Wednesday, August 26, 2009

Sampaikan Mesej Sebenar Islam

Hari ini saya berasa sedikit lega apabila membaca komen daripada Mufti Negeri Perak dan Presiden PAS (di Malaysiakini dan Harakah), setelah semalam saya membaca bagaimana jahilnya komen dari seorang perempuan yang mewakili pertubuhan bernama Sisters in Islam. Sekarang saya sudah semakin faham kenapa ada cadangan dari sesetengah pihak untuk mengharamkan pertubuhan yang didokong oleh orang jahil yang berlagak pandai itu. Tun Mahathir juga nampaknya masih skeptikal tentang undang-undang Islam, sama seperti kebanyakan pemimpin 1Malaysia yang sangat negatif tentang sistem keadilan Islam. Cuma saya agak bersetuju apabila Tun menulis, "sebagai orang Islam kita tidak harus ambil berat pandangan orang lain terhadap Islam dalam melakukan suruhan agama". Dan tahniah kepada Zaharuddin Abdul Rahman yang telah menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir dalam blognya.

Kebanyakan orang di Malaysia baik Muslim mahu pun bukan muslim masih kurang faham tentang hikmah undang-undang Islam, ditambah pula dengan peranan media yang tidak banyak membantu lalu menampakkan undang-undang Islam itu sebagai tidak adil, zalim dan bersifat menganiaya. Media sepatutnya bertindak sebagai alat bagi menyampaikan mesej keadilan sistem, tetapi sebaliknya di negara (Islam) ini media tidak memainkan peranan itu secara berkesan. Mereka lebih rela menyiarkan kenyataan atau tulisan perempuan-perempuan muslim liberal yang tidak langsung membantu dalam mendidik masyarakat untuk memahami undang-undang Islam. Mereka adalah golongan yang bukan sahaja tidak mahu memahami, tetapi kadang-kadang tidak keterlaluan jika dikatakan mereka sebenarnya anti-undang-undang Islam. Cuma setelah diserang oleh media antarabangsa, barulah dia mempertahankan undang-undang Islam di negaranya 1Malaysia, acuh tak acuh.

Apa yang saya tahu dan pernah pelajari, sebatan untuk wanita dalam undang-undang Islam adalah sangat berbeza dengan sebatan dalam undang-undang sivil. Dan apa yang mengecewakan saya adalah kerana media di Malaysia tidak pernah cuba memperbesarkannya sebagaimana mereka cuba menggambarkan betapa teruknya hukuman yang dikenakan kepada Kartika. Ditonjolkan bagaimana sayunya Kartika yang telah insaf dengan memaparkan gambar dia berpeluk dengan ayahnya, bermain-main dengan anak-anaknya sambil menunggu untuk disebat, oh, betapa dia "teraniaya" dengan undang-undang Islam! Tidak pula mereka menulis misalnya, bagaimana mulianya Islam menjunjung tinggi akal, maruah serta keturunan manusia dan sebab itulah Allah melarang manusia meminum minuman yang boleh menyebabkan banyak kemusnahan itu atau bagaimana cara hukuman sebat dijalankan semata-mata untuk memberi pengajaran dan sebagai pencegahan, jauh sekali ingin mencedera atau menganiaya.

Kepada Norhayati Kaprawi (SIS), saya langsung tidak berbangga dengan anda, malah saya sangat malu, kecewa dan kesal dengan tulisan anda. Anda patut tahu, mereka lakukan itu semua bukan kerana membenci dan prejudis terhadap diri Kartika. Anda tidak perlu takut pada undang-undang hudud, kerana ia tidak menghukum orang sesuka hati tanpa bicara seperti ISA, malah beban pembuktiannya (burden of proof) adalah lebih tinggi berbanding dengan undang-undang jenayah sivil Malaysia sekarang. Saya faham jika anda ingin menunjukkan imej Islam yang lembut dan berhikmah, tetapi pada masa yang sama kita masih perlu mengambil dan meletakkan Islam itu sebagai Islam yang sebenar, bukan sebagaimana apa yang anda ingin imej Islam itu dilihat oleh rakan-rakan seperjuangan anda yang mempunyai keupayaan akal yang sangat terbatas. Kerana Islam bukan sekadar soal madani, hadhari atau soal hudud semata-mata, Islam itu komprehensif (syumul) dan ia mencakupi setiap aspek dalam kehidupan beragama.

Sunday, August 23, 2009

Sate Sebelum Ramadhan

Semalam saya rasa seperti berada di tanah air sendiri. Kami berhimpun dalam taman di sebuah rumah orang Malaysia di Islamabad dan menyediakan pelbagai juadah kebiasaan orang Malaysia. Sambil perempuan di dapur mengukus roti pau, menggoreng bihun dan membakar kuih bakar, lelaki di depan halaman membakar sate. Tiada apa-apa yang kelihatan seperti di Islamabad atau Pakistan.


Dan pada hari Jumaat itu kami fikir ianya hari terakhir untuk kami bermakan-makan di siang hari, kerana pada hari Sabtu kebanyakan negara di Arab dan Asia sudah mula berpuasa. Tetapi itu tidak terjadi di Pakistan kerana kerajaannya mengumumkan hari Ahad (23 Ogos) sebagai 1 Ramadhan. Kadang-kadang saya rasa perkara itu tidak lojik, kerana semua jiran negara Pakistan di sebelah barat mahupun timur sudah mula berpuasa pada sehari sebelumnya.

Saya juga mendapat tahu bahawa beberapa di tempat di wilayah NWFP, dekat Peshawar juga telah mula berpuasa pada hari Sabtu. Tadi sewaktu bersolat terawih saya berjumpa dengan seorang pelajar warga Thailand yang mengaku dia mula berpuasa pada hari Sabtu, mengikut penetapan sebagaimana yang dibuat oleh pihak berkuasa Islam Thailand. Dia tidak percaya dengan kaedah yang digunakan oleh kerajaan Pakistan dalam menetapkan hari permulaan Ramadhan. Dari satu segi saya rasa pemimpin Islam di Pakistan telah gagal menyatukan orang Islam di Pakistan. Tiada keseragaman. Dan pihak berkuasa nampaknya tidak cuba untuk menjadi orang tengah dan mencari alternatif atau jalan tengah bagi menyelesaikan masalah ketidakseragaman ini.

Petang tadi saya menerima dua jadual waktu berbuka dan sahur, satu diterima dari masjid dan satu lagi dihantar oleh seseorang ke dalam peti surat rumah saya. Dan kedua-duanya tidak sama dari segi tarikh permulaan puasa, waktu berbuka dan waktu tamat sahur. Inilah pengalaman pertama saya berpuasa di perantauan dan saya akan memulakannya pada hari Ahad- 23 Ogos, yang juga merupakan hari ulangtahun kelahiran Mawar.

Diucapkan selamat menyambut Ramadhan kepada semua pembaca dan selamat hari lahir kepada Mawar. Ramadhan mubaarak!

Wednesday, August 19, 2009

Kenapa "Syukria" ?

"Syukria" bermaksud terima kasih. Tetapi jika anda menolong atau berbuat sesuatu kebaikan kepada orang Pakistan, jangan langsung mengharapkan mereka untuk berkata "syukria" atau terima kasih kepada anda kerana jika anda berharap maka selepas itu anda cuma akan menjadi kecewa. Orang di sini sangat sukar menyebut perkataan seperti terima kasih, mohon maaf atau izin (sorry, excuse me) dan sebagainya. Bagaikan sudah menjadi kebiasaan kepada mereka untuk tidak menggunakan perkataan-perkataan seperti itu walaupun wujud perkataan yang seerti dengannya dalam bahasa Urdu mereka. Melalui pengalaman, saya mendapati orang Pakistan juga sangat sukar untuk mengaku sesuatu kesilapan mereka walaupun sudah terang-terang memang mereka yang silap. Dengarlah sahaja seribu macam alasan yang akan mereka berikan.

Suatu hari hari saya bertanya kepada pemandu saya, "kenapa kamu tidak pernah mengucapkan terima kasih pada pengawal keselamatan (jaga) sebelah rumah kita yang selalu membukakan pintu pagar untuk kita?" Dia hanya diam dan tersenyum. Sebenarnya dia juga tidak pernah menyebut perkataan terima kasih atau maaf kepada saya. Apa yang membuatkan saya lebih hairan, keesokan harinya kawan Malaysia saya memberitahu kepada saya, "pemandu kamu bertanyakan kepada saya, kenapa kita mesti ucapkan terima kasih kepada orang lain?" Dan teruklah pemandu saya terpaksa mendengar "kuliah" tentang budi bahasa dan adab sopan oleh kawan saya itu.

Saya benar-benar tidak faham kenapa begitu sukar untuk dia mengucapkan kata terima kasih kepada sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadanya, sehinggakan dia perlu mempersoalkannya kepada kawan saya tentang suruhan saya padanya supaya mengucapkan terima kasih. Selepas itu pun, dan sehingga ke hari ini saya belum pernah lagi mendengarnya mengucapkan terima kasih kepada jaga sebelah rumah kami yang sentiasa membuka dan menutup pintu pagar setiap kali kami keluar masuk dengan kenderaan.

Hanya saya seorang yang menurunkan tingkap kenderaan dan mengucapkan terima kasih kepada chukida (jaga) yang setia menolong saya. Sekurang-kurang seminggu sekali saya akan membelikan mereka makanan tengah hari atau malam sebagai tanda terima kasih. Ada empat orang kesemuanya, dua orang bertugas di rumah jiran sebelah kiri dan dua orang lagi di rumah berhadapan dengan kami. Dan keempat-empat orang jaga itu juga tidak pernah berkata terima kasih setiap kali saya memberikan mereka makanan. Tetapi sekarang saya sudah tidak kisah lagi, kerana saya sudah semakin mengenali Pakistan.

Tuesday, August 18, 2009

Burung Yang Terbang Melalui Kohat

Pertama kali melihatnya saya agak berkerut dahi, kerana jika di negara saya pemandangan sebegitu dirasakan tidak normal, malah memalukan. Tetapi tidak di sini. Jika ada dua orang lelaki yang berjalan atau bercakap sambil berpegangan tangan itu adalah perkara yang sangat biasa, dan tiada siapa pun peduli atau curiga mengenai perlakuan sebegitu. Bukan sahaja berpegangan tangan, tetapi kadang-kadang mereka juga berpelukan dan melakukan pelbagai jenis sentuhan yang mungkin menandakan betapa eratnya persahabatan mengikut norma di sini. Di tepi-tepi jalan atau di taman-taman awam kita seringkali dapat melihat pasangan lelaki berpegangan tangan dengan selamba. Malah tanpa segan silu mereka tidur di tempat awam di atas ribaan kawan lelaki dan diusap-usap rambut kawan di ribanya. Salah satu hobi orang Pakistan adalah duduk bersantai di atas rumput, malah jika ada rumput di atas pembahagi jalan pun, mereka sanggup duduk atau berbaring santai tanpa menghiraukan orang atau kenderaan yang lalu-lalang.

Jadi jika wujud dua orang lelaki yang bercinta di sini, masyarakat mungkin tidak tahu jika sebenarnya mereka mempunyai hubungan sulit kerana segala-galanya dilihat normal dan sudah tentu mereka tidak dapat membezakannya. Seorang kawan Pakistan memberitahu bahawa kadang-kadang terdapat juga kes jenayah homoseksual di sini dan media Pakistan juga pernah melaporkan kes-kes begitu yang dibicarakan di mahkamah. Paling teruk saya diberitahu, ianya melibatkan maulana yang mengajar di madrasah yang dituduh melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap muridnya di dalam masjid.

Terdapat sebuah daerah yang diberi nama Kohat yang terletak dalam wilayah NWFP. Kaum lelaki di situ dikatakan sangat suka "main belakang" dan saya pernah mendengar pelbagai cerita mengenainya sehinggakan ada satu jenaka yang kelakar mengenai tempat itu. Bahawa kaum lelaki di situ sangat buas nafsunya terhadap sesama lelaki lalu membimbangkan orang ramai yang berkunjung ke situ. Dan jika burung terbang melalui Kohat nescaya burung pun akan terbang dengan sebelah sayap sahaja kerana sebelah lagi akan digunakan untuk menutup bontotnya!

Saturday, August 15, 2009

Sudah 62 Tahun Merdeka

Semalam 14 Ogos 2009, merupakan hari ulang tahun kemerdekaan negara Pakistan yang ke-62. Saya tidak pergi bekerja semalam kerana hari tersebut merupakan hari cuti umum bagi seluruh negara Pakistan. Saya tidak ke mana-mana, cuma menghabiskan hari cuti umum tersebut dan hujung minggu dengan bermalas-malasan di rumah. Terasa seperti sangat ingin melihat Lahore atau Peshawar, atau tempat-tempat menarik seperti Kaghan-Naran atau lembah Swat, tetapi bila memikirkan keadaan cuaca yang sangat panas, bayi saya baru 4 bulan dan keadaan keselamatan serta ancaman-ancaman, maka saya terpaksa lupakan seketika rancangan tersebut.

Petang semalam selepas solat Maghrib Mawar mengajak ke kedai buku Saeed Book Bank di Jinnah Supermarket. Langsung kami tidak menyangka terdapat ramai orang di atas jalan raya dan kawasan sekitar Jinnah Supermarket, Sektor F7 kerana mereka masih lagi dalam semangat perayaan kemerdekaan negara mereka. Kerana kalau di negara saya orang akan menyambutnya pada tengah malam menjelang hari kemerdekaan tersebut. Tetapi di sini mereka menyambut terus menerus sehingga malam selepas hari 14 Ogos.

Kelihatan remaja-remaja bertenggek di tingkap kereta dengan kaki masuk ke dalam kereta dan badan ke luar dan kereta akan dipandu dengan megahnya melalui jalan-jalan yang menjadi tumpuan ramai. Muzik dalam kereta dipasang dengan kuat dan mereka melonjak-lonjak keriangan. Ada juga yang membuka bonet kereta dan dua atau tiga remaja akan duduk bertenggek di bonet kereta yang terbuka itu, dan biasanya kereta akan dipandu secara gila-gila bagi menarik perhatian orang ramai. Bendera negara Republik Islam Pakistan boleh dilihat di mana-mana dan juga dikibarkan di kenderaan yang lalu-lalang.

Di hadapan kedai buku Saeed Book Bank, kami melihat sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang dihias indah dengan kerlipan berwarna hijau dan putih mewakili bendera Pakistan. Seorang pemuda berdiri dalam kereta dan menjengah kepalanya dengan bangga melalui bumbung kereta yang dibuka. Lagu berbahasa Urdu (kedengaran sepeti lagu patriotik) dipasang dengan kuat dari kenderaan tersebut. Ramai orang mengambil gambar keretanya dan dia tersenyum dengan bangga sambil kadang-kadang melambai ke arah orang ramai. Mercun dan bunga api di sana-sini membuatkan keadaan bertambah bingit. Mereka menjadi semakin agresif, beberapa kumpulan pemuda sudah dibentuk di atas jalan, menari-nari dengan mengangkat kedua-dua belah tangan menunjuk-nunjuk ke arah langit. Yang menonton bertepuk tangan, bersiul dan bersorak.

Saya tidak fikir Embun perlu berada lebih lama di situ dan kami terus pulang ke rumah, sambil menyuruh pemandu saya lebih berhati-hati dengan dengan kereta-kereta yang dipandu oleh orang Pakistan yang sangat berbangga dengan peristiwa kemerdekaan negara mereka daripada penjajah, 62 tahun yang lepas.

Monday, August 10, 2009

Apa Yang Saya Suka Tentang Pakistan?

Buku
Di sini harga buku lebih rendah, jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Kedai buku terdapat di semua markaz di semua sektor, samada buku baru mahupun buku terpakai. Saya paling suka dengan kedai buku "Saeed Book Bank" yang terletak di Jinnah Supermarket, Sektor F7. Di situ terdapat pelbagai jenis buku dalam bahasa Inggeris dengan harga yang boleh membuat saya jadi seorang pemboros. Bayangkan novel bahasa Inggeris yang biasanya dijual dengan harga RM34.90 di Malaysia cuma berharga RS495.00 di sini, iaitu kira-kira RM21.50. Jika tidak kisah, boleh mencari buku yang serupa di kedai buku terpakai dan buku yang sama mungkin cuma berharga RS100 atau RS200. Dan kebanyakan buku-buku di sini biasanya sangat menarik perhatian saya dan Mawar.

Pakaian
Pakaian dan fabrik juga lebih murah di sini. Terutamanya material untuk dibuat baju kurta dan syarwal khamiz, material yang sama juga boleh dibuat baju melayu atau baju kurung. Dengan RS500.00 (RM21.70) saya sudah boleh dapatkan 4 meter kain kapas yang bermutu tinggi untuk dibuat sepasang kurta. Upah jahit sangat murah, untuk sepasang kurta atau syarwal khamiz hanya RS400 (RM17.40). Kasut jenama Hush Puppies pun diletakkan harga yang lebih rendah di sini. Contoh yang lain, seluar jeans jenama Levi's 501 boleh didapati dengan harga serendah RS3000.00 (RM130.40) di butik Levi's, begitu juga seluar Dockers yang harganya cuma RS1800.00 (RM78.20). Saya dengar kalau di Karachi Levi's dan Dockers lebih murah dari Islamabad, tapi saya sendiri belum pernah sampai di sana. Apa-apa yang berasaskan tekstil sangat murah di Pakistan, seperti kain cadar, sampul bantal, selimut, quilt cover dan sebagainya. Di Sektor G10 terdapat banyak kedai yang menjual material untuk dibuat kurta dan kami pernah gila berbelanja menghabiskan RS10,000.00 di satu kedai dalam masa sejam!

Buah-buahan
Saya sangat sukakan mangganya yang sangat manis dan sedap. Lebih sedap dari mangga yang biasa saya makan di Malaysia dan sekarang adalah musim mangga. Buah mangga sangat mudah didapati di tepi-tepi jalan dan di mana-mana bazar atau markaz. Saya selalu membeli mangga yang dijual dengan harga RS40 hingga 80 sekilo mengikut jenis masing-masing. Buah tembikai, laici, tembikai susu, anggur, epal dan aprikot boleh didapati dengan mudah dengan harga yang sangat murah. Tebu di sini juga menghasilkan air yang sedikit berlainan dengan air tebu di Malaysia, tambahan pula biasanya penjual air tebu akan menambahkan sedikit garam dan perahan asam limau ke dalam air tebu.

Ada penjual tembikai di sini yang tidak percaya bahawa wujud tembikai tanpa biji di Malaysia.
"Saya sudah 32 tahun berniaga buah tembikai saya tidak pernah dengar lagi ada buah tembikai tanpa biji di dunia ini", katanya dengan penuh yakin. Orang Pakistan memang begitu, mereka tidak terdedah dengan dunia luar dan hanya taksub dengan dunia mereka.

Karpet & perabot
Tentu sahaja karpet di sini lebih rendah harganya berbanding dengan Malaysia kerana Pakistan merupakan negara pembuat karpet selain dari jiran-jirannya seperti Iran dan Afghanistan. Saya rasa harga karpet di sini mungkin cuma separuh dari harganya di Malaysia. Sebut sahaja jenis dan saiz apa yang anda mahu semuanya ada, dengan harga yang sungguh menggoda! Begitu juga dengan perabot seperti set bilik tidur, sofa, almari, meja makan dan sebagainya. Set sofa (7 tempat duduk) yang sangat cantik dijual dengan harga tak sampai RM1000.00.

Pinggan mangkuk
Set pinggan mangkuk Corelle (12 orang, 76pcs) cuma berharga dalam RS13000.00 (kira-kira RM565.20). Set China Bone dan lain-lain jenama seperti Luminarc juga boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Barang-barang seramik yang cantik dan unik banyak terdapat di sini dalam pelbagai saiz. Kami baru sahaja menghabiskan RS22,000.00 (kira-kira RM956.50) untuk satu set Fine China Bone ekslusif (12 orang), sesuatu yang tidak pernah kami terfikir untuk lakukannya kalau kami berada di Malaysia.

Nampaknya semua perkara yang menarik di Pakistan adalah berkaitan dengan membeli-belah. Jadi barangkali saya akan menjadi lebih gembira tinggal di sini kalau mempunyai wang yang banyak. Dan saya pun rasa bahawa sekarang saya menjadi lebih boros berbelanja ditambah pula dengan matawangnya yang rendah dan membuatkan kita tidak begitu menghargainya walaupun nilainya sudah disebut beribu-ribu Rupee.

*Kadar tukaran wang asing sekarang adalah RM1.00 bersamaan dengan RS23.00.

Sunday, August 09, 2009

Jejaka Pashtun

Ada seorang jejaka Pashtun* yang tinggal berjiran dengan kami sangat meminati anak perempuan kami Embun. Dia agak rapat dengan saya kerana kami selalu berjumpa di masjid dan kadang-kadang kami keluar bersama bersiar-siar. Pada suatu petang selepas saya dan dia sama-sama berjalan pulang dari masjid, dia meminta kebenaran saya untuk berjumpa sekejap dengan Embun di laman hadapan rumah saya. Dia tunggu di hadapan pintu rumah saya sementara saya masuk dulu ke dalam rumah untuk memastikan jika Embun bersedia untuk berjumpa dengannya. Kemudian saya benarkannya masuk ke dalam rumah dan duduk di ruang tamu. Saya benarkan Embun untuk bermain-main dengannya. Tanpa segan-silu jejaka Pashtun itu memberitahu saya dia sangat sukakan anak saya kerana anak saya sungguh comel.

Keesokannya emak jejaka Pashtun itu datang ke rumah saya. Dia juga memberitahu saya bahawa anak terunanya sangat menyukai Embun dan berharap dapat membawanya pulang ke rumah mereka sekali-sekala. Saya belum berikan jawapan kepada emaknya.


*Pashtun adalah kumpulan etnik kedua terbesar di Pakistan, membentuk kira-kira 15.42% daripada keseluruhan populasi Pakistan. Mereka bertutur dalam bahasa Pashto dan kebanyakannya tinggal di Wilayah NWFP. Pashtun juga dikenali sebagai Pathan atau Pakhtun. Mereka berkulit lebih cerah, tinggi dan mempunyai rupa yang lebih cantik atau handsome berbanding dengan etnik-etnik lain. Sangat mementingkan maruah keluarga, kaum perempuan biasanya hanya tinggal di rumah dan jika perlu keluar mereka akan menutup muka samada dengan burqa atau dupata. Tidak ada istilah bercinta sebelum berkahwin bagi mereka dan perkahwinan biasanya diaturkan sepenuhnya oleh orang tua.

Tuesday, August 04, 2009

Dua Orang Kenalan

Saya tidak pernah bertegur sapa dengan sesiapa pun sewaktu ke masjid yang berhampiran dengan rumah saya, kecuali jika ada orang yang menegur saya terlebih dahulu. Kerana saya tidak berbahasa Urdu jadi saya agak keberatan untuk memulakan perbualan, kerana saya tidak tahu siapa yang boleh berbahasa Inggeris dan siapa yang tidak. Setakat ini cuma dua orang yang menegur saya.

Pertama, seorang pemuda yang berusia 25 tahun yang sangat fasih berbahasa Inggeris. Dia orang Pakistan tetapi saya tidak pernah melihatnya memakai pakaian kebiasaan orang Pakistan iaitu Syarwal Khamiz atau Kurta. Sewaktu pertama kali dia menegur saya, dia memang menyapa saya dalam bahasa Inggeris. Dia agak terkejut apabila saya memberitahunya saya tidak datang dengan ibu bapa, tetapi datang sendiri kerana bekerja di sini. Dia menjadi lebih terkejut apabila saya memberitahu saya sudah berusia 27 tahun, datang ke Pakistan dengan isteri dan seorang anak yang masih bayi kerana menurutnya saya kelihatan terlalu muda untuk itu semua. Kebanyakan orang Pakistan kelihatan lebih tua dari umur sebenar mereka.

Kedua, adalah seorang lelaki tua yang berkulit cerah dan juga bermisai putih. Dia kelihatan sangat peramah dan berpakaian kemas, kadang-kadang dia memakai syarwal khamiz. Setiap kali dia masuk ke masjid dia akan memandang ke arah semua jamaah dan bersalam dengan beberapa orang jemaah. Bersalaman di masjid samada sebelum dan selepas solat bukan menjadi satu budaya di sini. Sewaktu pertama kali berjumpa, lelaki tua itu menyapa saya dalam bahasa Urdu. Kemudian dia memberitahu bahawa dia adalah seorang pesara tentera berpangkat tinggi, pernah menjadi duta di beberapa buah negara asing. Tidak hairanlah caranya bersosial agak lain dari kebanyakan orang-orang Pakistan di masjid itu.

Tetapi lelaki tua itu sebenarnya mempunyai masalah ingatan. Kali kedua dia menegur saya, dia bertanyakan perkara yang sama, dari mana saya berasal dan apa yang saya buat di Pakistan. Dia telah memberikan saya kad namanya kepada saya dan sehari selepas itu dia ingin memberikan lagi. Setiap kali berjumpa dia akan bertanyakan benda yang sama dan apabila saya memberitahu dia akan meminta maaf. Katanya dia memang mempunyai masalah ingatan dan sukar untuk mengingati peristiwa yang telah berlaku dan apa yang telah dia lakukan. Kadang-kadang sebelum solat dia bertanya, "waktu solat apa sekarang?" Dia juga selalu meminta saya mendoakan untuk kesihatannya. "Saya sudah tua dan selalu lupa, jangan lupa berdoa untuk saya supaya saya sihat".

Suatu hari dia memanggil lelaki muda berusia 25 tahun yang mula-mula menegur saya itu dan memperkenalkannya kepada saya, lelaki muda itu adalah sebenarnya anaknya! Kami memberitahunya bahawa kami telah mengenali antara satu sama lain. Satu kebetulan, hanya dua orang yang pernah bercakap dengan saya dan rupa-rupanya mereka adalah seorang ayah dan anaknya. Keesokannya lelaki tua itu duduk di sebelah saya lagi dan kami berbual seketika. Selepas itu dia memanggil lelaki muda anaknya itu dan hendak memperkenalkannya sekali lagi kepada saya. Kami cuma berpandangan dan tersenyum. Saya berasa sangat kasihan dan bersimpati dengan ayahnya.

Sunday, August 02, 2009

Mansuhkan ISA!

Saya berasa sangat marah, sedih dan kecewa dengan tindakan polis dalam mengendalikan peserta perhimpunan aman anti-ISA di Kuala Lumpur semalam. Mereka jelas kelihatan angkuh, bodoh dan melanggar hak asasi manusia untuk berhimpun secara aman. Padahal perlembagaan persekutuan dengan jelas memperuntukkan hak untuk warganegara Malaysia berhimpun secara aman. Saya tidak pasti jika polis Malaysia sememangnya terlalu bodoh untuk memahami perkara tersebut atau mungkin ada sesiapa di belakang polis yang menggalakkan mereka untuk menjadi kejam, zalim, ganas dan tidak bertamadun seperti itu. Dari sini saya menyaksikan pelbagai saluran berita antarabangsa yang menyiarkan bagaimana perlakuan polis tersebut dan sudah tentu seluruh dunia dapat melihatnya.

Peserta perhimpunan tersebut tidak membawa apa-apa senjata, mereka hanya datang dengan beberapa lencana atau kain rentang yang tertulis slogan-slogan anti-ISA kerana mereka menentang undang-undang zalim yang sering disalahgunakan itu. Tetapi polis telah mengasari berlebih-lebihan atas alasan bahawa itu adalah berhimpunan haram. Al-jazeera dengan berani mendedahkan tindakan bodoh dan ganas pihak polis dan FRU. Dan saya percaya seperti selalunya RTM dan TV3 hanya akan mengulas bahawa perhimpunan aman itu (mereka gunakan perkataan perhimpunan haram) telah menyebabkan kesesakan lalulintas, peniaga-peniaga kerugian dan kerosakan harta benda awam. Pemilik media perdana mempunyai pemikiran yang sangat sempit dan dangkal, mereka tidak mampu berfikir lebih jauh dan di luar kotak kebiasaan dan keselesaan mereka.

Rakyat berhimpun untuk menyuarakan pendapat mereka bahawa undang-undang ISA patut dimansuhkan kerana sememangnya ia satu peraturan yang tidak adil dan mudah sekali untuk disalahgunakan oleh pihak berkuasa. Bayangkan seorang menteri (badan eksekutif) diberikan kuasa untuk menahan seseorang yang disyakki terlibat dalam kegiatan yang mengancam keselamatan tanpa perlu melalui proses penghakiman seperti pertuduhan, perbicaraan dan sebagainya. Malah mangsa juga tidak perlu diberitahu apa silapnya dan boleh ditahan seberapa lama yang menteri mahu.

Tambah-tambah sebagai seorang muslim, sudah barang tentulah saya bencikan undang-undang yang tidak islamik seperti ini. Kerana agama saya mengajar bahawa tidak ada orang yang boleh dihukum oleh sesiapa kecuali telah dibuktikan bersalah dengan mengikut prosedur-prosedur tertentu sebagaimana yang telah digariskan dalam sumber-sumber perundangan Islam. Undang-undang sivil yang sekular juga berpegang kepada prinsip ini. Dan saya betul-betul tidak faham apakah yang terdapat dalam fikiran orang yang bermati-matian mempertahankan ISA.