Wednesday, November 24, 2010

Menanti Adik Embun

Embun bagaikan tidak sabar-sabar lagi menantikan adiknya yang akan tiba tidak lama lagi, sampai terbawa-bawa dalam mimpinya. Suatu pagi kami terdengar dia menyebut baby semasa dalam tidurnya. Saya fikir dia benar-benar faham apa maksud baby, walaupun kadang-kadang dia menepuk dan menggosok perut sendiri sambil menyebut "baby baby". Agaknya Embun keliru antara perut dan bayi kerana Mawar selalu memberitahu Embun terdapat bayi dalam perutnya. Tetapi apabila melihat bayi di kaca TV atau semasa bersiar-siar di luar rumah dia juga menyebut baby, membuatkan saya yakin dia tahu apa maksudnya.

Saya juga sudah bermimpi bahawa adik Embun itu sudah lahir ke dunia. Saya melihat rupanya seakan-akan Embun. Selepas hari saya bermimpi itu saya juga menjadi seperti Embun, tak sabar-sabar mahu menyambut anak kedua saya itu. Dan selepas itu juga baru saya perasan saya tidak pernah menulis tentang kandungan adik Embun, tidak seperti bagaimana saya menulis tentang Embun semasa dalam kandungan dulu. Tetapi mungkin juga kerana kandungan kedua ini tidak mempunyai masalah seperti dulu. Mawar tidak alahan dan tidak pernah muntah untuk kali ini dan kedudukan uri juga adalah normal. Lagipun kandungan ini adalah untuk kali kedua, sudah tentu tidak sama dengan yang pertama dulu. Saya juga sudah jarang-jarang membelek "What to Expect When You're Expecting" milik Mawar yang dibacanya bagaikan kitab itu, kalau dulu saya rajin membacanya.

Kali ini kami tidak perlu ke klinik dan hospital kerajaan lagi. Ianya satu rahmat, alhamdulillah. Saya tidak perlu mendengar komplen Mawar balik dari klinik dengan muka masam mencuka dan mengadu tentang macam-macam perkara yang menyakitkan hatinya mengenai perilaku dan tuturkata jururawat, dan Doktor Wong di Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu. Oh, cerita tentang Doktor Wong adalah bagai satu mimpi ngeri! Saya harap dia sudah berhenti menjadi doktor.

Di Islamabad ini kami mempunyai doktor tetap di klinik swasta yang akan memeriksa kandungan Mawar pada setiap bulan. Namanya Tehmina dan dia adalah seorang doktor yang pernah berkhidmat dalam tentera. Orangnya tinggi lampai berkerangka besar, tetapi sangat peramah dan sikapnya sangat menyenangkan. Doktor Tehmina terkejut apabila kami memberitahu bahawa di Malaysia kadang-kadang perempuan terpaksa bersalin dengan doktor lelaki (malah berlainan agama) dan akan diherdik kalau membuat permintaan khas untuk mendapatkan doktor wanita sahaja. Mungkin kerana di Pakistan mereka mempunyai ramai sekali doktor perempuan di bidang perbidanan dan mereka langsung tidak mempunyai masalah tersebut. Bersalin dengan seorang doktor lelaki mungkin sesuatu yang tidak masuk akal untuk perempuan Pakistan, beruntunglah mereka dari segi itu. InshaAllah mawar akan bersalin dengan Doktor Tehmina yang kelihatan sangat meyakinkan itu.

Menara Saudi Pak Islamabad- Klinik Medicsi di Tingkat 1

Sehingga hari ini kandungan Mawar sudah memasuki minggu ke 37 dan ini bermakna adik Embun boleh tiba bila-bila masa sahaja. Bagaimanalah nanti agaknya reaksi Embun apabila dia melihat ada orang baru yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Semoga Embun menjadi kakak baik yang bijak.

6 comments:

kelisa_samudera said...

anak adalah permata yg sgt menyejukkan hati. dulu saya ada berniat untuk menjarakkan anak saya, tetapi sekarang tidak lagi. siapa, bila dan bagaimana mereka hadir adalah rezeki yg perlu dihargai. saya berdoa supaya saya dapat menambah ahli baru kelak.

Anonymous said...

Bertuahnya kamu dalam usia yang muda bakal menimang 2 orang cahaya mata dan melihat kedua2 anak membesar di depan mata adalah sesuatu yang sangat membahagiakan.. Saya harap dan berdoa kepada Allah supaya saya juga turut dilimpahi kebahagiaan seperti kamu sekeluarga..

Hanie

amdang81 said...

Semoga semuanya selamat. Balqis sebelum ini, selepas Uminya menunjukkan perut menunjukkan baby di dalamnya, Balqis akan datang kepada saya untuk menggosok perut saya seolah-olah juga ada baby.. ;)

atbk said...

saya nak baby!!!!!

Anggeriksofea said...

Mat and wife,

Semoga segalanya selamat. Aku pun x sabar jugak nak tengok adik embun lepas baca entry ni...

Sangat excited!

Mince4AM said...

Tahniah dan semoga semuanya berjalan lancar, insyaAllahuTaala.

Aku suka gaya penulisan mung