Friday, July 31, 2009

Majlis Tilawah Quran

Hari ini saya berjumpa dengan wakil Qari Pakistan ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Saya begitu teruja kerana dia mewakili negaranya yang mempunyai lebih 170 juta penduduk ke majlis yang sebegitu besar yang dianjurkan oleh kerajaan negara saya, sedang saya langsung tidak mempunyai kemahiran dalam tarannum Quran. Namanya Hanifullah, berusia baru 22 tahun dan saya bertanya macam-macam kepadanya dan dia menjawabnya semua sekali dengan penuh rendah diri. Dia tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi cuma bertutur dalam bahasa Urdu dan juga Arab. Lalu saya terpaksa berbicara dengannya dalam bahasa Arab saya yang tunggang-langgang. Dia anak seorang guru di madrasah dan dia juga merupakan seorang pelajar di madrasah.

Kawan Pakistan saya meminta dia membacakan sedikit ayat-ayat suci al-Quran kepada kami dan tanpa keberatan dia menurutnya. Saya rasa dia adalah wakil Pakistan yang terbaik pernah dihantar untuk membaca Quran di Malaysia. Bulu roma saya berdiri tegak dan rasa seperti hendak menangis apabila mendengarnya. Begitu juga dengan kawan saya yang sebangsa dengannya itu, tidak putus-putus menyebut "masya Allah" tatkala mendengar bacaannya. Jika saya berada di Malaysia saya tidak akan pernah ketinggalan menyaksikan majlis tilawah Quran di kaca TV yang disiarkan secara langsung, dan biasanya hanya wakil dari Asia Tenggara yang membolot tiga tempat teratas untuk kedua-dua kategori, Qari dan Qariah. Cuma kadang-kadang sahaja ada Qari dari Iran, Mesir atau negara lain-lain yang juga berjaya di kedudukan tiga terbaik.

Sebenarnya majlis tilawah Quran mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada saya dan keluarga. Sebelum umur saya 13 tahun ayah tidak pernah membenarkan rumah kami mempunyai TV dan kami hanya menonton TV di rumah jiran. Antara rancangan yang dibenarkan untuk kami tonton adalah majlis tilawah Quran dan kami akan mengikutinya pada setiap malam di rumah jiran. Pada waktu itu saya belum mengerti apa-apa tentang taranum Quran mahupun tajwid, tetapi saya cuma menontonnya dengan penuh minat. Sehinggalah apabila saya sudah mengerti tentang bacaan Quran yang baik dan setelah rumah kami akhirnya mempunyai TV sendiri, kami sekeluarga masih menonton rancangan tilawah Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ayah berpendapat perempuan tidak sepatutnya menyertainya, kerana suara perempuan tidak elok dipertandingkan dalam majlis yang terbuka sebegitu (saya setuju), tetapi kami sekeluarga termasuk ayah masih tetap menontonnya.

Pada setiap majlis tilawah Quran yang diadakan di Malaysia, ia akan mengingatkan kami kembali pada memori sewaktu kami menonton bersama. Jika berjauhan saya dan adik-beradik lain dan juga ibu akan saling berbalas sms dan panggilan telefon semata-mata untuk mengingatkan tentang program itu dan membincangkan tentangnya. Baru minggu lepas, saudara kembar saya menghantar sms kepada saya di Pakistan, "Tengok majlis penutup pertandingan mengaji. Peringkat kebangsaan". Tetapi sudah tentu saya tidak dapat menontonnya kerana TV1 belum sampai di rumah saya.


*Inilah persembahan bacaannya di Majlis Tilawah al-Quran di Kuala Lumpur, Malaysia.

Thursday, July 30, 2009

"Pulang" ke Teratak Lama


Kontena barang-barang saya dari Malaysia baru sampai ke rumah saya di Islamabad dua hari lepas, setelah melalui perjalanan yang sangat jauh dan mengambil masa lebih sebulan. Dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, kemudian dari Port Klang ke Karachi dengan kapal dan akhirnya dari Karachi ke Islamabad melalui jalan darat yang dikatakan mengambil masa lebih 20 jam. Saya sangat gembira dengan ketibaan barang-barang itu yang kebanyakannya adalah makanan, pakaian dan buku selain sedikit perabot dan perhiasan. Beberapa helai pakaian berkulat dan lembap, begitu juga dengan rak buku dan almari kecil berlacil yang dibeli dari IKEA yang menjadi kembang dan berkulat kerana kelembapan.

Ikan kering yang saya beli berkilo-kilo dari Pasar Payang sebahagian kecilnya telah berkulat lalu cepat-cepat saya jemur. Sewaktu mengangkatnya dari tempat jemuran tadi tiba-tiba saya menjadi sangat terliur dan seperti orang lapar, padahal sebelum ini di Malaysia saya tidaklah begitu menggemari ikan kering. Terus saya ke dapur dan menggoreng sendiri sedikit Gelama kering. Saya regukan ikan kering itu dengan budu dan ikan kembong yang dipanggang oleh Mawar tengah hari tadi. Saya hamparkan tikar mengkuang yang baru juga tiba dari kontena itu (juga dibeli dari pasar Payang) di atas karpet dan saya duduk bersila makan nasi bersama lauk-lauk itu. Untuk seketika tidak terasa seperti berada di Islamabad, tetapi terasa seperti berada di teratak halaman saya di zaman yang 20 tahun dulu ketika kami sebenarnya terpaksa memilih untuk makan begitu.

Dan saya rasa Mawar agak bertuah menjadi isteri seorang saya yang gemarkan lauk yang sangat ringkas, cuma budu dan ikan goreng atau ikan panggang dan ulam-ulam atau sayur-sayur yang cuma perlu direbus. Tidak sukar langsung bagi sesiapa pun untuk menyediakan lauk begitu. Kadang-kadang saya rasa bersalah juga kerana tidak makan dengan bersungguh-sungguh lauk masakannya yang seperti masak merah, masak kicap dan segala. Tetapi dia tahu saya cuma menjadi diri saya yang sebenar dan saya tahu dia sangat faham.

Saturday, July 18, 2009

Antara Daman-e-Koh dan Phir Sohawa

Hujung minggu lepas kami ke tempat perkelahan yang menjadi tumpuan ramai di atas Bukit Margalla. Cuma mengambil masa dalam 15 minit untuk sampai ke Daman-e-Koh, sebuah taman yang cantik dan dijaga bersih. Ramai sekali pengunjung yang datang dan kebanyakannya adalah berkeluarga. Kami ditemani oleh seorang kenalan Pakistan yang berketurunan Pashtun dari keluarga yang agak berada dan berpendidikan tinggi. Dia membelikan kami sejenis makanan yang dipanggil "pan" dari seorang penjual yang sangat meriah pakaian dan gerainya lalu membuatkan kami tertanya-tanya bagaimanakah rasanya. Rupa-rupanya gulungan daun sirih yang telah diletakkan beberapa bahan lain, rasanya manis dan berangin tetapi sayang saya tidak dapat menelannya.


Kemudian dia mengiringi kami berjalan-jalan di sekitar taman Daman-e-Koh dan melihat pemandangan bandaraya Islamabad dari atas dek yang dibina dipinggi bukit. Islamabad tidak mempunyai banyak bangunan tinggi, mungkin tidak sampai 10 bangunan pencakar langit di Islamabad. Dari segi itu, Islamabad memang jauh ketinggalan dari Kuala Lumpur, malah dari Kuala Terengganu pun, bandar yang paling kurang mempunyai bangunan tinggi di Malaysia.
Tetapi dengan bangganya pada petang itu, budak Pashtun itu bercerita,
"Lihat, Islamabad sungguh cantik. Ada bangunan pencakar langit yang tinggi. Adakah di Malaysia juga punyai bangunan yang tinggi-tinggi seperti di Islamabad?"

Dia sungguh naif dan tidak bersalah. Saya terdiam seketika, tidak tahu hendak menjawab apa. Kemudian dia bertanya lagi,
"Adakah kamu seperti Singapura? Di sana banyak sekali bangunan tinggi!"

"Ya, seperti Singapura, tapi jauh lebih besar. Dulu Singapura pun sebahagian dari kami. Di Kuala Lumpur ada menara berkembar tertinggi di dunia", akhirnya saya menjawab dan dia terdiam.


Menjelang Maghrib kami meneruskan perjalanan ke Phir Sohawa, yang terletak lebih tinggi dari Daman-e-Koh, mengambil masa lebih kurang 20 minit lagi. Dari laman seleranya kami melihat lampu-lampu yang menerangi Islamabad di malam hari, sambil menikmati roti Pratha, ayam Thikka dan kebab daging.

Ke mana-mana pun di sini kami pergi tidak pernah orang menyangka kami dari Malaysia. Hampir kesemua mereka bertanya jika kami dari China, Indonesia atau Filipina. Paling teruk, seorang penjual sayur di Sektor F6 meneka kami dari Nigeria.

Tuesday, July 14, 2009

Kemudahan Asas di Sebuah Ibu Negara

Semasa saya mula-mula tinggal di rumah ini, elektrik cuma terputus sebanyak dua kali sehari, selama sejam pada setiap kali. Tetapi sekarang ia sudah menjadi empat kali sehari. Tiada notis atau pengumuman yang dibuat oleh pihak yang berkuasa sebelum perubahan ini berlaku. Tiada harapan yang terlalu tinggi boleh diletakkan kepada sebuah negara ketiga yang mempunyai masyarakat dan kerajaan korup dengan kronisma, nepotisma dan rasuah. Nasib baiklah saya dibekalkan dengan mesin generator, dan sekarang lebih banyak wang dibelanjakan untuk diesel. Sudah saya alihkan tempat mesin itu dan jiran saya tidak datang lagi ke rumah saya untuk komplen. Saya pernah memberitahu mereka bahawa bekalan elektrik di daerah pedalaman di negara saya jauh lebih baik daripada ibu negara anda. Begitu juga dengan kemudahan bekalan air dan sekolah.

Air juga sangat mendukacitakan, kualitinya sangat rendah. Apabila ditakung dalam baldi, kelihatan dengan jelas habuk yang mendap dan minyak yang timbul. Tetapi kami terpaksa juga menggunakan air itu untuk mandi, membasuh pinggan dan sebagainya. Untuk memasak dan minum kami gunakan air mineral yang telah kami beli dalam kuantiti yang banyak, sebagai stok di rumah. Hujung jari-jari saya menggelupas dengan teruk, tetapi saya tidak pasti atas sebab air atau cuaca.

Kami menonton TV berbayar, dilanggan dari syarikat bernama PTCL, daripada syarikat yang sama juga kami mendapat perkhidmatan telefon rumah dan internet. Bil bulanan yang perlu dijelaskan untuk ketiga-tiga perkhidmatan tersebut (hanya dalam satu bil) adalah jauh lebih rendah berbanding Astro di tanah air, walaupun TV kabel PTCL memberikan lebih seratus saluran termasuk CNN, BBC, Aljazeera, HBO, Filmax, Star World, Star Movies, Nickelodeon, ESPN, Discovery, National Geographic dan Animal Planet. Tiada pakej-pakej yang mengelirukan. Ada banyak lagi saluran lain yang kebanyakan berbahasa Urdu dan English, selain bahasa Arab. Paling banyak sekali adalah saluran berita. Ada beberapa saluran berkonsep keagamaan seperti Astro Oasis, dalam bahasa Urdu, Inggeris dan Arab. Pernah saya menonton sebuah rancangan seperti kuliah agama yang kelihatan menarik, disampaikan oleh seorang penceramah yang memakai purdah. Tetapi dia berbahasa Urdu dan saya tidak faham apa-apa.

Telefon bimbit digunakan secara meluas di sini, sama seperti di negara sendiri walaupun harga telefon bimbit lebih mahal sedikit berbanding di Malaysia. Tetapi untungnya kadar panggilan di sini jauh lebih murah. Terdapat banyak syarikat penyedia perkhidmatan prabayar dengan pakej yang macam-macam. Tetapi kelihatan seperti Mobilink, Ufone dan Zong yang paling popular dan mendominasi papan-papan iklan.

Sunday, July 12, 2009

Dongeng Tok Penghulu Yang Ingin Maju

Maka riuhlah cerita dari tok penghulu, bahawa jika makan gandum maka kita akan jadi lebih pandai. Pandai seperti orang di kampung seberang jauh sana yang telah makan gandum sejak dari tahun yang sudah lama, tidak ingat sejak bila.

Diseru semua orang kampung,
"Mesti tanam gandum! Kita akan jadi lebih maju, anak cucu kita akan jadi pandai! Mari ikut resam orang di kampung seberang jauh yang sudah semakin jauh majunya meninggalkan kita, sebab mereka tanam gandum dan makan gandum. Sebab itu mereka bijak dan berdaya saing."

Lalu segeralah dimusnahkan relung sawah padi semua untuk menjadikan ladang gandum. Ada juga ditanam soya, jagung dan apa-apa sahaja tanaman yang pernah ditanam oleh orang kampung seberang jauh. Kerana menurut tok penghulu itulah penyebabnya mereka jadi bijak dan lebih maju. Lalu musnahlah semua ladang sawah dan gembiralah tok penghulu kerana buah fikirnya yang bijak diterimapakai oleh semua. Ada yang gembira kerana dapat memakan gandum dan lalu menjadilah mereka seperti orang kampung seberang jauh, yang pada mereka kelihatan lebih maju. Tetapi lebih ramai pula yang tidak suka, mereka tidak dapat menerima gandum sebagai makanan baru kerana sudah terlalu terbiasa dengan beras.

Anak-anak pula pada mulanya juga terkejut kerana dipaksa makan gandum. Perut mereka tidak dapat menerima, tidak kenyang, cepat letih, cepat lapar dan mereka jadi tidak bermaya. Tetapi diceritakan orang bahawa selepas beberapa ketika anak-anak sudah agak terbiasa dengan gandum. Walau mereka tidak suka tetapi akibat paksaan begitu akhirnya mereka pasrah. Tetapi ramai ibu bapa yang memberontak, orang-orang kampung pemakan beras yang totok terutamanya. Mereka keluar ke jalan raya dan berarak ke rumah tok penghulu minta dikembalikan semula tanah sawah mereka. Mereka bertegas ingin kembali bersawah dan memakan beras yang telah menjadi makanan ruji mereka sejak zaman-berzaman.

Setelah lebih lima tahun memakan gandum, akhirnya tok penghulu terpaksa mengalah dengan tekanan kumpulan pemakan beras. Tok penghulu juga risau sebenarnya jika dalam upacara pemilihan penghulu depan dia tidak dipilih lagi oleh pengundi-pengundi di kalangan kumpulan pemakan beras. Tiada lagi tok penghulu berhujah ingin maju. Kerana dia sendiri sudah dengar cerita ramai sekali anak-anak orang kampung pemakan beras yang hilang selera makan serta jatuh sakit akibat dari dasar pemakanan gandum. Sememangnya ada segelintir orang kampung yang sudah mulai memakan gandum dengan lahap sekali, malah makan dengan banyak lebih banyak dari orang kampung asal pemakan gandum, kampung seberang jauh. Dakwa mereka kulit mereka sudah menjadi lebih cerah, anak mata mereka menjadi biru, pendek kata mereka lebih maju sekarang. Tetapi majoriti orang kampung ternyata tidak serasi dengan gandum. Dan akhirnya kali ini tok penghulu terpaksa tunduk.

Lalu sekarang diseru,
"Sekarang tukarkan semua ladang gandum menjadi sawah padi. Kita akan menanam padi semula sepenuhnya mulai tiga tahun dari sekarang!"

Kerana tok penghulu ingin terus menjadi tok penghulu. Tetapi di kertas khabar tok penghulu bilang keputusan itu adalah demi kebaikan anak-anak orang kampung semua, kerana tok penghulu dan semua ahli jawatankuasanya memang sentiasa mengutamakan kepentingan orang kampung dalam apa-apa jua keadaan. Kalau begitu, baru orang kampung tahu bahawa tok penghulu sememangnya pemimpin yang bijak, prihatin, ikhlas dan berpandangan jauh. Terima kasih tok penghulu, atas segalanya.

Thursday, July 09, 2009

Terima Kasih GMP

Menteri pelajaran telah pun mengumumkan pemansuhan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan bermula sepenuhnya tiga tahun lagi. Ianya merupakan satu keputusan yang sangat dialu-alukan oleh majoriti rakyat Malaysia. Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) menyifatkan ianya sebagai satu kejayaan rakyat yang selama ini berjuang bagi menghapuskannya. Saya adalah salah seorang daripada rakyat Malaysia, dan saya berasa sangat gembira dengan perkembangan terbaru ini walaupun saya juga berasa pelik mengapa ia terpaksa mengambil masa sehingga tiga tahun untuk memansuhkannya sedangkan sewaktu hendak melaksanakannya dahulu ia cuma mengambil masa enam bulan.

Dalam Malaysiakini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan pengerusi BN, menafikan keputusan memansuhkan polisi itu bertujuan menguatkan BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Selasa depan.
"Ini bukan keputusan untuk kepentingan politik tetapi untuk masa depan anak-anak kita. InsyaAllah BN akan menang di Manek Urai. Keputusan ini dibuat atas dasar kajian dan pertimbangan yang mendalam mengenai polisi itu," kata Muhyiddin.
Apa pun niat dan motivasinya, tetapi terima kasihlah bapak menteri. Dan tahniahlah GMP dan sekalian rakyat yang menyokong.

Tuesday, July 07, 2009

Jangan Hantar Lagi, Faham?

Sejak mula-mula pindah ke rumah ini, setiap pagi ada seorang pemuda penghantar surat khabar datang menghantar surat khabar ke rumah. Di atas muka depannya tertulis "call me" diikuti dengan nombor telefon. Saya tidak pernah membuat panggilan ke nombor itu. Penghantar surat khabar itu pernah menekan loceng rumah dan bila Mawar keluar, dia bertanyakan Mawar jika kami berminat untuk melanggan surat khabar. Mawar memberitahu kami tidak berminat. Tetapi selepas itu kami tetap menerima surat khabar itu. Saya tidak pernah membaca surat khabar tersebut dengan serius kerana biasanya saya membaca surat khabar di tempat kerja dan juga akhbar secara atas talian di internet. Saya juga pernah berpesan kepada pemuda penghantar surat khabar itu supaya jangan menghantar surat khabar ke rumah saya lagi, kerana saya tidak ingin melanggan.

Semalam pemuda penghantar surat khabar itu menunggu di hadapan pintu pagar rumah saya. Dia meminta duit sebanyak Rs150 (kira-kira RM6.80) kerana menurutnya dia telah menghantar surat khabar ke rumah saya selama 10 kali. Setahu saya cuma lebih kurang 4 kali sahaja. Dengan tegas saya memberitahunya bahawa saya tidak pernah meminta sesiapa supaya menghantar surat khabar ke rumah saya dan malah saya dan isteri juga pernah berpesan kepadanya supaya jangan menghantar surat khabar ke rumah kami, dan saya tidak akan membayar satu rupee pun kepadanya. Dia terus merayu-rayu dengan muka tidak tahu malu.

Katanya dia telah tersilap hantar dan meminta saya membayarkan juga RS150 kepadanya. Dan saya tidak percaya bahawa itu satu kesilapan, kerana kami telah memesannya berkali-kali. Itu bukan satu kesilapan, tetapi mungkin kebodohan atau penipuan! Tetapi menjadi seorang melayu, saya selalunya mudah jatuh simpati, bertimbang rasa dan ingin menjaga hati segala. Akhirnya saya hulurkan juga Rs20 (RM0.90).
"Tolong jangan hantar surat khabar ke rumah saya lagi, faham?!"

Dia mengambilnya tanpa terima kasih. Saya lihat dia masih tidak gembira, ada riak-riak kekesalan pada wajahnya.

Sunday, July 05, 2009

Cerita Masjid Qariah E7


Rumah saya sangat dekat dengan masjid, cuma lebih kurang tiga minit berjalan kaki. Azan begitu penting untuk sesiapa yang ingin bersolat secara jemaah di masjid, kerana waktu solat setiap masjid di sini adalah berbeza-beza. Mereka tidak semestinya segera bersolat sebaik sahaja masuk waktu, kerana banyak masjid mempunyai waktu solat mereka sendiri tetapi masih dalam lingkungan sesuatu waktu solat tersebut. Seperti biasa azan akan dilaungkan sebaik sahaja sebelum waktu sembahyang sebagimana yang telah ditetapkan oleh sesebuah masjid. Selepas lebih kurang 15 minit barulah solat didirikan, kecuali untuk Solat Maghrib mereka terus mendirikan solat sebaik sahaja selesai azan. Tiada solat sunat sebelum solat Maghrib.

Pada mulanya saya ingin tetap dengan cara mazhab Shafie dalam menentukan masuk waktu solat, tetapi setelah tinggal berdekatan dengan masjid saya telah menukar kepada cara penetapan mazhab Hanafi, kerana saya kira masjid qariah saya mengikut cara penetapan waktu solat mazhab Hanafi. Tetapi setelah beberapa ketika saya mulai perasan bahawa waktu solat mereka tidak sama dengan waktu mengikut mazhab Hanafi sebagaimana yang saya perolehi di Islamic Finder. Kalau mengikut Hanafi waktu Fajar adalah 4.21 tetapi di masjid qariah saya di Sektor E7 mereka cuma bersolat pada pukul 5.20 pagi. Zohor masuk pada pukul 1.12 tetapi masjid bersolat pada pukul 2.30, Asar masuk waktu pada pukul 6.12 petang tetapi masjid bersolat pada pukul 6.30. Sama juga halnya dengan Maghrib, Isya' dan Jumaat. Ada juga beberapa masjid yang mengikut waktu solat Asar mazhab Shafie.

Masjid qariah saya agak selesa dan mempunyai sangat ramai jemaah, saya rasa kedatangan adalah lebih 50 orang pada setiap waktu solat. Ada sebuah madrasah bagi pembelajaran agama untuk kanak-kanak yang dikendalikan oleh maulana di tingkat atas masjid. Saya difahamkan asrama untuk murid-murid juga disediakan. Tidak hairanlah jika pada waktu solat, terdapat ramai sekali budak-budak yang turut bersolat di masjid itu.

Hampir semua ahli jamaah yang datang berpakaian Syarwal Khamiz. Samada baju labuh "Khamiz" yang berkolar seperti baju kemeja atau baju berkolar jenis Nehru yang dipanggil "Kurta", dipadankan dengan Syarwal iaitu sejenis seluar longgar yang sangat besar di bahagian peha. Jarang-jarang sekali kelihatan ahli jamaah datang ke masjid tanpa berpakaian Syarwal Khamiz. Lalu semalam saya juga telah menempah dua helai baju "Kurta" dan sehelai "Syarwal" kerana saya ingin mereka merasakan saya adalah salah seorang daripada mereka. Kadang-kadang tidak enak berlama-lama menjadi orang yang asing, dan saya sudah bosan ditenung pelik oleh mereka.

Perempuan tidak disediakan tempat untuk bersolat di masjid, jadi memang langsung tidak kelihatan perempuan datang ke masjid. Kecuali jika pada hari Jumaat, ada ramai peminta sedekah perempuan yang tunggu di luar masjid selepas selesai solat. Solat Jumaat didirikan pada pukul 2.00 petang di masjid qariah E7, tidak terlalu awal dan tidak terlalu lambat. Ada masjid di sektor lain yang solat Jumaat pada seawal pukul 1.30 dan saya diberitahu ada juga yang lewat sehingga hampir pukul 3 petang. Khutbah disampaikan sangat pendek, iaitu lebih kurang 10 minit sekadar menyempurnakan rukun yang wajib sahaja. Tetapi sebelum khutbah dan azan mereka telah mengadakan kuliah agama, tentu sekali dalam bahasa Urdu.

Semua jemaah yang datang bersolat sangat rajin mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas solat fadhu (bagi solat fardhu yang disunatkan solat sebelum dan selepas), hampir semua orang melakukannya. Selepas solat Isya mereka akan bersolat sekurang-kurangnya 5 rakaat solat sunat, iaitu 2 rakaat solat sunat selepas dan 3 lagi solat witir. Biasanya hanya saya seorang yang tidak bersolat witir dan paling cepat meninggalkan masjid.

Dua hari lepas, kenalan Pakistan yang datang berjemaah sekali dengan saya bertanya,
"Kamu tidak Solat Witir selepas Isya' tadi? Itu kan wajib? Kenapa tidak Solat Witir?"

"Oh, wajib ke? Saya fikir ia sunat. Macam mana kamu kata ia wajib? Saya tidak pernah dengar begitu."
Saya sambil tersenyum, menguji.

"Maulana bagitahu Solat Witir wajib!"
Balasnya dengan yakin.

Sekarang saya sudah faham kenapa semua orang di sini bersolat witir selepas solat Isya'. Maulana adalah gelaran kepada guru agama yang biasanya mengajar di institusi pendidikan agama yang dipanggil madrasah. Mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan beragama di Pakistan. Semua perkara berkaitan agama terutama soal hukum-hakam akan disandarkan kepada maulana. Dan mulai semalam saya juga telah bersolat witir selepas Solat Isya'.

Saturday, July 04, 2009

Mereka dan Jalan Raya

Saya kurang gemar dengan sikap pemandu kenderaan di Islamabad. Mereka tidak mengikut peraturan jalan raya seperti di tempat asal saya. Mereka menukar lorong sesuka hati tanpa melihat siapa di lorong kanan di belakang kenderaan mereka. Mereka terlalu kerap membunyikan hon, di mana-mana sahaja. Dan keseluruhannya mereka sangat degil dan tidak mahu mengalah. Di sini siapa yang berani, dialah yang akan mendapat jalan. Kadang-kadang ada juga kelihatan perempuan memandu, seperti biasa dengan gaya tipikal pemandu perempuan. Tetapi pemandu-pemandu lelaki biasanya sangat menghormati pemandu perempuan dan mudah memaafkan apa-apa kebodohan dan kesilapan pemandu perempuan. Bukan sahaja di jalan raya, tetapi di mana-mana sahaja perempuan di sini dilayan begitu oleh lelaki Pakistan. Perempuan tidak boleh dimarah atau ditegur oleh lelaki di tempat awam.

Saya tidak tahu jika di sini terdapat undang-undang jalan raya atau pun tidak, kerana mereka sungguh tidak menghormati peraturan, jauh sekali perasaan timbang rasa dan sopan santun. Tetapi ironinya saya diberitahu bahawa secara keseluruhannya, sikap pemandu di Islamabad adalah yang terbaik di seluruh Pakistan. Keadaan jalan raya dan trafik di wilayah lain-lain adalah jauh lebih teruk, suasananya bagai hampir-hampir tiada peraturan langsung. Saya tertanya-tanya jika pemandu di Pakistan perlu menghadiri kelas di sekolah memandu atau pun tidak sebelum mendapat lesen memandu. Selain itu, terdapat ramai polis trafik di jalan raya, mengawal lalulintas dan kadang-kadang mengeluarkan tiket saman.

Ada satu peraturan yang sangat kelakar. Jika melalui jalan bulatan, pemandu yang berada dalam bulatan harus mengutamakan pemandu yang baru hendak masuk ke dalam bulatan. Pemandu yang sudah berada dalam bulatan yang wajib berhenti bagi memberi laluan. Jika kita tidak berhenti kita yang akan diberi hon yang panjang serta dipandang serong seolah-olah kita yang bersalah. Satu lagi peraturan yang pelik, hanya pemandu kenderaan sahaja yang diwajibkan memakai tali pinggang keledar. Jika penumpang lain tidak memakai tali pinggang itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan motosikal, hanya pemandu hadapan sahaja diwajibkan memakai topi keledar, pembonceng di belakang tidak perlu. Mereka juga dibenarkan menaiki motosikal beramai-ramai, tiga, empat atau berapa saja semuat-muatnya. Polis mereka sendiri pun dilihat berbuat begitu.

Jika terdapat sebarang pergeseran dan perlanggaran di jalan raya, mereka suka bertegang leher lama-lama di atas jalan raya. Ramai orang yang akan berduyun-duyun mengerumuni tempat kejadian untuk menyaksikannya. Yang lalu-lalang akan singgah sebentar. Jika ada polis pun mereka tidak berbuat apa-apa, hanya melihat. Tetapi pertengkaran mereka biasanya tidak akan berakhir dengan tumbukan atau pergaduhan fizikal, kerana terdapat ramai orang yang akan cuba meleraikan pertengkaran antara pihak-pihak yang terlibat.