Saya berasa terkejut dan bagaikan tidak percaya perempuan itu telah membuat komen yang sedemikian mengenai isu gambar bogel Elizabeth Wong kerana saya fikir dia seorang menteri yang liberal dan berfikiran terbuka, sementelah dia merupakan seorang pengamal undang-undang sebelum dia menjadi menteri. Dia telah mendesak bahawa Elizabeth Wong perlu meletakkan jawatan sebagai EXCO dan ADUN kerana gambar tersebut akan memberikan gambaran yang tidak baik tentang kepimpinannya.
Fikirkan begini. Jika gambar bogel anda telah diambil secara curi-curi tanpa persetujuan anda oleh bekas teman wanita anda semasa anda tidur atau mandi, kemudian ianya telah disebarkan kepada orang awam tanpa kerelaan anda, adakah ianya akan memberikan gambaran yang tidak baik tentang prestasi anda sebagai seorang menteri pelancongan lalu anda merasakan anda perlu meletakkan jawatan?
Jika benar Elizabeth telah menjadi mangsa dalam isu tersebut, jadi sebagai seorang menteri yang berjantina perempuan anda sepatutnya melahirkan rasa simpati kepadanya dan mendoakan agar dia diberikan kekuatan dalam menghadapi masa yang sukar sebegitu. Wanita MCA pun melahirkan simpati mereka serta mengutuk pengedaran gambar bogel tersebut. Saya mendoakan perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada anda dan saudara perempuan anda dan semoga anda sentiasa berada dalam lindungan rahmat dan hidayatNya.
Kata Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan, "itu adalah nasib dia, ada ramai lagi orang yang mempunyai gambar bogel tetapi tidak tersiar, itu juga adalah nasib mereka". Beliau seterusnya mempersoalkan kenapa isu-isu moral seperti itu timbul di Malaysia sekarang, di mana silapnya. Jadi anda fikir bagaimana?