Friday, July 31, 2009

Majlis Tilawah Quran

Hari ini saya berjumpa dengan wakil Qari Pakistan ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Saya begitu teruja kerana dia mewakili negaranya yang mempunyai lebih 170 juta penduduk ke majlis yang sebegitu besar yang dianjurkan oleh kerajaan negara saya, sedang saya langsung tidak mempunyai kemahiran dalam tarannum Quran. Namanya Hanifullah, berusia baru 22 tahun dan saya bertanya macam-macam kepadanya dan dia menjawabnya semua sekali dengan penuh rendah diri. Dia tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi cuma bertutur dalam bahasa Urdu dan juga Arab. Lalu saya terpaksa berbicara dengannya dalam bahasa Arab saya yang tunggang-langgang. Dia anak seorang guru di madrasah dan dia juga merupakan seorang pelajar di madrasah.

Kawan Pakistan saya meminta dia membacakan sedikit ayat-ayat suci al-Quran kepada kami dan tanpa keberatan dia menurutnya. Saya rasa dia adalah wakil Pakistan yang terbaik pernah dihantar untuk membaca Quran di Malaysia. Bulu roma saya berdiri tegak dan rasa seperti hendak menangis apabila mendengarnya. Begitu juga dengan kawan saya yang sebangsa dengannya itu, tidak putus-putus menyebut "masya Allah" tatkala mendengar bacaannya. Jika saya berada di Malaysia saya tidak akan pernah ketinggalan menyaksikan majlis tilawah Quran di kaca TV yang disiarkan secara langsung, dan biasanya hanya wakil dari Asia Tenggara yang membolot tiga tempat teratas untuk kedua-dua kategori, Qari dan Qariah. Cuma kadang-kadang sahaja ada Qari dari Iran, Mesir atau negara lain-lain yang juga berjaya di kedudukan tiga terbaik.

Sebenarnya majlis tilawah Quran mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada saya dan keluarga. Sebelum umur saya 13 tahun ayah tidak pernah membenarkan rumah kami mempunyai TV dan kami hanya menonton TV di rumah jiran. Antara rancangan yang dibenarkan untuk kami tonton adalah majlis tilawah Quran dan kami akan mengikutinya pada setiap malam di rumah jiran. Pada waktu itu saya belum mengerti apa-apa tentang taranum Quran mahupun tajwid, tetapi saya cuma menontonnya dengan penuh minat. Sehinggalah apabila saya sudah mengerti tentang bacaan Quran yang baik dan setelah rumah kami akhirnya mempunyai TV sendiri, kami sekeluarga masih menonton rancangan tilawah Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ayah berpendapat perempuan tidak sepatutnya menyertainya, kerana suara perempuan tidak elok dipertandingkan dalam majlis yang terbuka sebegitu (saya setuju), tetapi kami sekeluarga termasuk ayah masih tetap menontonnya.

Pada setiap majlis tilawah Quran yang diadakan di Malaysia, ia akan mengingatkan kami kembali pada memori sewaktu kami menonton bersama. Jika berjauhan saya dan adik-beradik lain dan juga ibu akan saling berbalas sms dan panggilan telefon semata-mata untuk mengingatkan tentang program itu dan membincangkan tentangnya. Baru minggu lepas, saudara kembar saya menghantar sms kepada saya di Pakistan, "Tengok majlis penutup pertandingan mengaji. Peringkat kebangsaan". Tetapi sudah tentu saya tidak dapat menontonnya kerana TV1 belum sampai di rumah saya.

video

*Inilah persembahan bacaannya di Majlis Tilawah al-Quran di Kuala Lumpur, Malaysia.

5 comments:

Anonymous said...

Pernah pada suatu malam ketika pulang dari menonto majlis 'Tanding ngaji' kita ramai2 dikejar anjing dan ada diantara kita yang diterkam anjing tersebut.Lalu kita di samak secara beramai2 pada mlm itu.Nasib baik tak ada kecederaan.
lutfi.

Aku... said...

Anjing tu ada gigi tak?.....:)

WS Zuriati said...

Klu mcm nk menangis bila mendengar bacaannya mesti ada harapan boleh menang sebab yang wakil malaysia nanti, tak berapa nak keluar suara masa peringkat kebangsaan baru ni.
Komen juri tak profesional nih..

nasikerabupetro said...

Subhanallah...

Rasa macam nak tunggu waktu sahur je... Tenang dan damai...

Nafastari said...

Lutfi, peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya. Saya sangat takut dan menjadikan saya phobia dengan anjing.

Aku, hmm... mungkin ada, tapi saya tak nampak gelap.

WSZuriati, tunggu dan lihat saja.

nasikerabupetro, sekarang baru kamu faham bagaimana perasaan saya apabila mendengar bacaannya.