Showing posts with label Karya. Show all posts
Showing posts with label Karya. Show all posts

Sunday, July 12, 2009

Dongeng Tok Penghulu Yang Ingin Maju

Maka riuhlah cerita dari tok penghulu, bahawa jika makan gandum maka kita akan jadi lebih pandai. Pandai seperti orang di kampung seberang jauh sana yang telah makan gandum sejak dari tahun yang sudah lama, tidak ingat sejak bila.

Diseru semua orang kampung,
"Mesti tanam gandum! Kita akan jadi lebih maju, anak cucu kita akan jadi pandai! Mari ikut resam orang di kampung seberang jauh yang sudah semakin jauh majunya meninggalkan kita, sebab mereka tanam gandum dan makan gandum. Sebab itu mereka bijak dan berdaya saing."

Lalu segeralah dimusnahkan relung sawah padi semua untuk menjadikan ladang gandum. Ada juga ditanam soya, jagung dan apa-apa sahaja tanaman yang pernah ditanam oleh orang kampung seberang jauh. Kerana menurut tok penghulu itulah penyebabnya mereka jadi bijak dan lebih maju. Lalu musnahlah semua ladang sawah dan gembiralah tok penghulu kerana buah fikirnya yang bijak diterimapakai oleh semua. Ada yang gembira kerana dapat memakan gandum dan lalu menjadilah mereka seperti orang kampung seberang jauh, yang pada mereka kelihatan lebih maju. Tetapi lebih ramai pula yang tidak suka, mereka tidak dapat menerima gandum sebagai makanan baru kerana sudah terlalu terbiasa dengan beras.

Anak-anak pula pada mulanya juga terkejut kerana dipaksa makan gandum. Perut mereka tidak dapat menerima, tidak kenyang, cepat letih, cepat lapar dan mereka jadi tidak bermaya. Tetapi diceritakan orang bahawa selepas beberapa ketika anak-anak sudah agak terbiasa dengan gandum. Walau mereka tidak suka tetapi akibat paksaan begitu akhirnya mereka pasrah. Tetapi ramai ibu bapa yang memberontak, orang-orang kampung pemakan beras yang totok terutamanya. Mereka keluar ke jalan raya dan berarak ke rumah tok penghulu minta dikembalikan semula tanah sawah mereka. Mereka bertegas ingin kembali bersawah dan memakan beras yang telah menjadi makanan ruji mereka sejak zaman-berzaman.

Setelah lebih lima tahun memakan gandum, akhirnya tok penghulu terpaksa mengalah dengan tekanan kumpulan pemakan beras. Tok penghulu juga risau sebenarnya jika dalam upacara pemilihan penghulu depan dia tidak dipilih lagi oleh pengundi-pengundi di kalangan kumpulan pemakan beras. Tiada lagi tok penghulu berhujah ingin maju. Kerana dia sendiri sudah dengar cerita ramai sekali anak-anak orang kampung pemakan beras yang hilang selera makan serta jatuh sakit akibat dari dasar pemakanan gandum. Sememangnya ada segelintir orang kampung yang sudah mulai memakan gandum dengan lahap sekali, malah makan dengan banyak lebih banyak dari orang kampung asal pemakan gandum, kampung seberang jauh. Dakwa mereka kulit mereka sudah menjadi lebih cerah, anak mata mereka menjadi biru, pendek kata mereka lebih maju sekarang. Tetapi majoriti orang kampung ternyata tidak serasi dengan gandum. Dan akhirnya kali ini tok penghulu terpaksa tunduk.

Lalu sekarang diseru,
"Sekarang tukarkan semua ladang gandum menjadi sawah padi. Kita akan menanam padi semula sepenuhnya mulai tiga tahun dari sekarang!"

Kerana tok penghulu ingin terus menjadi tok penghulu. Tetapi di kertas khabar tok penghulu bilang keputusan itu adalah demi kebaikan anak-anak orang kampung semua, kerana tok penghulu dan semua ahli jawatankuasanya memang sentiasa mengutamakan kepentingan orang kampung dalam apa-apa jua keadaan. Kalau begitu, baru orang kampung tahu bahawa tok penghulu sememangnya pemimpin yang bijak, prihatin, ikhlas dan berpandangan jauh. Terima kasih tok penghulu, atas segalanya.

Friday, December 12, 2008

Kasih




Kasih
semalam pada deru ombak di Pantai Geliga
dan segala desir bayu yang berbisik
kukirim sebuah pesan bersama seluruh alam bersaksi
kitalah bulan yang menyimbah cahaya lewat Kuala Kemaman
dan beradu dalam dingin malam
bersama mimpi indah dari kayangan

Pantai Geliga, Kemaman
12 Disember 2008

Tuesday, August 07, 2007

Resah di Kuala

Bayu bertiup dari muara harapnya membawa khabar yang baik sahaja
kuala ini tidak sepertinya dulu lagi
sebelah sini Seberang Takir membawa tuah
pada seluruh isi Duyung yang menjadi tapak Teluk Warisan
si tua di Pulau Wan Man sana berbangga
akan nanti gahnya berdiri masjid kristal
yang memapar seluruh kehebatan senibina Islam

Pada riuhnya senja Jumaat di pantai Batu Buruk
dan nyaring bang Maghrib dari Masjid Ladang
siapa peduli peritnya derita di ranjang rumah Nur Zahirah
dan si gadis yang memakai jeans sendat dan kemeja-T singkat itu
rupanya bekas pelajar sekolah agama yang mahsyur
dulu pernah bertudung litup

Tidak mudah memahat sejarah
kerana mencipta tamadun ini
menuntut lebih ramai jemaah untuk sujud
di hening fajar pada terapungnya Kuala Ibai
mampukah sarjana lulusan Darul Iman itu mengajak


Panji Alam, Kuala Terengganu
21 Julai 2007

Tuesday, March 06, 2007

Melayu Dari Kaca Mata Lutfi WM

Saudara kembar penulis bukan seorang penulis tetapi dia sangat berminat dengan sastera melayu dan kami sentiasa membaca dan bertukar-tukar bahan bacaan sejak daripada zaman sekolah menengah lagi. Dia jarang menulis, tetapi seingat penulis semasa di sekolah menengah dulu dia pernah menghasilkan sebuah cerpen yang sangat saya kagumi dengan cara penceritaan dan laras bahasa yang digunakan. Kami menghantar cerpen itu kepada guru yang bertanggungjawab kepada sidang redaksi majalah sekolah, tetapi cerpen tersebut tidak disiarkan. Penulis berasa sangat kecewa, lebih-lebih lagi apabila melihat cerpen yang tersiar adalah jauh terkebawah mutunya daripada yang ditulis olehnya.

Dua hari lepas saya membuka komputer peribadinya dan menjumpai sebuah sajak yang saya suka. Saya bertanya mengenainya pada dia. Lalu dijawab, dia menulisnya selepas dia terlalu kecewa kerana melihat sepasang anak muda melayu-Islam yang tidak segan silu berpeluk dan bercium di khalayak. Saya yakin dia menulis puisi ini dari bisikan hatinya dan saya juga telah mendapat kebenaran daripadanya untuk disiarkan di sini.

Sudah berkali ku dengar
sudah puas ku lihat
dan telah sebati dalam masyarakat
ada yang mencemuh
ada yang suka
ada yang malu
adakah yang berfikir

Mana jati dirimu yang dulu-dulu
mana malumu pada orang tua-tua
mana perginya tertib Melayumu
yang selalu dibangga-bangga pemimpinmu
ke mana sebenarnya hala tujumu

Atau mungkin terlalu muda
untuk menjadi hamba
ingin menunggu puasnya segala halwa
kalaulah puas
kalau tak puas-puas

Dalam mencari di mana silapnya
merenung dengan ilmu-ilmuNya
melihat jauh ke dalam mata hati
membuang segala nafsu syahwat yang
akan menyekat segala kebenaran


Bukan kerana buta
bukan kerana jahil
bukan kerana ingkar
tapi kerana terlalu mengikuti
tanpa sedar kita sudah terlalu jauh
mungkin jauh ke dalam lubang cacing
macam yang telah diucap nabi dulu

Kita sudah semakin lewat
pertukaran dimensi pasti berlaku
segala yang digambar sudah banyak yang terlukis
tunjukkan di mana dirimu
mungkinkah sudah terselit dalam lukisan hakikat ini


Seremban, Negeri Sembilan
Januari 2006

Thursday, December 07, 2006

Kejoraku bersatu


Dirimu persis bintang terbit dari langit
bukanlah mimpi-mimpiku
di sini telah datang sayang paling dalam
bawa ku pulang berteman pelangi

Kamar hati ku hiasi biar cantik biar baru
Semuanya keranamu
Yang lemah kini gagah
Asal buruk jadi indah
Kerana sentuhan cintamu

Kususun langkah
melayarkan hari indah bersamamu
Lilin diri takkan padam
seandainya engkau adalah sumbunya

Kaulah puteri kudambakan
bidadari syurga jelmaan dunia
Akanku jaga seluruh jiwaku
Biarlah karam berdua
Asal kau tak terlepas dari genggamanku

Biarku lamar
sahih dirimu menjadi ratu
Beradu dalam pelukanku
Kejoraku bersatu