Wednesday, November 10, 2010

Pembantu Rumah Saya dan Agamanya

Tengah hari tadi setibanya saya di rumah, seperti biasa dia menyapa saya dengan salam. Saya sibuk bercakap dengan ibu mertua saya sehingga tidak perasan salamnya. Tiga kali dia memberi salam, barulah saya sedar dan terus menjawabnya.

Dan dia berkata kepada saya, "Tuan, sudah 3 kali saya ucapkan salam".
"Ya, maaf, saya tidak perasan", saya tersenyum dan hampir malu kerana tidak mengambil berat pada salamnya.

Rita pembantu rumah saya adalah seorang Kristian. Dan sebagai seorang yang dibesarkan di Malaysia selalunya saya tidak pernah mengharapkan salam daripadanya kerana saya terbiasa mengucap selamat pagi, tengah hari dan sebagainya. Tetapi di Pakistan, salam menjadi milik semua orang, tidak kira agama mereka samada Islam, Kristian atau Hindu. Setiap kali sebelum masuk ke rumah Rita akan memberi salam kepada kami dan begitulah juga apabila saya baru balik ke rumah, Rita akan menyapa saya dengan pertama memberi salam. Sebelum pulang dia akan mengucapkan Allah hafiz.

Satu perkara yang menarik tentang Rita adalah kerana dia selalu menyebut nama Allah. Saya fikir dia adalah seorang Kristian yang sangat taat. Perkataan seperti Allah, Ya Allah, Bismillah, Allah ka Shukr, MashaAllah, selalu meniti di bibirnya. Setiap kali dia memuji Embun dia akan berkata mashaAllah dan setiap kali dia melihat Embun hendak melakukan sesuatu mulutnya seraya berkata bismillah. Apabila saya bertanya khabarnya, dia akan membalas Allah ka shukr (syukur pada Allah). Apabila mengeluh dia akan menyebut Allah dalam keluhan dalamnya. Pendeknya Allah selalu meniti bibirnya. Dan tentu Rita akan terkejut kalau saya memberitahunya di Malaysia orang Kristian tidak dibenarkan menggunakan nama "Allah" dan malah tidak memberi salam dan tidak diberi salam.

Pakaian Rita juga sama seperti Muslim lain di Pakistan. Setiap hari dia memakai kurta dan Shalwar serta dupatta (selendang besar). Jika saya tiada di rumah dia akan tinggalkan selendang itu di mana-mana, tetapi apabila saya masuk ke dalam rumah dia akan cepat-cepat mengambil dupattanya dan meletakkannya di atas badan menutupi dadanya, malah kadang-kadang kepalanya. Dupatta adalah lambang kehormatan seorang wanita Pakistan.

Tadi ibu mertua saya merungut, "Rita itu selalu sahaja menyebut "Allah", tetapi mama tidak pernah lihat dia solat".

"Mama, kerana dia seorang Kristian, bukannya Muslim". Setelah hampir sebulan Rita bekerja dengan kami, baharu itulah dia tahu Rita sebenarnya bukan seorang Muslim.

7 comments:

ana said...

mungkin encik boleh membawa dia kepada agama Islam

kelisa_samudera said...

ibu mertua berada di pakistan?

Nafastari said...

Ana,
Ya mungkin, kalau dia mahu.

Kelisa S,
Ya, dia tinggal dengan kami sehingga Mawar bersalin nanti.

Hartini Omar said...

saya pernah menonton sebuah filem epik 'kingdom of heaven' tentang perjuangan islam mencapai kemenangan di jurusalem

di dalam filem tersebut, watak 'salahuddin al ayubi' memberikan salam dan menerima salam dari counterpartnya yang beragama kristian

saya melihat keharmonian dalam salam yg kononnya hanya milik org islam. salam mendekatkan dan menenangkan

after all, jika diterjemahkan dalam bahasa inggeris atau melayu, salam'alaik hanya bermaksud 'peace be upon you' atau 'sejahtera atas kamu'

ia sebenarnya satu doa. apalah salah mendoakan sesama manusia

p/s: komen saya hanya berdasarkan kecetekan ilmu sy tentang hukum memberi salam pada org kafir. minta dibetulkan andai ada kekhilafan

Nafastari said...

Hartini Omar,
Saya sependapat dengan kamu.

ashrafi said...

Dia mendoakan saudara...

Aishah Jamal said...

Mana tahu satu hari nanti dengan izin Allah swt dia akan beralih arah pada ISLAM.