Friday, April 24, 2009

Terkena Sumpahan Budu

Hari ini saya rasa budu sangat sedap. Tidak pernah, atau sudah lama saya tidak rasa budu yang sesedap seperti yang saya makan pada hari ini. Sebenarnya sudah lama saya tidak menyentuh budu dan tadi saya menyediakannya sendiri mengikut apa yang disarankan oleh ibu mertua saya. Dia suruh saya letakkan sedikit gula, hirisan bawang merah dan tambah sedikit air supaya tidak menjadi terlalu masin. Tetapi saya tidak meletakkan bawang kerana saya tidak gemar rasa budu yang mempunyai bawang. Selain itu, sudah pastilah saya telah perah asam limau dan pecahkan lada jarum ke dalamnya. Dan hasilnya memang sedap hingga menjilat jari!

Sekarang baru saya ingat 14 tahun lalu, nenek sebelah ibu juga pernah mengajar saya menyediakan budu dengan cara begini, iaitu memasukkan sedikit gula. Saya tinggal dengannya sewaktu saya berada di tingkatan satu dan dua. Biasanya budu mempunyai rasa yang sangat masin dan ianya memang lebih baik jika ditambah dengan sedikit air untuk mengurangkan rasa masin lebih-lebih lagi jika budu itu sangat pekat.

Sewaktu saya solat Isya' tadi tiba-tiba saya menjadi sangat tidak khusyu' kerana saya asyik teringatkan budu. Kecur air liur saya kerana ingatan itu. Selepas saja balik dari surau saya terus ke meja makan dan memakan nasi dengan ikan panggang dan budu yang dimasukkan dengan sedikit gula dan sedikit air. Apabila ikan panggang sudah habis budu masih ada berbaki. Saya tercari-cari sesuatu yang lain yang boleh saya cecah ke dalam budu itu. Ada sup bebola ikan yang dimasakkan bersama sawi. Saya ambil bebola ikan itu dan mencecahkan ke dalam budu. Tidak mengecewakan. Selepas habis bebola ikan saya tidak punyai apa-apa lagi untuk dicecah ke dalam budu. Lalu saya cuma cecah jari dan saya jilat jari!

*Cik Embun anak perempuan saya sudah dibenarkan keluar dari wad dan balik ke rumah pada petang tadi. Jangan risau, saya tidak akan menyuapkan budu yang sedap itu kepadanya sekarang.

Thursday, April 23, 2009

Syafaakillah II

Sudah lima hari Embun berada di wad, malam-malam tidur tanpa ibunya. Dijemur bawah sinar biru terapi lampu dalam keadaan yang tidak berbaju, cuma lampin. Jika dia menangis tiada siapa yang memujuknya atau mendukungnya. Dicucuk-cucuk jarum untuk diambil darah mungkin dua atau tiga kali sehari. Diberi susu badan oleh Mawar yang mampu melawatnya sekali sehari, atau susu badan yang telah dipam ke dalam bekas khas dan dihantar oleh saya ke hospital, dan selebihnya diberi susu formula oleh jururawat mengikut waktunya. Peraturan wad di hospital tidak membenarkan bayi dijaga oleh ibu pada setiap masa. Saya tidak tahu bagaimana mereka menukar lampin dan menyusukan Embun.

Dalam setiap hari untuk empat hari pertama keadaan Embun bertambah baik. Setiap hari kadar billirubin dalam darahnya menurun dengan banyak. Jadi pada hari kelima kami fikir ia akan dibenarkan pulang untuk menjalani hidup seperti bayi yang biasa bersama ibu bapanya di rumahnya. Tadi dengan perasaan yang sungguh teruja dan gembira kami berdua ke hospital bersama segala pakaian dan kelengkapannya untuk menjemputnya pulang. Tidak sabar-sabar untuk memeluk dan menciumnya.

Tapi doktor memberitahu tahap billirubin dalam darahnya untuk hari ini tiba-tiba kembali naik dan dia perlu diletakkan semula bawah terapi lampu. Air mata Mawar jatuh lagi. Kami pun pulang ke rumah bersama pakaian dan kelengkapannya, tanpa Embun. Saya tidak tahu mahu cerita apa lagi tentang teruknya perasaan kami.

Tuesday, April 21, 2009

Syafaakillah

Sudah lama saya tidak pernah berasa bimbang, gusar dan sangat sedih begini, kali terakhir mungkin sewaktu menerima berita bahawa ibu saya diserang angin ahmar dan menjadi lumpuh sebelah badan tujuh tahun yang lalu. Tapi kali ini ia berkenaan dengan Embun dan lebih perit lagi saya terpaksa membuat pilihan antara dua pilihan yang sangat sukar. Kerana kedua-dua pilihan tersebut mempunyai risikonya yang tersendiri.

Embun diserang jaundis dengan teruk ketika umurnya cuma 3 hari dan telah diarahkan masuk ke wad. Dia terus diberi rawatan terapi lampu (phototherapy). Oleh sebab bacaan tahap kekuningannya terlalu tinggi, doktor ingin melakukan prosedur pemindahan darah (ET) ke atasnya dan memerlukan kami untuk memberikan persetujuan secara bertulis. Jika kami tidak bersetuju dengan dengan prosedur tersebut Embun akan berisiko mengalami kecacatan seperti lumpuh, pekak, buta, malah kematian. Dan jika kami bersetuju risikonya juga besar iaitu reaksi pemindahan darah yang negatif, komplikasi dan jangkitan kuman yang juga boleh membawa kepada kematian sekiranya prosedur ET tersebut gagal. Akhirnya setelah berbincang dengan doktor dan membuat sedikit pembacaan kami bersetuju untuk melakukan prosedur ET sekiranya itu yang difikirkan perlu oleh pakar paediatrik.

Tetapi pada malam itu kami diberitahu oleh doktor bahawa Embun sudah tidak memerlukan ET kerana bacaan darahnya sudah turun dengan drastik sekali, iaitu 300 berbanding 495 sewaktu dia mula-mula dimasukkan ke wad. Itu sangat-sangat melegakan kami dan Mawar menyambut berita itu tangisan gembira dan terharu. Alhamdulillah.

Embun masih lagi di hospital, petang tadi sewaktu menghantar susu badan yang telah di sediakan oleh Mawar kepadanya di hospital saya melihat dia menangis dengan kuat. Terdapat kesan-kesan jarum dengan banyak di kedua-dua belah tangan dan kakinya. Terdapat juga kesan kemerah-merahan di perutnya dan bintik-bintik kemerahan di kebanyakan bahagian badannya. Doktor pun belum pasti jika ianya kesan daripada kepanasan terapi lampu atau alahan kepada jenis lampin yang digunakan. Setakat petang tadi bacaan darah Embun sudah menurun ke 205 dan doktor membayangkan dia akan dibenarkan pulang lusa, Khamis.

Ada banyak sebab untuk bayi baru lahir menjadi kuning. Bayi yang dilahirkan pra-matang lebih cenderung terkena kuning iaitu sebanyak 80% daripada bayi lahir cukup bulan. Sekiranya kekuningan datang terlalu awal contohnya hari pertama kelahiran, ini mungkin disebabkan oleh tersumbatnya pundi hempedu akibat kecacatan lahir. Antara penyebab lain ialah trauma di kepala disebabkan oleh kelahiran secara forceps atau vaccum, jangkitan kuman di dalam darah, jangkitan virus seperti Rubella atau Toxoplasma, masalah tidak serasi dengan darah ibu (Coombs Positive), masalah dengan enzim darah merah (G6PD), hormon thyroid yang rendah (Hypothyroidism) dan masalah hati dan hempedu (biliary atresia, Dubin Johnson). Setelah semua penyebab di atas telah dikenal pasti negatif, jaundis besar kemungkinan disebabkan oleh susu ibu!

Dan kami sangat khuatir jika Embun mendapat jaundis teruk disebabkan oleh susu ibu kerana dia aktif menyusu pada tiga hari pertama. Dan setelah mengetahui fakta ini Mawar terus sahaja memberhentikan segala pengambilan jamu tradisional dan herba-herba yang sebenarnya boleh diambil selepas jangka masa tertentu selepas bersalin. Kami berasa sangat kesal dan menyesal kerana tidak pernah mengetahui apa-apa tentang fakta ini lebih awal. Tetapi ini merupakan pengalaman kelahiran yang pertama dan banyak yang kami perlu belajar dan terokai. Maafkan kami Cik Embun.

Thursday, April 16, 2009

Ibarat Sehelai Kain Putih

Malam tadi saya sangat gembira kerana Tuhan telah meminjamkan saya sehelai kain putih yang bersih suci. Kain putih itu adalah untuk saya corakkan apa-apa sahaja warna yang saya suka. Sekarang bahu saya berasa sungguh berat kerana memikirkan bagaimana harus saya mencorakkan kain putih itu. Ia suatu tanggungjawab yang sungguh besar dan memerlukan perancangan yang rapi. Dunia dan keadaan sekeliling mungkin tidak banyak membantu, saya risau jika akan ada tertumpah warna-warna yang tidak saya ingini.

Ia lahir pada pada tengah malam 15 April, sepuluh hari lebih awal dari tarikh jangkaan doktor. Dia sangat kecil, cuma berat 2.4kg dan mempunyai bau yang sangat mengasyikkan, seperti juga bau bayi-bayi lain. Saya melihat dia membuka matanya dengan luas dan ramai berkata matanya kelihatan seperti mata saya. Tetapi warna kulitnya mengikut warna kulit Mawar yang jauh lebih cerah daripada saya.

Warna biru biasanya dikaitkan dengan bayi lelaki dan merah jambu untuk bayi perempuan. Selalunya ibu bapa akan membeli pakaian dan peralatan bayi mengikut warna tersebut bagi menzahirkan jantina anak-anak mereka. Tetapi saya tidak berminat untuk membelikan segala yang berwarna merah jambu untuk bayi perempuan saya. Bukan kerana apa-apa yang penting tetapi ia selalu mengingatkan saya kepada puteri-puteri yang saya kurang sukai atas sebab-sebab tertentu. Ia sekadar pendapat peribadi dan tidak harus dipersetujui oleh semua orang. Lalu saya memilih ungu, dengan harapan supaya dia akan menjadi seperti nisa' yang sangat menjaga tatasusilanya. Semoga dia akan membesar untuk sentiasa menjadi manusia yang terbaik.

Ramai orang bertanyakan nama bayi saya ini melalui kotak komen di bawah. Saya menamakannya sebagai Nadaa, diambil dari perkataan Arab yang bermaksud embun. Ada yang telah bertanyakan kenapa namanya terlalu pendek dan ringkas. Saya menyukai nama yang pendek dan ringkas kerana ia kedengaran lebih moden dan bijak, lagi pun nama yang panjang-panjang dan pelik-pelik tidak pernah menjanjikan apa-apa. Tentang Nadaa, anda juga boleh memanggilnya dengan nama Embun!

Friday, April 10, 2009

Jika Jari Tersepit Pintu Kereta

Saya mempunyai seorang anak saudara yang comel, bernama Norah berumur 5 tahun. Seperti kebanyakan kanak-kanak, Norah selalunya jujur dalam membuat penilaian ke atas kejadian yang berlaku di sekelilingnya dan sering membuat kesimpulan yang tidak tepat dalam beberapa perkara. Contohnya, pada suatu hari jarinya yang kecil tersepit pada pintu kereta Nissan Silphy ayahnya yang baru dibeli cuma beberapa hari. Ianya sudah tentu sangat menyakitkan dan membuatkan dia menangis. Selepas itu dia berkata kepada ibunya, "kita jangan beli kereta Nissan lagi, nanti tersepit jari." Sebelum itu, ayahnya memandu Proton dan Honda.

Semalam Mawar juga tersepit hujung jari kelinkingnya di pintu kereta selepas saya baru sahaja berpesan kepadanya supaya berhati-hati. Sangat menyakitkan tetapi saya rasa dia tidak menangis. Ada kesan darah beku bertompok di bawah kuku jarinya. Dan selepas itu dia juga berkata kepada saya, "jangan beli kereta Myvi lagi!"

Sunday, April 05, 2009

Mencerahkan Minda Rakyat

Tiga pemilihan wakil rakyat akan diadakan pada 7 April ini. Ramai yang memanggilnya pilihanraya kecil, padahal “raya” itu sendiri bermaksud besar. Jadi secara literal, ia kedengaran agak sedikit janggal jika kita menyebut pilihanraya kecil, kerana ia akan membawa maksud pilihan besar kecil.

Kita dapat memahami dengan mudah kegusaran parti PAS dan PKR apabila lidah rasmi masing-masing telah disekat pengeluarannya oleh Kementerian Dalam Negeri tanpa menyatakan apa-apa justifikasi. Dalam sesebuah negara demokrasi, kebebasan media merupakan elemen terpenting dalam menjayakan demokrasi itu sendiri. Demokrasi tidak akan berfungsi dengan baik jika maklumat tidak disampaikan dengan bebas kepada rakyat. Rakyat sepatutnya mendapat pencerahan minda yang selayaknya sebelum mereka dibenarkan membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang baik untuk diri dan negaranya. Jika tidak, rakyat boleh saja dipesong oleh golongan berkepentingan yang tidak bertanggungjawab dan ini akhirnya boleh menyebabkan kepada berlakunya penyalahgunaan kuasa dan kediktatoran.

Sebab itulah Harakah dan Suara Keadilan penting untuk PAS dan PKR, malah ia penting bagi maksud pencerahan minda rakyat di Malaysia secara keseluruhannya. Sesiapa pun dalam akal yang waras harus bersetuju bahawa liputan media di Malaysia secara keseluruhan adalah tidak bebas dan sangat berat sebelah. Pihak pemerintah yang juga mengawal media secara langsung telah menggunakan segala kuasa yang ada di tangan mereka bagi menggambarkan bahawa mereka mereka merupakan pemerintah yang sempurna, membela kepentingan rakyat, memberikan pembangunan dan parti mereka adalah satu-satunya parti yang layak menang dalam apa-apa pilihanraya. Parti pembangkang pula akan digambarkan sebagai parti yang ganas, jahat, ekstrim, gila kuasa, tidak memperjuangkan melayu dan lain-lain yang negatif.

Bertentangan dengan apa yang digambarkan mengenai pembangkang, sebahagian rakyat masih lagi memberi undi mereka kepada parti pembangkang atau dalam konteks sekarang ia dipanggil Pakatan Rakyat. Ini membuktikan bahawa sebahagian rakyat di Malaysia memang tidak mempercayai media-media utama di Malaysia. Di sinilah kita dapat melihat tentang pentingnya media alternatif seperti lidah-lidah rasmi parti-parti Pakatan Rakyat dan media-media baru seperti akhbar di internet, laman-laman web, blog, dan sebagainya. PR bolehlah dikatakan sebagai golongan yang tertindas dan sekarang terpaksa menggunakan sebaik-baiknya saluran media baru ini bagi menghidupkan demokrasi dalam erti kata yang sebenarnya.

Kemunculan media baru yang selari dengan kemajuan teknologi adalah sebagai sebab akibat daripada tekanan dan kongkongan kepada keperluan untuk mereka bersuara, menyatakan hasrat dan kemahuan di sebuah negara demokrasi yang sangat pelik. Mereka melihat media baru bukan sahaja sebagai satu pilihan untuk menyampaikan maklumat, tetapi memang merupakan satu-satunya pilihan bagi menyampaikan maklumat, kerana mereka sudah tidak punyai pilihan yang lain lagi. Masakan RTM, TV3, Utusan dan Berita Harian mahu bekerjasama dengan mereka melainkan untuk menyampaikan berita-berita yang memburuk-burukkan dan hanya layak untuk menjatuhkan mereka. Ini sangat berbeza dengan kedudukan pemerintah (boleh juga dibaca Barisan Nasional) yang menguasai media perdana dengan agresif dan memanipulasi segala berita dan maklumat untuk kepentingan mereka.

Saya mendapatkan maklumat daripada internet bukannya kerana saya lebih senang mendapatkan melalui cara itu, tetapi kerana mendapatkan maklumat melalui TV dan surat khabar BN adalah sangat menghina intelektual saya. Sangat pelik sekiranya BN membicarakan bagaimana untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat melaui media baru seperti blog dan facebook, kerana mereka sebenarnya tidak memerlukan itu semua. Bukankah media-media perdana yang dikuasai BN lebih senang untuk mencapai golongan akar umbi? Mereka golongan yang menindas, bukan tertindas!

Saturday, April 04, 2009

Imam Lapar!


Saya menerima undangan perkahwinan daripada rakan setempat kerja dengan saya dan saya begitu bersemangat untuk menghadirinya kerana dia tinggal di suatu tempat yang saya tidak pernah sampai. Perjalanan ke rumahnya yang terletak di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu dari Kuala Terengganu cuma mengambil masa lebih kurang 35 minit. Walaupun kami tidak sempat untuk mengambil gambarnya bersanding disebabkan pengantin lelakinya belum sampai, tetapi saya paksa juga dia menjengah muka di jendela.

Sewaktu pulang saya sengaja memberhentikan kereta di suatu tempat di tepi jalan raya bagi membolehkan saya mengambil gambar satu papan tanda nama kampung yang sangat menarik perhatian saya. Anda fikir bagaimana kampung ini mendapat namanya? Dan jika anda berkemahiran membaca jawi, perhatikan ejaan dalam tulisan jawinya yang tidak selari dengan ejaan dalam rumi. Perkataan "IMAM" telah dieja sebagai "IMAN" dalam tulisan jawi.

Thursday, April 02, 2009

Bersalam Dapat Pahala

I
Sudah lama saya tahu bahawa saya seorang melayu tetapi dulu saya tidak pernah tahu bahawa mencium tangan orang yang lebih tua itu adalah budaya orang melayu. Saya tidak pernah melakukannya dulu, tidak kepada ibu bapa saya, kerana tiada siapa yang memberitahu saya untuk berbuat begitu. Cuma baru-baru ini sahaja saya cuma menyedari bahawa ianya dikatakan sebagai budaya orang melayu, dan ianya telah dipopularkan dalam banyak media dengan begitu meluas sekali. Mungkin saya yang ketinggalan kerana di rumah saya tiada TV sehinggalah saya berumur 13 tahun, begitu juga dengan akhbar harian. Rumah kami jauh dari bandar dan ayah saya tidak pernah menyuruh saya mencium tangan sesiapa ketika berjabat tangan.

Sekarang pun setelah saya mengetahuinya, saya masih tidak mengamalkan budaya mencium tangan orang yang lebih tua. Saya fikir saya mungkin tidak akan mengamalkannya sampai bila-bila, kecuali jika saya berada dalam keadaan terpaksa yang tidak boleh dielakkan. Saya tidak kisah kerana kadang-kadang saya berasa saya juga perlu menghormati budaya orang melayu yang diagung-agungkan ini. Saya pernah mencuba mencium tangan ibu saya tetapi saat saya melakukannya saya berasa berasa sungguh mengada-ngada dan palsu. Saya tidak mumpunyai jiwa untuk melakukan itu. Lebih baik saya memeluk serta menciumnya daripada mencium tangannya.

Saya lebih senang berjabat tangan dengan kemas dan memandang ke dalam mata, tidak kira muda atau tua. Itu saya rasa lebih mudah, ikhlas, peramah dan benar. Malah saya rasa sangat sia-sia berjabat tangan dengan seseorang yang tidak mahu memandang muka saya dan tidak berjabat tangan dengan erat. Pada saya dia seorang yang sombong atau tidak ikhlas, walaupun mungkin dia seorang yang pemalu atau kurang keyakinan diri.

Setiap kali saya bersalam dengan anak-anak saudara saya dan kanak-kanak lain, jika berkesempatan saya akan memberitahu mereka,
"jangan cium tangan saya, cium tangan ibu bapa kamu sahaja, kita cuma berjabat tangan".

Jika bersalam dengan orang tua termasuk ayah saya, saya juga tidak mencium tangan mereka kerana saya berasa sungguh kekok untuk melakukannya dan saya sungguh tak biasa. Sebenarnya saya ingin kami sama-sama memandang muka dan mata masing-masing, berbalas senyuman sambil berselawat ke atas Rasulullah. Dan kemudian meletakkan tapak tangan ke dada.

Saya rasa keperluan untuk menghormati ibu bapa dengan cara yang berlemah lembut dan bersopan santun dalam semua hal adalah jauh lebih penting daripada mencium tangan mereka. Malah saya lihat ramai yang mencium tangan orang tua sebagai tanda menghormati orang yang lebih tua tetapi pada masa yang sama mereka biadap dan tidak bercakap dengan tutur kata yang lemah lembut dengan mereka. Mereka berhenti bermain "game" di komputer atau keluar dari bilik seketika untuk bersalam dan mencium tangan tetamu yang lebih tua, kemudian terus masuk ke bilik dan meneruskan aktiviti penting masing-masing, bermain bergurau senda sesama mereka, mengilai tawa tanpa mempedulikan tetamu. Jadi apa maknanya mencium tangan?

Tidak kurang juga jantina berbeza yang bukan mahram yang bersalam dan tunduk sopan mencium tangan kononnya sebagai tanda hormat, tetapi sama sekali membelakangkan hukum Tuhan. Saya tidak tahu jika itu juga dikira sebagai adat budaya orang melayu kerana kelihatannya ia juga semakin bertambah meluas diamalkan sekarang.


II
Tadi sewaktu pulang dari kerja saya melihat anak-anak jiran saya sedang bermain basikal di halaman kediaman kami. Selepas saya membuka pintu kereta seorang kanak-kanak datang kepada saya. Dia turun dari basikalnya dan menghlulurkan tangannya kepada saya sambil berkata,"nak salam."

Saya senyum padanya dan sambut tangannya, dia mencium tangan saya. Kemudian dia menyuruh kawan-kawannya yang sedang bermain basikal bersama-samanya untuk bersalam dengan saya juga. Budak bijak yang comel itu bernama Hariz, 5 tahun, anak jiran saya yang peramah dan baik hati.

Kemudian saya bertanya dia dengan kehairanan kerana dia tidak pernah berbuat begitu sebelum ini, "Hariz, kenapa kamu bersalam dengan saya pada hari ini?"

"Bersalam kan dapat pahala." Mukanya selamba. Saya tergelak sendirian.

Bukan "April Fool"


Saya ingin memanggilnya keajaiban. Kerana sedang kami mempersiapkan mental bagi menghadapi sebuah kelahiran secara pembedahan caesarian, tetapi Tuhan kemudian memberikan sebuah berita gembira yang sungguh tidak tersangka. Semalam doktor membuat keputusan bahawa mereka patut mengimbas kedudukan uri Mawar kerana setiap kali memeriksa perut Mawar dia mendapati kedudukan kepala bayi adalah menghala ke bawah dan itu sangat normal.

Dua kali doktor terpaksa melakukan imbasan kerana dia bagaikan tidak percaya bahawa uri Mawar telah naik ke kedudukan asal dengan drastik sekali. Imbasan kali kedua hanya mengesahkan keputusan yang sama, dan itu memberi isyarat bahawa Mawar akan dapat pulang ke rumah dan perlu menunggu tarikh jangka bersalin untuk bersalin secara normal. Di saat kami sudah hampir berhenti berharap Tuhan seperti selalunya, memberikan apa yang kami mahu. Alhamdulillah.

Sebenarnya dua hari sebelum itu, nenek saudara saya yang merupakan seorang bidan telah datang melawatnya ke hospital. Dia telah membawakan sebotol air penawar dan telah mengusap-ngusap perut Mawar sambil bercakap-cakap dengan perut Mawar. Katanya perut Mawar kelihatan sangat normal dan tiada apa-apa yang buruk. Jadi benarlah semua telahan Toksu Mekchik. Saya tidak pasti jika selepas ini persepsi skeptikal Mawar terhadap bidan akan berubah, mungkin berubahlah agaknya.

Petang itu juga Mawar ingin terus menikmati French Fries kegemarannya di Noodle Station dan malam itu juga Mawar ingin terus menghidup udara laut dan mendengar deruan ombak di Batu Burok. Sekarang tiada apa pun yang mustahil kalau Tuhan telah mentakdirkannya begitu.