Showing posts with label Family. Show all posts
Showing posts with label Family. Show all posts

Tuesday, December 14, 2010

Catatan Buat Anakanda Kedua

Anakandaku yang kedua,

Sudah genap seminggu kamu lahir ke dunia ini. Kamu lahir pada suatu petang Ahad awal Disember pada permulaan musim sejuk, bukan di negara asal ummi dan ayah kamu tapi di sebuah tempat yang sangat jauh dari tempat asal bangsa kita. Tempat ini mereka panggil Islamabad dan ayah tidaklah berapa gemar dengan perangai orang di sini secara keseluruhannya, nanti ayah akan cerita dengan lebih lanjut tentang itu. Kamu lahir di sebuah hospital yang berada tidak jauh dari rumah kita di Islamabad ini, cuma lima minit pemanduan, di Hospital Medicsi yang terletak di bangunan Menara Saudi Pak, Blue Area. Apabila kamu sudah dewasa nanti dan kita tidak berada di Islamabad lagi, ayah ingin sekali membawa kamu dan keluarga kita ke sini lagi untuk menunjukkan kepada kamu tempat lahir kamu, rumah yang kita pernah huni dan tempat kamu dan kakakmu bermain.

Doktor yang mengendalikan proses kelahiran kamu bernama Doktor Tehmina Rehman, ayah sangat gemar dengan cara dan tutur katanya sejak pertama kali ummi dan ayah berjumpa dengannya. Ayah masih ingat bidan yang membantu doktor tersebut adalah bernama Rabia yang ayah marah sekali padanya kerana dia menjerit tidak tentu pasal dalam dewan bersalin itu, mengingatkan ayah pada Doktor Wong di Hospital Kuala Terengganu sewaktu ummi melahirkan kakakmu Embun setahun lapan bulan yang lalu. Selepas kena marah Rabia tidak menjerit lagi tetapi bercakap dengan suara yang perlahan. Dia menyangka ayah dan ummi adalah pelajar universiti di Islamabad dan dia agak terkejut apabila mengetahui siapa kami yang sebenarnya. Tetapi jururawat muda yang bernama Khadija itu sangat menyenangkan, dia melayan ummi dengan baik sekali. Jururawat lain yang membantu adalah Sanaa, Fatma, Nadira dan beberapa jururawat lain lagi yang ayah lupa tanyakan nama mereka. Mereka enggan menerima sebarang wang tips dari ayah sewaktu ayah memberikan kepada mereka sebelum kita pulang ke rumah.

Telah ayah sebutkan tadi anakku, kamu punyai seorang kakak. Embun namanya. Dia menerima kamu dengan gembira. Semasa kamu dalam kandungan lagi setiap hari dia menggosok-gosok perut ummi dan menyebut "baby, baby, baby". Dan selepas kamu lahir dia begitu teruja sampai terjerit-jerit kegirangan sewaktu pertama kali dia menatap wajah kamu. Dia mencium kamu berkali-kali. Kak Embun belum pandai bercakap seperti orang dewasa tetapi ayah tahu dia sangat menyayangi kamu. Pagi semalam sewaktu ayah dan ummi bangun dari tidur kami lihat Embun sudah berada di sisi kamu, mencium kamu sambil tersenyum sendirian diselangi gelak kecil. Ayah bahagia sekali melihat kamu berdua. Dan ayah sungguh terharu tatkala kamu telah keluar dengan selamat dari perut ummi sampai jatuh air mata ayah di lantai bilik bersalin itu, juga kerana tidak tahan sebak melihat bagaimana sakit dan terseksanya ummi berjuang untuk melahirkan kamu. Alhamdulillah, kamu lahir sebagai bayi yang sempurna berambut hitam pekat yang lebat. Dan ummi juga baik-baik sahaja selepas melahirkan kamu, dia kelihatan begitu ceria dan bermaya sebaik sahaja selepas melahirkan kamu.


Semalam ayah adakan majlis Aqiqah di rumah kita untuk kamu. Kawan ayah membantu ayah mendapatkan seekor biri-biri yang besar, seberat 50kg sebelum disembelih dan berharga Rs12,500. Dagingnya ayah kepada ayah (to'ki kamu) yang masakkan untuk dimakan bersama nasi minyak, ayam masak merah dan acar yang disediakan oleh emak kepada ummi (tok mama kamu) dan dibantu oleh ibu kepada ayah (nenek kamu) dan juga adik bongsu ayah (Poksu kamu). Tok mama telah datang ke rumah kita di Islamabad di musim luruh lalu dua bulan sebelum kamu dilahirkan dan To'ki, Nenek dan Poksu datang di sini dari Terengganu setelah tiga hari kamu dilahirkan.

Semalam ramai sekali tetamu datang meraikan kelahiran kamu ke dunia ini dan mereka mengucapkan tahniah kepada ummi dan ayah serta Kak Embun. Ada yang memberikan hadiah dan ada yang memberikan duit kepada kamu. Isteri kepada duta Malaysia di Pakistan melakukan upacara "belah mulut" kepada kamu dengan menyuapkan air zam zam dan tamar dan duta sendiri telah memulakan upacara memotong jambul kamu, sambil diikuti oleh semua tetamu yang hadir. Kami lakukan itu sambil melagukan selawat nabi secara beramai-ramai. Majlis itu sangat meriah dan tentu Embun akan cemburu kepada kamu kerana ayah tidak sempat melakukan untuknya dulu kerana ayah terlalu sibuk dengan persiapan untuk berpindah ke Islamabad pada masa itu.


Ayah telah cuba mendaftar nama rasmi kamu dengan pihak berkuasa tempatan di sini, tetapi seperti biasa mereka menjadikannya sebagai suatu proses yang sangat sukar. Pertama kali ayah pergi, pada pukul 11 tengah hari Rabu itu, mereka tidak benarkan ayah masuk ke bangunan pejabat itu kerana menurut mereka semua kakitangan sedang bermesyuarat. Ayah pergi lagi pada pukul 2 petang dan setelah berjumpa  seorang pegawai di dalam sebuah bilik yang kelihatan seperti stor lama yang buruk, ayah diberi beberapa borang dan diminta untuk melakukan "affidavit" (seperti surat akuan bersumpah Malaysia) bagi mengesahkan kamu adalah anak kandung ayah yang sebenar, walaupun ayah telah menunjukkan surat pengesahan bersalin dari hospital. Ayah terpaksa berkejar ke Abpara untuk untuk melakukan affidavit seperti yang diminta. Dan setelah siap ayah sudah tidak boleh ke pejabat itu lagi kerana mereka telah menutup pejabat seawal pukul 3 petang! Mereka sangat tidak cekap dan bodoh.


Keesokan harinya ayah pergi lagi dengan seorang kawan ayah yang pandai berbahasa Urdu untuk menyerahkan semua borang dan dokumen yang mereka mahu. Ayah terpaksa berjumpa dengan tiga orang pegawai yang bershalwar kamiz yang duduk di lain-lain bilik (yang macam stor lama itu) sebelum semuanya selesai dan akhir sekali seorang pegawai pun berkata bahawa ayah perlu menunggu 20 hari sebelum datang lagi untuk bertanyakan sijil lahir sudah siap atau pun belum. Kawan ayah berbangsa Pakistan itu pun memberikan pelbagai alasan dan ugutan yang bersangkutan dengan Kementerian Luar Negeri, imigresen dan visa, dan akhirnya pegawai itu bersetuju bahawa sijil lahir kamu akan siap dalam masa 10 hari. Ayah tidak menaruh harapan yang tinggi kepada janji setiap orang yang berbangsa Pakistan, ayah tunggu dan lihat saja. Apabila sijil lahir kamu siap nanti, ayah akan daftarkan kelahiran kamu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad bagi memastikan kewarganegaraan kamu adalah Malaysia. Jangan kamu bimbang, anakku. Tidak sekali-kali ayah jadikan kamu sebagai warganegara Pakistan negara yang tidak ada harapan dan masa depan ini.

Anakandaku yang wangi,

Ayah telah mengalunkan azan di telinga kamu setelah jururawat Nadira selesai membersihkan kamu dan memakai pakaian tebal yang berlapis-lapis kepada kamu. Mereka tidak benarkan ayah mengazankan lebih awal daripada itu seperti yang diamalkan di Malaysia. Dan mereka tidak bersihkan kamu dengan baik pun, ayah perhatikan masih ada terdapat kotoran darah dan lendir kering di rambut kamu yang lebat itu. Ayah mandikan kamu dan shampu rambut kamu sebersih-bersihnya setelah kami bawa balik kamu ke rumah keesokan harinya. Tujuan ayah azan ke telinga kamu adalah supaya kamu terbiasa dengan kalimah-kalimah suci itu. Ayah juga ingin kamu tahu kamu telah dilahirkan sebagai seorang Muslim.

Jadilah kamu seorang Muslim yang taat yang mengamalkan segala ajaran Islam dengan sebenar-benarnya walau ke mana pun kamu pergi, walau bagaimana besarnya perbezaan antara mereka dengan kamu dan biar pun mereka menganggap kamu pelik dan asing semata-mata kerana kamu mengamalkan ajaran agama kamu. Dan inginlah ayah berpesan kepada kamu sebagaimana pesan Luqman kepada anaknya yang diceritakan dalam kitab suci kita al-Quran, janganlah anakku sekali-kali kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan syirik itu adalah sangat zalim, serta berbuat baiklah kamu anakku kepada kedua-dua ibu bapa kamu.

Marwa adalah nama kamu dan Kekwa adalah nama melayu kamu yang akan ayah gunakan untuk merujuk kepada kamu di blog ini. Kamu harus baik-baik sama kakakmu Embun. Selamat datang ke dunia, Kekwa.



Ayahandamu yang sangat berbangga.

Wednesday, November 24, 2010

Menanti Adik Embun

Embun bagaikan tidak sabar-sabar lagi menantikan adiknya yang akan tiba tidak lama lagi, sampai terbawa-bawa dalam mimpinya. Suatu pagi kami terdengar dia menyebut baby semasa dalam tidurnya. Saya fikir dia benar-benar faham apa maksud baby, walaupun kadang-kadang dia menepuk dan menggosok perut sendiri sambil menyebut "baby baby". Agaknya Embun keliru antara perut dan bayi kerana Mawar selalu memberitahu Embun terdapat bayi dalam perutnya. Tetapi apabila melihat bayi di kaca TV atau semasa bersiar-siar di luar rumah dia juga menyebut baby, membuatkan saya yakin dia tahu apa maksudnya.

Saya juga sudah bermimpi bahawa adik Embun itu sudah lahir ke dunia. Saya melihat rupanya seakan-akan Embun. Selepas hari saya bermimpi itu saya juga menjadi seperti Embun, tak sabar-sabar mahu menyambut anak kedua saya itu. Dan selepas itu juga baru saya perasan saya tidak pernah menulis tentang kandungan adik Embun, tidak seperti bagaimana saya menulis tentang Embun semasa dalam kandungan dulu. Tetapi mungkin juga kerana kandungan kedua ini tidak mempunyai masalah seperti dulu. Mawar tidak alahan dan tidak pernah muntah untuk kali ini dan kedudukan uri juga adalah normal. Lagipun kandungan ini adalah untuk kali kedua, sudah tentu tidak sama dengan yang pertama dulu. Saya juga sudah jarang-jarang membelek "What to Expect When You're Expecting" milik Mawar yang dibacanya bagaikan kitab itu, kalau dulu saya rajin membacanya.

Kali ini kami tidak perlu ke klinik dan hospital kerajaan lagi. Ianya satu rahmat, alhamdulillah. Saya tidak perlu mendengar komplen Mawar balik dari klinik dengan muka masam mencuka dan mengadu tentang macam-macam perkara yang menyakitkan hatinya mengenai perilaku dan tuturkata jururawat, dan Doktor Wong di Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu. Oh, cerita tentang Doktor Wong adalah bagai satu mimpi ngeri! Saya harap dia sudah berhenti menjadi doktor.

Di Islamabad ini kami mempunyai doktor tetap di klinik swasta yang akan memeriksa kandungan Mawar pada setiap bulan. Namanya Tehmina dan dia adalah seorang doktor yang pernah berkhidmat dalam tentera. Orangnya tinggi lampai berkerangka besar, tetapi sangat peramah dan sikapnya sangat menyenangkan. Doktor Tehmina terkejut apabila kami memberitahu bahawa di Malaysia kadang-kadang perempuan terpaksa bersalin dengan doktor lelaki (malah berlainan agama) dan akan diherdik kalau membuat permintaan khas untuk mendapatkan doktor wanita sahaja. Mungkin kerana di Pakistan mereka mempunyai ramai sekali doktor perempuan di bidang perbidanan dan mereka langsung tidak mempunyai masalah tersebut. Bersalin dengan seorang doktor lelaki mungkin sesuatu yang tidak masuk akal untuk perempuan Pakistan, beruntunglah mereka dari segi itu. InshaAllah mawar akan bersalin dengan Doktor Tehmina yang kelihatan sangat meyakinkan itu.

Menara Saudi Pak Islamabad- Klinik Medicsi di Tingkat 1

Sehingga hari ini kandungan Mawar sudah memasuki minggu ke 37 dan ini bermakna adik Embun boleh tiba bila-bila masa sahaja. Bagaimanalah nanti agaknya reaksi Embun apabila dia melihat ada orang baru yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Semoga Embun menjadi kakak baik yang bijak.

Wednesday, November 10, 2010

Pembantu Rumah Saya dan Agamanya

Tengah hari tadi setibanya saya di rumah, seperti biasa dia menyapa saya dengan salam. Saya sibuk bercakap dengan ibu mertua saya sehingga tidak perasan salamnya. Tiga kali dia memberi salam, barulah saya sedar dan terus menjawabnya.

Dan dia berkata kepada saya, "Tuan, sudah 3 kali saya ucapkan salam".
"Ya, maaf, saya tidak perasan", saya tersenyum dan hampir malu kerana tidak mengambil berat pada salamnya.

Rita pembantu rumah saya adalah seorang Kristian. Dan sebagai seorang yang dibesarkan di Malaysia selalunya saya tidak pernah mengharapkan salam daripadanya kerana saya terbiasa mengucap selamat pagi, tengah hari dan sebagainya. Tetapi di Pakistan, salam menjadi milik semua orang, tidak kira agama mereka samada Islam, Kristian atau Hindu. Setiap kali sebelum masuk ke rumah Rita akan memberi salam kepada kami dan begitulah juga apabila saya baru balik ke rumah, Rita akan menyapa saya dengan pertama memberi salam. Sebelum pulang dia akan mengucapkan Allah hafiz.

Satu perkara yang menarik tentang Rita adalah kerana dia selalu menyebut nama Allah. Saya fikir dia adalah seorang Kristian yang sangat taat. Perkataan seperti Allah, Ya Allah, Bismillah, Allah ka Shukr, MashaAllah, selalu meniti di bibirnya. Setiap kali dia memuji Embun dia akan berkata mashaAllah dan setiap kali dia melihat Embun hendak melakukan sesuatu mulutnya seraya berkata bismillah. Apabila saya bertanya khabarnya, dia akan membalas Allah ka shukr (syukur pada Allah). Apabila mengeluh dia akan menyebut Allah dalam keluhan dalamnya. Pendeknya Allah selalu meniti bibirnya. Dan tentu Rita akan terkejut kalau saya memberitahunya di Malaysia orang Kristian tidak dibenarkan menggunakan nama "Allah" dan malah tidak memberi salam dan tidak diberi salam.

Pakaian Rita juga sama seperti Muslim lain di Pakistan. Setiap hari dia memakai kurta dan Shalwar serta dupatta (selendang besar). Jika saya tiada di rumah dia akan tinggalkan selendang itu di mana-mana, tetapi apabila saya masuk ke dalam rumah dia akan cepat-cepat mengambil dupattanya dan meletakkannya di atas badan menutupi dadanya, malah kadang-kadang kepalanya. Dupatta adalah lambang kehormatan seorang wanita Pakistan.

Tadi ibu mertua saya merungut, "Rita itu selalu sahaja menyebut "Allah", tetapi mama tidak pernah lihat dia solat".

"Mama, kerana dia seorang Kristian, bukannya Muslim". Setelah hampir sebulan Rita bekerja dengan kami, baharu itulah dia tahu Rita sebenarnya bukan seorang Muslim.

Saturday, September 26, 2009

Baju Kurung Pertama Embun




Dulu-dulu sewaktu saya masih di sekolah menengah, dan sewaktu ibu saya belum diserang penyakit strok, saya pernah belajar menjahit baju melayu daripada beliau. Seingat saya, mungkin saya pernah menjahit lebih daripada 7 helai baju melayu termasuk baju melayu kepunyaan saya sendiri. Saya tidak pernah belajar menjahit baju kurung, tetapi selalu melihat bagaimana ibu dan kakak-kakak saya memotong dan menjahit baju kurung. Menurut mereka membuat baju kurung sangat senang sekali dan jika seseorang mampu menjahit baju melayu tentu mereka juga akan tahu bagaimana menjahit baju kurung.

Syawal tahun ini saya buat pertama kalinya saya menyambutnya dengan anak perempuan saya yang sudah berusia lebih 5 bulan. Tiba-tiba Mawar mencadangkan supaya saya menjahitkan sepasang baju kurung untuk Embun dan saya sangat teruja untuk mencubanya. Saya beranikan diri memotong sepasang baju kurung untuk Embun daripada sehelai kain dupatta yang berwarna merah jambu. Sewaktu hendak memotong pesak saya terpaksa menelefon kakak saya di Terengganu bagi mendapatkan tunjuk ajarnya kerana saya kurang pasti bagaimana mereka memotongnya. Saya memotong bahagian baju, dan Mawar pula membuat kain susunnya.

Sebenarnya kami tidak punyai mesin jahit, lalu terpaksa menjahit dengan jahitan tangan. Pada mulanya saya tidak kisah badan saya yang lenguh kerana asyik menunduk bagi menyiapkan jahitan baju tersebut. Tetapi akhirnya saya tewas dengan kemalasan saya dan tidak berjaya menyiapkan baju tersebut untuk hari raya pertama. Mujur akhirnya saya mendapat tahu kawan Malaysia saya mempunyai sebuah mesin jahit di rumahnya dan dia sudi meminjamkan saya untuk menggunakan mesin itu. Di hari raya ketiga akhirnya Embun memakai sepasang baju kurung yang dijahit dengan penuh kasih sayang. Tetapi untuk raya tahun hadapan, Embun tidak perlu risau lagi kerana ayahnya sudah berkira-kira untuk membeli sebuah mesin jahit.

Sunday, August 09, 2009

Jejaka Pashtun

Ada seorang jejaka Pashtun* yang tinggal berjiran dengan kami sangat meminati anak perempuan kami Embun. Dia agak rapat dengan saya kerana kami selalu berjumpa di masjid dan kadang-kadang kami keluar bersama bersiar-siar. Pada suatu petang selepas saya dan dia sama-sama berjalan pulang dari masjid, dia meminta kebenaran saya untuk berjumpa sekejap dengan Embun di laman hadapan rumah saya. Dia tunggu di hadapan pintu rumah saya sementara saya masuk dulu ke dalam rumah untuk memastikan jika Embun bersedia untuk berjumpa dengannya. Kemudian saya benarkannya masuk ke dalam rumah dan duduk di ruang tamu. Saya benarkan Embun untuk bermain-main dengannya. Tanpa segan-silu jejaka Pashtun itu memberitahu saya dia sangat sukakan anak saya kerana anak saya sungguh comel.

Keesokannya emak jejaka Pashtun itu datang ke rumah saya. Dia juga memberitahu saya bahawa anak terunanya sangat menyukai Embun dan berharap dapat membawanya pulang ke rumah mereka sekali-sekala. Saya belum berikan jawapan kepada emaknya.


*Pashtun adalah kumpulan etnik kedua terbesar di Pakistan, membentuk kira-kira 15.42% daripada keseluruhan populasi Pakistan. Mereka bertutur dalam bahasa Pashto dan kebanyakannya tinggal di Wilayah NWFP. Pashtun juga dikenali sebagai Pathan atau Pakhtun. Mereka berkulit lebih cerah, tinggi dan mempunyai rupa yang lebih cantik atau handsome berbanding dengan etnik-etnik lain. Sangat mementingkan maruah keluarga, kaum perempuan biasanya hanya tinggal di rumah dan jika perlu keluar mereka akan menutup muka samada dengan burqa atau dupata. Tidak ada istilah bercinta sebelum berkahwin bagi mereka dan perkahwinan biasanya diaturkan sepenuhnya oleh orang tua.

Friday, July 31, 2009

Majlis Tilawah Quran

Hari ini saya berjumpa dengan wakil Qari Pakistan ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Saya begitu teruja kerana dia mewakili negaranya yang mempunyai lebih 170 juta penduduk ke majlis yang sebegitu besar yang dianjurkan oleh kerajaan negara saya, sedang saya langsung tidak mempunyai kemahiran dalam tarannum Quran. Namanya Hanifullah, berusia baru 22 tahun dan saya bertanya macam-macam kepadanya dan dia menjawabnya semua sekali dengan penuh rendah diri. Dia tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi cuma bertutur dalam bahasa Urdu dan juga Arab. Lalu saya terpaksa berbicara dengannya dalam bahasa Arab saya yang tunggang-langgang. Dia anak seorang guru di madrasah dan dia juga merupakan seorang pelajar di madrasah.

Kawan Pakistan saya meminta dia membacakan sedikit ayat-ayat suci al-Quran kepada kami dan tanpa keberatan dia menurutnya. Saya rasa dia adalah wakil Pakistan yang terbaik pernah dihantar untuk membaca Quran di Malaysia. Bulu roma saya berdiri tegak dan rasa seperti hendak menangis apabila mendengarnya. Begitu juga dengan kawan saya yang sebangsa dengannya itu, tidak putus-putus menyebut "masya Allah" tatkala mendengar bacaannya. Jika saya berada di Malaysia saya tidak akan pernah ketinggalan menyaksikan majlis tilawah Quran di kaca TV yang disiarkan secara langsung, dan biasanya hanya wakil dari Asia Tenggara yang membolot tiga tempat teratas untuk kedua-dua kategori, Qari dan Qariah. Cuma kadang-kadang sahaja ada Qari dari Iran, Mesir atau negara lain-lain yang juga berjaya di kedudukan tiga terbaik.

Sebenarnya majlis tilawah Quran mempunyai nilai sentimental yang tinggi kepada saya dan keluarga. Sebelum umur saya 13 tahun ayah tidak pernah membenarkan rumah kami mempunyai TV dan kami hanya menonton TV di rumah jiran. Antara rancangan yang dibenarkan untuk kami tonton adalah majlis tilawah Quran dan kami akan mengikutinya pada setiap malam di rumah jiran. Pada waktu itu saya belum mengerti apa-apa tentang taranum Quran mahupun tajwid, tetapi saya cuma menontonnya dengan penuh minat. Sehinggalah apabila saya sudah mengerti tentang bacaan Quran yang baik dan setelah rumah kami akhirnya mempunyai TV sendiri, kami sekeluarga masih menonton rancangan tilawah Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ayah berpendapat perempuan tidak sepatutnya menyertainya, kerana suara perempuan tidak elok dipertandingkan dalam majlis yang terbuka sebegitu (saya setuju), tetapi kami sekeluarga termasuk ayah masih tetap menontonnya.

Pada setiap majlis tilawah Quran yang diadakan di Malaysia, ia akan mengingatkan kami kembali pada memori sewaktu kami menonton bersama. Jika berjauhan saya dan adik-beradik lain dan juga ibu akan saling berbalas sms dan panggilan telefon semata-mata untuk mengingatkan tentang program itu dan membincangkan tentangnya. Baru minggu lepas, saudara kembar saya menghantar sms kepada saya di Pakistan, "Tengok majlis penutup pertandingan mengaji. Peringkat kebangsaan". Tetapi sudah tentu saya tidak dapat menontonnya kerana TV1 belum sampai di rumah saya.


*Inilah persembahan bacaannya di Majlis Tilawah al-Quran di Kuala Lumpur, Malaysia.

Sunday, May 31, 2009

Selamat Tinggal Terengganu




Tiada yang lebih baik selain dari tinggal di tempat sendiri. Tetapi untuk ke sekian kalinya saya tinggalkan tempat sendiri bersama-sama Mawar dan Embun, mencari sesuatu yang sedikit berbeza. Kami tinggalkan segala keselesaan dan kebiasaan di tempat sendiri untuk tempoh kurang lebih tiga tahun yang mendatang.

Saya membeli banyak barang-barang makanan sebagai stok dan sekiranya barang-barang tersebut sukar diperolehi di negara orang yang tentunya tidak sama dengan tempat sendiri. Nasib baik saya diberikan satu kontena untuk mengisi barang-barang untuk dihantar ke tempat baru, senanglah saya mengisi dengan apa-apa yang saya mahu. Saya diberitahu minyak masak dan lampin pakai buang bayi adalah sangat mahal di sana lalu saya telah membelinya dengan banyak.

Sewaktu membeli budu dalam kuantiti yang agak banyak di Pasar Besar Kedai Payang makcik tua penjual itu bertanya, "orang tak berperang ke di sana? Makcik rasa itu tempat orang berperang". Saya senyum sahaja. Tetapi yang mengubat hati saya mereka penjual-penjual ikan masin, belacan, asam gelugur, nisan (gula melaka), keropok, lada kering dan lain-lain semuanya bertanya jika saya ingin sambung belajar dan terkejut apabila saya memberitahu saya pergi untuk bekerja, bukan belajar. Lalu dengan takjub dan hairan mereka berkata saya kelihatan sangat muda dan seperti budak-budak sekolah!

Saya diraikan dalam satu majlis perpisahan dan dihadiahkan dengan beberapa buah tangan sebagai kenang-kenangan. Saya pasti tidak akan melupakan mereka semua. Di kampung juga keluarga mengadakan majlis solat hajat dan keluarga menyediakan hidangan Nasi Dagang untuk tetamu. Tapi yang lebih saya suka adalah sewaktu kami makan nasi dengan bermacam-macam lauk kebiasaan kami di luar rumah berbumbungkan langit, dalam taman yang dibina oleh adik saya. Saya akan rindukan itu semua tidak lama lagi.

Selamat tinggal Terengganu dan Malaysia, saya pasti akan kembali lagi insyaAllah.

Thursday, April 16, 2009

Ibarat Sehelai Kain Putih

Malam tadi saya sangat gembira kerana Tuhan telah meminjamkan saya sehelai kain putih yang bersih suci. Kain putih itu adalah untuk saya corakkan apa-apa sahaja warna yang saya suka. Sekarang bahu saya berasa sungguh berat kerana memikirkan bagaimana harus saya mencorakkan kain putih itu. Ia suatu tanggungjawab yang sungguh besar dan memerlukan perancangan yang rapi. Dunia dan keadaan sekeliling mungkin tidak banyak membantu, saya risau jika akan ada tertumpah warna-warna yang tidak saya ingini.

Ia lahir pada pada tengah malam 15 April, sepuluh hari lebih awal dari tarikh jangkaan doktor. Dia sangat kecil, cuma berat 2.4kg dan mempunyai bau yang sangat mengasyikkan, seperti juga bau bayi-bayi lain. Saya melihat dia membuka matanya dengan luas dan ramai berkata matanya kelihatan seperti mata saya. Tetapi warna kulitnya mengikut warna kulit Mawar yang jauh lebih cerah daripada saya.

Warna biru biasanya dikaitkan dengan bayi lelaki dan merah jambu untuk bayi perempuan. Selalunya ibu bapa akan membeli pakaian dan peralatan bayi mengikut warna tersebut bagi menzahirkan jantina anak-anak mereka. Tetapi saya tidak berminat untuk membelikan segala yang berwarna merah jambu untuk bayi perempuan saya. Bukan kerana apa-apa yang penting tetapi ia selalu mengingatkan saya kepada puteri-puteri yang saya kurang sukai atas sebab-sebab tertentu. Ia sekadar pendapat peribadi dan tidak harus dipersetujui oleh semua orang. Lalu saya memilih ungu, dengan harapan supaya dia akan menjadi seperti nisa' yang sangat menjaga tatasusilanya. Semoga dia akan membesar untuk sentiasa menjadi manusia yang terbaik.

Ramai orang bertanyakan nama bayi saya ini melalui kotak komen di bawah. Saya menamakannya sebagai Nadaa, diambil dari perkataan Arab yang bermaksud embun. Ada yang telah bertanyakan kenapa namanya terlalu pendek dan ringkas. Saya menyukai nama yang pendek dan ringkas kerana ia kedengaran lebih moden dan bijak, lagi pun nama yang panjang-panjang dan pelik-pelik tidak pernah menjanjikan apa-apa. Tentang Nadaa, anda juga boleh memanggilnya dengan nama Embun!

Thursday, April 02, 2009

Bukan "April Fool"


Saya ingin memanggilnya keajaiban. Kerana sedang kami mempersiapkan mental bagi menghadapi sebuah kelahiran secara pembedahan caesarian, tetapi Tuhan kemudian memberikan sebuah berita gembira yang sungguh tidak tersangka. Semalam doktor membuat keputusan bahawa mereka patut mengimbas kedudukan uri Mawar kerana setiap kali memeriksa perut Mawar dia mendapati kedudukan kepala bayi adalah menghala ke bawah dan itu sangat normal.

Dua kali doktor terpaksa melakukan imbasan kerana dia bagaikan tidak percaya bahawa uri Mawar telah naik ke kedudukan asal dengan drastik sekali. Imbasan kali kedua hanya mengesahkan keputusan yang sama, dan itu memberi isyarat bahawa Mawar akan dapat pulang ke rumah dan perlu menunggu tarikh jangka bersalin untuk bersalin secara normal. Di saat kami sudah hampir berhenti berharap Tuhan seperti selalunya, memberikan apa yang kami mahu. Alhamdulillah.

Sebenarnya dua hari sebelum itu, nenek saudara saya yang merupakan seorang bidan telah datang melawatnya ke hospital. Dia telah membawakan sebotol air penawar dan telah mengusap-ngusap perut Mawar sambil bercakap-cakap dengan perut Mawar. Katanya perut Mawar kelihatan sangat normal dan tiada apa-apa yang buruk. Jadi benarlah semua telahan Toksu Mekchik. Saya tidak pasti jika selepas ini persepsi skeptikal Mawar terhadap bidan akan berubah, mungkin berubahlah agaknya.

Petang itu juga Mawar ingin terus menikmati French Fries kegemarannya di Noodle Station dan malam itu juga Mawar ingin terus menghidup udara laut dan mendengar deruan ombak di Batu Burok. Sekarang tiada apa pun yang mustahil kalau Tuhan telah mentakdirkannya begitu.

Tuesday, March 10, 2009

"Wad Kelas Pertama"

Masuk hari ini sudah enam hari Mawar berehat di hospital. Bukan kerana dia merasa sakit di bahagian mana-mana, cuma doktor berpendapat bahawa dia perlu berehat di hospital kerana masalah yang dipanggil placenta praevia tahap II. Berada di hospital bukan sesuatu yang menyeronokkan, malah adalah sesuatu yang sungguh membosankan. Lebih-lebih lagi di hospital kerajaan yang mempunyai ramai jururawat yang sudah berhati kering. Sudah enam hari dia "dikurung" dalam bilik yang kononnya kelas pertama itu, bermakna sudah enam hari jugalah dia tidak pernah melihat pemandangan luar dan memijak tanah. Di situ tiada tingkap dan dia langsung tidak dibenarkan keluar dari wad itu.

Esok saya tidak akan melawatnya kerana saya akan keluar bertugas di luar stesen. Ini akan menjadi hari pertama saya tidak melawatnya di hospital. Biasanya saya akan melawat dua kali setiap hari, tengah hari dan petang menjelang Maghrib. Dan selalunya hanya saya seorang sahaja yang melawatnya pada setiap hari. Menurut doktor, dia mungkin akan berada di hospital untuk tempoh hingga sebulan lagi.

Tadi sewaktu melawatnya di katil hospital dia berkata kepada saya, secara bergurau pada mulanya, "saya nak ikut awak balik hari ni". Tetapi air matanya perlahan-lahan keluar menitik dan jatuh ke atas pipinya dan ke atas baju hospitalnya yang berwarna pink. Dia gelak dan menangis pada masa yang sama. Dia memang ingin bergurau tetapi dia sudah menjadi sangat tertekan. Saya jadi serba salah. Saya mengerti dia sedang menghadapi saat sukar yang membosankan dalam hidupnya.

-Sabar itu cantik, Mawar

Saya membekalkannya banyak buku, tetapi sekarang itupun sudah tidak membantu. Saya bertanya kepada jururawat jika pada suatu hari saya boleh membawanya keluar dari tempat itu supaya Mawar boleh memijak tanah, melihat pokok dan merasai udara di luar. Tanpa perasaan dan tanpa berfikir jururawat itu cepat-cepat menjawab, "Tak boleh. Dia mempunyai masalah PP, jadi tak boleh langsung keluar dari wad. Ke koridor pun tak boleh."

Saya tahu walau apa pun penjelasan saya, ia tidak akan mengubah apa-apa pun. Tetapi saya berkata kepada jururawat itu, "Kesian dia, dia berasa sangat tertekan sekarang. Tadi dia menangis dan berharap dapat pulang ke rumah. Yang tidak sakit pun akan menjadi sakit".

Jururawat itu membalas, "Ya memang bosan, tetapi memang tak boleh."

Saya rasa jururawat itu tidak sensitif dan kurang berperikemanusiaan. Apa salahnya membenarkan pesakit yang "sihat" itu keluar mengambil angin. Dia boleh duduk di atas kerusi roda dan saya boleh menolaknya. Lagipun Mawar bukannya langsung tidak boleh berdiri atau berjalan, sekarang ini dia memang berjalan sendiri untuk ke tandas, mengambil air panas dan sebagainya. Bukannya dia terlantar di atas katil, malah dia masih boleh berdiri semasa solat seperti orang lain yang sihat.

Sekarang saya tidak tahu lagi bagaimana hendak menggambarkan betapa pendeknya akal jururawat itu. Dan betapa geramnya saya.

Sunday, January 04, 2009

Sebuah Kebun di Batang Kali




Petang itu sehari sebelum hari Natal saya mendapati diri saya berada dalam daerah Batang Kali dan menuju ke sebuah kebun yang terletak agak jauh ke dalam hutan. Melalui beberapa buah perkampungan, salah satunya bernama Kampung Kuantan dan beberapa lagi adalah perkampungan orang asli sebelum kami sampai ke Hulu Tamu. Ada wanita orang asli yang mandi berkemban di tepi sungai yang kami lalui, bersama mereka adalah anak-anak kecil yang berbogel, perut sedikit buncit.

Di kebun yang penuh dengan pokok buah-buahan seperti pulasan, durian dan lain-lain ini terdapat sebuah pondok yang agak besar. Didirikan kukuh siap dengan tempat memasak, sebuah tandas dan halaman dewan yang agak besar. Kira-kira kami semuanya hampir 20 orang, dewasa dan kanak dan bermalam di sana.




Di tepi kebun ini ada sebuah sungai jernih dengan kedalaman yang sangat selesa untuk bermandi-manda, air sejuknya tak berhenti-henti mengalir deras. Petang itu juga kami mandi sebelum solat maghrib. Malamnya sementara menunggu hidangan makan malam, kanak-kanak serta remaja duduk di bawah rimbunan pokok besar bermain gitar, dan bergelak ketawa.

Esoknya kami pergi ke kolam air panas Hulu Tamu, merendam kaki sehingga berpeluh di badan dan dahi kami. Setelah balik kami bersarapan dengan pelbagai jenis makanan kerana kaum ibu memang menghabiskan masa mereka dengan memasak sambil bercerita kisah lama. Mereka juga memasak lemang termasuk lemang pulut yang dicampur dengan jagung dan ada juga yang dicampur dengan parutan ubi kayu. Sepupu kami yang nakal itu bermain motosikal scrambler meredah celah-celah pohon buah-buahan di kebun mereka. Oh, hidup terasa sungguh hidup!

Saturday, October 18, 2008

Membina Istana di Pantai




Akhirnya abang penulis terpaksa mengalah dengan cadangan kami untuk ke pantai, lalu terpaksa melupakan hasratnya untuk memancing di sungai. Di pantai dia cuba menangkap ketam dengan menggunakan umpan ikan masin, tetapi cuma dapat seekor kerana ombak agak besar dan tiada tanah 'beting' seperti yang diharapkan.

Ibu yang sudah lama tidak melihat pantai mengajak jiran yang juga kawannya untuk bersama-sama kami, bolehlah dia berbual-bual tentang tajuk mereka sambil duduk-duduk mengambil angin pantai. Lagipun, Mok Su Timah juga sudah lama tidak ke pantai, saya melihat dia gembira pada petang itu. Anak-anak saudara semuanya bergelak riang dapat bermain dengan ombak dan pasir. Muhammad pulang dengan parut di atas pipi kesan jatuhannya ke atas pasir kerana ditolak ombak yang kuat sewaktu membina istana.

Menjahit Langsir



Sebelum ini penulis pernah berpengalaman menjahit Baju Melayu sendiri, tetapi kali terakhir saya melakukannya adalah enam tahun lepas dan sejak itu saya tidak pernah menjahit lagi kerana kesuntukan masa dan masalah kemalasan yang semakin menjadi-jadi. Menjahit bukanlah sesuatu yang sangat pelik dalam keluarga saya, kerana hampir semua orang tahu menjahit, termasuklah ayah, semua kakak, abang-abang dan adik. Kecuali kalau kita malas, baru kita akan kata kita tidak pandai.

Saya banyak mendapat semangat untuk menjahit daripada ibu saya yang sememangnya menjadikan aktiviti menjahit sebagai punca pendapatan tambahannya sejak 40 tahun dulu. Cuma sejak enam tahun yang lepas, sejak ibu diserang angin ahmar dan menjadi lumpuh sebelah badan ibu tidak menjahit lagi. Pun begitu kadang-kadang ibu mencuba juga dengan tangannya yang hanya aktif sebelah.

Semalam saya tidak sabar-sabar untuk melihat langsir saya siap supaya saya boleh memasangnya di rumah tempat tinggal saya, tetapi nampaknya tiada siapa yang mahu melayan karenah saya. Lalu saya mengambil keputusan untuk menjahitnya sendiri, sudah tentu dengan tunjuk ajar ibu. Ianya ternyata jauh lebih mudah daripada menjahit sehelai Baju Melayu. Hasilnya tidak mengecewakan, tetapi saya belum lagi mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan mengusahakan kedai jahit langsir untuk sepenuh masa.

Wednesday, August 27, 2008

Selamat Hari Lahir, Mawar

Apabila kita sudah dewasa, sedar-sedar sahaja kita sudah mempunyai satu corak pemikiran dan mengangkat tinggi nilai-nilai tertentu dalam kehidupan seharian. Pemikiran dan nilai-nilai ini banyak dipengaruhi oleh cara didikan ibu bapa, sekolah yang kita hadir, buku-buku yang kita baca, media yang kita tonton dan baca, serta keadaan sekeliling kita. Corak pemikiran dan nilai-nilai yang dipegang oleh seseorang tidak akan sama dengan individu yang lainnya.

Penulis tidak tahu bahawa sambutan hari lahir adalah sesuatu yang dianggap sangat penting oleh Mawar, lalu cuma menganggapnya sama seperti hari-hari biasa. Tidak ada apa-apa sambutan yang diaturkan untuknya, walaupun saya ada mengucapkan kata-kata selamat hari lahir kepadanya. Rupa-rupanya cara saya itu telah mengundang sedikit masalah kepada saya dan masalah itu tidak baik untuk kami.

Saya menerangkan kepadanya bahawa saya telah melepasi sekurang-kurangnya 25 kali hari lahir, dan pada setiap tahun yang berlalu ia tidak pernah memberi apa-apa makna yang lebih istimewa kepada saya, kecuali saya mengetahui bahawa usia saya telah meningkat setahun. Ia berlalu begitu sahaja sama seperti hari-hari biasa. Tiada lilin, tiada nyanyian selamat hari lahir dan tiada masalah bagi saya.

Tetapi saya akur bahawa nilai yang dipegang seseorang individu atau keluarga itu tidak sama, dan saya menghormati perbezaan itu. Mawar memberitahu bahawa hari lahirnya adalah sesuatu yang teramat penting kepadanya dan saya tidak boleh meremeh-remehkan hari lahirnya. Kerana ia berkait rapat dengan nostalgia masa kecilnya dan gaya hidup keluarganya yang sangat menghargai hari lahirnya. Mereka akan menyambutnya bagaikan sebuah hari yang sangat istimewa, ada kek, lilin dan nyanyian selamat, serta diberikan hadiah yang istimewa.

Penulis berasa sedikit kesal. Dan saya berharap dia gembira mendapat hadiah yang saya belikan cuma selepas dua hari dari tarikh lahirnya yang sebenar. Selamat hari lahir, Mawarku.

Wednesday, June 11, 2008

Ishan Tidak Bertunang

Penulis menyangka sahabat penulis, Ishan Qureshi yang bekerja sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik itu telah pun bertunang pada bulan lepas. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, beliau baru menceritakan segala-galanya tadi kepada penulis.

Pada mulanya sebelum majlis pertunangan tersebut, bakal tunangnya telah bersetuju untuk menetapkan hantaran kahwin pada kadar RM8,000.00. Walaubagaimanapun, semasa majlis pertunangan itu mereka telah menyatakan lebih daripada itu, mereka mahukan lebih 10 ribu. Ayah Ishan telah memberikan jawapan yang sangat bijak, iaitu menangguhkan urusan perkahwinan itu terlebih dahulu walaupun mereka pada mulanya ingin mempercepatkan urusan pernikahan itu.

Selepas majlis pertunangan itu, sahabat saya Ishan berhubung melalui telefon dengan 'tunangnya'. Dia memberitahu kepada perempuan itu bahawa dia sebenarnya terlebih mampu untuk menyediakan wang yang diminta itu, tetapi sangat kecewa dengan sikap bakal tunangnya yang tidak menepati janji dan tidak berpegang pada prinsip. Lalu dia memberikan kata putus bahawa pertunangan itu tidak sah! Apapun, di sini penulis tidak berminat untuk bercerita tentang reaksi dan tindak balas pihak perempuan itu terhadap keputusan mengejut pihak Ishan dan keluarganya.

Sekarang ini, Ishan telah pun berjumpa dengan seorang teman wanita yang baru dan akan bertunang tidak lama lagi. Saya bangga dengannya kerana dia baru sahaja menyedarkan perempuan tersebut seisi keluarga bahawa lelaki boleh mendapatkan sesiapa sahaja yang dia suka dan perempuan tidak boleh menghukum pihak pengantin lelaki dengan meletakkan syarat wang hantaran yang terlalu tinggi dan syarat lain-lain yang bukan-bukan.

Rugilah ibu bapa perempuan itu tidak dapat bermenantukan seorang PTD yang baik, berilmu, handsome…

Friday, June 06, 2008

Ibu Telah Sampai di Langkawi





Akhirnya kakak dan penulis dapat juga merealisasikan hasrat ibu yang sudah enam tahun uzur (lumpuh sebelah badan) diserang strok untuk melihat sendiri Pulau Langkawi yang selalu disebut-sebut orang itu. Kebetulan kami ke Alor Setar kerana bersama-sama rombongan ‘menghantar’ sepupu yang berjumpa jodohnya dengan orang sana, kami terus terlanjur ke Jeti Kuala Perlis pada petangnya. Rombongan semuanya 15 orang yang terdiri daripada adik beradik, termasuk ipar, anak-anak saudara serta keluarga makcik kami dari Cherating.

Permulaannya agak tidak menyeronokkan. Bukan sahaja kerana keagresifan penyedia-penyedia tempat letak kereta di sekitar jeti yang sungguh menakutkan, tetapi juga dek penantian demi penantian yang sangat membosankan ahli rombongan. ‘Ejen’ pelancongan itu sangat tidak menepati masa dan caranya mengatur perjalanan kami sungguh merimaskan. Ditambah pula dengan bilik penginapan yang disediakan amat mengecewakan dan itu membuatkan kami terpaksa berpindah di tengah malam ke suatu hotel yang lain.

Walaubagaimanapun pengalaman di ketinggian perbukitan Langkawi dalam kereta kabel itu merupakan sesuatu yang tidak kami lupakan. Tapi sayang ibu terlalu takut untuk mencubanya, kalau tidak tentu dia mempunyai sesuatu yang istimewa untuk diceritakan kepada kawan-kawannya sekembalinya nanti selain daripada cerita menaiki feri yang melambung-lambung dilanda ombak dan terhenti seketika kerana rosak, lawatan ke kompleks Mahsuri, membeli-belah di Pekan Kuah dan sebagainya.

Kami seterusnya berharap agar dapat membawa ibu mengalami sendiri kesejukan Cameron Highland, semoga Tuhan terus mengurniakan kami kesihatan dan rezki.

Sunday, May 11, 2008

Cerita Perkahwinan

Ada-ada saja cerita tentang kehidupan perkahwinanan yang singgah di telinga saya. Sehinggakan saya berasa ingin menulis mengenainya.

Saya berasa sungguh terkejut apabila seorang kenalan membuat pengakuan, dia sebenarnya bercinta dan ingin berkahwin dengan orang lain, tetapi dia terpaksa mengahwini isterinya sekarang. Lalu hidupnya terasa ‘kosong’ dan sehingga sekarang dia telah lebih kurang 18 tahun berkahwin, bertahan, dan mempunyai 3 orang anak. Saya berdoa supaya Tuhan menambahkan rasa cinta di atas rasa belas kasihan terhadap isterinya yang sudah bertapak di sarang hatinya.

Seorang kenalan lain yang cukup terkenal dengan sikapnya yang ceria dan periang memberitahu penulis sebenarnya suaminya telah berkahwin lain. Saya berasa sungguh terkejut kerana sangka saya suaminya tidak akan berkahwin lain lagi kerana dia merupakan seorang perempuan yang sangat cantik walaupun setelah melahirkan empat orang anak. Saya berasa sungguh bersimpati kepadanya kerana di mata saya dia seorang isteri yang setia dan rakan yang baik. Dan sekarang, dia dituduh menjalinkan hubungan dengan suami orang oleh isteri lelaki itu sendiri!

Ada seorang kenalan yang lain pula memberitahu dia baru saja bercerai dengan pasangannya. Perkahwinan yang dia sifatkan sebagai sesuatu yang sangat sukar itu cuma bertahan beberapa bulan dan sudah tentulah mereka tidak sempat memiliki anak. Dalam senyuman penuh kejujuran, dia berkata dia berasa sangat lega dan lebih gembira sekarang. Jika benar dia sedang gembira, saya pun tumpang gembira.

Seorang kawan saya pula menghadapi masalah apabila suaminya menjalinkan hubungan dengan seorang perempuan, isteri orang. Teman wanita suaminya itu sudah pun diceraikan oleh suaminya yang baru mengetahui tentang hubungan sulit isterinya itu. Kawan saya tersebut pula memilih untuk terus bersabar dengan suaminya kerana memikirkan nasib dan masa depan anak-anaknya. Lebih menyedihkan, salah seorang anaknya disyakki menghidap penyakit leukemia. Semoga rahmat Tuhan sentiasa bersama keluarganya.

Cik Mek Molek


Penulis pun pada mulanya tidak menyangka bahawa Mawar dapat membuat kuih Cik Mek Molek yang sangat enak, bukan kerana memandang rendah pada kemampuannya, tetapi dia sendiri pun mengakui itulah kali pertama dia membuatnya dan dia juga tidak pernah melihat orang membuatnya. Penulis bertindak sebagai pengajarnya walaupun diri sendiri pun tidak pasti bagaimana cara sebenar untuk menyediakan kuih tersebut. Bagi yang tidak mengenali Cik Mek Molek, ianya sejenis kuih yang diperbuat daripada ubi keledek, sedikit tepung dan gula sebagai intinya.

Apapun, hasilnya memang tidak mengecewakan malah telah mendapat pujian daripada orang-orang yang merasai kuih tersebut pada petang itu. Itu termasuklah adik penulis dan ibu saudara Mawar. Apa yang lebih penting, walaupun kuih itu telah dihantar ke rumah pakcik Mawar, tetapi kuih itu tidak dapat dirasai oleh ramai orang kerana sepupunya yang berusia yang baru berusia 2 tahun telah memakan Cik Mek Molek itu dengan banyak sekali!

Adidas Putih


Penulis tiba-tiba naik berang apabila mendapati baju jersi Adidas putih yang baru dipakai dua kali menjadi bertukar warna kerana secara tidak sengaja ianya telah telah dicampurkan dengan sehelai seluar hitam yang turun warna sewaktu ianya dibasuh oleh orang yang sangat disayangi. Dalam rasa takut dan bersalah dia berjanji untuk menggantikan baju Adidas tersebut, dan dalam gurauan yang keterlaluan penulis membalas, “Oh, kamu patut menggantikan dengan 10 helai!”

Esoknya sewaktu pulang dari pejabat dia benar-benar memberikan sehelai baju Adidas putih yang sangat penulis sukai kerana ia sangat padan dan jauh lebih cantik daripada baju yang sebelum ini. Tetapi hadiah tersebut disambut dengan rasa bersalah dan terharu kerana dia tidak sepatutnya membelikan baju tersebut kepada saya. Lagipun, baju yang ‘dirosakkan’ tersebut cuma diperoleh secara percuma daripada tajaan semasa suatu pertandingan sukan. Penulis berasa teramat kesal kerana memarahinya dan telah menyusahkannya.

Penulis selalu ingin memakai baju tersebut kerana sangat menggemarinya, tetapi setiap kali itu jugalah perasaan bersalah menyelubungi apabila mengingatkan cara bagaimana kejamnya penulis mendapatkan baju itu.