Saturday, January 09, 2010

Adakah ALLAH Menyuruh Kamu Bakar Gereja?

Pada mulanya merekalah yang beria-ia menentang penggunaan kalimah "Allah" oleh orang bukan Islam dan dengan jelas mereka ingin menjuarai isu ini. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan, desakan demi desakan telah dibuat dengan serta-merta melalui lidah rasmi mereka yang kononnya penyebar fikiran rakyat. Pihak-pihak yang mempunyai pendapat sedikit berbeza akan dihentam, seolah-olah mereka orang Islam yang tidak sensitif dan tidak berani. Lidah-lidah mereka dengan semangatnya membangkit rasa gelora, bahawa penentangan harus dibuat dan ditunjukkan secara jelas kepada satu dunia. Oleh sebab itulah agaknya ada pihak yang menuduh mereka sebenarnya cuba mempolitikkan isu itu bagi mendapat sokongan rakyat melayu (yang jahil?) dan mengalihkan pandangan rakyat daripada beberapa isu besar yang lain.

Tetapi di sini saya menjadi malu sendiri melihat bagaimana media-media antarabangsa memandang kepada mereka dan negara kita. Kemuncaknya dengan pembakaran gereja. Agaknya puaslah hati golongan manusia yang terlalu mendambakan kalimah "Allah" sebagai milik ekslusif mereka itu apabila melihat gereja telah dirosakkan sebegitu. Mengikut ajaran agama saya perbuatan itu adalah satu perbuatan yang sangat keji, dan saya dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jahiliyyah itu, tidak kiralah siapa pun yang telah memotivasikan mereka untuk bertindak sedemikian.

Cuma setidak-tidaknya saya lega melihat PAS melalui beberapa pemimpin tertinggi mereka dengan sederhana, berhati-hati dan matang menyatakan pandangan mereka. Isu penggunaan nama "Allah" ini harus ditangani dengan lebih rasional dan bersandarkan pada ilmu dan perbincangan yang mendalam. Seperti tulis Datuk Seri Abdul Hadi Awang, perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka. Saya percaya Islam itu sederhana dan memberi keamanan kepada dunia. Dan kita juga memerlukan pemimpin yang bijak dan memahami Islam dengan sebenar-benarnya agar dapat membentuk satu masyarakat Malaysia yang sensitif dengan dosa dan pahala.

8 comments:

WL said...

Salam encik Ahmad,
Mohon diizinkan Kak Lily meletakkan link entri ini ke pautan entri kakak.

Nafastari said...

WL, silakan. Terima kasih.

Nailofar said...

Teringat pada sepotong ayat al-Quran yang antara lain membawa maksud jangan lah kita org2 Islam menghina tuhan org2 kafir kerana ia akan menyebabkan mereka (org2 kafir) menghina dan mengeji Tuhan kita pula (Allah)..

Dalam peperangan sekalipun, rmah-rumah ibadat tidak diserang bahkan ditegah dari diserang..

Masyaallah..Janganlah disebabkan hambaMU yang tidak memahami, imej AgamaMU diperkotak katikkan..Ameeenn..

kelisa_samudera said...

saya tidak dapat menyimpulkan apa2 berhubung penggunaan kalimah Allah ini kerana saya juga seperti kebanyakan mereka, sangat jahil.

mulanya mmg saya mahu mengulas di blog saya, tetapi elok benarlah saya diam kerana tidak tahu dari berkata2 dan kemudian salah.

Nafastari said...

Nailofar, saya gembira anda menulis sesuatu yang sangat berguna di sini. Terima kasih. (Tapi bukankah "maashaAllah" itu disebut untuk perkara2 yang baik?)

KelisaS, saya menghormati pendirian anda. Dan saya juga bukanlah terlalu alim, sekadar berkongsi apa yang saya tahu dan rasa. Wallahu a'lam,

Nailofar said...

Nafastar: Iye betul "Masyaallah" spttnya ditulis untuk perkara2 baik. Semasa sy menulisnya di sini sy telah terperasan ketidak tepatannya tapi sy teruskan juga sbb sy percaya mungkin ada orang yang teliti dengan perkara ini. Sy sengaja membiarkan begitu shj. Terima kasih Nafastari..

Aku... said...

Salam...Negara kita ini seperti sudah tidak ada undang undang. Mungkin salah satu daripada pembalasan tuhan keatas kita yang tidak tahu bersyukur.

Anonymous said...

Il semble que l'internet est l'endroit où il se trouve. J'ai étudié d'informatique et de film / vidéo à l'école, mais je ne suis pas trop mal avec un clavier quand il s'agit d'écrire des choses intéressantes. Est-ce que quelqu'un sait de qui que ce soit (à part Drudge et Arianna Huffington) qui a été capable de faire un peu d'argent par les blogs sur un site de la maison?.