Showing posts with label Moral. Show all posts
Showing posts with label Moral. Show all posts

Saturday, August 21, 2010

Nilai Nyawa dan Ketamadunan di Pakistan

Kejahilan, kebodohan, kemunduran dan ketidaktamadunan orang Pakistan memang bukan sesuatu yang menjadi rahsia lagi. Selalunya saya hanya mendengar cerita sahaja, ada isteri dibakar hidup-hidup oleh suaminya, ada gadis ditembak mati oleh abang atau bapanya dan sebagainya. Dan semalam saya sangat terkejut, sedih dan simpati melihat di berita TV, mereka bertalu-talu memukul dua adik-beradik lelaki dengan sebatang kayu panjang, sehinggalah mati dan kemudiannya mereka menggantung mayat kedua-duanya dengan kaki di atas dan kepala di bawah. Peristiwa itu berlaku di sebuah kampung dalam Daerah Sialkot, dalam bulan Ramadhan.

Berpuluh-puluh orang mengelilingi untuk menyaksikan upacara pembunuhan secara terbuka di tempat awam itu. Polis juga ada di situ, tetapi mereka juga seperti orang ramai yang lain-lainnya, hanya melihat sehinggalah mereka berdua akhirnya mati dan digantung. Menurut laporan berita itu, kedua-duanya dituduh mencuri dan akhirnya mereka beramai-ramai menghukum dua beradik yang malang itu. Tiada pengaduan kepada pihak berkuasa, tiada siasatan, tiada mahkamah atau penghakiman. Jika anda berupaya melihat video di Youtube di bawah ini, tentu anda dapat saksikan bagaimana bodoh dan berhati binatangnya mereka, cuma menyaksikan pembunuhan itu berlaku begitu sahaja tanpa rasa bersalah langsung. Malah tiada seorang pun (termasuk polis) yang menunjukkan rasa perikemanusiaan, kasihan atau simpati kepada mangsa. Inilah sebahagian masyarakat  di Pakistan, sebuah negara yang mengaku republik Islam.

Mereka terlalu bodoh dan kejam untuk mengerti makna kemanusiaan dan keadilan. Mereka tidak tahu bahawa Islam agama rasmi negara mereka pun tidak sekali-kali membenarkan mereka berkelakuan seperti binatang. Malah undang-undang apa-apa sekali pun tidak pernah membenarkan mereka membunuh manusia dengan sesuka hati seperti itu. Kalau pun ada, itulah puak mereka yang berhati binatang yang tidak mampu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Keadaan ketiadaan undang-undang atau ketiadaan penguatkuasaan undang-undang ini bagaikan sudah menjadi sesuatu yang biasa di sini, lalu undang-undang diletakkan dalam tangan mereka mereka sendiri yang melakukannya mengikut nafsu dan kepala mereka yang tidak berotak!

Dua beradik itu adalah dari suku puak lain dari puak yang membunuh mereka. Dan mereka selalu bermain kriket di kawasan puak pembunuh itu sehinggalah pada suatu hari mereka menuduh dua beradik itu terlibat dalam satu kejadian kecurian di kampung puak pembunuh itu. Tanpa usul periksa pada suatu hari mereka memukul dua beradik itu, sampai mati. Di Pakistan, puak yang melakukan pembunuhan begitu akan berasa bangga kerana pada mereka itu menunjukkan kekuatan puak mereka. Sungguh tidak bertamadun!Padahal, ramai yang mengetahui bahawa dua beradik itu adalah budak baik-baik, malah si abangnya adalah seorang penghafal (hafiz) Quran.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mereka mewajibkan semua rakyat Pakistan untuk ke sekolah untuk belajar tentang moral, nilai-nilai murni, kemanusiaan, ketamadunan dan keadilan kalau pun mereka tidak mahu mempelajari apa itu Islam yang yang sebenar. Kerana kejahilan mereka kalau dibiarkan tentunya akan memberikan gambaran yang sangat buruk kepada sebuah negara yang menyandarkan namanya pada Islam. Orang Pakistan perlu tahu bahawa nyawa manusia sepatutnya sangat mahal malah tidak ternilai, bukanlah semurah seperti yang mereka sangka sekarang. Dan kerajaan Pakistan perlu bersedia untuk membelanjakan lebih wang untuk mendidik rakyat mereka supaya menjadi manusia, kerana buat masa sekarang saya fikir mereka sebenarnya lebih memerlukan sekolah dan bukannya senjata.

Dan jika anda mampu dan sanggup, saksikanlah kebinatangan mereka:

Tuesday, March 17, 2009

Menjaga Tepi Kain Orang

Seorang gadis belasan tahun kelihatan baru turun dari motosikal yang dibawa oleh seorang remaja lelaki yang masih berpakaian sekolah. Saya terdiam dan berhenti seketika kerana terlalu berminat untuk memerhati tingkah laku mereka. Gadis yang perasan saya memerhatikannya menjeling ke arah saya. Saya pandang kembali kepadanya sambil mengerutkan dahi secara sengaja.

Gadis yang bertudung itu kemudian bersalam dengan remaja lelaki yang telah menghantarnya pulang ke rumah itu. Kemudian dia mencium tangan lelaki itu. Mereka kelihatan sangat bahagia, berbunga-bunga. Dari warna kulit dan pakaiannya saya rasa dia seorang gadis Melayu yang beragama Islam dan masih di sekolah menengah. Gadis itu kemudian berlari-lari menaiki tangga dengan girangnya.

Peristiwa itu cukup mengganggu fikiran saya. Saya khuatir jika sekiranya gadis itu tidak pernah tahu bahawa apa yang dilakukannya itu salah dan bertentangan dengan nilai agama Islam dan adat Melayu. Saya sangat risau mengenai keadaan dirinya, maruah dia dan keluarganya. Saya sangat pedulikannya, apatah lagi kerana kami tinggal di kejiranan yang sama. Tetapi pada petang itu saya tidak berkata apa-apa kepadanya, cuma melihat. Cuma selepas itu saya berasa menyesal kerana tidak terus menegurnya dan menyampaikan sedikit pesanan.

Jika saya diberi peluang untuk terserempak dengannya lagi (saya harap saya akan) saya ingin menegurnya dan memberitahu kepadanya tentang kesilapan atau kejahilannya itu. Dan semoga ayahnya tidak akan datang memarahi saya jika dia akan mengetahui perbuatan saya itu nanti.

Tuesday, March 10, 2009

Tiada Jenayah Yang Sempurna

Sekarang saya percaya bahawa dalam sesuatu pilihanraya di Malaysia, memang berlaku penipuan dan pengadilan yang berat sebelah. Sebelum ini saya kurang yakin kerana saya tidak pernah melihat sendiri, hanya mendengar dan membaca di mana-mana. Tetapi tidak sehingga semalam, kerana saya sudah melihat sendiri tentang penipuan itu. Saya berasa sangat marah dengan jabatan dan orang-orang yang terlibat kerana perbuatan itu sangat tidak bermoral, tidak adil dan mereka berdosa kerana menipu rakyat.

Seseorang yang agak dikenali telah mengaku kepada saya bahawa dia telah diberikan kad pengenalan kedua sebelum tibanya pilihanraya kecil di Kuala Terengganu baru-baru ini! Kad pengenalan itu telah dikeluarkan kepadanya bagi membolehkan alamatnya dalam kad pengenalan ditukarkan menjadi alamat di Kuala Terengganu dan seterusnya namanya dimasukkan dalam daftar pemilih bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu. Sebelum itu, alamatnya adalah di negeri lain dan dia memang pengundi berdaftar di negeri tersebut.

Dia telah terlupa dan tersalah menggunakan "kad pengenalan" barunya itu untuk sesuatu urusan. Tetapi setelah menyedari perkara itu, dia terpaksa memperbetulkannya kerana alamat dalam "kad pengenalan" barunya itu adalah alamat yang salah dan rumah tersebut langsung tidak wujud! Lalu dia terpaksa mengaku bahawa kad pengenalan yang itu adalah kad pengenalan yang keduanya, dan dia juga masih menyimpan kad pengenalan yang pertama. Selepas itu saya cuba menyemak nombor kad pengenalannya itu dalam sistem daftar pemilih di laman web SPR, ternyata namanya terdaftar sebagai seorang pemilih dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Sekarang saya telah faham bagaimana timbulnya cerita JPN Terengganu telah bekerja sampai waktu malam pada hari-hari sebelum menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini. Dan saya syak dalam hati bahawa JPN, SPR dan BN memang terlibat dalam penipuan ini.

Monday, February 16, 2009

Gambar Bogel Elizabeth Wong

Saya berasa terkejut dan bagaikan tidak percaya perempuan itu telah membuat komen yang sedemikian mengenai isu gambar bogel Elizabeth Wong kerana saya fikir dia seorang menteri yang liberal dan berfikiran terbuka, sementelah dia merupakan seorang pengamal undang-undang sebelum dia menjadi menteri. Dia telah mendesak bahawa Elizabeth Wong perlu meletakkan jawatan sebagai EXCO dan ADUN kerana gambar tersebut akan memberikan gambaran yang tidak baik tentang kepimpinannya.

Fikirkan begini. Jika gambar bogel anda telah diambil secara curi-curi tanpa persetujuan anda oleh bekas teman wanita anda semasa anda tidur atau mandi, kemudian ianya telah disebarkan kepada orang awam tanpa kerelaan anda, adakah ianya akan memberikan gambaran yang tidak baik tentang prestasi anda sebagai seorang menteri pelancongan lalu anda merasakan anda perlu meletakkan jawatan?

Jika benar Elizabeth telah menjadi mangsa dalam isu tersebut, jadi sebagai seorang menteri yang berjantina perempuan anda sepatutnya melahirkan rasa simpati kepadanya dan mendoakan agar dia diberikan kekuatan dalam menghadapi masa yang sukar sebegitu. Wanita MCA pun melahirkan simpati mereka serta mengutuk pengedaran gambar bogel tersebut. Saya mendoakan perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada anda dan saudara perempuan anda dan semoga anda sentiasa berada dalam lindungan rahmat dan hidayatNya.

Kata Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan, "itu adalah nasib dia, ada ramai lagi orang yang mempunyai gambar bogel tetapi tidak tersiar, itu juga adalah nasib mereka". Beliau seterusnya mempersoalkan kenapa isu-isu moral seperti itu timbul di Malaysia sekarang, di mana silapnya. Jadi anda fikir bagaimana?