Sunday, January 11, 2009

Politik Baru Terengganu

Semalam di Kuala Terengganu saya melihat ramai orang Cina yang berkumpul di tempat letak kereta Kampung Tiong bagi mendengar ceramah politik yang telah dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. Saya pun berada di situ kerana menemani seorang kawan saya yang berketurunan Cina yang sangat teringin mendengar ceramah PR, tetapi dia segan untuk pergi bersendirian kerana itulah pengalaman pertama kalinya.

Ada lebih 200 orang semuanya yang hadir, daripada wajah mereka dapat diperhatikan bahawa kebanyakannya berketurunan cina. Orang Melayu mungkin cuma kurang lebih 10 orang dan polis-polis yang berkawal semuanya Melayu. Ada petugas remaja-remaja Cina yang memakai baju berlogo PKR, DAP dan PAS mengawal lalulintas, mengutip derma, mengibar bendera dan sebagainya. Pentas ceramah mereka cuma sebuah lori kecil yang dibuka dinding kayu sebelah sisi. Diletakkan beberapa keping papan di bawahnya sebagai “tangga” bagi membolehkan penceramah memijak di situ untuk naik berdiri atas badan lori.

Mula-mula calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut memberi ucapan dengan penuh bersemangat diselang-seli dengan tepukan dan teriakan semangat hadirin. Saya pasti dia juga agak terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh hadirin kerana sebelum ini kaum Cina dilihat agak fobia dengan PAS lantaran mainan media yang tidak bebas. Selepas selesai dia berucap sekali lagi hadirin memberikan tepukan yang gemuruh. Saya hampir-hampir tidak percaya melihat beberapa orang cina yang berseluar pendek mengibarkan bendera PAS dan ada yang berteriak “Hidup PAS! Hidup PAS!” dalam bahasa Mandarin.

Sebelum Raja Petra Kamarudin menyampaikan ceramah mereka semua bertepuk dan berteriak “RPK! RPK! RPK!” sehinggalah RPK memulakan ucap selamatnya kepada semua hadirin. Tan Seng Giaw, Ngeh Koo Ham, Theresa Kok dan Tian Chua juga telah telah menyampaikan ucapan yang begitu bersemangat, saya cuma dapat melihat reaksinya dan tidak memahami tutur katanya dalam bahasa ibunda mereka. Terjemahan kawan saya juga tidak banyak membantu kerana dia sendiri asyik menghayati ucapan kadang-kadang tergelak dan saya cuma bertepuk apabila melihat semua orang bertepuk dengan semangat. Nasib baiklah Elizabeth Wong menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris. Wanita PKR Selangor itu telah menyampaikan ucapan yang merentasi sempadan kaum dan agama dengan memberi penekanan kepada keadilan sejagat. Sewaktu Elizabeth berceramah tiba-tiba kelihatan Ustaz Azhar Idrus datang bersama kameranya dan mengambil gambar. Saya sempat menegurnya dan memberi salam.

Sebelum pulang kawan Cina saya memberitahu bahawa dia berasa sangat seronok menyaksikan ceramah tersebut dan teringin untuk menyertai PKR dan melakukan kerja-kerja sukarela seperti yang dilihat semasa dalam ceramah tadi. Seorang remaja Melayu yang saya jumpa semasa ceramah itu memberitahu dia lebih rela mengundi DAP berbanding UMNO!

12 comments:

an-nidxam said...

selama ini UMNO yang menakut2kan bukan Islam tentang apa yg diperjuangkan PAS .. kdg2 aku rasa cara tu membuatkan orang Islam yang lebih takut sebenarnya huhu~

sedih melihat melayu sekarang berpecah. tapi orang cina macam smakin bersatu.

narumi hayashida said...

Assalamualaikum,

Kamu berbakat jadi pelobi secara x

langsung. Jika ada kesempatan yang

baik, dakwahkanlah rakan anda yang

berbangsa cina itu, mana tahu ALLAH

bakal membuka hatinya. Apapun saya

bersyukur mengenali blogger

Nafastari yang hatinya cenderung

kepada yang benar (insyaALLAH

sampai ke akhirat!) dan tidak lupa

membawa ahli keluarga bersama..wslm

Ishan_Qureshi said...

Salam SAUDARA AHMAD,

Kya kamaal hai...syabbas beta! Ermm, saya lebih rela menjadi tong undi drpd menjadi pengundi atau calon untuk diundi. Bukan apa, tong undi tu takkan dihisab di akhirat kelak. Tapi, pengundi atau calon untuk diundi akan dihisab di akhirat nanti...silap2 haribulan, seandainya gagal melaksanakan tanggungjawab atau amanah yg diberikan...ke neraka la jawabnya;-)

JAI HIND...JAI HIND...JAI HIND!!!!

kejadianalam said...

MAKKAL SAKTI (suara rakyat)teruja tengok orang muda telah berani menyuarakan pendapat masing-masing yang di kira bernas @ kurang bernas..tetapi sekurang2nya ada gak suara yang dapat di dengar bukan seperti negara komunis di mana suara kita di sekat dan di pantau oleh pihak kerajaan.
Selama aku belajar politik di IPT penegur @ pembangkang amat penting bagi sesebuah negara bagi memajukan sesebuah negara @ ia lebih tepat lagi "cheak and balance".. Aku tidak bermaksud menyokong mana2 pihak tetapi kedua-dua parti amat berperanan dalam memajukan sosial ekonomi negara ini.. Kita tidak patut menjadi penyokong yang totok tetapi mestilah menjadi penyokong yang kritis dalam sesuatu isu, bijak menilai melaui pembacaan dan selepas itu baru menganalisis apa yang terjadi..
Aku amat kagum dengan kaum Cina ingat mereka telah kuasai ekonomi dan tunggu masa sahaja akan menguasai politik jika kita asyik menuding jari @ menyalahkan orang lain sahaja..

Artozy said...

aku dibesarkan dengan logo dap. sebab arwah abah tukang lukis poster yang fasih berbahasa cina.

malang aku tidak ha ha!

addyaholix said...

politik kan.
entahlah!
hati aku tak pernah terdetik untuk turut serta.
secara jujur, aku langsung tak pernah ambil kisah.
terukkan?

huds said...

hmm..tak sangka kamu ye..teruskan

Aishah Jamal said...

Parti dacing parti bulan
tepi jalan bendera berkibaran
berkempen tak kira malam siang minum dan juga makan
namun jangan sekali dilupa Gaza/Pelestin yang diserang
Israel jahanam

WS Zuriati said...

Seumur hidup ini dah dua kali aku ngundi...
Dan dua kali jugak aku kalah besar...
Adakah aku salah pilih atau pilihanku yg salah...

hans said...

yups
sokong
orang cina semakin bersatu tapi orang melayu semakin berpecah
jgn jadi macam palestin sudah

Anonymous said...

sekali sekale senario politik negara agak menghiburkan aku...
yang bijak mempamerkan kebijaksanaan mereka..
yang bodoh berterusan memperbodohkan diri sendiri dan orang lain...
bukankah musim mengundi musim memilih antara 2 pilihan yang paling jelas? bijaklah mereka yang memilih yang bijak-bijak memimpin mereka..
bodohlah mereka kerana memberi peluang sibodoh yang tak akan mengeluarkan mereka dari kebodohan sampai bila2..

sape yang bijak?
sape yang bodoh?

anda tentukan!
selamat mengundi!
jangan nakal2!

-joe-

Nafastari said...

An-nidxam, ya kadang-kadang UMNO terlalu agresif menentang hudud. Melayu perlu bersatu di bawah satu lambang yang baru.

Narumi, terima kasih atas pujian kamu yang melampau itu. Tapi kalau berpeluang ingin sekali saya menyokong secara terbuka dan bekerja berjuang bersama-sama kamu semua.

Ishan Q, baguslah kerana sekurang-kurangnya kamu tidak sekular.

Kejadianalam, terima kasih ats perkongsian pendapat.

Artozy, aku tidak mempunyai banyak cerita dengan DAP tapi aku sudah semakin menyukai DAP. Mereka kelihatan baik dan ikhlas.

Addyaholix, lain orang lain kecenderungannya. Tidaklah teruk sangat, tapi politik adalah sesuatu yang agak asas dalam pembinaan sesebuah negara. Saya rasa rugi kalau saya tidak mengikuti.

Huds, saya memang tidak akan berhenti.

Joe, tapi yang jelas pun akan tidak kelihatan jika kita butakan mata dan hati kita. Ya politik di sini menghiburkan!