Sunday, October 10, 2010

I'tikaf & Mehfil-e-Shabina

Sepuluh malam terakhir adalah antara malam yang terpenting dalam Ramadhan kerana di Pakistan mereka akan mengadakan perhimpunan i'tikaf besar-besaran selama 10 hari itu. I'tikaf ini bukanlah i'tikaf yang seperti biasa; mereka sebenarnya berkampung dalam masjid itu, tidur dan makan juga dalam masjid. Dan mereka percaya mereka tidak boleh keluar dari masjid selama tempoh i'tikaf itu dan mereka percaya itu adalah sunnah nabi yang sangat-sangat dituntut. Mereka tidak akan balik ke rumah atau pergi kerja selama 10 hari itu. Saya lihat sendiri semua itu berlaku di dalam Masjid Faisal, di belakang rumah saya itu. Malah saya berbual-bual dan menemuramah mereka mengenai hal tersebut.


Tiga malam terakhir pula diadakan Mehfil-e-Shabina di semua masjid utama termasuk Masjid Faisal. Masjid dihias cantik dengan lampu yang berwarna-warni dan kelihatan sungguh meriah dan sekali. Apa yang saya faham pada malam-malam Mehfil-e-Shabina mereka akan bertarawih dengan 10 juzu' bacaan al-Quran pada setiap malam dan akan menghabiskan 30 juzu' untuk tiga malam tersebut. Pada malam kedua Shabina saya telah berkunjung ke Masjid Faisal untuk melihat dan mengalami sendiri suasana malam Shabina di Islamabad. Saya cuma rasa 10 juzu' adalah terlalu lama dan saya cuma bertarawih 4 rakaat, itu pun cuma siap pada pukul 11 malam. Menurut mereka tarawih pada malam Shabina biasanya akan siap pada pukul 3 pagi.

Saya berjumpa Imran, seorang pelajar di sebuah universiti yang menjadi pekerja sukarela untuk program i'tikaf itu dan turut menyertai i'tikaf. Selama 10 hari itu dia cuma duduk dalam masjid sambil menyelia dan menyelaraskan program tersebut. Menurutnya, peserta yang ingin menyertai i'tikaf di masjid Faisal terpaksa mengisi borang permohonan  sebulan sebelum Ramadhan kerana tempatnya adalah sangat terhad. Peserta-peserta adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ada yang datang sejauh dari Peshawar dan Kashmir untuk beri'tikaf di masjid kebanggaan Pakistan itu. Imran membawa saya berjalan-jalan dalam masjid, tempat mereka tidur, makan dan hampir setiap sudut masjid tersebut. Dia juga menjemput saya untuk menyertai sehri dan aftari bersama-sama pada keesokannya, tetapi saya terpaksa menolak kerana komitmen lain.

Ramadhan kali ini saya tidak bertarawih bersama penduduk tempatan kerana rumah Malaysia mengadakan program tarawih pada setiap malam untuk semua orang Malaysia di Islamabad. Kadang-kadang terasa seperti bagaikan di Malaysia apabila kami berselawat seperti di Malaysia selepas setiap dua rakaat tarawih dan apabila selesai terawih kami menjamu selera dengan pelbagai kuih ala Malaysia yang dibawa oleh jemaah, sesuatu yang tidak dilakukan oleh orang Pakistan di masjid mereka. Dan di tempat yang sama kami bersolat sunat eidulfitri pada 1 Shawal dan menikmati segala hidangan kebiasaan pada pagi raya, lalu lepaslah sedikit kerinduan pada Malaysia tanah air tercinta.

4 comments:

kelisa_samudera said...

lama tak masuk entry baru. sudah masuk zulkaedah masih lagi cerita ttg tarawih. ;)

KNizam said...

aku singgah masa malam 5 terakhir rasanya. kat luar masjid mcm lagi ramai daripada dalam masjid. kat luar tu rasa mcm bazaar ramadhan siap ngan roti john sekali. hehe :)

Bila Diary Bercerita said...

Terawih sampai kul 3 pagi... Huhu..

Nafastari said...

Kelisa,
Hari itu aku tidak punyai laptop, jadi tidak kemaskinikan blog. Sedang dalam kepala terlalu banyak idea.

KNizam,
Ya kelihatan ramai yang tidak bersembahyang pun, cuma meramaikan saja. Cuma mau tengok lampu warna-warni agaknya.

Aishah jamal,
Inilah Pakistan! Hehe...