Showing posts with label Masjid. Show all posts
Showing posts with label Masjid. Show all posts

Tuesday, August 04, 2009

Dua Orang Kenalan

Saya tidak pernah bertegur sapa dengan sesiapa pun sewaktu ke masjid yang berhampiran dengan rumah saya, kecuali jika ada orang yang menegur saya terlebih dahulu. Kerana saya tidak berbahasa Urdu jadi saya agak keberatan untuk memulakan perbualan, kerana saya tidak tahu siapa yang boleh berbahasa Inggeris dan siapa yang tidak. Setakat ini cuma dua orang yang menegur saya.

Pertama, seorang pemuda yang berusia 25 tahun yang sangat fasih berbahasa Inggeris. Dia orang Pakistan tetapi saya tidak pernah melihatnya memakai pakaian kebiasaan orang Pakistan iaitu Syarwal Khamiz atau Kurta. Sewaktu pertama kali dia menegur saya, dia memang menyapa saya dalam bahasa Inggeris. Dia agak terkejut apabila saya memberitahunya saya tidak datang dengan ibu bapa, tetapi datang sendiri kerana bekerja di sini. Dia menjadi lebih terkejut apabila saya memberitahu saya sudah berusia 27 tahun, datang ke Pakistan dengan isteri dan seorang anak yang masih bayi kerana menurutnya saya kelihatan terlalu muda untuk itu semua. Kebanyakan orang Pakistan kelihatan lebih tua dari umur sebenar mereka.

Kedua, adalah seorang lelaki tua yang berkulit cerah dan juga bermisai putih. Dia kelihatan sangat peramah dan berpakaian kemas, kadang-kadang dia memakai syarwal khamiz. Setiap kali dia masuk ke masjid dia akan memandang ke arah semua jamaah dan bersalam dengan beberapa orang jemaah. Bersalaman di masjid samada sebelum dan selepas solat bukan menjadi satu budaya di sini. Sewaktu pertama kali berjumpa, lelaki tua itu menyapa saya dalam bahasa Urdu. Kemudian dia memberitahu bahawa dia adalah seorang pesara tentera berpangkat tinggi, pernah menjadi duta di beberapa buah negara asing. Tidak hairanlah caranya bersosial agak lain dari kebanyakan orang-orang Pakistan di masjid itu.

Tetapi lelaki tua itu sebenarnya mempunyai masalah ingatan. Kali kedua dia menegur saya, dia bertanyakan perkara yang sama, dari mana saya berasal dan apa yang saya buat di Pakistan. Dia telah memberikan saya kad namanya kepada saya dan sehari selepas itu dia ingin memberikan lagi. Setiap kali berjumpa dia akan bertanyakan benda yang sama dan apabila saya memberitahu dia akan meminta maaf. Katanya dia memang mempunyai masalah ingatan dan sukar untuk mengingati peristiwa yang telah berlaku dan apa yang telah dia lakukan. Kadang-kadang sebelum solat dia bertanya, "waktu solat apa sekarang?" Dia juga selalu meminta saya mendoakan untuk kesihatannya. "Saya sudah tua dan selalu lupa, jangan lupa berdoa untuk saya supaya saya sihat".

Suatu hari dia memanggil lelaki muda berusia 25 tahun yang mula-mula menegur saya itu dan memperkenalkannya kepada saya, lelaki muda itu adalah sebenarnya anaknya! Kami memberitahunya bahawa kami telah mengenali antara satu sama lain. Satu kebetulan, hanya dua orang yang pernah bercakap dengan saya dan rupa-rupanya mereka adalah seorang ayah dan anaknya. Keesokannya lelaki tua itu duduk di sebelah saya lagi dan kami berbual seketika. Selepas itu dia memanggil lelaki muda anaknya itu dan hendak memperkenalkannya sekali lagi kepada saya. Kami cuma berpandangan dan tersenyum. Saya berasa sangat kasihan dan bersimpati dengan ayahnya.

Sunday, July 05, 2009

Cerita Masjid Qariah E7


Rumah saya sangat dekat dengan masjid, cuma lebih kurang tiga minit berjalan kaki. Azan begitu penting untuk sesiapa yang ingin bersolat secara jemaah di masjid, kerana waktu solat setiap masjid di sini adalah berbeza-beza. Mereka tidak semestinya segera bersolat sebaik sahaja masuk waktu, kerana banyak masjid mempunyai waktu solat mereka sendiri tetapi masih dalam lingkungan sesuatu waktu solat tersebut. Seperti biasa azan akan dilaungkan sebaik sahaja sebelum waktu sembahyang sebagimana yang telah ditetapkan oleh sesebuah masjid. Selepas lebih kurang 15 minit barulah solat didirikan, kecuali untuk Solat Maghrib mereka terus mendirikan solat sebaik sahaja selesai azan. Tiada solat sunat sebelum solat Maghrib.

Pada mulanya saya ingin tetap dengan cara mazhab Shafie dalam menentukan masuk waktu solat, tetapi setelah tinggal berdekatan dengan masjid saya telah menukar kepada cara penetapan mazhab Hanafi, kerana saya kira masjid qariah saya mengikut cara penetapan waktu solat mazhab Hanafi. Tetapi setelah beberapa ketika saya mulai perasan bahawa waktu solat mereka tidak sama dengan waktu mengikut mazhab Hanafi sebagaimana yang saya perolehi di Islamic Finder. Kalau mengikut Hanafi waktu Fajar adalah 4.21 tetapi di masjid qariah saya di Sektor E7 mereka cuma bersolat pada pukul 5.20 pagi. Zohor masuk pada pukul 1.12 tetapi masjid bersolat pada pukul 2.30, Asar masuk waktu pada pukul 6.12 petang tetapi masjid bersolat pada pukul 6.30. Sama juga halnya dengan Maghrib, Isya' dan Jumaat. Ada juga beberapa masjid yang mengikut waktu solat Asar mazhab Shafie.

Masjid qariah saya agak selesa dan mempunyai sangat ramai jemaah, saya rasa kedatangan adalah lebih 50 orang pada setiap waktu solat. Ada sebuah madrasah bagi pembelajaran agama untuk kanak-kanak yang dikendalikan oleh maulana di tingkat atas masjid. Saya difahamkan asrama untuk murid-murid juga disediakan. Tidak hairanlah jika pada waktu solat, terdapat ramai sekali budak-budak yang turut bersolat di masjid itu.

Hampir semua ahli jamaah yang datang berpakaian Syarwal Khamiz. Samada baju labuh "Khamiz" yang berkolar seperti baju kemeja atau baju berkolar jenis Nehru yang dipanggil "Kurta", dipadankan dengan Syarwal iaitu sejenis seluar longgar yang sangat besar di bahagian peha. Jarang-jarang sekali kelihatan ahli jamaah datang ke masjid tanpa berpakaian Syarwal Khamiz. Lalu semalam saya juga telah menempah dua helai baju "Kurta" dan sehelai "Syarwal" kerana saya ingin mereka merasakan saya adalah salah seorang daripada mereka. Kadang-kadang tidak enak berlama-lama menjadi orang yang asing, dan saya sudah bosan ditenung pelik oleh mereka.

Perempuan tidak disediakan tempat untuk bersolat di masjid, jadi memang langsung tidak kelihatan perempuan datang ke masjid. Kecuali jika pada hari Jumaat, ada ramai peminta sedekah perempuan yang tunggu di luar masjid selepas selesai solat. Solat Jumaat didirikan pada pukul 2.00 petang di masjid qariah E7, tidak terlalu awal dan tidak terlalu lambat. Ada masjid di sektor lain yang solat Jumaat pada seawal pukul 1.30 dan saya diberitahu ada juga yang lewat sehingga hampir pukul 3 petang. Khutbah disampaikan sangat pendek, iaitu lebih kurang 10 minit sekadar menyempurnakan rukun yang wajib sahaja. Tetapi sebelum khutbah dan azan mereka telah mengadakan kuliah agama, tentu sekali dalam bahasa Urdu.

Semua jemaah yang datang bersolat sangat rajin mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas solat fadhu (bagi solat fardhu yang disunatkan solat sebelum dan selepas), hampir semua orang melakukannya. Selepas solat Isya mereka akan bersolat sekurang-kurangnya 5 rakaat solat sunat, iaitu 2 rakaat solat sunat selepas dan 3 lagi solat witir. Biasanya hanya saya seorang yang tidak bersolat witir dan paling cepat meninggalkan masjid.

Dua hari lepas, kenalan Pakistan yang datang berjemaah sekali dengan saya bertanya,
"Kamu tidak Solat Witir selepas Isya' tadi? Itu kan wajib? Kenapa tidak Solat Witir?"

"Oh, wajib ke? Saya fikir ia sunat. Macam mana kamu kata ia wajib? Saya tidak pernah dengar begitu."
Saya sambil tersenyum, menguji.

"Maulana bagitahu Solat Witir wajib!"
Balasnya dengan yakin.

Sekarang saya sudah faham kenapa semua orang di sini bersolat witir selepas solat Isya'. Maulana adalah gelaran kepada guru agama yang biasanya mengajar di institusi pendidikan agama yang dipanggil madrasah. Mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan beragama di Pakistan. Semua perkara berkaitan agama terutama soal hukum-hakam akan disandarkan kepada maulana. Dan mulai semalam saya juga telah bersolat witir selepas Solat Isya'.

Sunday, March 01, 2009

Na'am Ana Maliziya




Saya berkesempatan dianugerahi Tuhan untuk melalui sebuah perjalanan yang sangat menyenangkan, biarpun jauh, tetapi matlamatnya suci, atau sekurang-kurangnya semua orang mengatakannya begitu. Saya begitu positif menerima pelawaan yang datang secara percuma ini. Lalu cuma mendoakan segala yang terbaik untuk diri sendiri, kumpulan yang bermusafir bersama serta seluruh kaum keluarga kami.

Perjalanan dari Kuala Lumpur menaiki pesawat kebangsaan terus ke Jeddah diselangi dengan rasa yang agak teruja untuk melihat tanah yang menjadi saksi kenabian dan perjuangannya yang menyebabkan syiar Islam telah berjaya menakluk sehingga ke tanah kami. Tetapi kadang-kadang diselangi dengan debaran memikir terlalu banyak dosa yang telah dilakukan, apakah Tuhan akan akan menunjukkan sesuatu tentang kuasanya? Sampai di Jeddah pada awal malam lalu cuaca yang dingin dan keadaan yang berangin terus meyapa kami.

Pihak ajen memberitahu tiket kapal terbang terus ke madinah tidak dapat diperolehi lalu kami menaiki bas menuju ke Madinah. Saya cuma tidur dan tidur. Sehingga sampai ke Madinah pada awal pagi sebelum menjelang Subuh. Panorama awal pagi di masjid nabawi yang boleh dilihat dari tingkap bilik penginapan begitu menyentuh hati. Lalu saya tidak tunggu lama untuk terus bersujud di masjid nabi buat pertama kalinya dalam hidup!

Saya terbawa kamera sewaktu memasuki masjid, itu tidak disukai oleh pengawal keselamatan yang berjaga di pintu masjid. kemudian dia bertanya jika saya orang Malaysia, yang saya jawab ya. Lalu dia memberitahu dengan sopan, mengambil gambar dilarang dalam masjid dan memulangkan semula kamera saya.

Tuesday, May 27, 2008

Kunjungan Berhajat




Akhirnya sampai juga penulis dan Mawar ke sebuah masjid di tepi pantai yang sudah tiga kali kami rancang untuk mengunjungi. Bukan kerana ianya dibuat daripada kristal atau dapat terapung di air, tetapi kerana tarikan luar biasa yang ada padanya sehinggakan dikunjungi oleh begitu ramai orang terutamanya pada pagi Jumaat sehinggakan menyebabkan kesesakan yang teruk di jalan sekitarnya.

Sewaktu kami tiba di masjid itu pada pagi Jumaat yang lepas, orang ramai sudah pun memenuhi segenap penjuru masjid itu dan penulis cuma dapat masuk dan duduk di barisan yang paling belakang. Kuliah disampaikan dengan begitu tenang, bersahaja dan tegas oleh seorang pengajar yang kedengarannya tak ubah seperti suara bekas Menteri Besar Terengganu (1999-2004), penulis tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas. Dan penulis tidak bercakap dan bertegur dengan sesiapa pun selama berada di situ.

Sebelum ini penulis agak keberatan untuk memenuhi permintaan Mawar untuk ke sana kerana menyangka ianya hanya untuk orang yang berkopiah, berjubah dan bertudung labuh sahaja. Tetapi didapati sesiapa sahaja boleh ke sana dan menikmati santapan rohani yang sungguh segar dengan bebas. Ada kelibat remaja perempuan yang berseluar kain denim (dipadankan dengan baju labuh), ramai yang cuma bertudung bawal saiz ‘biasa’, ada juga remaja lelaki yang berpakaian sungguh ranggi.

Mawar dan penulis bercita-cita untuk ke sana lagi di pagi Jumaat masa-masa akan datang. Kalau tercapai, mungkin penulis patut menulis tentang gerai-gerai jualan di sekitarnya yang kelihatannya agak meriah.

Tuesday, February 05, 2008

Rupa Taman Hadhari


Rasa tertipu tiba-tiba menguasai diri penulis setelah berkunjung ke Perkampungan Hadhari di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man Terengganu kerana rupa-rupanya taman tersebut cuma indah khabar dari rupa. Lansung penulis tidak prejudis bahawa ia akan menjadi sebuah tempat tumpuan pelancong yang hebat di masa akan datang, cuma penulis sangat hairan kenapa pihak berwajib kelihatan sangat tergesa-gesa untuk membuka tempat tersebut kepada umum walaupun ia belum siap sepenuhnya. Sehingga 4 Februari yang lepas tempat tersebut belum lagi kelihatan seperti taman.

Ada kerja-kerja pembinaan yang masih lagi berjalan dan lanskapnya sangat teruk dan masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan ianya sebuah taman. Rumput-rumput kering yang kelihatannya baru cuba ditanam kelihatan di mana-mana, debu-debu dari tanah merah kering berterbangan, jalan masuknya belum siap dan sangat sempit, kawasan replika masjid-masjid utama dunia belum pun dibuka kepada umum, dan pengunjung perlu berjalan jauh sebelum dapat melihat masjid kristal yang belum pun dipasang karpet.


Pengunjung terkejut melihat suatu bangkai haiwan yang terapung di gigi air di tepi masjid kristal yang sudah buncit perutnya dan mungkin akan pecah bila-bila masa sahaja. Tidak jauh di hadapan masjid diadakan gerai-gerai jualan pelbagai produk dan barangan dan lagu-lagu pelbagai jenis irama timur dan barat dipasang dengan begitu kuat. Beberapa minit selepas solat zuhur, beberapa anak muda terhenjut-henjut menyanyi di atas sebuah pentas mini di hadapan masjid kristal dan begitu ramai sekali anak-anak muda yang kelihatannya sungguh teruja dengan persembahan mereka.


Rata-rata pengunjung yang datang pada cuti hujung minggu kelihatan tidak puas hati dengan apa yang mereka terpaksa hadapi, berebut-rebut untuk menaiki bas di tengah-tengah panas kerana keadaan sudah terlalu sesak dan kebanyakan kereta tidak dibenarkan masuk. Mereka terpaksa meletak kereta di tempat lain dan perlu menaiki bas yang disediakan oleh pihak penganjur. Bas tersebut tidak mempunyai jadual yang tetap dan anda terpaksa menunggu dengan lama walaupun bawah panas atau tengah hujan.

Walaupun begitu terdapat ramai sekali pengunjung yang tidak sabar-sabar menyaksikan keindahan taman tersebut seperti yang telah diwar-warkan di semua jenis media massa. Termasuklah perempuan-perempuan muda Islam yang bertudung tetapi memakai jeans yang sangat ketat, berbaju sendat dan singkat dan memperlihat segala bentuk tubuh badannya. Di suatu gerai seorang peniaga Muslim bersungguh-sungguh mencari rezeki dengan mempromosikan baju ketat fesyen terkini yang dijualnya.

Semoga Taman Tamadun Islam Hadhari cepat siap dan tidak menyeksa anda jika sekiranya anda terlanjur datang untuk menyaksikan kehebatan kesempurnaannya selepas pilihanraya nanti.

Thursday, December 06, 2007

Cerita Papan Iklan

Terengganu sememangnya kaya dengan sumber alam semulajadi serta keindahannya yang sering sahaja menjadi tarikan kepada pelawat-pelawat dari negeri-negeri luar termasuk dari luar Malaysia. Selain itu, Terengganu sekarang juga kaya dengan papan-papan iklan yang menyimpan pelbagai berita dan cerita. Tentunya tersirat dengan pelbagai motif yang mungkin boleh difikirkan bersama.

Selain menceritakan tentang produk-produk dan pelbagai jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh orang-orang perniagaan, ia juga menjadi medan untuk pihak tertentu menyampaikan pelbagai maklumat mahupun propaganda demi kepentingan masing-masing. Kadang-kadang terfikir, berapa banyak perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi memberitahu kepada orang ramai bahawa pelbagai pembangunan dan kemajuan telah dibina dan ada yang masih dibina oleh pihak yang berwajib.

Kerajaan Negeri Terengganu nampaknya sudah melakukan segala itu dan ini. Mengkhatamkan Qur'an untuk kanak-kanak, mendirikan 62 buah masjid dalam masa hanya dua tahun, mencipta tamadun memahat sejarah, menjamin masa depan rakyat, 3000 rumah untuk rakyat miskin, anak Terengganu juara atau menang itu dan ini, anak terengganu terbaik UPSR dan banyak lagi yang kita dapat lihat kalau melalui sepanjang jalanraya dari Kemaman hinggalah ke Besut.

Penulis sempat terdengar suatu rungutan daripada seorang penduduk tempatan yang berbangsa Cina, "Buat masjid banyak-banyak pun tapi yang pergi dua tiga orang sahaja". Dan kadang-kadang bila penulis mengingatkan teman serumah yang baru balik ke rumah untuk segera bersolat, dia berjenaka, "Di luar sana telah didirikan sebanyak 62 buah masjid dalam masa dua tahun, jadi aku telah singgah di salah satu daripadanya sebelum sampai ke rumah tadi".

Menurut penulis, kita tidak perlu banyak bercerita tentang kebaikan kita dan apa yang telah kita buat kerana lambat-laun mereka akan tahu juga akan kebaikan kita. Bukan apa, penulis cuma bimbang bahawa dalam proses untuk memberitahu orang tentang perkara tersebut kita telah secara tidak sengaja membazir berjuta-juta wang yang sebenarnya lebih baik dimanfaatkan untuk orang-orang yang lebih memerlukan kehidupan, bukannya kuasa.

*Penulis akan menyiarkan gambar papan-papan tersebut tidak lama lagi.

Wednesday, November 14, 2007

Muslimat Bertelekung Hitam

Artikel ini ditulis oleh Nafastari dan pernah tersiar dalam Utusan Malaysia pada 10 Februari 2004 (sudah agak lama, tetapi masih relevan). Selamat membaca.


Saya terpanggil untuk menulis di dalam ruangan ini bagi menyatakan rasa kekesalan saya terhadap sikap sesetengah individu yang wujud di Malaysia kita ini. Sebelum saya menulis lebih lanjut lagi ingin saya tegaskan bahawa permasalahan yang akan saya tulis ini adalah satu lagi masalah ummah dan ia menjadi perkara yang perlu diambil perhatian untuk difikirkan oleh kita semua.

Pada 3 Februari yang lepas, selepas selesai menunaikan solat Maghrib di Masjid Sultan Ahmad Shah di tengah-tengah kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, saya terlihat seorang pegawai keselamatan yang sedang merungut tentang sesuatu dengan cara menyindir-nyindir sambil ditujukan tangannya ke tingkat atas masjid tempat di mana Muslimat menunaikan solat mereka. Setelah memperhatikannya dan mendekatinya, barulah saya mengetahui bahawa dia sebenarnya tidak puas hati dengan cara sekelompok perempuan Islam yang sedang bersolat dengan memakai pakaian berwarna hitam.

Saya percaya mereka adalah perempuan-perempuan Arab yang merupakan pelajar di UIAM. Saya mendengar sendiri lelaki tersebut merungut, "Kenapa bersolat pakai hitam? Ini mazhab apa ni? Oh, mungkin mereka orang Syiah!" katanya dengan nada kurang sopan.

Lalu saya mendekatinya dan menerangkan kepadanya bahawa tidaklah salah untuk seseorang perempuan Islam untuk menunaikan solat dengan berpakaian hitam, asalkan pakaiannya menutupi aurat dan bersih, dan perempuan Islam di Malaysia yang bermazhab Syafie juga boleh berbuat demikian. Tidak ada salahnya langsung tetapi ia memang diharuskan. Dia seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan saya itu dan menyatakan dengan tegas bahawa amalan memakai pakaian hitam itu tidak biasa diamalkan di Malaysia!

Kemudian barulah saya memahami bahawa lelaki tersebut sebenarnya mengalami keraguan tentang hukum dan adat (kebiasaan). Dia merasa amalan kebiasaan kebanyakan perempuan Islam Malaysia yang memakai pakaian putih ketika bersolat adalah sesuatu yang wajib (pada hukum Islam), lalu jika memakai selain putih adalah menjadi kesalahan ketika bersolat. Satu pendapat yang sungguh jumud, dangkal dan kedaerahan!

Ini bertentangan sekali dengan ajaran Islam sebenar yang sungguh mudah dan ringkas pengamalannya. Sebagai contoh, Islam tidak menggariskan warna dan bentuk pakaian yang harus dipakai oleh perempuan Islam ketika solat secara terperinci dan khusus. Yang disyaratkan ialah pakaian tersebut adalah menutupi aurat perempuan yang bersolat dan ia suci daripada segala jenis najis.

Jadi, dapatlah difahami bahawa ia tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana perempuan Islam tidak kira bangsa apa sekalipun untuk memakai pakaian selain putih, hatta hitam sekalipun ketika bersolat! Perempuan-perempuan Islam di Malaysia juga harus bersolat dengan memakai baju kurung yang berwarna-warni asalkan ia menepati syarat-syarat tersebut.

Ingin saya menasihati pembaca supaya beramallah dengan ilmu dan bukan sekadar ikutan dan tidak mengetahui apa yang diikut. Islam menegah perbuatan mengikut sesuatu amalan termasuk dalam hal beribadat secara membuta-tuli dan tidak mengetahui asal-usulnya. Bukalah minda kita dan jangan mudah melatah apabila melihat sesuatu yang kita jarang-jarang lihat. Jangan fikir apa yang ada di depan kita itulah sahaja kebenaran dan jangan fikir apa yang kita tidak pernah lihat itu adalah salah. Banyakkanlah membaca, membincang dan merujuk kepada yang lebih tahu tentang sesuatu perkara yang kita tidak tahu, terutamanya tentang Islam, pegangan dan cara hidup kita.

Hormatilah perbezaan pendapat dengan cara yang berhikmah dan secara tidak melulu, kerana dibimbangi pertelingkahan yang kecil itu akan membawa kita ke jurang perpecahan yang teramat besar dan berbahaya! - Nafastari, UIAM, Gombak.

Tuesday, August 21, 2007

Di Sebalik Terapungnya Masjid




Sungguh indah suasana petang di sekitar Masjid Tengku Intan Zaharah Kuala Ibai yang lebih dikenali dengan masjid terapung kerana ianya dibina dalam laguna yang menyebabkan ia kelihatan seperti benar-benar terapung. Warnanya yang putih bersih itu seolah-olah memberitahu pengunjung bahawa ianya sebuah bangunan suci yang dibina khas bagi kemudahan orang-orang Islam untuk beribadat dan warna itu sangat tepat padanya seperti saja melengkapkan keindahan keseluruhan struktur bangunannya.

Di sebelah belakang masjid dibina lanskap yang sangat menarik dengan kemudahan untuk berjalan kaki atau jogging, tempat letak kereta, tempat berkelah, dan sebagainya yang sangat menyenangkan pengunjung. Cuma sedikit gangguan yang tidak menyenangkan apabila sesekali terpandang pasangan anak muda yang asyik memadu kasih. Barangkali mereka sudah bernikah, agaknya.

Monday, February 26, 2007

Masjid Teluk Pelanduk 2

Di suatu Maghrib pada bulan Februari, penulis tiba-tiba berasa seolah-oleh disambut oleh imam masjid Kampung Teluk Pelanduk sewaktu berkunjung ke situ. Entah apa mimpi beliau kerana sebelum ini beliau tidak pernah senyum pun pada penulis, malah senyuman yang diberi pun selalunya tidak berbalas.

Tetapi tidak di petang itu, sebelum kaki melangkahi tangga masjid lagi imam tersebut sudah pun memberi senyuman yang paling manis beserta ucapan salam yang sangat sopan. Kami berjabat tangan dan penulis terlupa samada telah membalas senyumannya atau belum.

Baarakallahu fiih.

Wednesday, January 24, 2007

Masjid Teluk Pelanduk

Penulis telah kembali ke tempat kerja yang lama. Tamat sudah kursus enam bulan yang cukup mencabar kesabaran. Sekarang di Port Dickson, suatu tempat yang juga mencabar kesabaran dek kebosanan yang teramat.

Ada sebuah masjid yang sunyi di Kampung Teluk Pelanduk, ada empat atau lima jemaah setiap hari waktu Maghrib dan isya’. Mungkin jumlahnya akan bertambah sekiranya malam jumaat ataupun hari-hari yang ada program seperti kelas al-Quran atau ceramah. Kadang-kadang penulis ke masjid, untung-untung berjumpa dengan kenalan baru di tempat baru itu.

Tetapi setakat ini, belum lagi mendapat kawan kerana nampaknya tiada siapa yang ingin bercakap-cakap dengan penulis. Walaupun penulis senyum dan tunduk pada mereka, tetapi nampaknya masih tidak berjaya memulakan perbualan dengan sesiapa. Kecuali Abu, seorang India Muslim yang ‘istimewa’ yang sangat sukar difahami pertuturannya. Penulis sudah beberapa kali menumpangkannya, kerana rumahnya tidak jauh dari kuarters penulis.

Pada hari pertama, setelah penat duduk bersila, lalu penulis duduk belunjur. Kemudian, ada seorang jemaah menegur penulis, tidak baik duduk belunjur di dalam masjid. Penulis cuma membalas dengan senyuman dan kemudian membetulkan cara duduk.

Pada hari kedua, ada majlis bacaan Qur’an. Kami membaca surah al-Baqarah bersama seorang ustaz yang tidak menyebut huruf “fa” dengan makhraj yang betul, kerana dia membacanya dengan bunyian “p”, bukan “f”. Selepas itu, ‘ustaz tajwid’ itu menyampaikan sepatah dua kata. Antara lain dia memberitahu kami, surah berkenaan adalah berkenaan dengan lembu betina yang berwarna perang. Dan oleh sebab itu, lebih afdhal berkorban lembu yang berwarna perang di ‘idul-adha. Dia menjelaskan lagi bahawa itu adalah disebut secara jelas dalam Quran.

Penulis terkejut dan jauh di sudut hati berdoa agar tiada siapa pun antara kami yang mendengarnya menerima “ceramah” itu sebagai suatu kebenaran. Pada penulis ayat-ayat di dalam al-Baqarah mengenai lembu betina perang itu hanyalah tidak lain dari sebuah cerita, dan bukan ayat hukum. Wallahu aa’lam.

Saturday, November 25, 2006

Masjid di Kampung Gunung Pasir


Ada sebuah masjid di Kampung Gunung Pasir. Sayangnya, masjid yang boleh memuatkan kira-kira lebih kurang 100 orang pada satu-satu masa itu jarang dikunjungi penduduk Kampung Gunung Pasir yang seratus peratus beragama Islam itu. Cuma azan Subuh yang biasanya kedengaran. Tidak Maghrib dan Isya’, jauh sekali Zuhur dan ‘Asar. Adakalanya memang tiada siapa pun mengunjungi masjid itu untuk berjemaah, waktu maghrib dan isya’ pun masjid itu bergelap tidak terpasang sebarang lampu.

Pernah suatu hari Makcik Supiah mengunjungi masjid tersebut untuk bersolat Maghrib berjemaah. Tetapi pada petang itu cuma dia dan seorang lagi lelaki yang hadir ke masjid. Apabila tiba waktu untuk menunaikan solat, Makcik Supiah menyuruh lelaki tersebut untuk menjadi imam, malang sekali dia enggan.

Lalu mereka berdua pun bersolat Maghrib secara individu di dalam masjid itu di petang itu!