Dia baru berusia 15 tahun. Emaknya yang merupakan seorang ibu tunggal memberitahu bahawa dia seorang budak yang baik dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, malah keluarga mereka juga bukan keluarga penjenayah. Ada jiran yang memberitahu bahawa kadang-kadang dia ke surau dan mengikuti aktiviti di surau. Seorang pemilik kafe siber berkata dia seorang remaja yang mudah didekati dan penyayang serta sering mengunjungi premisnya. Kakaknya memberitahu dia seorang pelajar yang aktif di sekolah terutamanya dalam bidang sukan dan selalu mengikuti aktiviti kokurikulum di sekolahnya. Dia meminati bola sepak.
Dia tinggal di Shah Alam. Pada suatu malam dia keluar rumah tanpa pengetahuan emaknya bersama rakannya. Dia memandu kereta milik kakaknya tanpa lesen dan mungkin telah memandu secara berbahaya. Apabila dia memotong sebuah kenderaan peronda polis dan kemudian dikejar oleh kereta polis tersebut, dia menjadi panik dan tidak memberhentikan keretanya. Polis telah menembak bertubi-tubi ke arah kereta yang dipandunya sehinggalah mengena kepalanya dan dia rebah di riba kawannya yang berada di sebelahnya. Kawannya berjaya melarikan diri setelah dipukul, ditendang dan dipijak oleh polis-polis tersebut.
Di surat khabar sekutu rapat kerajaan, mereka menulis bahawa dia disyaki penjenayah atau penyamun. Mereka menuduh bahawa dia cuba merempuh polis dengan mengundurkan keretanya, (peliknya) setelah tayar kereta tersebut ditembak dan keretanya telah terbabas ke tepi. Mereka menuduh bahawa terdapat parang di dalam keretanya, padahal menurut keluarganya cuma terdapat kasut di dalamnya. Menurut Khalid Samad, tuduhan tersebut adalah suatu pembohongan! Media berkenaan cuba gambarkan seolah-olah dia adalah seorang penjenayah yang berbahaya, dan wakil Biro Hal Ehwal Murid PIBG sekolahnya menyifatkan bahawa kenyataan negatif beberapa media itu sebagai satu fitnah.
Dia telah mati. Ditembak oleh polis. Di kepalanya.








