Monday, August 23, 2010

Cerita Orang Buat Keropok Lekor

Mengisar isi ikan kerapu

Embun sibuk membantu

Walaupun kadang-kadang saya menderita apabila tiada bekalan ikan kembung dari Karachi yang sampai ke Islamabad, tetapi itu tidak langsung menghalang impian saya untuk memakan keropok lekor yang saya buat sendiri. Petang itu Mawar mencadangkan supaya kami memasak keropok lekor, kesan daripada pelayarannya dari blog ke blog. Itulah salah satu hobi Mawar dan apabila dia terlihat sesuatu resepi yang menarik seleranya, dia akan paksa saya membeli semua bahan-bahan dengan dengan memberi beberapa isyarat dengan cara tidak langsung yang harus difahami dengan segera oleh saya. dan mujurlah saya memahaminya walaupun kadang-kadang pernah juga saya buat-buat tidak faham. Tapi tatkala dia menyebut keropok lekor yang memang popular di negeri saya, saya memang langsung tidak kisah! Dengan rela dan senang hatinya saya pergi mendapatkan ikan yang diperlukan.

Membentuk adunan menjadi keropok lekor

Adunan sedia untuk direbus

Masalahnya pada petang itu adalah kerana  ikan kembung tiada di kedai ikan yang satu-satunya di Islamabad itu. Tetapi saya beranikan juga membeli isi ikan (fillet) kerapu yang entah sudah berapa lama dipamerkan di kedai itu. Sekurang-kurangnya saya sudah tidak perlu menyiatkan kulit ikan dan mengasingkan isi dari tulangnya. Lalu saya cuma perlu tumbuk ikan itu dan kemudian mencampurkan dengan tepung ubi dan sedikit gandum, garam, MSG dan mengulinya sehingga sebati sebelum membentukkan adunan itu menjadi keropok lekor, sama seperti yang anda lihat di Terengganu itu. Embun anak saya juga sibuk 'membantu', sehinggakan tidak sampai hati untuk saya beritahu padanya bahawa saya sebenarnya tidak langsung perlukan bantuannya.

Setelah siap direbus

Sudah digoreng dan sedia untuk dimakan!

Apabila sudah direbus dan kemudiannya digoreng, bagaikan tidak percaya bahawa saya telah membuat keropok lekor! Ia memang betul-betul kelihatan seperti keropok lekor, walaupun ia sedikit liat dan berwarna agak putih (mungkin kerana isi ikan kerapu yang tidak pernah dibuat orang itu). Saya tidak pernah pedulikan tentang bagaimana cara membuat keropok lekor semasa saya berada di tempatnya suatu masa dahulu. Benarlah kata orang, kita cuma lebih menghargai sesuatu apabila ia sudah hilang, jauh atau sudah tiada. Tetapi kata saya, membuat keropok lekor teramatlah senang! Cubalah sendiri nanti kalau anda sudah berada di luar negara atau berada di suatu tempat di mana ikan pun sukar untuk didapati, tentu anda akan rasa andalah pembuat keropok lekor terhebat di situ.

5 comments:

KNizam said...

rajin ko buat kopok lekor eh. aku jgn harap la. hehe :)

wan storm said...

nampok mcm pisang goreng pulok doh wehh........... masa tu aku kecik lg aku buat keropok lekor guna ikan sepat....... cik kata dudok 4 bt bau lg..... kehkehkeh...

Nailofar said...

kagum ada lagi laki2 yang berkesempatan buat semua ni..yang lain tunggu org pompuan sediakan aje..:P

wanahaf said...

u are the greatest chef in the world...

Anonymous said...

wahh awesome :) terliur pulak HAHA