Tuesday, November 30, 2010

Secebis Kisah Keberterusan Hidup

Setiap hari sambil melakukan latihan saya berbual-bual dengannya. Dia selalu bercerita tentang Afghanistan negara asalnya dan Pakistan tempat tinggal dia sekarang. Jurulatih saya di gymnasium itu masih berwarganegara Afghanistan walaupun dia telah tinggal di sini (Pakistan) sejak tahun 1992 lagi, setelah ibu saudaranya mati terkena roket semasa perang Soviet di akhir 1991 di Kabul. Sejak dari itu seluruh keluarganya yang berketurunan Tajik itu pun berhijrah sebagai pelarian di Pakistan dan menetap di Islamabad. Pada masa itu dia baru berumur 15 tahun dan dia tidak pernah ke sekolah lagi selepas itu. Sekarang dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dan tinggal bersama ibu bapanya yang sudah tua.

Pada malam itu saya mengajaknya makan malam di restoran Nando's. Saya memandu sendiri kereta saya dan menjemputnya di depan gymnasium tempat kerjanya itu. Setelah dia memasuki kereta saya mencadangkan supaya dia memakai tali pinggang keledar kerana kereta itu akan berbunyi secara automatik sekiranya tali pinggang tidak dipakai. Saya lihat dia terkial-kial dan terbelit-belit hendak memakainya dan akhirnya baru saya perasan dia memang tidak tahu bagaimana cara hendak memakainya. Saya memberitahu satu persatu tentang bagaimana cara hendak memakainya dan akhirnya terpaksa memberhentikan kereta untuk membantunya memakai tali pinggang. Dia memberitahu saya seumur hidupnya dia tidak pernah memakai tali pinggang keledar. Lalu saya tidak rasa ianya lucu lagi, malah saya berasa sedih. Tetapi saya cuma berpura-pura tidak mendengarnya dan meneruskan pemanduan.

Sesampainya di restoran dia memberitahu saya sudah dua tahun dia tidak ke Supermarket Markaz F6 yang cuma berjarak 3km dari gymnasium kerana dia terlalu sibuk bekerja dan mencari duit. Dan sudah tentu saya tahu dia tidak pernah memasuki restoran itu juga dan tidak tahu hendak memesan makanan apa. Saya memesan makanan untuk dia, sama seperti makanan saya. Sengaja saya makan menggunakan tangan kerana saya lihat dia kekok untuk makan dengan garfu serta pisau dan selepas itu memang dia ikut makan dengan tangan dengan selesa sekali. Dan apabila saya sudah habis saya lihat dia bagaikan tidak kecukupan dan saya terus memesan makanan lagi untuknya. Pada mulanya dia menolak keseganan tetapi saya berkeras untuk memesannya. Dan keputusan saya adalah betul kerana dia menghabiskannya dengan cepat sekali. Padanlah dengan badannya yang berketul-ketul penuh dengan otot-otot sasa itu.

Buat seketika saya menjadi tidak kisah dengan yuran yang agak mahal yang dikenakan kepada saya iaitu Rs5000 sebulan, sedangkan dia cuma mengenakan Rs3000 kepada kawan baik saya orang Pakistan yang memperkenalkannya kepada saya, mungkin semata-mata kerana saya orang asing yang dianggap kaya. Apabila saya meminta pengurangan akhirnya dia mengatakan Rs4500. Dia belum pulangkan Rs500 baki kepada saya dan saya juga serba salah untuk memintanya selepas peristiwa di malam itu. Tetapi tadi dia bersetuju bahawa yuran saya akan menjadi Rs4000 untuk bulan seterusnya kerana saya mengugut untuk bertukar ke gym dan jurulatih lain. Dia menyebut satu pepatah Urdu kepada saya yang bermaksud, "makanan saya adalah dari kamu", jadi sekarang dia tidak harus menolak permintaan saya.

Betapa kesukaran hidup mampu membuat manusia menjadi tamak dan malah jahat, walaupun pada asalnya dia tidaklah berniat untuk menjadi orang yang tidak jujur. Saya tahu dia sangat baik dan dia selalu berbicara tentang Islam kepada saya (bagaikan saya ini bukan Muslim) dan cita-citanya untuk diterima sebagai pelarian di sebuah negara yang lebih baik seperti Amerika atau England. Dan siapalah kita hendak menafikan rezeki dan haknya untuk terus hidup. Tetapi di negara seperti ini kita juga perlu berani dan bijak untuk tidak diambil kesempatan oleh orang-orang dalam kesempitan yang sememangnya licik.

Wednesday, November 24, 2010

Menanti Adik Embun

Embun bagaikan tidak sabar-sabar lagi menantikan adiknya yang akan tiba tidak lama lagi, sampai terbawa-bawa dalam mimpinya. Suatu pagi kami terdengar dia menyebut baby semasa dalam tidurnya. Saya fikir dia benar-benar faham apa maksud baby, walaupun kadang-kadang dia menepuk dan menggosok perut sendiri sambil menyebut "baby baby". Agaknya Embun keliru antara perut dan bayi kerana Mawar selalu memberitahu Embun terdapat bayi dalam perutnya. Tetapi apabila melihat bayi di kaca TV atau semasa bersiar-siar di luar rumah dia juga menyebut baby, membuatkan saya yakin dia tahu apa maksudnya.

Saya juga sudah bermimpi bahawa adik Embun itu sudah lahir ke dunia. Saya melihat rupanya seakan-akan Embun. Selepas hari saya bermimpi itu saya juga menjadi seperti Embun, tak sabar-sabar mahu menyambut anak kedua saya itu. Dan selepas itu juga baru saya perasan saya tidak pernah menulis tentang kandungan adik Embun, tidak seperti bagaimana saya menulis tentang Embun semasa dalam kandungan dulu. Tetapi mungkin juga kerana kandungan kedua ini tidak mempunyai masalah seperti dulu. Mawar tidak alahan dan tidak pernah muntah untuk kali ini dan kedudukan uri juga adalah normal. Lagipun kandungan ini adalah untuk kali kedua, sudah tentu tidak sama dengan yang pertama dulu. Saya juga sudah jarang-jarang membelek "What to Expect When You're Expecting" milik Mawar yang dibacanya bagaikan kitab itu, kalau dulu saya rajin membacanya.

Kali ini kami tidak perlu ke klinik dan hospital kerajaan lagi. Ianya satu rahmat, alhamdulillah. Saya tidak perlu mendengar komplen Mawar balik dari klinik dengan muka masam mencuka dan mengadu tentang macam-macam perkara yang menyakitkan hatinya mengenai perilaku dan tuturkata jururawat, dan Doktor Wong di Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu. Oh, cerita tentang Doktor Wong adalah bagai satu mimpi ngeri! Saya harap dia sudah berhenti menjadi doktor.

Di Islamabad ini kami mempunyai doktor tetap di klinik swasta yang akan memeriksa kandungan Mawar pada setiap bulan. Namanya Tehmina dan dia adalah seorang doktor yang pernah berkhidmat dalam tentera. Orangnya tinggi lampai berkerangka besar, tetapi sangat peramah dan sikapnya sangat menyenangkan. Doktor Tehmina terkejut apabila kami memberitahu bahawa di Malaysia kadang-kadang perempuan terpaksa bersalin dengan doktor lelaki (malah berlainan agama) dan akan diherdik kalau membuat permintaan khas untuk mendapatkan doktor wanita sahaja. Mungkin kerana di Pakistan mereka mempunyai ramai sekali doktor perempuan di bidang perbidanan dan mereka langsung tidak mempunyai masalah tersebut. Bersalin dengan seorang doktor lelaki mungkin sesuatu yang tidak masuk akal untuk perempuan Pakistan, beruntunglah mereka dari segi itu. InshaAllah mawar akan bersalin dengan Doktor Tehmina yang kelihatan sangat meyakinkan itu.

Menara Saudi Pak Islamabad- Klinik Medicsi di Tingkat 1

Sehingga hari ini kandungan Mawar sudah memasuki minggu ke 37 dan ini bermakna adik Embun boleh tiba bila-bila masa sahaja. Bagaimanalah nanti agaknya reaksi Embun apabila dia melihat ada orang baru yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Semoga Embun menjadi kakak baik yang bijak.

Wednesday, November 10, 2010

Pembantu Rumah Saya dan Agamanya

Tengah hari tadi setibanya saya di rumah, seperti biasa dia menyapa saya dengan salam. Saya sibuk bercakap dengan ibu mertua saya sehingga tidak perasan salamnya. Tiga kali dia memberi salam, barulah saya sedar dan terus menjawabnya.

Dan dia berkata kepada saya, "Tuan, sudah 3 kali saya ucapkan salam".
"Ya, maaf, saya tidak perasan", saya tersenyum dan hampir malu kerana tidak mengambil berat pada salamnya.

Rita pembantu rumah saya adalah seorang Kristian. Dan sebagai seorang yang dibesarkan di Malaysia selalunya saya tidak pernah mengharapkan salam daripadanya kerana saya terbiasa mengucap selamat pagi, tengah hari dan sebagainya. Tetapi di Pakistan, salam menjadi milik semua orang, tidak kira agama mereka samada Islam, Kristian atau Hindu. Setiap kali sebelum masuk ke rumah Rita akan memberi salam kepada kami dan begitulah juga apabila saya baru balik ke rumah, Rita akan menyapa saya dengan pertama memberi salam. Sebelum pulang dia akan mengucapkan Allah hafiz.

Satu perkara yang menarik tentang Rita adalah kerana dia selalu menyebut nama Allah. Saya fikir dia adalah seorang Kristian yang sangat taat. Perkataan seperti Allah, Ya Allah, Bismillah, Allah ka Shukr, MashaAllah, selalu meniti di bibirnya. Setiap kali dia memuji Embun dia akan berkata mashaAllah dan setiap kali dia melihat Embun hendak melakukan sesuatu mulutnya seraya berkata bismillah. Apabila saya bertanya khabarnya, dia akan membalas Allah ka shukr (syukur pada Allah). Apabila mengeluh dia akan menyebut Allah dalam keluhan dalamnya. Pendeknya Allah selalu meniti bibirnya. Dan tentu Rita akan terkejut kalau saya memberitahunya di Malaysia orang Kristian tidak dibenarkan menggunakan nama "Allah" dan malah tidak memberi salam dan tidak diberi salam.

Pakaian Rita juga sama seperti Muslim lain di Pakistan. Setiap hari dia memakai kurta dan Shalwar serta dupatta (selendang besar). Jika saya tiada di rumah dia akan tinggalkan selendang itu di mana-mana, tetapi apabila saya masuk ke dalam rumah dia akan cepat-cepat mengambil dupattanya dan meletakkannya di atas badan menutupi dadanya, malah kadang-kadang kepalanya. Dupatta adalah lambang kehormatan seorang wanita Pakistan.

Tadi ibu mertua saya merungut, "Rita itu selalu sahaja menyebut "Allah", tetapi mama tidak pernah lihat dia solat".

"Mama, kerana dia seorang Kristian, bukannya Muslim". Setelah hampir sebulan Rita bekerja dengan kami, baharu itulah dia tahu Rita sebenarnya bukan seorang Muslim.