Semalam di Kuala Terengganu saya melihat ramai orang Cina yang berkumpul di tempat letak kereta Kampung Tiong bagi mendengar ceramah politik yang telah dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. Saya pun berada di situ kerana menemani seorang kawan saya yang berketurunan Cina yang sangat teringin mendengar ceramah PR, tetapi dia segan untuk pergi bersendirian kerana itulah pengalaman pertama kalinya.
Ada lebih 200 orang semuanya yang hadir, daripada wajah mereka dapat diperhatikan bahawa kebanyakannya berketurunan cina. Orang Melayu mungkin cuma kurang lebih 10 orang dan polis-polis yang berkawal semuanya Melayu. Ada petugas remaja-remaja Cina yang memakai baju berlogo PKR, DAP dan PAS mengawal lalulintas, mengutip derma, mengibar bendera dan sebagainya. Pentas ceramah mereka cuma sebuah lori kecil yang dibuka dinding kayu sebelah sisi. Diletakkan beberapa keping papan di bawahnya sebagai “tangga” bagi membolehkan penceramah memijak di situ untuk naik berdiri atas badan lori.
Mula-mula calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut memberi ucapan dengan penuh bersemangat diselang-seli dengan tepukan dan teriakan semangat hadirin. Saya pasti dia juga agak terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh hadirin kerana sebelum ini kaum Cina dilihat agak fobia dengan PAS lantaran mainan media yang tidak bebas. Selepas selesai dia berucap sekali lagi hadirin memberikan tepukan yang gemuruh. Saya hampir-hampir tidak percaya melihat beberapa orang cina yang berseluar pendek mengibarkan bendera PAS dan ada yang berteriak “Hidup PAS! Hidup PAS!” dalam bahasa Mandarin.
Sebelum
Raja Petra Kamarudin menyampaikan ceramah mereka semua bertepuk dan berteriak “RPK! RPK! RPK!” sehinggalah RPK memulakan ucap selamatnya kepada semua hadirin. Tan Seng Giaw, Ngeh Koo Ham, Theresa Kok dan Tian Chua juga telah telah menyampaikan ucapan yang begitu bersemangat, saya cuma dapat melihat reaksinya dan tidak memahami tutur katanya dalam bahasa ibunda mereka. Terjemahan kawan saya juga tidak banyak membantu kerana dia sendiri asyik menghayati ucapan kadang-kadang tergelak dan saya cuma bertepuk apabila melihat semua orang bertepuk dengan semangat. Nasib baiklah Elizabeth Wong menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris. Wanita PKR Selangor itu telah menyampaikan ucapan yang merentasi sempadan kaum dan agama dengan memberi penekanan kepada keadilan sejagat. Sewaktu Elizabeth berceramah tiba-tiba kelihatan
Ustaz Azhar Idrus datang bersama kameranya dan mengambil gambar. Saya sempat menegurnya dan memberi salam.
Sebelum pulang kawan Cina saya memberitahu bahawa dia berasa sangat seronok menyaksikan ceramah tersebut dan teringin untuk menyertai PKR dan melakukan kerja-kerja sukarela seperti yang dilihat semasa dalam ceramah tadi. Seorang remaja Melayu yang saya jumpa semasa ceramah itu memberitahu dia lebih rela mengundi DAP berbanding UMNO!