaan, saya kurang pasti. Atau ada perasaan tetapi sukar ditafsirkan. Atau mungkin masih kepenatan melalui perjalanan yang sangat jauh. Saya memandang dalam masjid yang sangat besar itu. Melihat orang yang pelbagai warna kulit tetapi mereka semua membaca satu kitab suci yang mempunyai tajuk yang sama.

Saya terpandang seorang remaja berkulit hitam duduk tidak jauh dari saya. Saya mendekatinya dan bertanya jika dia boleh berbahasa Inggeris. Nampaknya dia tidak boleh, lalu sayalah yang harus bersusah-payah menggunakan bahasanya. Saya tidak kisah, saya cuba juga, lagipun saya pernah belajar bahasa itu lama dulu. Saya bertanya di mana makam nabi dan di mana raudhah. Sayangnya raudhah telahpun ditutup pada waktu itu dan hanya dibuka kepada wanita sehingga pukul 9.30 pagi. Tetapi dia telah bersusah-payah membawa saya ke makam nabi, malah dia memimpin tangan saya dalam kesesakan manusia yang ingin berziarah ke makam Rasulullah pada pagi Jumaat yang mulia itu. Dia mengajar saya bagaimana cara memberi salam kepada Rasulullah dan berdoa selepas itu. Malah dia membawa saya hingga ke perkuburan baqi', menerangkan tentang sejarahnya dan sebagainya.

Namanya Mullah, berumur 23 tahun dan dia bukan penduduk Madinah, cuma datang menziarahi Madinah dengan adiknya. Dia berasal dari Mekah dan merupakan seorang guru di sekolah kerajaan. Apabila mengetahui saya akan ke Mekah, dia memberi nombor telefonnya dan berkata saya boleh menghubunginya jika ingin bertanya apa-apa atau perlukan apa-apa bantuan. Mulia sungguh hatinya. Mungkin dia berketurunan Bilal.

Na'am Ana Maliziya




Saya berkesempatan dianugerahi Tuhan untuk melalui sebuah perjalanan yang sangat menyenangkan, biarpun jauh, tetapi matlamatnya suci, atau sekurang-kurangnya semua orang mengatakannya begitu. Saya begitu positif menerima pelawaan yang datang secara percuma ini. Lalu cuma mendoakan segala yang terbaik untuk diri sendiri, kumpulan yang bermusafir bersama serta seluruh kaum keluarga kami.

Perjalanan dari Kuala Lumpur menaiki pesawat kebangsaan terus ke Jeddah diselangi dengan rasa yang agak teruja untuk melihat tanah yang menjadi saksi kenabian dan perjuangannya yang menyebabkan syiar Islam telah berjaya menakluk sehingga ke tanah kami. Tetapi kadang-kadang diselangi dengan debaran memikir terlalu banyak dosa yang telah dilakukan, apakah Tuhan akan akan menunjukkan sesuatu tentang kuasanya? Sampai di Jeddah pada awal malam lalu cuaca yang dingin dan keadaan yang berangin terus meyapa kami.

Pihak ajen memberitahu tiket kapal terbang terus ke madinah tidak dapat diperolehi lalu kami menaiki bas menuju ke Madinah. Saya cuma tidur dan tidur. Sehingga sampai ke Madinah pada awal pagi sebelum menjelang Subuh. Panorama awal pagi di masjid nabawi yang boleh dilihat dari tingkap bilik penginapan begitu menyentuh hati. Lalu saya tidak tunggu lama untuk terus bersujud di masjid nabi buat pertama kalinya dalam hidup!

Saya terbawa kamera sewaktu memasuki masjid, itu tidak disukai oleh pengawal keselamatan yang berjaga di pintu masjid. kemudian dia bertanya jika saya orang Malaysia, yang saya jawab ya. Lalu dia memberitahu dengan sopan, mengambil gambar dilarang dalam masjid dan memulangkan semula kamera saya.