Tuesday, March 03, 2009

Melihat Kaabah dan Menyentuhnya





Saya tinggalkan Madinah dengan harapan yang menggunung supaya dapat berkunjung lagi ke situ suatu hari nanti, semoga saya akan kembali bersama orang-orang tersayang. Kami berihram dari tempat penginapan lagi dan terus menuju ke Bir Ali untuk berniat umrah. Saya cuba menghayati apa yang saya sedang lakukan dengan penuh hikmah dan pengajaran, kerana saya tidak lakukan perkara yang sedemikian itu jika ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah. Saya datang kerana menyahut panggilan Tuhan, itu yang saya lafazkan berulang-ulang.

Kami singgah di sebuah wadi yang dijadikan hentian rehat bagi pemandu di lebuh raya untuk solat Maghrib dan membeli sedikit makanan, sepertinya kebab, dan jus mangga. Ianya tidaklah selengkap R&R di Malaysia, tetapi lebuh rayanya yang tidak mempunyai bayaran tol (atau saya yang tidak perasan?) amat mengagumkan saya. Kalaulah perkara itu terjadi di tanah saya! Oh, tak mungkin, kerana mereka baru sahaja mengumumkan untuk menaikkan lagi kadar bayarannya.

Kami akhirnya sampai di kota Mekah dan apa yang ingin saya katakan, ia tidak seperti apa yang saya saya bayangkan kerana sekarang saya fikir ia terlalu moden. Kaabah kelihatan terlalu kecil apabila dikelilingi bangunan hotel dan pusat membeli-belah yang besar-besar dan gah begitu. Kami tinggal di sebuah tempat penginapan yang selesa betul-betul di hadapan pintu Almalik Abdulaziz, alhamdulillah, semoga rajinlah saya beribadat mencari keredhaanNya. Dan selepas makan malam dalam keadaan berihram kami terus menyempurnakan umrah dengan melakukan tawaf, sa'ie dan akhirnya tahallul. Saya tidak bercukur kepala, cuma menggunting sedikit hujung rambut.

Saya rasakan bagai tidak percaya saya sudah melihat kaabah, dan ia bukan dalam mimpi kerana saya berada dalam dunia yang nyata. Lantai batu putih yang sejuk di sekelilingnya telah saya pijak, saya mengelilingi kaabah, melambai-lambai ke arahnya, meminum air dari telaga zamzam sambil mengadap ke arahnya, bersolat serta berdoa betul-betul di hadapannya. Kali ini saya melihat kaabah yang benar dengan mata saya sendiri, bukan melihat gambarnya.

Saya melalui suatu pengalaman yang terlalu rohani, tidak mungkin dapat saya gambarkan melalui tulisan di sini. Dan saya juga tidak ingin menjadi seperti artis Malaysia yang tipikal bercerita tentang umrah ziarahnya serta mengapa dan bagaimana mereka menangis tatkala pertama kali melihat kaabah. Biarlah ia menjadi perkara peribadi dan pelajaran yang paling berguna untuk diri sendiri.

Subhanallah, alhamdulillah, laa ilaaha illallah, allahuakbar. Saya berserah dan sujud. Tuhan...!

3 comments:

Nizam Ahmad said...

aku terbayangkan mcmn lah perasaan mak ayah aku kalau dia org dah sampai kat mekah.. ermm

Anonymous said...

TUAN MYB ADALAH SEORANG YANG BERTUAH DALAM SERIBU@SEJUTA DI KALANGAN ORANG MUDA DAPAT PERGI MENUNAIKAN UMRAH PADA USIA MUDA.. INI ADALAH QUDRAT DAN IRADAT PENCIPTA UNTUK MENGKEHENDAKI TUAN MELAWAT TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH DI BUMI PARA AMBIA.. SAYA TIDAK TAHU APA PERASAAN TUAN DAPAT MELIHAT DAN MENJEJAKI DI BUMI AMBIA INI, TETAPI DALAM MASA YANG SAMA HAMBA SANGAT MENGHARAPKAN TUAN DAPAT BERDOA KEPADA SAHABAT@SAUDARA SEISLAM KITA YANG SEDANG DI TINDAS TIDAK KIRA DI MANA-MANA SAHAJA MAUPUN DI MALAYSIA.
SAYA JUGA PERNAH BERDOA DAN BERCITA-CITA UNTUK TUNAIKAN FARDU HAJI PADA USIA 30 TETAPI MATLAMAT INI TIDAK MUNGKIN TERCAPAI KERANA PADA USIA 27 SEKARANG INI MASIH LAGI BUAT PRAKTIKAL DI PEJABAT IMIGRESEN TRG. TETAPI SAYA TIDAK HIBA APA YANG SAYA LALUI DAN INI MUNGKIN QODO DAN QADAR @ ADA HIKMAT DI SEBALIK PERCATURAN NYA..

Nafastari said...

Annidxam, suatu perasaan yang sangat menyenangkan. Saya doa mereka akan sampai juga mudah-mudahan.

Kejadianalam, alhamdulillah. Semoga Tuhan kuniakan segala kebaikan dan kesejahteraan kepada kamu dan kita semua.