Thursday, April 15, 2010

Majlis Perkahwinan di Peshawar

Dalam keadaan keselamatan yang membimbangkan, saya kuatkan juga semangat demi untuk tidak menghampakan jemputan jiran kami bagi menghadiri majlis menyambut menantunya yang diadakan di Peshawar. Peshawar adalah antara bandar di pakistan yang paling kerap dibom akhir-akhir ini. Tetapi nasib kami baik, kerana sentiasa diiringi oleh kereta polis yang siap bersenjata bagi mengawal keselamatan kami semasa dalam perjalanan dan selama berada di Peshawar. Pun begitu, timbul pula kekhuatiran dalam hati kerana pengganas memang selalu mensasarkan serangan mereka ke atas polis dan tentera.

Majlis tersebut diadakan di sebuah dewan di pinggir bandar Peshawar. Permulaannya saya kaget melihat ada sekumpulan wartawan  Khyber Press siap dengan jurukamera yang menyerbu ke arah tuan rumah dan bertanyakan pelbagai soalan. Keadaan agak tegang seketika, mereka bertengkar bagai mahu bertumbuk, tetapi mungkin pada mereka ianya satu pertengkaran yang biasa-biasa saja. Rupa-rupanya seorang pegawai kerajaan telah menuduh tuan rumah melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, kerana menyediakan lebih dari satu jenis lauk untuk kenduri pada hari tersebut. Peraturan menetapkan bahawa di majlis keramaian seperti kenduri perkahwinan, mereka tidak boleh menyediakan lebih dari satu jenis lauk. Peraturan ini bagi mengelakkan pembaziran dan untuk memastikan bahawa bekalan makanan dapat dibahagikan secara lebih meluas meliputi segenap lapisan masyarakat.

Tetapi menurut beberapa orang yang saya temui di majlis tersebut, biasanya ia tidaklah dikuatkuasakan secara tegas oleh kerajaan. Malah biasanya pihak kerajaan, pemimpin politik dan orang-orang kayalah yang menganjurkan majlis makan-makan yang besar dengan makanan berlebih-lebihan dan tiada siapa pun yang peduli atau bercakap mengenainya. Malah ada yang menuduh bahawa sebenarnya kedatangan wartawan pada hari itu adalah cuma menakut-nakutkan tuan rumah dengan harapan tuan rumah akan memberikan duit rasuah kepadanya dan kes tersebut akan ditutup!

Mengikut kebiasaan adat orang Pashtun, tetamu lelaki dan perempuan diasingkan. Tetamu perempuan datang berpakaian tradisional penuh meriah. Ada beberapa orang yang berselendang menutup aurat, tetapi menurut Mawar, setelah memasuki tempat tetamu perempuan mereka kesemuanya membuka selendang tersebut dan sebahagiannya menari mengikut alunan muzik, walaupun terdapat juga lelaki bukan mahram seperti jurufoto, DJ muzik dan sebagainya. Mawar juga diajak menari bersama-sama tetapi dia tidak begitu berani untuk bergelek-gelek dengan tetamu Pashtun yang lain. Di tempat tetamu lelaki mereka hanya duduk dan berbual-bual sesama mereka sebelum menikmati nasi Briyani, roti, ayam Tikka, kambing Handi, kebab daging dan manisan pencuci mulut. Saat saya meminum coca-cola dari botol kaca itu saya menjadi sangat teringat pada satu babak dalam filem Taal.

Sebelum pulang ke Islamabad kami sempat singgah di pasar Barha  (besar) Peshawar yang bebas cukai. Tapi disebabkan ketakutan dan kebimbangan tentang keselamatan, kami cuma sekadar singgah sebentar dan melihat beberapa kedai pinggan mangkuk, fabrik, mainan kanak-kanak dan sebagainya yang kelihatan memang lebih murah harganya berbanding di Islamabad atau Lahore. Alhamdulillah, kami akhirnya selamat sampai ke Islamabad dalam waktu Maghrib. Tetapi esoknya saya hilang kata-kata tatkala melihat berita Peshawar (Konsulat AS dan bandar Timergarah) digegarkan dengan bom oleh penyerang berani mati, lebih 40 orang mati dan berpuluh-puluh cedera.

6 comments:

Seorang Bukan Sasterawan said...

alhamdulillah..kamu selamat pergi dan selamat pulang..

ryina ikhwan said...

tak dapat hendak memikirkan jika saya sendiri terpaksa hidup di sana... terimakasih kerana mencoretkan kenangan saudara di sini kerana saya seronok membaca tulisan saudara dan menambah ilmu pengetahuan... juga sudah melawat blog mawarnafastari... baca sambil tersenyum.. thums up!

atbk said...

haii risaunyerr

ashrafi said...

Alhamdulillah.. nasib baik takda apa-apa bro..

Anonymous said...

Semoga Allah S.W.T. sentiasa melindungi kamu sekeluarga dan muslimin dan muslimat di sana.. Amin..

Hanie..

Nafastari said...

SBS,
Terima kasih. Alhamdulillah.

Ryina Ikhwan,
Orang kata alah bisa, tegal biasa. Terima kasih atas kunjungan ini, doakan saya supaya akhirnya saya juga mampu menulis sebuah buku.

Atbk, Ashrafi & Hanie,
Terima kasih atas doa dan perhatian yang anda semua berikan.