Thursday, October 28, 2010

Perkahwinan Ala Pakistan

Sungguh teruja rasanya apabila seorang kenalan mengundang untuk ke majlis mehendi (berinai) sempena perkahwinan adik perempuannya yang diadakan di rumahnya di Sektor G-7 Islamabad. Majlis tersebut diadakan pada sebelah malam dan kami tiba seawal 8 malam seperti yang diberitahu oleh tuan rumah. Dan jenuhlah kami menunggu sehingga ke 10 malam, apabila acara sebenar baru bermula.


Sebelum keluarga pengantin lelaki tiba, sebelah perempuan telah bersiap sedia dengan bakul-bakul berisi kelopak mawar. Mereka beratur membentuk lorong untuk dilalui oleh ibu pengantin perempuan dan diikuti oleh semua tetamu perempuan dari keluarga pengantin lelaki. Tatkala mereka melalui lorong itu kelopak mawar akan ditabur sambil disambut dengan senyuman dan gelak tawa yang sangat meriah. Seterusnya pengantin perempuan akan diarak ke pentas dari dalam rumah dengan berbumbungkan sehelai kain yang dipegang di segenap penjuru oleh beberapa perempuan lain. Dan terakhir, diikuti dengan pengantin lelaki yang juga diarak masuk dari luar.



Sewaktu saya bersungguh-sungguh mengucapkan tahniah kepada bapa pengantin perempuan, dia kelihatan terkejut. Seraya menegur saya, "anak saya seorang perempuan, jangan mengucapkan tahniah kepada saya. Orang Pakistan tidak mengucapkan tahniah kepada ibu bapa pengantin perempuan. Tapi tidak mengapa, saya tahu anda bukan orang Pakistan". Barulah saya faham, pada mereka perkahwinan seorang anak perempuan dianggap memberi beban kepada keluarganya dan sekadar merayakan pemergian seorang anak perempuan dari keluarganya.

Keeseokan harinya kami juga dijemput untuk memeriahkan acara "bharat" anjuran keluarga pengantin perempuan di sebuah dewan perkahwinan di Sektor G9 Islamabad. Apa yang saya perhatikan setiap majlis di sini biasanya memerlukan tetamu untuk bersabar dan menunggu dengan lama sebelum dihidangkan makanan. Mujurlah saya telah makan terlebih dahulu sebelum ke majlis tersebut. Semasa ketibaan pengantin lelaki ke dewan tersebut mereka juga menabur bunga ke atasnya dan juga duit kertas! Tetamu lelaki dan perempuan diasingkan tempat duduk mereka. Mawar memberitahu, sewaktu dia berjumpa dengan pengantin perempuan dia kelihatan sangat sedih dan meminta agar didoakan segala yang baik untuk masa depannya.



Pihak keluarga pengantin perempuan juga menjemput kami untuk ke majlis '"walimat" yang dianjurkan oleh keluarga pengantin lelaki. Tetapi peliknya ibu dan bapa pengantin perempuan tidak hadir ke majlis itu, dan saya pun tidak berani bertanyakan tentang hal itu. Majlis itu bertempat di sebuah kampung di kawasan bukit bukau, iaitu Kampung Talhar. Jalan ke kampung itu amat mencabar kerana ianya sangat curam dan berbukit. Kadang-kadang jalan sangat sempit dan terpaksa melalui jalan yang rosak akibat tanah runtuh. Sesekali terserempak juga dengan kerbau yang besar dan kambing-kambing di tepian jalan. Sewaktu di rumah pengantin lelaki, saya sempat menjenguk ke bilik pengantin perempuan yang dihias indah dan segala barang perkakas rumah dipamerkan di dalam bilik tersebut.



Kakak pengantin perempuan memberitahu dengan bangganya kepada saya, bahawa barang-barang tersebut dibeli oleh keluarganya. Ianya sesuatu yang teramat penting dalam budaya perkahwinan orang Pakistan walaupun mereka beragama Islam, dan jika keluarga pengantin tidak dapat menyediakannya pengantin perempuan akan menerima risiko dihalau oleh keluarga mertua dan tidak diterima sebagai menantu! Konsep ini hampir menyamai konsep "dowry" dalam masyarakat hindu di India, mereka tidak menafikan perkara ini. Tetapi dengan pasrah kakak pengantin memberitahu, mereka masih terpaksa melakukannya. Dan tiba-tiba saya teringat akan kata-kata bapa pengantin perempuan sewaktu dia melarang saya dari mengucapkan tahniah kepadanya di malam berinai.

6 comments:

kelisa_samudera said...

syukurlah budaya di negara kita sudah terbuka kepada hal kewanitaan. kalau tak ada apa2 untuk hantaran pun masih lagi boleh diterima. semoga mereka mendapat petunjuk untuk menjalankan islam yang sebenar-benarnya.

addyaholix said...

perkahwinan. sepatutnya sesuatu yang bahagia. tapi kelihatannya seperti satu bebanan. syukur kita diantara masyarakat yang terbuka.

shanaz said...

keluarga sebelah bapa ada di peshawar...phone call, kiriman salam, hadiah dari sana selalu sampai pada saya dan adik2...they missed me so much, still recall my baby face when i was there in 1983 for almost a year...1hari nti saya akan sampai ke peshawar juga...just dont know when...

Artozy said...

haha seperti dalam wayang gambar hindustan. bertuah kau, kawan kerana dapat meraikan.

Hartini Omar said...

saya senang membaca entri tntang adat dan budaya orang lain biar bagaimana berbeza pun ianya dari kita

terima kasih, ahmad. good experience indeed!

saya jeles :)

Nafastari said...

Kelisa,
Tapi nampaknya mereka masih jauh dari jalan itu, untuk mempraktikkan Islam yang sebenar. Budaya karut-marut mereka sangat diagung-agungkan.

Addyaholix,
Ya, merupakan beban kepada keluarga pengantin perempuan, walaupun mereka beragama Islam. ALhamdulillah, kita di Malaysia berbeza.

Shanaz, tentu kamu ada banyak cerita menarik untuk dikongsi. Terima kasi berkunjung ke blog saya. Kalau datang ke Pakistan silalah ke rumah saya di Islamabad.

Artozy,
Ya sungguh bertuah sekali aku. Dan aku suka sekali minum air dari botol kaca di majlis perkahwinan orang sini, terasa seperti dalam filem Taal.

Hartini,
Terima kasih, semoga kamu juga berpeluang di suatu hari nanti, di tempat yang asing.