Saturday, July 31, 2010

Islamabad Berkabung

Pagi itu mendung, hujan renyai-renyai dan kadang-kadang menjadi lebat. Saya berada di tempat kerja apabila tiba-tiba ada bunyi kapal terbang yang sangat kuat seolah-olah terbang sangat rendah. Langsung saya tidak menyangka kapal terbang itu sebenarnya sedang hilang kawalan dan beberapa minit selepas itu ia terhempas di bukit Margalla. Ada 152 nyawa di dalamnya dan kesemuanya meninggal dunia. Saya tinggal di kaki bukit Margalla dan kadang-kadang saya pergi mendaki Bukit Margalla itu sehingga ke puncaknya di Pir Sohawa.

Saya bagai hilang kata-kata tatkala mendengar berita tragedi itu. Sedih, pilu, simpati semuanya bercampur-baur. Dan sudah pastilah lebih teruk lagi perasaan keluarga kepada mangsa-mangsa yang terkorban. Tengah hari itu jalan raya menuju ke bukit Margalla penuh sesak dengan kenderaan. Saya mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke rumah kerana terpaksa melalui kesesakan yang teruk. Ramai orang keluar dari rumah mereka dan berada di tepi jalan, semuanya memandang ke arah bukit Margalla yang dipenuhi dengan asap tebal bercampur kabus. Beberapa helikopter berlegar-legar di atas bukit itu, menjalankan aktiviti menyelamat.

Di TV saluran berita tempatan semuanya membuat liputan secara langsung mengenai tragedi kapal terbang Air Blue yang terhempas dalam perjalanan dari Karachi ke Islamabad itu. Antara yang terkorban adalah pasangan pengantin baru yang baru tiga hari bernikah dan dalam perjalanan untuk berbulan madu ke Islamabad. Dan sebuah keluarga yang terdiri daripada 6 orang. Pelbagai cerita yang sungguh tragik dan menyayat hati disiarkan di pelbagai saluran berita yang terdapat di sini. Saya selalu membayangkan bagaimanalah jika saya adalah salah seorang yang berada dalam perut kapal terbang itu. Na’uzubillah.

Pada mulanya mereka mengumumkan 7 orang dijumpai masih bernyawa, ada saluran yang melaporkan 5. Tetapi sejam selepas itu menteri dalam negeri Pakistan mengumumkan kesemua mereka meninggal dunia dan kesemua mayat berjaya ditemui. Kerja-kerja membawa mayat keluar dari bukit itu diteruskan sehingga ke malam hari. Bunyi helikopter dan ambulans kedengaran dengan jelas dari rumah saya, silih berganti sehingga ke tengah malam.

Ini adalah satu hari yang sangat menyedihkan di Islamabad, kerajaannya telah mengumumkan Pakistan akan berkabung sehari . Saya pun masih lagi terkejut dan sukar untuk percaya bahawa kapal terbang itu sebenarnya jatuh di atas bukit di belakang rumah saya.

7 comments:

selamanyaislam said...

Hu..Sedihnya..kesedihan lebih terasa oleh ahli keluarga mangsa..

kelisa_samudera said...

masih lagi teringat akan cerita anda tentang 'memanjat margalla di pagi ramadhan'. suatu hari insya allah saya akan ke sana.

WS Zuriati said...

banjir camne plk.....berkabung jgk ke?

hamba said...

Salam.

Mati hanya antara dua kerlipan mata.. tak tahu bila saatnya buat kita..

seronok baca cerita-cerita dari pakistan.. penuh hitam dan putihnya..


'selamat berpuasa Ramadhan'

Artozy said...

Selamat Menyambut Ramadhan, Tuan! Semoga di perantauan itu Allah sentiasa melindungi dan memberkati Tuan anak-beranak.

Shamsul said...

Salam, Selamat Berpuasa kepada anda sekeluarga.
Pakistan dalam pergolakan yang dashat pada masa ini. Semoga Allah lindugi Tuan anak beranak senentiasa.
my son flies to Pakistan quite often and everytime i read of an airline disaster i think of him. I keep reminding him of his responsibility to so many sitting in the cockpit of the plane.
Take care.

Nafastari said...

Selamanya Islam,
Sudah tentu, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Kelisa S,
Siapa sangka di bukit itu akan jatuh kapal terbang. InshaAllah sampailah anda suatu hari nanti, tiada apa yang mustahil.

WS Zuriati,
Banjir rupanya lebih teruk, mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan hilang tempat tinggal.

Hamba,
Teruskan membaca, terima kasih. Ramadhan kareem.

Shamsul,
Terima kasih. Semoga Tuhan selalu melindungi anak tuan dan kita semua.