Monday, February 16, 2009

Gambar Bogel Elizabeth Wong

Saya berasa terkejut dan bagaikan tidak percaya perempuan itu telah membuat komen yang sedemikian mengenai isu gambar bogel Elizabeth Wong kerana saya fikir dia seorang menteri yang liberal dan berfikiran terbuka, sementelah dia merupakan seorang pengamal undang-undang sebelum dia menjadi menteri. Dia telah mendesak bahawa Elizabeth Wong perlu meletakkan jawatan sebagai EXCO dan ADUN kerana gambar tersebut akan memberikan gambaran yang tidak baik tentang kepimpinannya.

Fikirkan begini. Jika gambar bogel anda telah diambil secara curi-curi tanpa persetujuan anda oleh bekas teman wanita anda semasa anda tidur atau mandi, kemudian ianya telah disebarkan kepada orang awam tanpa kerelaan anda, adakah ianya akan memberikan gambaran yang tidak baik tentang prestasi anda sebagai seorang menteri pelancongan lalu anda merasakan anda perlu meletakkan jawatan?

Jika benar Elizabeth telah menjadi mangsa dalam isu tersebut, jadi sebagai seorang menteri yang berjantina perempuan anda sepatutnya melahirkan rasa simpati kepadanya dan mendoakan agar dia diberikan kekuatan dalam menghadapi masa yang sukar sebegitu. Wanita MCA pun melahirkan simpati mereka serta mengutuk pengedaran gambar bogel tersebut. Saya mendoakan perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada anda dan saudara perempuan anda dan semoga anda sentiasa berada dalam lindungan rahmat dan hidayatNya.

Kata Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan, "itu adalah nasib dia, ada ramai lagi orang yang mempunyai gambar bogel tetapi tidak tersiar, itu juga adalah nasib mereka". Beliau seterusnya mempersoalkan kenapa isu-isu moral seperti itu timbul di Malaysia sekarang, di mana silapnya. Jadi anda fikir bagaimana?

Sunday, February 15, 2009

Enam Belas Perkara

[Directions: Once you’ve been tagged, you have to write a blog with 16 random things, facts, habits or goals about you. At the end choose 16 people to be tagged, listing their names and why you chose them. Don’t forget to leave them a comment or tag them in your note to read this]
  1. Mempunyai seorang kembar seiras yang selalu memberi salah faham kepada kawan-kawan dan kenalan.
  2. Mempunyai kaki yang tidak sama panjang kesan daripada patah tulang kaki sebanyak dua kali semasa berumur 4 tahun dan 9 tahun.
  3. Mempunyai parut yang besar dan hodoh di bahagian belakang badan.
  4. Menyukai warna putih dan tidak gemar warna yang terlalu menyerlah.
  5. Peramah, (extrovert) mempunyai ramai kenalan tetapi tidak mempunyai kawan yang sangat rapat.
  6. Mempunyai personaliti dan watak yang sangat berbeza ketika bekerja dengan selepas waktu bekerja. Walaubagaimanapun, tidak suka mencampur adukkan urusan kerja dengan peribadi.
  7. Selesa memakai jeans, corduroy dan t-shirt yang ringkas. Berharap agar dapat memakai pakaian tersebut sewaktu bekerja.
  8. Percaya kepada ideologi Islam, sistem demokrasi dan hak-hak asasi. Berharap dapat mendamaikan system syura dan demokrasi, mendamaikan hak asasi sebagaimana yang difahami Islam dengan Barat yang sekular.
  9. Suka membaca buku tetapi sudah sangat kurang membaca sejak akhir-akhir ini, kesan daripada kebergantungan kepada internet. Merupakan seorang penulis blog yang setia dan berharap dapat mengekalkan membuat sekurang-kurangnya empat entri dalam masa sebulan.
  10. Berharap dapat membaca lebih banyak buku dalam koleksi sendiri, bahan-bahan bacaan ilmiah, fiksyen, bukan-fiksyen, terjemahan Quran, tafsir Quran dan koleksi Ihya’ Ulumuddin.
  11. Berharap kakitangan awam di Malaysia lebih berintegriti, kurangkan salahguna kenderaan untuk kepentingan peribadi, melayan orang awam dengan lebih mesra, kurangkan ‘curi tulang’ dengan keluar minum yang terlalu lama serta menghilangkan diri dari pejabat untuk melakukan hal-hal peribadi.
  12. Berharap dapat menghabiskan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah samada dalam bidang undang-undang perlembagaan, hak-hak asasi, perundangan antarabangsa, sosiologi atau linguistik.
  13. Berharap agar orang Malaysia lebih berkesedaran sivik, banyak membaca, tidak membuang sampah merata-rata, menggunakan tandas dengan betul serta menghayati ajaran agama masing-masing.
  14. Berharap dapat melihat sendiri negara dan rakyat Arab Saudi, Iran, Turki, Maghribi, Jepun, China, New Zealand, Afrika Selatan, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Maldives. Jika ada kemudahan teringin melakukan perjalanan secara “backpacking” dan mengambil foto-foto yang menarik.
  15. Berharap dapat selalu pergi berenang dan agar dunia lebih aman.
  16. Berharap diri sendiri menjadi lebih rajin untuk solat secara berjemaah di masjid dan menjadi seorang muslim dan warganegara Malaysia yang lebih baik.
Saya tidak berhasrat untuk meneruskan permainan ini dan tidak akan "tag" sesiapa. Maaf jua dipohon, Firjah.

Friday, February 06, 2009

Rampasan Kuasa Yang Memalukan

Bukan sedikit yang sangat kecewa dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin di Perak, mendapatkan kuasa dengan cara yang tidak bermoral dan tidak bermaruah lalu seolah-olah memberikan contoh yang sangat buruk kepada rakyat. Padahal moral yang baik, akhlak yang mulia, integriti yang tinggi sepatutnya bermula daripada pemimpin. Bukanlah saya kecewa kerana Pakatan Rakyat tidak menjadi kerajaan lagi kerana saya bukan orang Perak dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam Pakatan Rakyat, tetapi ini berkait rapat dengan soal moral dan integriti.

Kerana apa yang saya tahu keadilan itu bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi ia mesti dilihat untuk dilaksanakan (justice must not only be done, but it must be seen to done). Apalah salahnya membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya semula, itu lebih adil. Malah fakta yang harus diterima berdasarkan undi popular, seramai 442,660 pengundi di Perak telah mengundi untuk Pakatan Rakyat semasa PRU ke-12 berbanding 339,565 yang berpihak kepada BN, iaitu perbezaan sebanyak 43,095 undi. Jadi sekarang, serahkan kembali kepada rakyat untuk memilih pemimpin mana yang mereka suka, barulah selari dengan semangat demokrasi yang kita laung-laungkan. Jika BN ternyata bagus dan dipercayai pasti mereka akan kembali semula mendapatkan kuasa yang mereka sangat mahukan.

Individu yang bermoral tidak akan menyokong kumpulan yang tidak bermoral dan tidak berintegriti, sampai bila-bila pun. Rakyat juga sudah muak menonton berita kerajaan di RTM dan TV3, sudah bosan membaca Berita Harian dan Utusan Malaysia. Media sepatutnya bebas, bukan jadi alat propaganda orang-orang yang tidak berintegriti. Simpati saya bersama majoriti rakyat Perak yang cintakan demokrasi dan keadilan sejagat. Saya juga tengah bersedih sebagaimana mereka.

Monday, February 02, 2009

Pandan Laut Beach Resort





Kami telah dipelawa oleh pemilik Pandan Laut Beach Resort untuk merasai pengalaman bemalam di resort itu secara percuma dan kami telah menerimanya. Ianya sebuah tempat penginapan yang sangat ringkas dengan lanskap yang sangat semulajadi. Saya sangat suka akan kewujudan pohon-pohon renek seperti kemunting yang saya boleh kutip dan makan buah masaknya. Keseluruhan lanskapnya memang dihiasi dengan tumbuhan semulajadi yang sangat biasa tumbuh di tanah berpasir tepian pantai, ada pokok pandan laut, rhu, kelapa, keluduk dan sebagainya. Terdapat tiga jenis bilik chalet dan harganya berbeza mengikut saiz.

Resort ini terletak 50 KM dari Kuala Terengganu dan lebih kurang 20 KM dari Bandar Permaisuri. Terletak cuma lebih kurang 200 meter dari pantai yang sangat bersih sudah tentulah bila-bila masa saja boleh berkunjung ke pantainya. Juga terdapat kawasan lapang yang agak luas dalam kawasan resort tersebut jika anda berminat untuk melakukan aktiviti secara berkumpulan, BBQ, sukaneka mahupun untuk mendirikan khemah anda sendiri. Walaupun ia berdekatan dengan jalan besar tetapi rimbunan pokok-pokok semulajadi yang sengaja disimpan oleh pemiliknya telah membuatkan kita lupa seketika pada dunia luar, yang dilihat di hadapan mata adalah cuma pemandangan klasik tepi pantai yang hampir sempurna.

Awal pagi itu sesudah saja solat Subuh kami terus ke pantai menyaksikan matahari naik dari bawah garis horizon laut Cina Selatan. Dan bersarapan dalam gelak tawa di bawah rimbunan pohon jambu laut bersama tiupan bayu dari laut.


Pandan laut Beach Resort, Lot 390 Pantai Peranginan Rhu Sepuluh, 21010 Setiu Terengganu.
Tel: 0199345858, 0129524725, 0139595434

Tiada Renang


Jika ke tepi Pantai Batu Burok Kuala Terengganu anda pasti akan dapat melihat beberapa papan tanda yang bertulis "AMARAN: DILARANG MANDI DI KAWASAN INI". Di pantai yang sama juga terdapat sebuah kompleks sukan akuatik baru yang sangat besar. Tetapi mereka tidak pernah membukanya kepada orang ramai untuk berenang di situ, hanya digunakan sekali sewaktu Sukan Malaysia (SUKMA XII 2008) pada tahun lepas.

Jadi di mana orang Batu Burok hendak berenang?