Sunday, July 05, 2009

Cerita Masjid Qariah E7


Rumah saya sangat dekat dengan masjid, cuma lebih kurang tiga minit berjalan kaki. Azan begitu penting untuk sesiapa yang ingin bersolat secara jemaah di masjid, kerana waktu solat setiap masjid di sini adalah berbeza-beza. Mereka tidak semestinya segera bersolat sebaik sahaja masuk waktu, kerana banyak masjid mempunyai waktu solat mereka sendiri tetapi masih dalam lingkungan sesuatu waktu solat tersebut. Seperti biasa azan akan dilaungkan sebaik sahaja sebelum waktu sembahyang sebagimana yang telah ditetapkan oleh sesebuah masjid. Selepas lebih kurang 15 minit barulah solat didirikan, kecuali untuk Solat Maghrib mereka terus mendirikan solat sebaik sahaja selesai azan. Tiada solat sunat sebelum solat Maghrib.

Pada mulanya saya ingin tetap dengan cara mazhab Shafie dalam menentukan masuk waktu solat, tetapi setelah tinggal berdekatan dengan masjid saya telah menukar kepada cara penetapan mazhab Hanafi, kerana saya kira masjid qariah saya mengikut cara penetapan waktu solat mazhab Hanafi. Tetapi setelah beberapa ketika saya mulai perasan bahawa waktu solat mereka tidak sama dengan waktu mengikut mazhab Hanafi sebagaimana yang saya perolehi di Islamic Finder. Kalau mengikut Hanafi waktu Fajar adalah 4.21 tetapi di masjid qariah saya di Sektor E7 mereka cuma bersolat pada pukul 5.20 pagi. Zohor masuk pada pukul 1.12 tetapi masjid bersolat pada pukul 2.30, Asar masuk waktu pada pukul 6.12 petang tetapi masjid bersolat pada pukul 6.30. Sama juga halnya dengan Maghrib, Isya' dan Jumaat. Ada juga beberapa masjid yang mengikut waktu solat Asar mazhab Shafie.

Masjid qariah saya agak selesa dan mempunyai sangat ramai jemaah, saya rasa kedatangan adalah lebih 50 orang pada setiap waktu solat. Ada sebuah madrasah bagi pembelajaran agama untuk kanak-kanak yang dikendalikan oleh maulana di tingkat atas masjid. Saya difahamkan asrama untuk murid-murid juga disediakan. Tidak hairanlah jika pada waktu solat, terdapat ramai sekali budak-budak yang turut bersolat di masjid itu.

Hampir semua ahli jamaah yang datang berpakaian Syarwal Khamiz. Samada baju labuh "Khamiz" yang berkolar seperti baju kemeja atau baju berkolar jenis Nehru yang dipanggil "Kurta", dipadankan dengan Syarwal iaitu sejenis seluar longgar yang sangat besar di bahagian peha. Jarang-jarang sekali kelihatan ahli jamaah datang ke masjid tanpa berpakaian Syarwal Khamiz. Lalu semalam saya juga telah menempah dua helai baju "Kurta" dan sehelai "Syarwal" kerana saya ingin mereka merasakan saya adalah salah seorang daripada mereka. Kadang-kadang tidak enak berlama-lama menjadi orang yang asing, dan saya sudah bosan ditenung pelik oleh mereka.

Perempuan tidak disediakan tempat untuk bersolat di masjid, jadi memang langsung tidak kelihatan perempuan datang ke masjid. Kecuali jika pada hari Jumaat, ada ramai peminta sedekah perempuan yang tunggu di luar masjid selepas selesai solat. Solat Jumaat didirikan pada pukul 2.00 petang di masjid qariah E7, tidak terlalu awal dan tidak terlalu lambat. Ada masjid di sektor lain yang solat Jumaat pada seawal pukul 1.30 dan saya diberitahu ada juga yang lewat sehingga hampir pukul 3 petang. Khutbah disampaikan sangat pendek, iaitu lebih kurang 10 minit sekadar menyempurnakan rukun yang wajib sahaja. Tetapi sebelum khutbah dan azan mereka telah mengadakan kuliah agama, tentu sekali dalam bahasa Urdu.

Semua jemaah yang datang bersolat sangat rajin mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas solat fadhu (bagi solat fardhu yang disunatkan solat sebelum dan selepas), hampir semua orang melakukannya. Selepas solat Isya mereka akan bersolat sekurang-kurangnya 5 rakaat solat sunat, iaitu 2 rakaat solat sunat selepas dan 3 lagi solat witir. Biasanya hanya saya seorang yang tidak bersolat witir dan paling cepat meninggalkan masjid.

Dua hari lepas, kenalan Pakistan yang datang berjemaah sekali dengan saya bertanya,
"Kamu tidak Solat Witir selepas Isya' tadi? Itu kan wajib? Kenapa tidak Solat Witir?"

"Oh, wajib ke? Saya fikir ia sunat. Macam mana kamu kata ia wajib? Saya tidak pernah dengar begitu."
Saya sambil tersenyum, menguji.

"Maulana bagitahu Solat Witir wajib!"
Balasnya dengan yakin.

Sekarang saya sudah faham kenapa semua orang di sini bersolat witir selepas solat Isya'. Maulana adalah gelaran kepada guru agama yang biasanya mengajar di institusi pendidikan agama yang dipanggil madrasah. Mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan beragama di Pakistan. Semua perkara berkaitan agama terutama soal hukum-hakam akan disandarkan kepada maulana. Dan mulai semalam saya juga telah bersolat witir selepas Solat Isya'.

7 comments:

Nurlulu said...

Di Sudan, orang perempuan berpusu-pusu ke Masjid untuk solat Jumaat. Penuh sampai ke luar. Sesuatu yg kita tak akan dapat di Malaysia kecuali di masjid univ.

wan storm said...

bagus tu, solat sunat untuk menampung kekurangan solat wajib jadi amalkan selalu lebih baik lg sunat 2/3 mlm dan dhuha, insyaAllah . . . amin.

Aku... said...

Niatkan diri kerana Allah....Sebarang keraguan yang memungkinkan perpecahan kerana sesuatu perkara yang kecil haruslah dielakkan.... Selamat memakai "Kurta"...Pastikan ia padan dengan dengan saiz kamu...Hehehe...

nasikerabupetro said...

En. Ahmad...

Saya benar-benar seperti membaca TraveLog... Moga ia akan dibukukan satu hari nanti, Amiin...

Bagaimana dengan rangkaian internet dan teknologi di situ? Mungkin kamu boleh ceritakan dalam catatan akan datang...

Salam sayang buat Mawar dari sahabat Terengganu...

Nafastari said...

Nurlulu, terima kasih berkongsi pengalaman. Saya rindukan masjid UIA.

Wan Storm, benar semuanya.

Aku, benar semuanya. Tentang kurta, jika sudah diukur pada badan sendiri biasanya padanlah, insyaAllah.

Nasikerabupetro, insyaAllah, moga doa kamu menjadi nyata kepada saya. Internet memuaskan. Secara keseluruhannya negara kita lebih baik dan mendahului.

Anonymous said...

Jdnya skrg ni solat witir dah jd wajib jgk la bg kamu??

Pie.

Nafastari said...

Pie, sudah tentu tidak!