Saturday, July 31, 2010

Islamabad Berkabung

Pagi itu mendung, hujan renyai-renyai dan kadang-kadang menjadi lebat. Saya berada di tempat kerja apabila tiba-tiba ada bunyi kapal terbang yang sangat kuat seolah-olah terbang sangat rendah. Langsung saya tidak menyangka kapal terbang itu sebenarnya sedang hilang kawalan dan beberapa minit selepas itu ia terhempas di bukit Margalla. Ada 152 nyawa di dalamnya dan kesemuanya meninggal dunia. Saya tinggal di kaki bukit Margalla dan kadang-kadang saya pergi mendaki Bukit Margalla itu sehingga ke puncaknya di Pir Sohawa.

Saya bagai hilang kata-kata tatkala mendengar berita tragedi itu. Sedih, pilu, simpati semuanya bercampur-baur. Dan sudah pastilah lebih teruk lagi perasaan keluarga kepada mangsa-mangsa yang terkorban. Tengah hari itu jalan raya menuju ke bukit Margalla penuh sesak dengan kenderaan. Saya mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke rumah kerana terpaksa melalui kesesakan yang teruk. Ramai orang keluar dari rumah mereka dan berada di tepi jalan, semuanya memandang ke arah bukit Margalla yang dipenuhi dengan asap tebal bercampur kabus. Beberapa helikopter berlegar-legar di atas bukit itu, menjalankan aktiviti menyelamat.

Di TV saluran berita tempatan semuanya membuat liputan secara langsung mengenai tragedi kapal terbang Air Blue yang terhempas dalam perjalanan dari Karachi ke Islamabad itu. Antara yang terkorban adalah pasangan pengantin baru yang baru tiga hari bernikah dan dalam perjalanan untuk berbulan madu ke Islamabad. Dan sebuah keluarga yang terdiri daripada 6 orang. Pelbagai cerita yang sungguh tragik dan menyayat hati disiarkan di pelbagai saluran berita yang terdapat di sini. Saya selalu membayangkan bagaimanalah jika saya adalah salah seorang yang berada dalam perut kapal terbang itu. Na’uzubillah.

Pada mulanya mereka mengumumkan 7 orang dijumpai masih bernyawa, ada saluran yang melaporkan 5. Tetapi sejam selepas itu menteri dalam negeri Pakistan mengumumkan kesemua mereka meninggal dunia dan kesemua mayat berjaya ditemui. Kerja-kerja membawa mayat keluar dari bukit itu diteruskan sehingga ke malam hari. Bunyi helikopter dan ambulans kedengaran dengan jelas dari rumah saya, silih berganti sehingga ke tengah malam.

Ini adalah satu hari yang sangat menyedihkan di Islamabad, kerajaannya telah mengumumkan Pakistan akan berkabung sehari . Saya pun masih lagi terkejut dan sukar untuk percaya bahawa kapal terbang itu sebenarnya jatuh di atas bukit di belakang rumah saya.

Wednesday, July 28, 2010

Kosher Dalam TG

Sewaktu menempah tiket kapal terbang untuk balik ke Malaysia pada bulan lepas saya sengaja menempah makanan Muslim dan telah berkali-kali mengingatkan pada ejen tiket tersebut. Tetapi seperti biasa, orang Pakistan selalunya sangat bodoh dan susah untuk mereka faham dan laksanakan apa yang kita mahu. Apa yang mereka tempah adalah makanan Kosher!

Terpaksalah kami mengadap makanan khas untuk orang Yahudi itu sewaktu dalam penerbangan Thai Airways dari Kuala Lumpur- Bangkok- Islamabad pada hari itu. Saya agak terkejut pada mulanya, tetapi menerima makanan tersebut dengan perasaan yang agak teruja. Kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan tentang makanan Kosher bahawa ia tidak mengandungi babi dan biasanya menjadi alternatif kepada Muslim apabila mereka gagal mendapatkan makanan halal di negara-negara bukan Islam.

Setelah membaca senarai bahan-bahan yang digunakan dan informasi yang disediakan pada kotak makanan tersebut, saya bertambah yakin bahawa ianya juga boleh dimakan oleh orang Islam yang mementingkan makanan Halal. Sepotong ikan Salmon bersama sedikit sayur-sayuran dan biskutnya juga adalah disahkan Kosher! Terdapat penerangan yang lengkap mengenai bahan-bahan yang digunakan termasuklah kod E-nya beserta dengan penerangan tentang syarikat penyedia makanan tersebut dan persijilan Kosher yang diperolehinya, betapa mereka sangat boleh dipercayai dan boleh diharapkan. Terfikir pula, alangkah bagusnya kalau industri makanan halal boleh menyediakan perkara yang serupa, bukan hanya sekadar menampal secebis logo halal.

Tetapi sesampai saja di Islamabad saya terus memarahi ejen yang menempah makanan Kosher tersebut. “Anda fikir saya Yahudi?!”
Saya memberitahu kepada dia bahawa saya seorang Muslim dan makanan halal adalah penting bagi saya. Kerana saya bukan seperti orang Muslim Pakistan yang apabila naik sahaja Thai Airways mereka akan meminum arak sebanyak-banyaknya.

Tetapi orang Pakistan itu menjawab, “saya pun tidak tahu apa itu Kosher. Kawan saya kata ianya sejenis makanan baru untuk Muslim”.
Maka, sahlah dia memang orang Pakistan!

*Klik di sini untuk perbandingan antara Halal dan Kosher.

Thursday, July 08, 2010

Sepasang Selipar Jepun & Sekeping Nota

Sepasang selipar merah yang masih baru itu diikat dengan sebelah selipar hitam yang lama di atasnya. Dan di atas selipar hitam itu terikat sekeping nota. "Ini selipar yang saya ganti, dengan sebab kecuaian saya. Harap maaf." Saya melihat selipar itu di masjid di sebuah pondok pengajian agama di Pasir Tumbuh, Kelantan selepas selesai solat Asar di situ.

Petang itu saya menghantar Moklong ke pondoknya di situ. Setelah kematian suaminya, dia mengambil keputusan untuk menjual tanah dan rumahnya dan dia ingin menghabiskan sisa hidupnya di pondok itu. Dia tidak pernah mempunyai anak kandung sendiri tetapi pernah mengambil dua anak angkat perempuan dan kedua-duanya telah berkahwin dan mengikut suami masing-masing. Walaupun pertaliannya dengan kami cuma bau-bau bacang, tetapi dia selalu datang ke rumah keluarga saya di Setiu dan selalunya bermalam untuk beberapa hari malah kadang-kadang berminggu. Dia cuma seorang perempuan tua yang kesunyian dan inginkan sedikit perhatian dan kasih sayang anak cucu. Dan itulah yang cuba kami berikan, cuma sedikit perhatian agar dia tidak berasa kesunyian dan dipinggirkan.

Petang itu saya tergerak hati untuk menghantarnya pulang ke pondoknya. Sebenarnya saya sudah lama teringin melihat pondoknya. Saya senang melihat dia gembira tatkala sampai di pondok kecilnya sambil disambut rakan-rakan yang juga jiran-jirannya, kebanyakannya hampir sebaya usia dengannya. Keadaan di situ kelihatan tenang dan penghuninya juga kelihatan bahagia. Mereka hanya menjalani hidup yang sangat ringkas. Pondok-pondok kecil dibina rapat-rapat di antara satu sama lain dan tidak jauh dari pondok itu terdapat sebuah masjid yang tersergam indah, berpagarkan batu marmar. Di masjid itulah mereka sering berkumpul untuk beribadat, mendengar kuliah dan ceramah, belajar dan sebagainya.

Apabila melihat selipar dan nota itu, hati saya terdetik bahawa betapa jujur dan mulianya hati penduduk di situ. Selipar itu cuma selipar jepun yang mungkin diwakafkan orang. Tetapi rasa kebertanggungjawaban dan integriti yang tinggi orang di situ jelas terlihat apabila dia tidak mengambil mudah walaupun perkara yang kecil sebegitu. Kepada saya pengunjung pertama kali ke situ, selipar bernota itu bercerita tentang mereka di situ, tentang moral dan peradaban mereka. Lalu saya yakin Moklong telah membuat pilihan yang tepat untuk tinggal di situ. Semogalah Moklong selalu bahagia di situ.

Wednesday, July 07, 2010

Troli Itu Dan Kad Kreditnya

Hari itu sangat panas apabila saya berada di Pasaraya Mydin Kuala Terengganu. Sewaktu beratur untuk membayar di kaunter juruwang saya melihat makcik yang sudah agak berumur beratur di hadapan saya. Dalam trolinya penuh dengan barang keperluan dapur. Saya lihat bagai ada riak derita kesunyian di wajahnya. Dia tidak keseorangan tetapi ditemani oleh lelaki yang saya fikir adalah suaminya, yang agak uzur dan berjalan terhencot-hencot seolah-olah tempang sebelah kakinya. Saya melihat dia baru sedar ada satu bungkusan sayur dalam trolinya belum ditimbang, lalu saya menggalakkan dia untuk pergi menimbangnya terlebih dahulu dan saya tidak akan memotongnya dalam barisan yang panjang itu. Dia bergegas pergi menimbang, sambil suaminya yang uzur itu menunggu trolinya di hadapan saya. Apabila dia kembali sedang elok gilirannya untuk membayar.

Saya tidak menyangka dia akan membayarnya menggunakan kad kredit. Tetapi yang lebih mengejutkan saya adalah kad kreditnya tidak dapat diproses walaupun juruwang telah mencubanya berkali-kali. Saya sangat sedih melihat mereka berdua pergi berlalu begitu sahaja, meninggalkan troli yang penuh dengan barang-barang keperluan dapur yang banyak yang sudah siap diletak dalam beg plastik. Mereka pergi dengan hampa dan mungkin malu, tanpa menoleh sedikit pun ke arah belakang. Saya pun tidak sanggup dan tidak mahu  melihat wajah mereka pada saat itu. Dan selepas itu juruwang mengarahkan pekerja lain untuk menyimpan balik semua barang-barang tersebut.

Peristiwa itu sangat menghantui fikiran saya dan saya asyik bercerita mengenainya kepada keluarga sebaik sahaja tiba di rumah. Saya berasa sangat kasihan. Banyak yang saya fikir tentang orang tua itu. Adakah dia mempunyai anak-anak dan di mana anak-anaknya? Apakah kad kreditnya bermasalah atau mesin kad kredit itu yang bermasalah? Bagaimanakah dia akan memasak untuk hari itu? Dan banyak lagi.

Sehinggakan pada malamnya saya bermimpi. Saya melihat dia datang kembali ke kaunter juruwang itu dan ingin membayar secara tunai, dengan sekepal duit di tangannya. Tetapi troli itu sudah tiada di situ. Saat itu saya sempat melihat mukanya yang kecewa dan sedih. Dan bagaimana betapa saya berharap saya menjadi seorang hero dan membawakan semula troli itu kepadanya.