Tuesday, November 28, 2006

Kereta Merah Makcik Supiah

Sejak tinggal di Kampung Gunung Pasir ini, hampir setiap hari penulis keluar untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan. Penulis perlu menulis tentang ini kerana ingin memberitahu dunia bahawa kami amat terhutang budi kepada Makcik Supiah yang membenarkan penulis dan kawan-kawan menggunakan kereta merah lamanya, yang kami panggil “Ferrari”. Ini adalah kerana peraturan tidak membenarkan untuk membawa kenderaan sendiri selama berada di modul penempatan kampung ini atau anda akan gagal serta perlu mengulangi modul dua minggu ini.

Lagi tentang Makcik Supiah, sangat berdisiplin, kemas dan tegas. Dia pernah memenangi tempat ketiga pertandingan rumah kemas dan bersih anjuran Pejabat Kesihatan Kuala Pilah. Beliau tidak pernah lewat mengunci pintu pagarnya (7.00 pm), sarapan pagi (7.00 am), makan tengah hari (1.00 pm) dan makan malam (8.30 pm).

Satu lagi yang tidak dapat penulis lupakan, dia pernah menelefon balai polis Sri Menanti semata-mata untuk memastikan bahawa Skim Pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia yang disertainya adalah tidak ada kena mengena dengan “skim pinjaman Along”. Dia membuktikan khabar angin yang telah dibawa oleh orang-orang kampung itu tidak benar.

Berjumpa Tunas Harapan





Rumah Tunas Harapan Payung Seri Sejahtera* meninggalkan seribu kenangan dan rasa kemanusiaan. Tidak puas rasanya sehari suntuk bersama mereka memikirkan terlalu banyak kasih dan perhatian yang mereka perlukan untuk meneruskan hidup mereka.

Mungkin mereka tidak mengucapkan terima kasih dan tidak memberitahu bahawa mereka suka dengan kedatangan pelawat-pelawat yang sudi meluang masa dengan mereka, tetapi riak wajah mereka menceritakan segala-galanya. Mereka tidak membesar dengan ibu bapa mereka seperti kebanyakan dari kita, cuma dijaga dan menumpang kasih dengan ibu bapa penjaga angkat mereka yang berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk mereka.

Penulis kagum dengan semangat Mak Engku, Puan Zainab, Puan Kalsum serta suami dan Puan Radiah serta suami yang sanggup menghabiskan sebahagian daripada hidup mereka dengan anak-anak tersebut. Kalau berpeluang, penulis juga ingin berbuat begitu- mengasihani mereka yang memerlukan kasih sayang dan perhatian.

Anak-anak tersebut tidak berdosa dan mereka tidak pernah minta dilahirkan sebegitu. Mereka datang dari bermacam-macam latar belakang dan ada antara mereka yang langsung tidak mengetahui siapa ibu bapa mereka. Mereka rajin bercerita jika anda pandai mengorek dan sedia menjadi pendengar yang baik.

Nasha yang berusia 13 tahun, memberitahu penulis dia tahu bapanya masih hidup tapi tidak mengetahui di mana bapanya berada. Aidil yang tinggal di situ bersama kakaknya baru saja memperoleh keputusan 5E dalam UPSR dan penulis langsung tidak ingin menyalahkannya. Ada seorang kanak-kanak mengadu dia terfikir untuk melarikan diri daripada rumah itu kerana dia selalu diejek oleh ‘adik-beradiknya’ di situ tentang kelahirannya di tepi longkang. Anda harus berdoa supaya dia sabar dan terus ingin tinggal di situ kerana nasibnya mungkin lebih teruk jika dia keluar.

Merenung muka tidak bersalah Nazmi,12, yang sering asyik dalam ‘dunianya’ sendiri terfikir penulis untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Boleh nanti mendidiknya menjadi untuk seorang Muslim dan warganegara yang baik. Tetapi kata si comel Alya, 9, penulis kelihatan terlalu muda dan tidak layak untuk dipanggil Pakcik!

*
Rumah Tunas Harapan Payung Seri Sejahtera, Seri Menanti 71550 Negeri Sembilan.
Tel: 06-481 1163 Faks: 06-481 7961

Sunday, November 26, 2006

Derita di mata Adam


Sewaktu mula-mula sampai ke Kampung Gunung Pasir, penulis terpandang seorang pemuda berusia dalam 20-an duduk keseorangan di sebuah pondok wakaf di tepi jalan yang berdekatan dengan rumah Makcik Supiah. Dia kelihatan tidak terurus dan agak kotor. Penulis diberitahu pemuda yang berbadan besar itu adalah seorang anak yatim piatu dan tidak pernah bersekolah serta mempunyai tahap IQ yang sangat rendah. Dia hidup hampir-hampir sebatang kara.

Dia tinggal keseorangan dan makan minum dengan belas ihsan jiran-jiran serta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dia selalunya makan dengan banyak sekali dan sebab itulah badannya gemuk. Tiada siapa yang pedulikan bagaimana keadaan rumahnya dan bagaimana dia membasuh pakaiannya. Cuma jirannya menyuruhnya membuat satu bunyian (jeritan) setiap kali dia bangun dari tidur di pagi hari.

Supaya nanti orang dapat mengetahui bahawa dia telah meninggal dunia jika suaranya tidak lagi didengari di suatu pagi?

Kenduri







Penulis bertuah kerana semenjak tinggal di Kampung Gunung Pasir ini ada saja peristiwa yang menarik. Kali ini majlis bertandang (atau menyambut menantu) yang diadakan di rumah Ketua Kampung sendiri. Ianya bermula dengan “berkampung” yang biasanya dibuat seminggu lebih awal daripada hari kenduri. Berkampung bermaksud berhimpun dan bermesyuarat bagi menentukan menu yang hendak disediakan dan sebagainya.

Sehari sebelum hari kenduri disebut hari “memotong” kerana daging lembu akan dipotong-potong pada hari itu. Pada hari itu sanak saudara sudah mula berkumpul dan bergotong-royong menyiapkan tempat makan, bahan-bahan masakan, pelamin dan sebagainya. Pada hari itu juga biasa pulut kuning disediakan sebagai juadah untuk orang-orang yang datang membantu. Pulut itu dihidang bersama sambal tumis bilis (yang sangat PEDAS!)

Pada hari kenduri penulis terjumpa dengan bekas rakan sekelas sewaktu belajar di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM dulu. Dia tinggal di kampung sebelah yang tidak jauh dari Gunung Pasir, betapa kecilnya dunia. Yusmahani namanya, masih juga bujang.

Cendul Kuala Pilah


Kami sempat berkunjung ke Pekan Kuala Pilah pada 25 November. Sekadar meninjau-ninjau, kami singgah di sebuah kedai buku dan cyber café. Bapa angkat kepada kawan penulis, Zuraini memberitahu tidak lengkap kunjungan anda ke Kuala Pilah kalau tidak singgah menikmati cendul. Sebelum itu penulis pernah diberitahu oleh keluarga angkat kalau hendak merasai cendul yang paling sedap di Kuala Pilah, pergilah ke stesen basnya.

Cendul pulut peniaga ‘mamak’ itu membuatkan kami mempunyai alasan untuk bertandang ke Kuala Pilah lagi.

Kambing Biri-biri di Muzium Seri Menanti





Kami seramai sebelas orang yang ditempatkan di mukim Seri Menanti berkunjung ke Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti beberapa hari yang lalu. Ia dibina pada 1908 tanpa menggunakan paku dan pernah menjadi istana kepada Yamtuan Besar Negeri Sembilan. Tiada bayaran masuk dikenakan, cuma perlu mendaftar nama di kaunter masuk.

Senibina bangunannya ternyata unik dan melambangkan kehalusan kerja tangan tukang Melayu dulu-duluan. Kami banyak mengambil foto walaupun kami tidak jelas sama ada mengambil foto dibenarkan atau tidak di dalam stadium itu. Ada satu bahagian dalam bangunan muzium itu diletakkan dengan patung harimau dan buaya yang menyamai saiz sebenar haiwan itu dan sudah tentu ada yang terkejut dan hampir menjerit apabila melihat patung itu.

Muzium itu terletak di kawasan kampung yang mempunyai banyak biri-biri yang berkeliaran. Sempat penulis mengambil gambar biri-biri tersebut berlatarbelakangkan muzium yang indah itu.

Saturday, November 25, 2006

Masjid di Kampung Gunung Pasir


Ada sebuah masjid di Kampung Gunung Pasir. Sayangnya, masjid yang boleh memuatkan kira-kira lebih kurang 100 orang pada satu-satu masa itu jarang dikunjungi penduduk Kampung Gunung Pasir yang seratus peratus beragama Islam itu. Cuma azan Subuh yang biasanya kedengaran. Tidak Maghrib dan Isya’, jauh sekali Zuhur dan ‘Asar. Adakalanya memang tiada siapa pun mengunjungi masjid itu untuk berjemaah, waktu maghrib dan isya’ pun masjid itu bergelap tidak terpasang sebarang lampu.

Pernah suatu hari Makcik Supiah mengunjungi masjid tersebut untuk bersolat Maghrib berjemaah. Tetapi pada petang itu cuma dia dan seorang lagi lelaki yang hadir ke masjid. Apabila tiba waktu untuk menunaikan solat, Makcik Supiah menyuruh lelaki tersebut untuk menjadi imam, malang sekali dia enggan.

Lalu mereka berdua pun bersolat Maghrib secara individu di dalam masjid itu di petang itu!

Ada Bura' di Rumahnya



Dengan tak sengaja terpandang suatu gambar yang menarik perhatian di dinding rumah Makcik Supiah. Gambar berupa seekor kuda tetapi mempunyai kepala manusia yang berambut hitam dan panjang serta bersayap. Di badan dan leher kuda tersebut ada bermacam-macam barangan perhiasan seperti rantai bermanik-manik dan sebagainya. Di kepala haiwan itu terletak sebuah mahkota seperti mahkota raja.

Setelah bertanyakan Makcik Supiah dan Pakcik Razak tentang gambar itu, mereka memberitahu itulah gambar bura’. Menurut mereka, kenderaan yang ditunggangi Nabi Muhammad sewaktu hendak mengurangkan jumlah raka’at solat fardu daripada 80 rakaat ke 5 raka’at seperti yang kita amalkan sekarang.

Mereka membeli gambar itu daripada seorang penjaja berketurunan India-Muslim yang datang ke rumah mereka lama dahulu. Dengan bangganya mereka memberitahu penulis sebenarnya sudah ada orang yang hendak membelinya daripada mereka untuk disimpan di muzium kerana ianya sudah teramat sukar untuk dijumpai di pasaran.

Penulis memberitahu kepada mereka bahawa penulis ada terdengar bahawa gambar itu tidak boleh digantung sebegitu kerana kita tidak dapat pastikan bahawa itu adalah gambar itu adalah benar-benar bura’ ataupun tidak. Mereka menjawab, “Oh, kami tidak tahu pula kalau di Terengganu (penulis berasal dari Terengganu) gambar itu tidak boleh digantung, tetapi di sini tiada masalah”.

Sukar untuk mempercayai bahawa itulah gambar bura’ yang ditunggangi Rasulullah sewaktu peristiwa isra’ mi’raj dulu.

Nenek Khadijah


Apabila Makcik Supiah berumur 67 tahun, sangka penulis tentulah kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia. Tekaan yang silap! Ibunya masih ada dan diperkenalkan kepada penulis semalam.

Khadijah Abdullah sudah berusia 92 tahun dan masih sihat walaupun sudah bertongkat. Ingatannya masih elok dan mampu mengingat perkara-perkara lepas dengan baik walaupun tidaklah sesempurna orang muda. Dia agak kurang pendengaran tetapi mempunyai penglihatan yang baik. Masih boleh membaca dan amat gemar sekali membaca surat khabar lama. Menurut Makcik Supiah kalau emaknya itu mendapat surat khabar lama, dia akan duduk terbongkok membacanya sehingga terlupa untuk makan dan minum.

Sewaktu penulis berjumpa dengannya dia amat ramah sekali. Bercakap dan bercerita dengan banyak dan laju sekali. Ditambah pula dengan loghat Negeri Sembilannya, sukar untuk penulis memahaminya lalu sekadar mengangguk-angguk untuk mengiyakan apa sahaja yang dicakapkannya. Cuma yang dapat difahami adalah tentang banyaknya jumlah anak cucunya dan kebolehannya “merunding”.

Salah seorang daripada cucunya yang berada agak hampir dengan kami memberitahu penulis Nek Khadijah amat suka “merundingkan” anak cucunya mencari jodoh dan selalu saja dia melakukannya. Penulis kemudiannya terus meminta diri dengan memberi alasan perlu berjumpa kawan di Seri Menanti dengan segera!

Di Negeri Sembilan terutamanya Kuala Pilah dan Rembau yang kuat mengamalkan Adat Perpatih, perkahwinan sesama saudara sekeluarga (bau-bau bacang) amat digalakkan oleh golongan tua untuk mengelakkan harta tanah adat jatuh ke tangan orang lain. Tetapi generasi baru sukar untuk menerima adat itu dan sering menentang perkahwinan secara “rundingan” seperti yang digemari Nek Khadijah.

Friday, November 24, 2006

Ciku




Ada banyak pokok ciku di sekeliling rumah Makcik Supiah. Sampai saja saya di rumahnya pada Isnin lalu, dihidangkannya sepinggan ciku kepada saya. Sebelum itu saya menegur tentang banyaknya pokok ciku di rumahnya. Orang kampung sememangnya mudah faham bahasa saya yang sudah lama tidak makan ciku. Saya terus menghabiskan empat biji ciku yang besar-besar dan manis!

Esoknya, Pakcik Razak memetik ciku lagi untuk dibersihkan dan diperam dalam tin khas. Mungkin takut-takut kalau saya minta ciku lagi agaknya...

Terima kasih Cassiem

Penulis pernah ditanya oleh seorang rakan yang berasal dari Cape Town, Africa Selatan, tentang mengapa orang Malaysia terutamanya orang Melayu sukar untuk mengucapkan terima kasih apabila menerima pujian. Cassiem yang berdarah Itali-Melayu Cape Town sebelum itu memuji penguasaan bahasa Inggeris penulis yang menurutnya agak baik dan penulis menafikannya, lantaran menyedari bahawa ianya tidaklah sebegitu baik dan masih terlalu banyak yang perlu dipelajari. Dia mengulanginya, “Ya, ianya bagus” dan penulis membalas, “Tak, kamu silap!”. Dia memandang saya dan memberitahu dia telah banyak kali menghadapi situasi sebegitu.
Cassiem mengajar saya sesuatu.

Kebanyakan orang kita malu apabila menerima pujian dan seboleh-bolehnya cuba menafikan pujian tersebut kerana mereka merasakan mereka perlu bersikap merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk. Tetapi pada Cassiem, kita juga masih “humble” apabila mengucapkan “terima kasih” apabila menerima pujian. Dan saya akan sentiasa mengucapkan terima kasih apabila menerima pujian walaupun terang-terangan saya tahu bahawa pujian yang diterima cuma satu perlian!

Kampung Yang Sunyi







Penulis masih lagi berada di Kampung Gunung Pasir yang sangat harmoni dan sunyi ini. Memang ianya sungguh sunyi sepi dan banyak sekali rumah yang tidak berpenghuni. Sayang sekali, kerana rumah-rumah di sini sungguh menarik dan unik sekali seni binanya. Biasanya ia bercirikan senibina Minangkabau yang berbentuk tajam meruncing ke atas seperti tanduk kerbau di kedua-dua hujung bumbungnya. Lamannya sangat luas dan bersih biasanya dilitupi rumput menghijau yang kelihatan sangat segar.

Kebanyakan penduduk kampung-kampung di Seri Meranti seperti Kampung Sikai, Kampung Gunung Pasir, Kampung Mertang, Kampung Buyau dan Sungai Layang (sekadar menyebut beberapa nama kampung di Mukim Seri Menanti) adalah warga emas yang berumur lebih 60 tahun, sama ada tinggal berdua iaitu pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak atau pun telah ditinggalkan anak-anak, atau tinggal keseorangan kerana suami atau isterinya telah meninggal dunia. Ramai yang ditemui merupakan pesara-pesara tentera dan isteri mereka merupakan suri rumah sepenuh masa yang rajin dan pandai memasak makanan yang enak-enak dan kebanyakannya pedas.

Orang-orang muda dan belia hampir semuanya telah berhijrah ke bandar-bandar lebih besar seperti Kuala Lumpur dan Seremban. Mereka tidak sanggup tinggal di kampung dan mengusahakan kebun, sawah dan getah seperti yang pernah dibuat oleh datuk nenek mereka dahulu. Kalau di hujung minggu bermula petang Jumaat berduyun-duyun kelihatan kereta-kereta yang berkunjung masuk ke Seri Menanti, sama ada melawat ibu bapa mereka yang sudah tua, atau balik ke rumah sendiri yang sudah lama ditinggalkan sejak memilih untuk bekerja dan menetap di Kuala Lumpur.

Thursday, November 23, 2006

Dari Gunung Pasir Seri Menanti


Sekarang penulis tinggal buat sementara waktunya di Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti Kuala Pilah. Namanya saja sudah seakan menggambarkan bagaimana indahnya kampung ini. Tinggal bersama dua orang tua, suami isteri yang masing-masing sudah berumur 72 dan 67. Penulis dapat katakan mereka sangat bahagia, menjalani hidup tanpa gangguan hiruk-pikuk kota, jauh sekali dari kesesakan dan kebisingan.


Walaupun sudah tua, Makcik Supiah sangat bijak! Dialah yang memandu kereta lamanya untuk mengambil ubat untuk suaminya Razak yang mempunyai sakit diabetes dan darah tinggi. Kadang-kadang ke pekan Kuala Pilah untuk menghantar suaminya mengambil duit pencen tenteranya. Dia tahu juga menunggang motosikal, sedangkan suminya hanya tahu berbasikal. Dia juga pengusaha roti canai segera dan selalu mengambil tempahan membuat karipap dan roti jala untuk mesyuarat JKKK dan UMNO di kampungnya.


Malam tadi Makcik Supiah memberitahu dia pernah didatangi dua lelaki yang bersungguh-sungguh memujuknya untuk menyertai suatu skim saham yang pelik. Dia tidak mahu serta tidak berminat, tetapi lelaki itu memaksanya. Lalu dia masuk ke dalam rumah dan mengambil kameranya yang tidak berisi filem dan "mengambil gambar" lelaki tersebut. Lelaki itu bertanya untuk apa diambil gambar itu, lalu dia menjawab dengan selamba, "Saje, nak habiskan kodak..." Dan lelaki itu terus cabut lari!


Alangkah baiknya jika semua orang tua berpendirian seperti Makcik Supiah. Nanti tiada lagi warga emas di kampung-kampung yang tertipu dengan jurujual yang jahat dan pengusaha skim cepat kaya...