Tuesday, January 19, 2010

Kristian Juga Mengakui Allah?

Kristian merupakan golongan minoriti di Pakistan dan mereka membentuk tidak sampai 10 peratus dari keseluruhan rakyat Pakistan. Di tengah-tengah bandar Rawalpindi, Lahore, Murree mahu pun Karachi terdapat gereja yang besar di jalan utama. Sebagai orang asing di sini, saya merasa sangat sukar untuk mengenal pasti siapakah yang beragama Kristian di sini, kerana nama dan cara berpakaian mereka langsung tidak menceritakan agama mereka, sebagaimana yang berlaku di Malaysia.

Nama-nama seperti Sohail, Yunus, Allah Ditta, Rashid, Kishwar adalah juga digunapakai oleh orang-orang Kristian, walaupun kadang-kadang ada juga yang menggunakan nama yang menggambar kekristianan mereka seperti Masih, William, John dan sebagainya. Perempuan-perempuan Kristian juga memakai kurta, shalwar dan dupatta, sama seperti perempuan Muslim. Malah ada juga yang meletakkan dupatta mereka di atas kepala bagi menutupi rambut. Begitu juga dengan lelaki Kristian, mereka juga memakai shalwar kamiz yang sama seperti orang Islam.

Ucapan salam juga digunakan oleh orang Kristian, dan Muslim juga memberikan salam kepada orang Kristian. Saya berasa sangat bodoh pagi tadi apabila saya bertanyakan kepada pemandu saya yang beragama Islam, kenapakah orang Islam di sini memberikan salam kepada orang Kristian, kerana jika di negara saya orang Islam hanya mengucapkan hai, selamat pagi atau sebagainya kepada orang Kristian. Dia menjawab, "Sir, they also accept Allah". Saya terdiam dan menyesal bertanyakan soalan itu kepadanya. Tetapi tidak pula saya menegaskan kepadanya bahawa mereka tidak memaksudkan "Allah" sebagaimana yang difahami oleh Muslim.

Beberapa hari lepas saya membaca berita di surat khabar tempatan, tentang bantahan sebuah kumpulan Kristian (Progressive Christian Movement) di Islamabad yang mengadakan demonstrasi secara aman bagi menentang keputusan kerajaan Switzerland yang menghalang pembinaan menara masjid di negara itu. Mereka menggesa kerajaan Pakistan membuat bantahan secara diplomatik terhadap kerajaan Switzerland atas dasar menghormati hak asasi manusia untuk mengamalkan kebebasan beragama.

Saturday, January 09, 2010

Adakah ALLAH Menyuruh Kamu Bakar Gereja?

Pada mulanya merekalah yang beria-ia menentang penggunaan kalimah "Allah" oleh orang bukan Islam dan dengan jelas mereka ingin menjuarai isu ini. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan, desakan demi desakan telah dibuat dengan serta-merta melalui lidah rasmi mereka yang kononnya penyebar fikiran rakyat. Pihak-pihak yang mempunyai pendapat sedikit berbeza akan dihentam, seolah-olah mereka orang Islam yang tidak sensitif dan tidak berani. Lidah-lidah mereka dengan semangatnya membangkit rasa gelora, bahawa penentangan harus dibuat dan ditunjukkan secara jelas kepada satu dunia. Oleh sebab itulah agaknya ada pihak yang menuduh mereka sebenarnya cuba mempolitikkan isu itu bagi mendapat sokongan rakyat melayu (yang jahil?) dan mengalihkan pandangan rakyat daripada beberapa isu besar yang lain.

Tetapi di sini saya menjadi malu sendiri melihat bagaimana media-media antarabangsa memandang kepada mereka dan negara kita. Kemuncaknya dengan pembakaran gereja. Agaknya puaslah hati golongan manusia yang terlalu mendambakan kalimah "Allah" sebagai milik ekslusif mereka itu apabila melihat gereja telah dirosakkan sebegitu. Mengikut ajaran agama saya perbuatan itu adalah satu perbuatan yang sangat keji, dan saya dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jahiliyyah itu, tidak kiralah siapa pun yang telah memotivasikan mereka untuk bertindak sedemikian.

Cuma setidak-tidaknya saya lega melihat PAS melalui beberapa pemimpin tertinggi mereka dengan sederhana, berhati-hati dan matang menyatakan pandangan mereka. Isu penggunaan nama "Allah" ini harus ditangani dengan lebih rasional dan bersandarkan pada ilmu dan perbincangan yang mendalam. Seperti tulis Datuk Seri Abdul Hadi Awang, perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka. Saya percaya Islam itu sederhana dan memberi keamanan kepada dunia. Dan kita juga memerlukan pemimpin yang bijak dan memahami Islam dengan sebenar-benarnya agar dapat membentuk satu masyarakat Malaysia yang sensitif dengan dosa dan pahala.

Thursday, January 07, 2010

Bukan Sekadar Dongeng

Saya pernah terbaca di sebuah buku kisah dongeng (Pashtun Tales- AishaAhmad & Roger Boase) bahawa keluarga suku kaum Pashtun sangat mementingkan pewaris lelaki dan mereka sentiasa berharap untuk mendapat anak lelaki, kerana ingin menjaga jalur keturunan dan bagi mengerjakan tanah-tanah yang mereka miliki. Tidaklah saya ambil berat tentang perkara itu sehinggalah pada suatu ketika seorang kenalan saya yang berketurunan Pashtun mendapat seorang bayi lelaki. Pada hari itu dia sangat gembira dan mendapat banyak panggilan telefon dari kawan-kawannya mengucapkan tahniah. Menurutnya jika isterinya melahirkan seorang bayi perempuan tiada siapa akan mengucapkan tahniah, jauh sekali untuk bertanyakan jantina bayinya. Tetapi jika seseorang mendapat bayi lelaki, semua kawan-kawan dan saudara-mara akan mengucapkan tahniah, menziarahi mereka, memberi hadiah dan sebagainya. Dan mereka akan sengaja bertanya apakah jantina bayinya, dan dengan senang hati dia akan menjawab, lelaki!

Di Pakistan jika anda bertanyakan seseorang berapakah bilangan adik-beradiknya, maka dia akan menjawab bahawa dia mempunyai sekian banyak adik-beradik lelaki tanpa menyebut berapa bilangan adik- beradik perempuannya. Kebanyakan dari mereka termasuk yang berketurunan Punjab juga akan menjawab dengan cara yang serupa. Mungkin pada mereka tidak sopan untuk bercakap tentang apa-apa perkara mengenai adik-beradik perempuan mereka. Perempuan juga dilarang untuk ke masjid dan kebanyakan masjid tidak akan menyediakan tempat sembahyang untuk wanita. Bagi mereka, perempuan hanya perlu tinggal di rumah dan mendirikan solat di rumah, walhal realitinya perempuan juga keluar rumah, bekerja dan sebagainya. Kadang-kadang saya terfikir bagaimana sebenarnya pandangan mereka terhadap wanita, kerana pada masa yang sama mereka pernah berpresidenkan seorang wanita, yang kemudian mereka bunuh.

Semalam seorang kenalan Pakistan saya bertanyakan apakah jantina bayi saya Embun yang berumur 9 bulan itu. Apabila saya memberitahu perempuan, dia membuat muka ala-ala kasihankan saya dan berkata, "tidak mengapa, selepas ini saya doakan Tuhan mengurniakan seorang bayi lelaki".
Saya senyum sahaja kerana telah memahami apa sebenarnya yang berada di fikirannya.
Dan selepas itu dia menghantar saya satu sms, "I pray to Allah to give my brother a son, next year. Say ameen".
Saya cuma membalas, "Boy or girl doesn't matter, for Allah knows best when He decides to give me one".

Dan saya pasti dia menjadi sangat hairan dengan sms saya itu.

Wednesday, January 06, 2010

Sempadan Wahga

Jika anda ke Lahore janganlah sekali-kali melepaskan peluang untuk melihat upacara pertukaran bendera di sempadan Wahga, iaitu sempadan antara Pakistan (Lahore) dan India (Amritsar). Ia adalah sebuah upacara yang penuh emosi dan semangat patriotik. Sukar untuk menggambarkan melalui tulisan bagaimana meriahnya suasana itu sehingga saya yang tidak berdarah Pakistan pun tiba-tiba menjadi naik bersemangat apabila menyaksikan upacara itu dan berada dalam suasananya. Mulanya saya berasa seakan-akan terharu dan seperti ingin menangis melihat mereka.




Mereka menjerit "Pakistan Zindabad" dengan penuh bersemangat dan pada masa yang sama melawan jeritan "Jhai Hind" di sebelah sana. Dan apabila satu suara dari pembesar suara menjerit "Pakistan ka matlab kya?" mereka semua menyahut "lailahaa illallah!". Begitulah antara laungan-laungan yang tidak henti-henti dan kadang-kadang mereka bertakbir "Allahu akbar, Allahu akbar!" Di tengah-tengah jalan yang menjadi tumpuan mata semua pengunjung terdapat tiga orang berbaju hijau dan seluar putih yang bertindak mengkoordinasikan jeritan dan menaikkan semangat semua pengunjung. Dan askar-askar Pakistan yang semuanya tinggi-tinggi berkawad dengan menaikkan kaki 90 darjah ke hadapan.




Ia sebenarnya hanyalah satu upacara penukaran bendera sebagai simbolik pertukaran pengawal yang sangat ringkas. Tetapi mungkin cara bagaimana mereka melakukannya itu dan ditambah pula dengan konflik berpanjangan India-Pakistan, telah menarik beribu-ribu pengunjung setiap hari, malah ada yang tidak sempat masuk ke arena kerana pintu telah ditutup lebih awal. Kami sendiri pun terpaksa mencuba dua kali, kerana pada hari pertama kami ke situ pintunya telah ditutup sebelum kami tiba. Tetapi setelah menyaksikannya baru saya sedar bahawa memang berbaloi bersusah-payah bersesak di jalan yang kotor dan berdebu untuk ke situ. Selesai upacara tersebut, tiba-tiba ada seorang pemuda menegur kami dalam bahasa Malaysia. Dia datang ke Pakistan kerana menziarahi keluarga di sebelah ayahnya yang berasal dari Pakistan. Ayahnya kemudian memperkenalkan dirinya sebagai KSU di sebuah kementerian.

Sunday, January 03, 2010

Masjid Badshahi & Gurdawara Dera Sahib






Kunjungan ke Lahore tidak akan lengkap tanpa melawat Lahore Fort yang mana di situ juga terdapatnya Masjid Badshahi dan Gurdawara Dera Sahib yang sangat hebat senibinanya. Sekali imbas Masjid Badshahi kelihatan seperti Taj Mahal. Tetapi pada masa kunjungan kami, Lahore Fort tidak dibuka sepenuhnya atas sebab tarikh perayaan Hari Karbala (sempena Muharam) yang yang kami tidak berapa pasti apa signifikan dan kaitannya dengan kota itu.

Pertama kali memandangnya, saya sudah sangat mengagumi Masjid Badshahi. Di hadapannya terdapat ruang lapang yang sangat luas. Dalamnya tidak berapa luas, tetapi senibina dan hiasan dinding serta silingnya cukup membuatkan ia begitu istimewa. Gerbang di hadapannya turut menempatkan sebuah muzium yang mempamerkan banyak barang-barang yang disandarkan pada Rasulullah dan Husin, seperti capal Rasulullah, tapak kaki Rasulullah, serban, baju, rambut, senjata dan sebagainya. Saya tidak tahu jika saya harus mempercayai dakwaan mereka dan lebih selesa bersikap berkecuali. Tetapi saya melihat pengunjung-pengunjung Pakistan lain mencium-cium kotak cermin pameran itu, menangis-nangis dan tidak putus-putus berdoa. Di suatu sudut di tepi gerbang itu, terdapat pameran Quran yang ditulis sulaman benang emas yang sangat kemas dan cantik hasil kerja tangannya. Setelah melihat pameran-pameran tersebut, kami disuruh meletakkan siling ke dalam sebuah kotak besi dan setiap pengunjung harus meletakkan duit syiling itu sendiri.

Di sekitar Lahore Fort juga terdapat sebuah Gurdawara yang mempunyai pelbagai sejarah dan ceritanya yang tersendiri. Walaupun gurdawara itu ditutup tetapi seorang penjaga di situ menawarkan kami untuk masuk melawat ke dalamnya kerana menyedari kami orang asing dan lebih-lebih lagi kerana kami dari Malaysia. Kami dibawa melawat ke dalamnya dan seorang lelaki Sikh yang berserban menerangkan tentang sejarah tempat itu. Ketika masuk ke dalam tempat sembahyang mereka, kami diwajibkan menutup kepala sebagai penghormatan.


Dan saya tidak akan lupakan sehelai kain lepas panjang berwarna oren yang dihadiahkan kepada saya sebagai penghormatan kepada tetamu asing yang melawat ke rumah ibadat itu. Lelaki Sikh itu sendiri yang memakaikannya ke atas leher saya di hadapan tempat letak kitab suci mereka dalam dewan sembahyang gurdawara itu, dan juga sehelai dupatta berwarna oren untuk Mawar. Menurutnya, gurdawara itu adalah salah sebuah tempat suci bagi penganut agama Sikh dan pada setiap Jun setiap tahun akan diadakan perhimpunan yang akan dihadiri oleh penganut agama Sikh seluruh dunia termasuk dari Malaysia.

Jika saya ke Lahore lagi saya ingin sekali lagi melepak pada malam hari di Cocoo's cafe yang berdekatan dengan Masjid Badshahi, sambil mengambil gambar dari restoran yang berada di bumbung bangunan 4 tingkat itu. Dan bersarapan pagi di Restoran Capri di hadapan Capri Cinema yang menyediakan nashta yang sangat enak.