Thursday, January 07, 2010

Bukan Sekadar Dongeng

Saya pernah terbaca di sebuah buku kisah dongeng (Pashtun Tales- AishaAhmad & Roger Boase) bahawa keluarga suku kaum Pashtun sangat mementingkan pewaris lelaki dan mereka sentiasa berharap untuk mendapat anak lelaki, kerana ingin menjaga jalur keturunan dan bagi mengerjakan tanah-tanah yang mereka miliki. Tidaklah saya ambil berat tentang perkara itu sehinggalah pada suatu ketika seorang kenalan saya yang berketurunan Pashtun mendapat seorang bayi lelaki. Pada hari itu dia sangat gembira dan mendapat banyak panggilan telefon dari kawan-kawannya mengucapkan tahniah. Menurutnya jika isterinya melahirkan seorang bayi perempuan tiada siapa akan mengucapkan tahniah, jauh sekali untuk bertanyakan jantina bayinya. Tetapi jika seseorang mendapat bayi lelaki, semua kawan-kawan dan saudara-mara akan mengucapkan tahniah, menziarahi mereka, memberi hadiah dan sebagainya. Dan mereka akan sengaja bertanya apakah jantina bayinya, dan dengan senang hati dia akan menjawab, lelaki!

Di Pakistan jika anda bertanyakan seseorang berapakah bilangan adik-beradiknya, maka dia akan menjawab bahawa dia mempunyai sekian banyak adik-beradik lelaki tanpa menyebut berapa bilangan adik- beradik perempuannya. Kebanyakan dari mereka termasuk yang berketurunan Punjab juga akan menjawab dengan cara yang serupa. Mungkin pada mereka tidak sopan untuk bercakap tentang apa-apa perkara mengenai adik-beradik perempuan mereka. Perempuan juga dilarang untuk ke masjid dan kebanyakan masjid tidak akan menyediakan tempat sembahyang untuk wanita. Bagi mereka, perempuan hanya perlu tinggal di rumah dan mendirikan solat di rumah, walhal realitinya perempuan juga keluar rumah, bekerja dan sebagainya. Kadang-kadang saya terfikir bagaimana sebenarnya pandangan mereka terhadap wanita, kerana pada masa yang sama mereka pernah berpresidenkan seorang wanita, yang kemudian mereka bunuh.

Semalam seorang kenalan Pakistan saya bertanyakan apakah jantina bayi saya Embun yang berumur 9 bulan itu. Apabila saya memberitahu perempuan, dia membuat muka ala-ala kasihankan saya dan berkata, "tidak mengapa, selepas ini saya doakan Tuhan mengurniakan seorang bayi lelaki".
Saya senyum sahaja kerana telah memahami apa sebenarnya yang berada di fikirannya.
Dan selepas itu dia menghantar saya satu sms, "I pray to Allah to give my brother a son, next year. Say ameen".
Saya cuma membalas, "Boy or girl doesn't matter, for Allah knows best when He decides to give me one".

Dan saya pasti dia menjadi sangat hairan dengan sms saya itu.

9 comments:

Lily Abdullah said...

Salam untuk Encik Ahmad dan Mawar,

Semoga berbahagia di tempat baru dan di tahun baru.

Kak Lily sekadar mahu mengucapkan terima kasih kerana Encik Ahmad menulis dengan bahasa kita denagn baik lagi teratur dan berkongsi pengalaman di rantau orang.

Nampaknya, ciri-ciri masyarakat Arab jahilyah masih terserlah. Bezanya tiada lagi upacara membunuh anak perempuan.

Di kalangan segelintir orang Melayu pun masih ada ciri-ciri diskriminasi jantina ni.

Semoga Encik Ahamd dan Mawar sekeluarga dilindungi Allah swt. Ameen! :)

Ibnu Zin Aljufri said...

Sahabat saya dari Nigeria pernah berkata kepada saya "you are coward and not gentleman", hanya kerana saya menawarkan tempat duduk saya kepada seorang wanita di dalam bas. Malang sungguh..

Aku... said...

salam...petikan dari artikel melayu.com
Ini ialah artikel yang aku jumpa di Melayu.com:


Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

yg_indah said...

betul.bukan kita tentukan lelaki atau perempuan

kelisa_samudera said...

dan saya bersyukur kerana tidak dilahirkan sebagai Pashtun atau Punjab. saya sangat menyayangi ibu, isteri dan adik saya.

atbk said...

Segelintir Melayu diskriminasi wanita?

hmm xperasan pulak, walaupun segelintir tu..

belah2 sana mungkin takde bunuh anak perempuan, tapi diorang suka seksa perempuan utk kesalahan2 yang pada mereka memalukan keluarga, simbah asid la ape la, bunuh pun ade...

semua tu budaya n kebiasaan masyarakat, xde kaitan pun dgn keIslaman Pakistan...

tp bila diorang buat macam tu, Islam yang kena...
nak wat caner..?

Nafastari said...

WL, terima kasih atas sokongan anda. Saya akan tetap menulis dalam laras bahasa sebegini. Ya, diskriminasi boleh saja terjadi di mana-mana.

SyedZ, betapa nilai yang berbeza boleh menyebabkan salah faham yang kadang-kadang melucukan.

Aku, seharusnyalah kita menghormati dan melayan perempuan2 di sekeliling kita dengan sebaik-baiknya.

Yg_indah, benar itu memang urusan Tuhan.

KelisaS, hmm... tapi apa pilihan yang mereka ada? Jika mereka pun melihat apa yang kita nampak, mungkin mereka juga akan berkata "saya tidak minta dilahirkan sebagai Punjab atau Pashtun, bukan saya yang membentuk budaya dan kepercayaan ini tetapi saya yang telah dibentuk oleh mereka". Hehe...

Atbk, nampaknya tiada apa yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka. Kalaupun yang berkuasa mungkin kerajaan mereka yang boleh melakukannya melalui pendidikan yang mungkin akan mengambil masa yang sangat panjang.

Unknown said...

Saya ingin sekali merasai kehidupan di Pakistan...tapi jauh dalam hati mempunyai perasaan takut.Takut dengan khabar2 mengenai penindasan kaum wanita di sana.Sedang bangsa mereka sendiri tidak diberi hak untuk hidup seperti wanita normal...ini kan kita...dr tempat lain

Unknown said...

Bangsa pashtun mempunyai pegangan adat yang kuat dalam membentuk kehidupan.Kadang2 rasa mcm mereka berlebih lebih pulak dr agama.