Thursday, July 08, 2010

Sepasang Selipar Jepun & Sekeping Nota

Sepasang selipar merah yang masih baru itu diikat dengan sebelah selipar hitam yang lama di atasnya. Dan di atas selipar hitam itu terikat sekeping nota. "Ini selipar yang saya ganti, dengan sebab kecuaian saya. Harap maaf." Saya melihat selipar itu di masjid di sebuah pondok pengajian agama di Pasir Tumbuh, Kelantan selepas selesai solat Asar di situ.

Petang itu saya menghantar Moklong ke pondoknya di situ. Setelah kematian suaminya, dia mengambil keputusan untuk menjual tanah dan rumahnya dan dia ingin menghabiskan sisa hidupnya di pondok itu. Dia tidak pernah mempunyai anak kandung sendiri tetapi pernah mengambil dua anak angkat perempuan dan kedua-duanya telah berkahwin dan mengikut suami masing-masing. Walaupun pertaliannya dengan kami cuma bau-bau bacang, tetapi dia selalu datang ke rumah keluarga saya di Setiu dan selalunya bermalam untuk beberapa hari malah kadang-kadang berminggu. Dia cuma seorang perempuan tua yang kesunyian dan inginkan sedikit perhatian dan kasih sayang anak cucu. Dan itulah yang cuba kami berikan, cuma sedikit perhatian agar dia tidak berasa kesunyian dan dipinggirkan.

Petang itu saya tergerak hati untuk menghantarnya pulang ke pondoknya. Sebenarnya saya sudah lama teringin melihat pondoknya. Saya senang melihat dia gembira tatkala sampai di pondok kecilnya sambil disambut rakan-rakan yang juga jiran-jirannya, kebanyakannya hampir sebaya usia dengannya. Keadaan di situ kelihatan tenang dan penghuninya juga kelihatan bahagia. Mereka hanya menjalani hidup yang sangat ringkas. Pondok-pondok kecil dibina rapat-rapat di antara satu sama lain dan tidak jauh dari pondok itu terdapat sebuah masjid yang tersergam indah, berpagarkan batu marmar. Di masjid itulah mereka sering berkumpul untuk beribadat, mendengar kuliah dan ceramah, belajar dan sebagainya.

Apabila melihat selipar dan nota itu, hati saya terdetik bahawa betapa jujur dan mulianya hati penduduk di situ. Selipar itu cuma selipar jepun yang mungkin diwakafkan orang. Tetapi rasa kebertanggungjawaban dan integriti yang tinggi orang di situ jelas terlihat apabila dia tidak mengambil mudah walaupun perkara yang kecil sebegitu. Kepada saya pengunjung pertama kali ke situ, selipar bernota itu bercerita tentang mereka di situ, tentang moral dan peradaban mereka. Lalu saya yakin Moklong telah membuat pilihan yang tepat untuk tinggal di situ. Semogalah Moklong selalu bahagia di situ.

6 comments:

Seorang Bukan Sasterawan said...

dah lama teringin nak mengaji pondok..cuma tak sempat2..huhuhu

Anonymous said...

Teringin sgt aku nk g pondok..Untungla mung boleh g pondok...
Lutfi

Rafi Harumin said...

betapa mulianya sikap....

kelisa_samudera said...

ibu saya selalu berkata bahawa apabila dia sudah tua, dia mahu tinggal di pondok seperti ini. saya sangat berbelah bahagi.

Bila Diary Bercerita said...

payah nak cari sikap sebegitu di tempat yang mereka panggil bandar.

HaNie said...

Bestnya dapat mengaji pondok. Saya pulang ke kampung baru-baru ini dan berjumpa dengan beberapa orang anak2 kecil yang sangat matang dan datang ke rumah saya dengan memakai jubah labuh. Saya sangat suka melihat mereka. Sungguh bertuah mereka dapat belajar di pondok..