Showing posts with label Pakistan. Show all posts
Showing posts with label Pakistan. Show all posts

Friday, December 31, 2010

Hari Terakhir Dalam Tahun 2010

Hari ini langit cerah. Semalam hujan turun mencurah-curah, sudah dua hari hujan turun di Islamabad. Lembaplah bumi yang sudah lama kering dilanda kedinginan musim sejuk ini. Lalu hanya kesejukan yang menyelimut kami. Hari ini tiada ternampak lagi kabus debu atau jerebu di kaki Bukit Margalla, malah semuanya terang dan indah. Barangkali telah lenyap semua debu habuk dan kotoran dimakan hujan. Dan salji pun turut gugur di Murree dan Nathiagali, menggembirakan banyak orang di sana kalau pun tidak semua.

Pagi Jumaat ini seusai solat Fajar saya membaca sms kiriman seorang sahabat Malaysia kami dari Karachi. "Suami saya telah kembali ke rahmatullah jam 6.15 pagi waktu Pakistan kerana Hepatitis A. Alfatihah." Padahal baru lima hari lepas kami bersama-sama mereka, arwah dan isterinya dan keluarga saya bermusafir bersama-sama ke Lahore dari Islamabad. Banyak gambar kenangan yang kami rakam di kota yang menyimpan banyak bangunan bersejarah yang cantik-cantik. Arwah kelihatan seperti biasa saja pada masa itu, cuma dia ada mengadu tidak sedap badan sewaktu dalam perjalanan pulang. Rupa-rupanya itulah pertemuan terakhir kami dan saya menyesal tidak memeluknya erat-erat dan lama-lama sewaktu perpisahan di hadapan Masjid Badshahi. Kalaulah hanya kita tahu bila kita akan pergi. Saya tidak akan dapat bercakap dengannya lagi, cuma mampu sedekahkan alfatihah dan do'a untuk sahabat saya itu. Difahamkan jenazahnya hanya akan tiba di Malaysia pada tengah hari 2 Januari ini, iaitu tepat pada hari ulang tahun kelahirannya.

Dan ini adalah kematian kedua sahabat saya saya di Pakistan, cuma berbeza 9 hari. 22 Disember lalu sahabat baik saya di Islamabad meninggal dunia. Dia baru saja datang ke Islamabad dari Malaysia dan setelah genap dua bulan dia hidup di sini, dia pun kembali semula ke Malaysia tetapi hanya jasadnya. Cuma sekejap saya berkenalan dengannya tetapi ia suatu sekejap yang menyenangkan. Saya tidak akan lupa kenangan kami menghirup sup ayam dan jagung di Rawalpindi, arwah sangat menggemarinya dan sayalah yang bertanggungjawab memperkenalkan sup itu kepadanya. Dan kami pernah berkelah bersama-sama di Taman Lake View, berjalan-jalan di Pasar Itwar Bazaar sambil membeli baju sejuk terpakai dan semua itu cuma tinggal kenangan sekarang. Saya sebak melihat reaksi dua anak perempuannya kecilnya (4 dan 7 tahun) yang belum cukup mengerti tentang peristiwa sedih itu, walaupun saya percaya balu arwah akan mengumpulkan kembali segala semangat dan kekuatannya untuk meneruskan hidup bersama-sama dua anaknya di bumi Islamabad ini.

Puteri sulung saya Embun sibuk memaksa saya untuk naik ke tingkat atas kerana dia ingin memeriksa bilik-bilik di tingkat atas yang baru ditinggalkan kosong oleh ibu ayah dan adik lelaki saya. Tiga minggu mereka berhabis masa dengan kami di sini dan sudah pulang ke Malaysia pada 27 Disember lepas. Saya rasa Embun mengalami suatu rasa kehilangan, dia menjenguk-jenguk ke bilik kosong itu dan seolah-olah mencari mereka di setiap sudut. Terpaksa berkali-kali saya terangkan lagi kepada Embun bahawa mereka semua telah tiada di rumah kami, walau pun sebenarnya Embun sendiri telah menghantar mereka ke Lapangan Terbang Benazir Bhutto dan mengucapkan selamat jalan kepada mereka empat hari lepas.

Saya belum lagi berjaya mendapatkan sijil lahir untuk Kekwa, walaupun sudah 7 kali kami ke pejabat mereka. Orang Pakistan terlalu mudah membuat janji sehinggakan mereka sendiri pun lupa mereka pernah membuat janji tersebut. Tiada istilah piagam pelanggan di pejabat kerajaan mereka. Walaupun akhirnya tadi saya mendapat sijil lahir Kekwa, tetapi terdapat kesalahan di sijil tersebut kerana nombor pasport saya dan Mawar tidak dicatatkan dengan betul, selain kesalahan tatabahasa Inggeris yang terlalu banyak. Ianya sehelai kertas putih bodoh yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan apa pun, tidak seperti sijil lahir yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia. Tetapi saya perlu menunggu 22 hari untuk mendapatkan, 8 kali pergi ke pejabat mereka dan entah berapa kali panggilan telefon. Dan sekarang saya tidak tahu perlu tunggu berapa lama lagi untuk membuat pembetulan pada kesalahan tersebut.

Inilah hari yang terakhir di tahun 2010. Hari terakhir untuk dekad pertama pada milenium ini.

Thursday, October 28, 2010

Perkahwinan Ala Pakistan

Sungguh teruja rasanya apabila seorang kenalan mengundang untuk ke majlis mehendi (berinai) sempena perkahwinan adik perempuannya yang diadakan di rumahnya di Sektor G-7 Islamabad. Majlis tersebut diadakan pada sebelah malam dan kami tiba seawal 8 malam seperti yang diberitahu oleh tuan rumah. Dan jenuhlah kami menunggu sehingga ke 10 malam, apabila acara sebenar baru bermula.


Sebelum keluarga pengantin lelaki tiba, sebelah perempuan telah bersiap sedia dengan bakul-bakul berisi kelopak mawar. Mereka beratur membentuk lorong untuk dilalui oleh ibu pengantin perempuan dan diikuti oleh semua tetamu perempuan dari keluarga pengantin lelaki. Tatkala mereka melalui lorong itu kelopak mawar akan ditabur sambil disambut dengan senyuman dan gelak tawa yang sangat meriah. Seterusnya pengantin perempuan akan diarak ke pentas dari dalam rumah dengan berbumbungkan sehelai kain yang dipegang di segenap penjuru oleh beberapa perempuan lain. Dan terakhir, diikuti dengan pengantin lelaki yang juga diarak masuk dari luar.



Sewaktu saya bersungguh-sungguh mengucapkan tahniah kepada bapa pengantin perempuan, dia kelihatan terkejut. Seraya menegur saya, "anak saya seorang perempuan, jangan mengucapkan tahniah kepada saya. Orang Pakistan tidak mengucapkan tahniah kepada ibu bapa pengantin perempuan. Tapi tidak mengapa, saya tahu anda bukan orang Pakistan". Barulah saya faham, pada mereka perkahwinan seorang anak perempuan dianggap memberi beban kepada keluarganya dan sekadar merayakan pemergian seorang anak perempuan dari keluarganya.

Keeseokan harinya kami juga dijemput untuk memeriahkan acara "bharat" anjuran keluarga pengantin perempuan di sebuah dewan perkahwinan di Sektor G9 Islamabad. Apa yang saya perhatikan setiap majlis di sini biasanya memerlukan tetamu untuk bersabar dan menunggu dengan lama sebelum dihidangkan makanan. Mujurlah saya telah makan terlebih dahulu sebelum ke majlis tersebut. Semasa ketibaan pengantin lelaki ke dewan tersebut mereka juga menabur bunga ke atasnya dan juga duit kertas! Tetamu lelaki dan perempuan diasingkan tempat duduk mereka. Mawar memberitahu, sewaktu dia berjumpa dengan pengantin perempuan dia kelihatan sangat sedih dan meminta agar didoakan segala yang baik untuk masa depannya.



Pihak keluarga pengantin perempuan juga menjemput kami untuk ke majlis '"walimat" yang dianjurkan oleh keluarga pengantin lelaki. Tetapi peliknya ibu dan bapa pengantin perempuan tidak hadir ke majlis itu, dan saya pun tidak berani bertanyakan tentang hal itu. Majlis itu bertempat di sebuah kampung di kawasan bukit bukau, iaitu Kampung Talhar. Jalan ke kampung itu amat mencabar kerana ianya sangat curam dan berbukit. Kadang-kadang jalan sangat sempit dan terpaksa melalui jalan yang rosak akibat tanah runtuh. Sesekali terserempak juga dengan kerbau yang besar dan kambing-kambing di tepian jalan. Sewaktu di rumah pengantin lelaki, saya sempat menjenguk ke bilik pengantin perempuan yang dihias indah dan segala barang perkakas rumah dipamerkan di dalam bilik tersebut.



Kakak pengantin perempuan memberitahu dengan bangganya kepada saya, bahawa barang-barang tersebut dibeli oleh keluarganya. Ianya sesuatu yang teramat penting dalam budaya perkahwinan orang Pakistan walaupun mereka beragama Islam, dan jika keluarga pengantin tidak dapat menyediakannya pengantin perempuan akan menerima risiko dihalau oleh keluarga mertua dan tidak diterima sebagai menantu! Konsep ini hampir menyamai konsep "dowry" dalam masyarakat hindu di India, mereka tidak menafikan perkara ini. Tetapi dengan pasrah kakak pengantin memberitahu, mereka masih terpaksa melakukannya. Dan tiba-tiba saya teringat akan kata-kata bapa pengantin perempuan sewaktu dia melarang saya dari mengucapkan tahniah kepadanya di malam berinai.

Saturday, August 21, 2010

Nilai Nyawa dan Ketamadunan di Pakistan

Kejahilan, kebodohan, kemunduran dan ketidaktamadunan orang Pakistan memang bukan sesuatu yang menjadi rahsia lagi. Selalunya saya hanya mendengar cerita sahaja, ada isteri dibakar hidup-hidup oleh suaminya, ada gadis ditembak mati oleh abang atau bapanya dan sebagainya. Dan semalam saya sangat terkejut, sedih dan simpati melihat di berita TV, mereka bertalu-talu memukul dua adik-beradik lelaki dengan sebatang kayu panjang, sehinggalah mati dan kemudiannya mereka menggantung mayat kedua-duanya dengan kaki di atas dan kepala di bawah. Peristiwa itu berlaku di sebuah kampung dalam Daerah Sialkot, dalam bulan Ramadhan.

Berpuluh-puluh orang mengelilingi untuk menyaksikan upacara pembunuhan secara terbuka di tempat awam itu. Polis juga ada di situ, tetapi mereka juga seperti orang ramai yang lain-lainnya, hanya melihat sehinggalah mereka berdua akhirnya mati dan digantung. Menurut laporan berita itu, kedua-duanya dituduh mencuri dan akhirnya mereka beramai-ramai menghukum dua beradik yang malang itu. Tiada pengaduan kepada pihak berkuasa, tiada siasatan, tiada mahkamah atau penghakiman. Jika anda berupaya melihat video di Youtube di bawah ini, tentu anda dapat saksikan bagaimana bodoh dan berhati binatangnya mereka, cuma menyaksikan pembunuhan itu berlaku begitu sahaja tanpa rasa bersalah langsung. Malah tiada seorang pun (termasuk polis) yang menunjukkan rasa perikemanusiaan, kasihan atau simpati kepada mangsa. Inilah sebahagian masyarakat  di Pakistan, sebuah negara yang mengaku republik Islam.

Mereka terlalu bodoh dan kejam untuk mengerti makna kemanusiaan dan keadilan. Mereka tidak tahu bahawa Islam agama rasmi negara mereka pun tidak sekali-kali membenarkan mereka berkelakuan seperti binatang. Malah undang-undang apa-apa sekali pun tidak pernah membenarkan mereka membunuh manusia dengan sesuka hati seperti itu. Kalau pun ada, itulah puak mereka yang berhati binatang yang tidak mampu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Keadaan ketiadaan undang-undang atau ketiadaan penguatkuasaan undang-undang ini bagaikan sudah menjadi sesuatu yang biasa di sini, lalu undang-undang diletakkan dalam tangan mereka mereka sendiri yang melakukannya mengikut nafsu dan kepala mereka yang tidak berotak!

Dua beradik itu adalah dari suku puak lain dari puak yang membunuh mereka. Dan mereka selalu bermain kriket di kawasan puak pembunuh itu sehinggalah pada suatu hari mereka menuduh dua beradik itu terlibat dalam satu kejadian kecurian di kampung puak pembunuh itu. Tanpa usul periksa pada suatu hari mereka memukul dua beradik itu, sampai mati. Di Pakistan, puak yang melakukan pembunuhan begitu akan berasa bangga kerana pada mereka itu menunjukkan kekuatan puak mereka. Sungguh tidak bertamadun!Padahal, ramai yang mengetahui bahawa dua beradik itu adalah budak baik-baik, malah si abangnya adalah seorang penghafal (hafiz) Quran.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mereka mewajibkan semua rakyat Pakistan untuk ke sekolah untuk belajar tentang moral, nilai-nilai murni, kemanusiaan, ketamadunan dan keadilan kalau pun mereka tidak mahu mempelajari apa itu Islam yang yang sebenar. Kerana kejahilan mereka kalau dibiarkan tentunya akan memberikan gambaran yang sangat buruk kepada sebuah negara yang menyandarkan namanya pada Islam. Orang Pakistan perlu tahu bahawa nyawa manusia sepatutnya sangat mahal malah tidak ternilai, bukanlah semurah seperti yang mereka sangka sekarang. Dan kerajaan Pakistan perlu bersedia untuk membelanjakan lebih wang untuk mendidik rakyat mereka supaya menjadi manusia, kerana buat masa sekarang saya fikir mereka sebenarnya lebih memerlukan sekolah dan bukannya senjata.

Dan jika anda mampu dan sanggup, saksikanlah kebinatangan mereka:

Saturday, July 31, 2010

Islamabad Berkabung

Pagi itu mendung, hujan renyai-renyai dan kadang-kadang menjadi lebat. Saya berada di tempat kerja apabila tiba-tiba ada bunyi kapal terbang yang sangat kuat seolah-olah terbang sangat rendah. Langsung saya tidak menyangka kapal terbang itu sebenarnya sedang hilang kawalan dan beberapa minit selepas itu ia terhempas di bukit Margalla. Ada 152 nyawa di dalamnya dan kesemuanya meninggal dunia. Saya tinggal di kaki bukit Margalla dan kadang-kadang saya pergi mendaki Bukit Margalla itu sehingga ke puncaknya di Pir Sohawa.

Saya bagai hilang kata-kata tatkala mendengar berita tragedi itu. Sedih, pilu, simpati semuanya bercampur-baur. Dan sudah pastilah lebih teruk lagi perasaan keluarga kepada mangsa-mangsa yang terkorban. Tengah hari itu jalan raya menuju ke bukit Margalla penuh sesak dengan kenderaan. Saya mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke rumah kerana terpaksa melalui kesesakan yang teruk. Ramai orang keluar dari rumah mereka dan berada di tepi jalan, semuanya memandang ke arah bukit Margalla yang dipenuhi dengan asap tebal bercampur kabus. Beberapa helikopter berlegar-legar di atas bukit itu, menjalankan aktiviti menyelamat.

Di TV saluran berita tempatan semuanya membuat liputan secara langsung mengenai tragedi kapal terbang Air Blue yang terhempas dalam perjalanan dari Karachi ke Islamabad itu. Antara yang terkorban adalah pasangan pengantin baru yang baru tiga hari bernikah dan dalam perjalanan untuk berbulan madu ke Islamabad. Dan sebuah keluarga yang terdiri daripada 6 orang. Pelbagai cerita yang sungguh tragik dan menyayat hati disiarkan di pelbagai saluran berita yang terdapat di sini. Saya selalu membayangkan bagaimanalah jika saya adalah salah seorang yang berada dalam perut kapal terbang itu. Na’uzubillah.

Pada mulanya mereka mengumumkan 7 orang dijumpai masih bernyawa, ada saluran yang melaporkan 5. Tetapi sejam selepas itu menteri dalam negeri Pakistan mengumumkan kesemua mereka meninggal dunia dan kesemua mayat berjaya ditemui. Kerja-kerja membawa mayat keluar dari bukit itu diteruskan sehingga ke malam hari. Bunyi helikopter dan ambulans kedengaran dengan jelas dari rumah saya, silih berganti sehingga ke tengah malam.

Ini adalah satu hari yang sangat menyedihkan di Islamabad, kerajaannya telah mengumumkan Pakistan akan berkabung sehari . Saya pun masih lagi terkejut dan sukar untuk percaya bahawa kapal terbang itu sebenarnya jatuh di atas bukit di belakang rumah saya.

Saturday, May 29, 2010

Mei di Islamabad

Hampir sebulan saya tidak menulis apa-apa di sini. Sekarang sudah di penghujung Mei, musim panas baru bermula. Di tengah hari suhunya boleh mencapai sehingga 48 darjah celsius,dan akan meninggi lagi menjelang Jun dan Julai depan, kemuncak musim panas di Pakistan. Jika keluar rumah di waktu tengah hari saya akan menjadi sakit kepala, ia bagai mengiggit-gigit. Angin yang bertiup pun terasa sangat panas, walaupun di malam hari.

Dan hari ini genaplah setahun saya di sini. Kami tiba pada 29 Mei tahun lepas. Cuaca dan suhunya samalah seperti tahun lepas, cuma bezanya kami tidaklah terlalu terkejut dengan cuaca ini kerana memang kami telah bersedia untuk menghadapinya. Begitu juga dengan keadaan keselamatan di negara ini, masih sama dengan tahun lepas. Tapi berita-berita itu sudah tidak berapa menarik perhatian kami, benarlah kata orang kita alah bisa tegal biasa. Semalam sahaja dua serangan pengganas secara serentak ke atas dua rumah ibadat golongan minoriti (Ahmadiyyah) berlaku di Lahore selepas solat Jumaat. Sehingga entri ini ditulis sekurang-kurangnya 95 orang dilaporkan telah terkorban.

Di kedai buah-buahan di Islambad kelihatan mangga sudah pun mula dijual, menandakan musim mangga sudah tiba. Walaupun pada mulanya harganya agak mahal dan rasanya kurang manis, tetapi selepas ini di Jun dan Julai harganya akan menjadi lebih murah dan rasanya akan bertambah manis. Di mana-mana pun ada orang menjual dan menjaja mangga dengan harga serendah dari Rs50 (RM2). Rugilah kalau tidak merasa jus mangga atau lasi mangga yang sungguh melegakan dalam cuaca yang panas-panas begini. Mangga Pakistan memang sangat manis dan sedap, saya rasa ia lebih enak daripada mangga Thailand yang biasa didapati di Malaysia.

Sejak akhir-akhir ini entah mengapa kami merasakan semuanya tidak kena dengan Pakistan dan orang-orangnya. Seperti biasa mereka sangat suka membuat janji dan kemudiannya tidak memenuhinya, penipuan dan pembohongan sudah menjadi budaya mereka. Saya akan menjadi sakit hati apabila berhadapan dengan orang mereka yang kurang adab, kurang pendidikan dan kurang kesedaran sivik. Pergilah ke mana-mana pun, ke kedai, restoran atau sewaktu memandu dijalan raya, anda cuma akan sakit hati, tertekan dan marah. Urusan dengan pihak pejabat kerajaannya juga sangat menguji kesabaran, mereka tidak cekap, suka pilih kasih dan masih mengamalkan amalan rasuah secara berleluasa. Di negara ini, tiada sesiapa yang boleh dipercayai dan diharapkan.

Bekalan elektrik di rumah akan terputus selama sejam untuk lima atau enam kali sehari dan ianya benar-benar menjadi masalah terutamanya di musim panas ini. Kerajaan mereka juga telah membuat beberapa keputusan yang bodoh dan kelakar berhubung masalah elektrik dan sudah tentulah mereka tidak menyelesaikan apa-apa masalah. Kedai-kedai dan pusat perniagaan diarahkan tutup seawal 8 malam, tetapi catuan elektrik masih tetap dikenakan, malah lebih kerap. Oh ya, mereka juga telah menyekat capaian ke laman Facebook dan tiada sesiapa lagi yang boleh menggunakan Facebook di Pakistan sekarang. Semua ini menambah tekanan kepada saya dan membuatkan saya ingin balik bercuti dan berehat sebentar di tanah air, saya sudah bosan dan tidak tahan lagi dengan tempat yang tidak bertamadun ini. Atau pun cuma kerinduan saya pada Malaysia yang membuatkan segalanya kelihatan tidak indah di sini?

Setelah mengetahui saya sudah tinggal di sini selama setahun, seorang pegawai kanan Pakistan bekerja di sebuah kementerian beria-ia bertanyakan saya, "adakah anda suka Pakistan?" 

Oleh kerana saya menghormatinya dan tidak mahu mengecewakannya, sambil tersenyum sumbing saya membalas "saya suka mangga Pakistan. Mangga anda sangat manis."

Friday, April 23, 2010

Bersujud di Atas Rumput

Maghrib- Ramadhan 2009, Hotel Serena Islamabad

Mawar telah mengkritik penulis, bahawa tulisan-tulisan di blog ini mengenai negara Pakistan hanya bersifat negatif samada dalam bentuk kritikan, kutukan atau pun ketidakpuashatian. Lalu saya bertanya kembali, jadi apa yang positif mengenai negara ini yang boleh saya tulis, sila cadangkan. Dia terdiam dan tersenyum sendiri, saya tahu dia sendiri pun sukar untuk memberikan contoh perkara positif mengenai republik ini.

Jika ada satu perkara yang baik mengenai orang Pakistan, saya rasa adalah kerana mereka kelihatan sangat rajin bersolat dan mereka akan bersolat tidak kira di mana-mana. Setiap kali mereka menunaikan solat fardu (disebut namaz dalam Urdu) mereka pasti akan melakukannya bersama-sama dengan solat sunat sebelum dan selepas, jika terdapat solat yang disunatkan. Mereka sangat rajin melakukan solat-solat sunat tersebut kerana perkara tersebut begitu ditekankan oleh molvi dan maulana (guru agama) mereka. Sewaktu di masjid saya pernah ditegur oleh orang tempatan di sini kerana tidak menunaikan solat sunat selepas sembahyang fardu.

Apabila azan berkumandang di masjid berhampiran, kelihatan ramai orang lelaki ke masjid. Pengawal-pengawal keselamatan yang menjaga rumah-rumah besar atau bangunan-bangunan pejabat pun bergegas menunaikan solat di tepi jalan sekadar di atas rumput, malah tanpa berlapik apa-apa. Tukang kebun di rumah saya pun begitu, sebaik sahaja mendengar azan dia akan berhenti melakukan kerja dan terus bersolat di atas rumput. Begitu juga dengan semua pengawal-pengawal keselamatan di rumah-rumah sepanjang jalan di kejiranan saya. Mereka juga sangat rajin berzikir dengan tasbih sentiasa bergerak di jari.

Saya sendiri pernah menyertai jemaah bersolat jumaat di luar dan bersujud di atas rumput tanpa lapik tikar atau pun sejadah. Saya lihat mereka langsung tidak kisah pun terpaksa bersujud di atas rumput dan kadang-kadang tanah dan debu, walau di musim panas mahupun musim sejuk. Tatkala itu saya teringat kisah-kisah di zaman nabi ketika mana mereka baru mendirikan masjid yang hanya berlantaikan tanah, bertiangkan batang kurma dan beratapkan pelepah daun kurma. Selepas selesai solat, saya mendapati banyak sekali habuk-habuk pasir dan rumput melekat di dahi yang menyebabkan kita perlu menyapu dahi selepas selesai memberi salam. Apa pun ia cukup memberi satu pengalaman dan perasaan baru yang mengharukan, saya sangat sukakan perasaan itu.

Tetapi harus diingatkan walau serajin mana pun mereka bersolat, itu bukanlah jaminan bahawa mereka tidak akan bercakap bohong, menipu dan membelit. Dan saya berharap entri ini akan dikira oleh Mawar saya sebagai satu entri positif yang berupa pujian kepada orang Pakistan.

Thursday, April 15, 2010

Majlis Perkahwinan di Peshawar

Dalam keadaan keselamatan yang membimbangkan, saya kuatkan juga semangat demi untuk tidak menghampakan jemputan jiran kami bagi menghadiri majlis menyambut menantunya yang diadakan di Peshawar. Peshawar adalah antara bandar di pakistan yang paling kerap dibom akhir-akhir ini. Tetapi nasib kami baik, kerana sentiasa diiringi oleh kereta polis yang siap bersenjata bagi mengawal keselamatan kami semasa dalam perjalanan dan selama berada di Peshawar. Pun begitu, timbul pula kekhuatiran dalam hati kerana pengganas memang selalu mensasarkan serangan mereka ke atas polis dan tentera.

Majlis tersebut diadakan di sebuah dewan di pinggir bandar Peshawar. Permulaannya saya kaget melihat ada sekumpulan wartawan  Khyber Press siap dengan jurukamera yang menyerbu ke arah tuan rumah dan bertanyakan pelbagai soalan. Keadaan agak tegang seketika, mereka bertengkar bagai mahu bertumbuk, tetapi mungkin pada mereka ianya satu pertengkaran yang biasa-biasa saja. Rupa-rupanya seorang pegawai kerajaan telah menuduh tuan rumah melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, kerana menyediakan lebih dari satu jenis lauk untuk kenduri pada hari tersebut. Peraturan menetapkan bahawa di majlis keramaian seperti kenduri perkahwinan, mereka tidak boleh menyediakan lebih dari satu jenis lauk. Peraturan ini bagi mengelakkan pembaziran dan untuk memastikan bahawa bekalan makanan dapat dibahagikan secara lebih meluas meliputi segenap lapisan masyarakat.

Tetapi menurut beberapa orang yang saya temui di majlis tersebut, biasanya ia tidaklah dikuatkuasakan secara tegas oleh kerajaan. Malah biasanya pihak kerajaan, pemimpin politik dan orang-orang kayalah yang menganjurkan majlis makan-makan yang besar dengan makanan berlebih-lebihan dan tiada siapa pun yang peduli atau bercakap mengenainya. Malah ada yang menuduh bahawa sebenarnya kedatangan wartawan pada hari itu adalah cuma menakut-nakutkan tuan rumah dengan harapan tuan rumah akan memberikan duit rasuah kepadanya dan kes tersebut akan ditutup!

Mengikut kebiasaan adat orang Pashtun, tetamu lelaki dan perempuan diasingkan. Tetamu perempuan datang berpakaian tradisional penuh meriah. Ada beberapa orang yang berselendang menutup aurat, tetapi menurut Mawar, setelah memasuki tempat tetamu perempuan mereka kesemuanya membuka selendang tersebut dan sebahagiannya menari mengikut alunan muzik, walaupun terdapat juga lelaki bukan mahram seperti jurufoto, DJ muzik dan sebagainya. Mawar juga diajak menari bersama-sama tetapi dia tidak begitu berani untuk bergelek-gelek dengan tetamu Pashtun yang lain. Di tempat tetamu lelaki mereka hanya duduk dan berbual-bual sesama mereka sebelum menikmati nasi Briyani, roti, ayam Tikka, kambing Handi, kebab daging dan manisan pencuci mulut. Saat saya meminum coca-cola dari botol kaca itu saya menjadi sangat teringat pada satu babak dalam filem Taal.

Sebelum pulang ke Islamabad kami sempat singgah di pasar Barha  (besar) Peshawar yang bebas cukai. Tapi disebabkan ketakutan dan kebimbangan tentang keselamatan, kami cuma sekadar singgah sebentar dan melihat beberapa kedai pinggan mangkuk, fabrik, mainan kanak-kanak dan sebagainya yang kelihatan memang lebih murah harganya berbanding di Islamabad atau Lahore. Alhamdulillah, kami akhirnya selamat sampai ke Islamabad dalam waktu Maghrib. Tetapi esoknya saya hilang kata-kata tatkala melihat berita Peshawar (Konsulat AS dan bandar Timergarah) digegarkan dengan bom oleh penyerang berani mati, lebih 40 orang mati dan berpuluh-puluh cedera.

Tuesday, April 06, 2010

Perempuan-Perempuan Islamabad

Sebelum saya datang ke Pakistan saya mempunyai tanggapan bahawa perempuan Pakistan semuanya bertudung dan menutup aurat kerana Pakistan adalah sebuah Republik Islam. Tetapi setelah hampir setahun saya tinggal di Islamabad, dirumuskan bahawa di Islamabad terdapat lebih ramai perempuan yang tidak bertudung. Walaupun mereka memakai kurta dan shalwar tetapi kurta mereka sangat ketat terutamanya di bahagian dada, belahan sisinya sangat tinggi sehingga kadang-kadang menampakkan kulit perutnya. Walaupun mereka membawa dupatta (selendang) apabila keluar rumah tetapi dupatta tersebut hanya diletakkan di atas dada, bukan di atas kepalanya.

Hanya sebahagian dari mereka yang meletakkan dupatta di atas kepala bagi menutup rambut. Tetapi apabila mendengar azan mereka semua akan cepat-cepat menutup rambut mereka dengan dupatta tersebut dan akan meletakkan kembali hanya ke atas dada mereka apabila azan selesai. Menurut cerita yang saya dengar, mereka akan memastikan sehelai dupatta berada di atas dada mereka kerana biasanya perempuan Pakistan selesa tidak berbaju dalam, jadi sebab itulah mereka perlukan sehelai dupatta bagi melindunginya.

Di kedai-kedai makan yang biasanya menjadi tumpuan muda-mudi, kelihatan ramai perempuan yang berpakaian lebih moden dan kurta yang lebih ketat, bermekap tebal, menghisap rokok dengan bangganya, termasuk di restoran Mint yang sempit dan berhawa dingin itu. Di restoran Rendovouz Sektor F7 perempuan-perempuan Islambad menghisap rokok dan shisha di kawasan terbuka, sambil bergelak ketawa bagai menarik perhatian semua lelaki.

Kadang-kadang saya pelik dan benar-benar ingin tahu kenapa perempuan Islamabad kelihatan sangat biadap, sombong, bodoh dan kurang ajar bagai tidak pernah ke sekolah. Mereka tidak suka beratur dan suka memotong barisan dengan muka selamba tanpa rasa bersalah dan malu, tanpa mengira perasaan orang lain yang sudah lama beratur. Pernah di restoran McDonald seorang perempuan memotong barisan yang panjang ketika giliran Mawar untuk membuat pesanan. Walaupun ditegur dan dimarah, dia tetap ingin memotong barisan itu tanpa sekelumit malu. Saya pernah memarahi seorang juruwang di sebuah farmasi di Sektor F6 kerana mengutamakan seorang perempuan yang hanya baru datang sedangkan saya telah lama menunggu untuk dilayan, lalu saya sengaja tidak jadi membeli ubat-ubatan yang telah berada di tangan saya kerana ingin 'mengajar' mereka. Hampir setiap hari kami berhadapan dengan perempuan yang berperangai begini di Islamabad, sehinggakan kadang-kadang kami menjadi sangat tertekan dan hilang sabar.

Begitulah juga sikap perempuan Islamabad sewaktu memandu di jalan raya. Beberapa hari lepas di Pasaraya Metro saya menyaksikan bagaimana bodoh dan biadapnya seorang pemandu perempuan yang cuba berebut petak letak kereta yang sememangnya bukan haknya. Terdapat sebuah kereta di hadapannya yang sedang menunggu untuk memasuki petak tersebut kerana kereta di petak tersebut sudah hendak keluar. Tiba-tiba perempuan yang memandu Honda Civic (LOY 60) datang untuk juga memasuki petak tersebut. Sewaktu dua buah kereta tersebut berasak-asak, perempuan itu tidak mahu mengalah malah melanggar sedikit bahagian sisi kereta yang hendak memasuki petak itu. Lelaki itu akhirnya berjaya mendapatkan haknya dari perempuan  itu. Saya rasa semua orang yang menyaksikan adegan tersebut pasti akan mengutuk perempuan pencuri yang sangat kurang ajar dan tidak tahu malu itu. Dan dia juga telah menunjukkan contoh yang paling hodoh kepada anak perempuan yang duduk di sebelahnya.

Dialah salah seorang perempuan Islamabad yang berdupatta di atas dada, yang memberi imej buruk kepada Islam dan Islamabad, yang bermaksud tempat menetap Islam.

Anjing

Saya rasa orang Islam di Pakistan kebanyakannya bersikap lebih terbuka dan peramah kepada anjing. Mereka tidak prejudis kepada anjing dan ramai yang memelihara anjing di rumah. Selepas melihat bagaimana sikap mereka terhadap anjing saya teringat filem yang dibikin oleh Yasmin Ahmad yang menonjolkan seorang muslim yang menyentuh anjing dalam perjalanannya ke masjid. Saya rasa saya boleh faham apa yang cuba disampaikan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad. Walaupun saya menggemari cara garapan filemnya yang kreatif dan bersahaja itu, tetapi tidaklah bermakna saya bersetuju dengan semua mesej keliru yang ditonjolkan dalam filem-filemnya.

Tentang anjing. Saya selalu melihat seorang lelaki pada petang hari mengheret anjingnya bersiar-siar berhampiran sebuah taman dekat dengan tempat kerja saya. Dia berjanggut panjang, memakai shalwar kamiz serta kopiah putih. Anjingnya sangat besar. Semalam saya melihat seorang perempuan berjubah dan bertudung litup serba hitam mengheret seekor anjing kecil yang agak comel. Dia baru sahaja keluar dari klinik haiwan yang terletak di belakang rumah saya. Anjing kecil itu bermanja-manja dengannya, mengekorinya dan menggeselkan badannya ke kaki perempuan itu lalu mengena jubahnya. Kemudian dia bersama suaminya membawa anjing itu masuk ke tempat duduk belakang keretanya.

Jiran saya yang berjanggut panjang, selalu ke masjid dan kerapkali mengikuti jemaah tabligh untuk 'keluar' juga pernah memberitahu saya dia sangat meminati anjing dan pernah membela anjing. Tetapi sekarang dia tidak membela lagi, atas sebab-sebab kebersihan rumahnya. Saya pernah bertanya orang Pakistan bagaimana cara mereka menyucikan diri mereka jika terkena anjing, ada yang menjawab hanya dengan membasuh seperti biasa, tanpa menyebut enam kali basuhan termasuk sekali air tanah. Duga saya itu disebabkan perbezaan mazhab yang dianuti, tetapi apabila ditanya dia juga tidak tahu apa-apa tentang perbezaan mazhab dalam Islam. Malah dia sendiri pun tidak tahu imam mazhab mana yang diikutinya.

Saturday, March 13, 2010

Kalau Saya Tidak Bershalwar Kamiz

Buat entah ke berapa kalinya, mereka bertanyakan soalan yang serupa. Adakah saya seorang Muslim? Kali ini di sebuah farmasi di Sektor F-6, lelaki penjaga kedai yang bershalwar kamiz itu dengan semborono bertanyakan saya soalan yang telah saya selalu dengar, "adakah kamu seorang Muslim?" Cuma kali ini saya lebih bersedia untuk menjawabnya.

"Jadi kamu fikir kenapa isteri saya memakai tudung dan menutup rambutnya?" Dia merenung ke arah isteri saya. Dan tidak menunggu lama sebelum membalas, "Ya, dia kelihatan seperti Muslim kerana pakaiannya adalah seperti pakaian seorang Muslim. Tapi, anda memakai pakaian bukan-Muslim". Matanya melihat ke seluruh saya pakaian saya, atas dan bawah. Seluar jeans dan baju panas tebal khas untuk musim sejuk.

"Astaghfirullah!" Saya hanya tersenyum dan saling berpandangan dengan Mawar.

"Ini pakaian Muslim," dengan yakinnya dia memperagakan shalwar kamiz yang dipakainya.

Tetapi saya tidak berkata apa-apa. Tidak menyanggah kata-katanya dan tidak pula mengiyakannya. Kerana saya sudah semakin memahami pemikiran sempit orang-orang Pakistan, yang lebih separuh daripada mereka adalah buta huruf. Mereka tidak tahu apa-apa tentang dunia luar mereka dan beranggapan bahawa Pakistan adalah segala-galanya, negara yang paling islamik dan bangsa yang terhebat di dunia.

Sunday, March 07, 2010

Syiah di Pakistan

"Live like Ali, die like Hussain"
Namanya Ali. Atas sebab-sebab tertentu saya berjumpa dengannya dan akhirnya saya menganggapnya sebagai kawan. Hampir setiap hari tanpa gagal dia menghantar sms petikan kata-kata Hazrat Ali a.s. yang saya balas hanya dengan ucapan terima kasih dan beberapa kata basa-basi tanda penghargaan. Ini adalah sebahagian daripada sms-sms-nya.

"Forgive people, just like you expect from Allah to forgive you. -Hazrat Ali k.w."
"If somebody call you bad and you got angry then understand that you are really bad. -Hazrat Ali a.s."
"If a person give importance to a minor distress, then Allah falls him into major. -Hazrat Ali a.s."
"You know it is in Hadith, ana madinatul ilm wa Ali babuha, that, I am the city of knowledge and Ali is its entrace."
"You know a hadith related to Hazrat Abu Bakar Siddiq r.a. that, it's ibadah to see once on Ali's face, so it can be imagined now."

Sehinggalah pada suatu hari melalui sms kami berbincang tentang wali, imam, maulana dan kepercayaan masyarakat Pakistan kepada kubur orang-orang alim yang dianggap sebagai keramat. Ini adalah sebahagian daripada smsnya yang dikirimkan kepada saya.

"Ever you met Allah? Just curious."
"Wali is just like a teacher, right? Because teacher has more knowledge than that of a common man, as we need a teacher for knowledge- we need a good guider who is better among us, selected by Allah not by human, what say you?"
"You know in Quran -innamaa waliyyukumullah warasuluh wa ulil amr minkum, means, 1. Allah is wali; 2. Rasul s.a.w. is wali; and 3. He is wali whom Allah has given rights. Allah has clearly announced in Quran that they are for our guidance, what say you?"
"I believe one thing, Allah has never left human beings without a guider in any part of the world even in the past period, because Allah cares for the whole mankind. Further, there is no compromise in faith."
"Dear, I also visit shrines and also respect the alive one and I wish to take you with me to Bari Imam
(kubur wali yang diziarahi untuk berdoa di atasnya)."

Saya perasan bahawa kepercayaannya hampir menyamai dengan kepercayaan seorang kenalan saya dari Iran. Lalu saya tidak tahan lagi untuk bertanyakan padanya, setelah lama saya memendam sendiri
"Ali, adakah kamu syi'ah?"

Pada mulanya dia enggan mengakui. Tetapi akhirnya setelah saya mendesak dia pun memberitahu, "jika ianya tidak sensitif untuk kamu mengetahui, saya akan menjadi Syi'ah, saya tahu kamu sudah boleh menilai bagaimana kepercayaan saya". Kata-kata yang agak sukar untuk difahami itu sebenarnya saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu dari smsnya dalam bahasa Inggeris yang kurang bagus. Sebenarnya saya telah berasa seperti didakwah olehnya. Sehingga hari ini pun saya masih menerima petikan yang menurutnya adalah kata-kata Hazrat Ali a.s. Terima kasih Ali, tapi saya masih ingin begini.

Nota: Statistik menunjukkan 97% rakyat Pakistan adalah beragama Islam, 80% adalah bermazhab sunni dan 20% syiah. Dari satu perangkaan, Muslim di Pakistan adalah terbahagi kepada mazhab berikut: Barelvi 38% (Hanafi), Deobandi 24% (Hanafi), Syiah Ithna Asharia 23%, Ahli Hadith 7%, Ismaili 2%, Bohra 0.25%, dan beberapa mazhab kecil yang lain. Ahli Hadith adalah sebahagian daripada Hanafi. Lebih 60% daripada sekolah agama madrasah dikendalikan oleh kumpulan Barelvi, 20% oleh Deobandi, 10% oleh pelbagai kumpulan Syiah dan 10% oleh Ahli Hadith. Penulis adalah seorang Muslim bermazhab Sunni.

Thursday, February 11, 2010

Peminum Yang Bersyukur Menjadi Muslim

Di tangan kanannya adalah Embun, anak saya. Dia mendukungnya dengan penuh kasih sayang. Tetapi di tangan kirinya adalah tin minuman keras. Sambil mencium Embun dia meneguk arak itu. Saya meminta untuk mendukung Embun daripadanya supaya dia dapat minum dengan selesa. Tetapi dia enggan membenarkan saya mendukung Embun malah menyuruh saya mengambil makanan saya dan makan terlebih dahulu kerana kami adalah tetamu yang sangat dimuliakannya. Lalu saya tidak dapat berbuat apa-apa, hanya melihat sahaja dia mendukung anak saya sambil meminum arak dan bergelak ketawa dengan tetamu-tetamunya yang lain (kebanyakan orang kulit putih dari Eropah) kesemuanya meminum arak. Agaknya hanya saya dan Mawar sahaja yang tidak 'minum' pada perkelahan di Ladang Mirjal itu.


Dalam perbualan kami, dengan tidak sengaja saya telah berkata bahawa saya merasakan orang India dan Pakistan adalah hampir sama serta sukar dibezakan. Dan dia dengan tegasnya menafikannya. Pada masa itu saya hampir terlupa bahawa orang Pakistan amat anti pada India dan kenyataan saya itu amat tidak digemarinya, tetapi saya telah terlepas cakap. Dengan penuh semangatnya dia menerangkan kepada saya bahawa terdapat banyak perbezaan antara orang India dan Pakistan.

"Yang paling utama adalah kerana kami Muslim, alhamdulillah, kami tidak Hindu", katanya dengan bangga sambil tangannya masih lagi memegang kemas tin jenama Murree Beer.

Seorang tetamu dari negara Scandinavia yang pernah tinggal di India menyampuk perbualan kami dalam nada berlawak, "dan orang Pakistan lebih banyak minum arak berbanding orang India". Kami pun gelak beramai-ramai. Kemudian, lelaki Pakistan itu memberitahu saya, "saya tahu orang Islam dari Malaysia tidak meminum arak, bukan?" Saya mengangguk dan senyum kepadanya. "Ada juga Muslim yang terlalu liberal di negara saya".

Di Pakistan, minuman keras secara umumnya tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam negara kecuali bagi yang mendapat permit daripada pihak berkuasa dan biasanya hanya diberikan kepada orang bukan Islam. Tetapi terdapat ramai orang kaya yang beragama Islam di sini yang meminum arak di dalam rumah mereka atau di tempat-tempat persendirian dan jika mereka minum, bagaikan orang yang sangat dahaga!

Tuesday, January 19, 2010

Kristian Juga Mengakui Allah?

Kristian merupakan golongan minoriti di Pakistan dan mereka membentuk tidak sampai 10 peratus dari keseluruhan rakyat Pakistan. Di tengah-tengah bandar Rawalpindi, Lahore, Murree mahu pun Karachi terdapat gereja yang besar di jalan utama. Sebagai orang asing di sini, saya merasa sangat sukar untuk mengenal pasti siapakah yang beragama Kristian di sini, kerana nama dan cara berpakaian mereka langsung tidak menceritakan agama mereka, sebagaimana yang berlaku di Malaysia.

Nama-nama seperti Sohail, Yunus, Allah Ditta, Rashid, Kishwar adalah juga digunapakai oleh orang-orang Kristian, walaupun kadang-kadang ada juga yang menggunakan nama yang menggambar kekristianan mereka seperti Masih, William, John dan sebagainya. Perempuan-perempuan Kristian juga memakai kurta, shalwar dan dupatta, sama seperti perempuan Muslim. Malah ada juga yang meletakkan dupatta mereka di atas kepala bagi menutupi rambut. Begitu juga dengan lelaki Kristian, mereka juga memakai shalwar kamiz yang sama seperti orang Islam.

Ucapan salam juga digunakan oleh orang Kristian, dan Muslim juga memberikan salam kepada orang Kristian. Saya berasa sangat bodoh pagi tadi apabila saya bertanyakan kepada pemandu saya yang beragama Islam, kenapakah orang Islam di sini memberikan salam kepada orang Kristian, kerana jika di negara saya orang Islam hanya mengucapkan hai, selamat pagi atau sebagainya kepada orang Kristian. Dia menjawab, "Sir, they also accept Allah". Saya terdiam dan menyesal bertanyakan soalan itu kepadanya. Tetapi tidak pula saya menegaskan kepadanya bahawa mereka tidak memaksudkan "Allah" sebagaimana yang difahami oleh Muslim.

Beberapa hari lepas saya membaca berita di surat khabar tempatan, tentang bantahan sebuah kumpulan Kristian (Progressive Christian Movement) di Islamabad yang mengadakan demonstrasi secara aman bagi menentang keputusan kerajaan Switzerland yang menghalang pembinaan menara masjid di negara itu. Mereka menggesa kerajaan Pakistan membuat bantahan secara diplomatik terhadap kerajaan Switzerland atas dasar menghormati hak asasi manusia untuk mengamalkan kebebasan beragama.

Wednesday, January 06, 2010

Sempadan Wahga

Jika anda ke Lahore janganlah sekali-kali melepaskan peluang untuk melihat upacara pertukaran bendera di sempadan Wahga, iaitu sempadan antara Pakistan (Lahore) dan India (Amritsar). Ia adalah sebuah upacara yang penuh emosi dan semangat patriotik. Sukar untuk menggambarkan melalui tulisan bagaimana meriahnya suasana itu sehingga saya yang tidak berdarah Pakistan pun tiba-tiba menjadi naik bersemangat apabila menyaksikan upacara itu dan berada dalam suasananya. Mulanya saya berasa seakan-akan terharu dan seperti ingin menangis melihat mereka.




Mereka menjerit "Pakistan Zindabad" dengan penuh bersemangat dan pada masa yang sama melawan jeritan "Jhai Hind" di sebelah sana. Dan apabila satu suara dari pembesar suara menjerit "Pakistan ka matlab kya?" mereka semua menyahut "lailahaa illallah!". Begitulah antara laungan-laungan yang tidak henti-henti dan kadang-kadang mereka bertakbir "Allahu akbar, Allahu akbar!" Di tengah-tengah jalan yang menjadi tumpuan mata semua pengunjung terdapat tiga orang berbaju hijau dan seluar putih yang bertindak mengkoordinasikan jeritan dan menaikkan semangat semua pengunjung. Dan askar-askar Pakistan yang semuanya tinggi-tinggi berkawad dengan menaikkan kaki 90 darjah ke hadapan.




Ia sebenarnya hanyalah satu upacara penukaran bendera sebagai simbolik pertukaran pengawal yang sangat ringkas. Tetapi mungkin cara bagaimana mereka melakukannya itu dan ditambah pula dengan konflik berpanjangan India-Pakistan, telah menarik beribu-ribu pengunjung setiap hari, malah ada yang tidak sempat masuk ke arena kerana pintu telah ditutup lebih awal. Kami sendiri pun terpaksa mencuba dua kali, kerana pada hari pertama kami ke situ pintunya telah ditutup sebelum kami tiba. Tetapi setelah menyaksikannya baru saya sedar bahawa memang berbaloi bersusah-payah bersesak di jalan yang kotor dan berdebu untuk ke situ. Selesai upacara tersebut, tiba-tiba ada seorang pemuda menegur kami dalam bahasa Malaysia. Dia datang ke Pakistan kerana menziarahi keluarga di sebelah ayahnya yang berasal dari Pakistan. Ayahnya kemudian memperkenalkan dirinya sebagai KSU di sebuah kementerian.

Tuesday, December 29, 2009

Bergambar di Kota Rohtas





Akhirnya sampai juga saya ke Rohtas Fort pada hari cuti Krismas lalu, ditemani oleh seorang rakan Malaysia yang bekerja di Islamabad dan juga pemandu kami. Perjalanan dari Islamabad ke Rohtas Fort cuma mengambil masa sejam lebih melalui GT Road. Rohtas Fort adalah sebuah kota tinggalan yang agak besar dan kami cuma mampu melawat sebahagian daripadanya. Pada pagi itu agaknya kamilah pelancong pertama yang sampai ke situ dan seorang lelaki tua yang memakai tanda nama "LOCAL GUIDE" terus menghampiri kami dan berkata-kata dalam bahasa Urdu. Akhirnya kami faham dia menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong. Hanya kerana kasihan saya membenarkan dia mengikut kami dan menawarkan untuk membayarnya RS300 sahaja, bukan RS500 seperti yang dimintanya.


Menurutnya dia sudah berumur 60 tahun. Dia berbadan kurus dan sangat kuat merokok. Sepanjang pengembaraan kami dalam Rohtas Fort dia tidak putus-putus merokok dan katanya otak tidak dapat berfikir jika tidak merokok. Dia juga agak baik hati terutama setelah melihat dia menyapu hingus Embun dengan sapu tangannya, dan akhirnya kami melayan dia dengan baik malah kadang-kadang bergurau dan mengambil gambar bersama-samanya. Melaluinya kami dapat tahu beberapa tempat dalam kota itu seperti kubur seorang wali yang dipuja, penjara, tempat hukuman bunuh, tempat buang mayat supaya dimakan harimau yang lapar, rumah gabenor. Walaupun strukturnya sudah ada yang musnah dan sesetengahnya sudah runtuh, tetapi dengan jelas dapat dilihat akan kehebatan senibina dan kekuatan kubu pertahanan Sultan Shah Suri itu.

Kami panjat struktur bangunan di mana terletaknya penjara dan akhirnya ditunjukkan tempat hukuman bunuh dilaksanakan. Tempat itu terletak di aras yang paling tinggi, lantainya membulat dan bahagian depannya tidak berdinding. Apabila membayangkan bagaimana hukuman itu dilaksanakan di atas dek itu, ianya agak mengerikan, sehingga membuatkan Mawar terduduk dan tidak mampu berdiri lagi di situ. Tetapi pemandangan dari atas kubu itu juga sangat mengkagumkan dan kami mengambil gambar semahu-mahunya.


Saya tidaklah begitu endahkan sangat tentang sejarah dan cerita di sebalik kota Rohtas yang tersergam itu, sebaliknya cuma menghabiskan lebih banyak masa mengambil gambar sambil membuat pelbagai aksi dan gaya berlatarbelakangkan kota tinggalan yang bersejarah itu. Terdapat satu muzium di hujung kota dan pada waktu kami melawatnya kurator memberitahu tiada lampu di dalamnya kerana loadshedding, satu perkara yang biasa di Pakistan. Sebelum pulang kami memberikan Rs300 kepada Pakcik Local Guide itu dan dia kelihatan terharu sekali hampir-hampir menangis. Dia bersalam dengan saya dan yang lain serta meletakkan tangannya di atas kepala Mawar (ala Hindustan) dan mencium Embun. Dia juga memesan kepada pemandu kami supaya mengajar kami bahasa Urdu. Sampai sekarang saya masih ingat bagaimana bersemangatnya dia melambai-lambai selamat tinggal sewaktu kenderaan kami meluncur pergi meninggalkan Kota Rohtas, menuju ke Lahore.

Monday, December 07, 2009

Karachi Yang Bising

Karachi adalah sebuah bandar yang sangat bising, sesak dan kotor. Di atas jalan raya, terdapat kereta keldai dan kereta kuda yang biasanya membawa barang yang banyak. Pemandu kenderaan sangat suka membunyikan hon kenderaan masing-masing tanpa alasan kukuh. Seorang pelajar Malaysia yang belajar di sini memberitahu, pada suatu hari seorang pemandu van tidak mahu menumpangkan dia kerana menurutnya vannya telah rosak. Setelah ditanyakan apakah kerosakannya, maka dijawabnya hon yang rosak. Betapa pentingnya hon kepada mereka!

Karachi yang terletak kira-kira 1142km ke Barat Daya Islamabad, adalah jauh lebih besar dari Islamabad. Terdapat banyak bas yang dihias berwarna-warni dan juga recha (sama seperti tuk-tuk di Thailand) sesuatu yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk beroperasi di Islamabad, mungkin kerana menjaga imej ibu negara mereka supaya kelihatan lebih moden. Bas di sini biasanya mempunyai tempat khas di atas bumbung bagi memudahkan penumpang untuk menumpang naik sehingga ke atas bumbung. Teksi (Suzuki Mehran) mereka sangat kecil cuma sebesar kereta Perodua Kancil dan biasanya penumpang perlu bertelingkah terlebih dahulu untuk mendapatkan tambang yang lebih murah.

Saya bertuah sekali kerana terdapat dua orang pelajar melayu yang menemani kami untuk ke bersiar-siar dalam bandar Karachi. Seorang berasal dari Temerloh dan seorang lagi warganegara Thai dari Pattani, merekalah yang membawa kami ke tempat tumpuan seperti Jalan Tariq, Pasar Zainab dan pusat membeli-belah Park Tower yang berdekatan dengan pantai. Di Pasar Zainab terdapat jaket kulit yang harganya lebih murah dari kedai di Islamabad. Tidak jauh dari situ terdapat kedai factory outlet Levi's dan beberapa jenama yang lain lagi yang menawarkan barangan pada harga yang sangat murah. Di Karachi, baru saya menyedari bahawa harga minyak wangi berjenama di Pakistan adalah jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Dan saya juga tidak akan melupakan pengalaman menjamu selera di satu Lorong yang kurang bersih berdekatan dengan Tariq Road, rasa ayam karahi yang dimakan dengan roti nan serta minuman lassi ciku itu membuat saya lupa seketika bagaimana keadaan di sekitar kedai itu.


Kadang-kadang kami terpaksa melayani karenah peminta sedekah yang agak agresif. Jika berhenti di persimpangan lampu isyarat, mereka akan datang dengan lakonan muka berbelas kasihan sambil mengetuk-ngetuk cermin kereta. Saya pernah memberi pada seorang melalui tingkap sebelah kiri dan selepas itu ada empat lagi datang di sebelah kanan! "Perempuan pelik" yang bermekap tebal yang siap berselendang juga meminta sedekah di jalan-jalan yang sibuk berdekatan tempat tumpuan untuk membeli-belah. Saya meminta kebenaran salah seorang dari mereka untuk diambil gambar dan dia membenarkannya, malah beraksi dengan lincah di hadapan kamera sambil membuka kain dupatta yang menutup kepalanya. Selepas mendapat RS20, saya lihat dia berlalu dengan gembira. Dalam gambar yang dizoom-in saya lihat dagunya tidak dicukur bersih, ada tunggul rerambut kasar yang tertinggal.

Saya diberitahu oleh orang-orang Malaysia di sini bahawa kadar jenayah di Karachi agak membimbangkan. Semasa di dalam bas mereka boleh datang dan duduk di sebelah kita dan menunjukkan hujung pistol, lalu meminta telefon bimbit, dompet dan sebagainya. Dalam kesesakan lalulintas pun penjenayah boleh melakukan begitu melalui tingkap kenderaan semasa kenderaan berhenti. Mungkin disebabkan populasi yang terlalu ramai dan keadaan ekonominya, perkara itu bagai sukar dikawal. Jenayah melibatkan pengedaran dadah juga agak tinggi di Karachi. Difahamkan buat masa ini terdapat tiga wanita Malaysia yang terdapat dalam penjara wanita Karachi atas kesalahan narkotik, yang mana jika tertangkap di Malaysia hanya hukuman gantung sampai mati yang layak untuk mereka.