Tuesday, December 29, 2009

Lahore Yang Bersejarah


Apabila pertama memasuki bandar Lahore saya menjadi terus skeptikal dan ingin menyamakannya dengan Karachi yang pernah saya lawati pada awal bulan ini. Tetapi sebenarnya ada banyak perkara yang membezakan Lahore dari Karachi. Lahore terbahagi kepada dua bahagian iaitu pekan lamanya- Old Lahore dan sebelah yang lebih moden yang mana terletaknya Liberty Market, Pekan Gulberg dan Mall Road. Keadaan di Old Lahore adalah sangat sesak, bising dan kadang-kadang kelihatan sangat kotor, kereta lembu, kuda dan kaldai juga memenuhi jalan-jalan raya yang sangat berdebu dan selalu sesak itu. Ia memang mirip Karachi. Tetapi sesiapa pun akan terpana seketika melihat teguhnya bangunan-bangunan lamanya yang sangat menarik dan mempunyai nilai senibina yang tinggi hasil tinggalan pelabagai pemerintahan kesultanan dan koloni yang pernah menduduki Lahore. Dari segi itu Lahore adalah sebuah bandar yang istimewa!

Di sebelah Gulberg segala-galanya kelihatan lebih moden, dan yang paling jelas tiada lagi kelihatan kereta-kereta haiwan menggunakan jalan raya. Hon kenderaan juga tidak sekerap dan sebising Old Lahore. Kami bermalam di sebuah hotel di Gulberg yang meletakkan kadar harga yang agak tinggi bagai hotel lima bintang di Malaysia tetapi tahap perkhidmatan dan kemudahannya adalah lebih rendah dari hotel tiga bintang di Malaysia. Pada beberapa bulan yang lepas terdapat satu letupan bom di tempat membeli-belah di Liberty Market berhampiran dengan hotel kami dan kelihatan polis sedia berkawal di situ memeriksa setiap kenderaan yang memasuki kawasan itu. Apa yang menggembirakan saya pada malam itu adalah kerana saya dapat menikmati hidangan Nando's kesukaan saya di satu restoran di Gulberg. Hanya terdapat dua restoran Nando's di Pakistan iaitu satu di Karachi dan sebuah lagi di Lahore.

Ada satu perkara yang tidak membezakan Lahore dari bandar-bandar lain di Pakistan, iaitu peminta sedekah dan penjaja jalanannya. Sama seperti di Islamabad dan Karachi, mereka menyelinap di jalan-jalan yang sesak dan mengetuk-ngetuk cermin kenderaan kami. Tangannya akan menggayakan seperti menyuap makanan ke mulutnya, kepalanya akan ditelengkan, mukanya akan digayakan dengan mimik yang sangat sedih dan minta simpati sambil mulutnya akan menyebut "kana, kana" (makan, makan) dan beberapa perkataan Urdu yang tidak difahami. Sengaja kami siapkan satu beg kecil penuh berisi syiling supaya dapat membahagikan kepada mereka sewaktu berhenti di persimpangan lampu isyarat dan memang tidak menang tangan melayan karenah mereka yang berebut-rebut syiling Rs5, Rs2 dan Rs1 yang kami hulurkan melalui tingkap kenderaan yang hanya diturunkan sedikit. Ketika kami berhenti hendak bertanyakan arah jalan pun, peminta sedekah akan meluru ke arah kenderaan dan meminta duit.

Bergambar di Kota Rohtas





Akhirnya sampai juga saya ke Rohtas Fort pada hari cuti Krismas lalu, ditemani oleh seorang rakan Malaysia yang bekerja di Islamabad dan juga pemandu kami. Perjalanan dari Islamabad ke Rohtas Fort cuma mengambil masa sejam lebih melalui GT Road. Rohtas Fort adalah sebuah kota tinggalan yang agak besar dan kami cuma mampu melawat sebahagian daripadanya. Pada pagi itu agaknya kamilah pelancong pertama yang sampai ke situ dan seorang lelaki tua yang memakai tanda nama "LOCAL GUIDE" terus menghampiri kami dan berkata-kata dalam bahasa Urdu. Akhirnya kami faham dia menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong. Hanya kerana kasihan saya membenarkan dia mengikut kami dan menawarkan untuk membayarnya RS300 sahaja, bukan RS500 seperti yang dimintanya.


Menurutnya dia sudah berumur 60 tahun. Dia berbadan kurus dan sangat kuat merokok. Sepanjang pengembaraan kami dalam Rohtas Fort dia tidak putus-putus merokok dan katanya otak tidak dapat berfikir jika tidak merokok. Dia juga agak baik hati terutama setelah melihat dia menyapu hingus Embun dengan sapu tangannya, dan akhirnya kami melayan dia dengan baik malah kadang-kadang bergurau dan mengambil gambar bersama-samanya. Melaluinya kami dapat tahu beberapa tempat dalam kota itu seperti kubur seorang wali yang dipuja, penjara, tempat hukuman bunuh, tempat buang mayat supaya dimakan harimau yang lapar, rumah gabenor. Walaupun strukturnya sudah ada yang musnah dan sesetengahnya sudah runtuh, tetapi dengan jelas dapat dilihat akan kehebatan senibina dan kekuatan kubu pertahanan Sultan Shah Suri itu.

Kami panjat struktur bangunan di mana terletaknya penjara dan akhirnya ditunjukkan tempat hukuman bunuh dilaksanakan. Tempat itu terletak di aras yang paling tinggi, lantainya membulat dan bahagian depannya tidak berdinding. Apabila membayangkan bagaimana hukuman itu dilaksanakan di atas dek itu, ianya agak mengerikan, sehingga membuatkan Mawar terduduk dan tidak mampu berdiri lagi di situ. Tetapi pemandangan dari atas kubu itu juga sangat mengkagumkan dan kami mengambil gambar semahu-mahunya.


Saya tidaklah begitu endahkan sangat tentang sejarah dan cerita di sebalik kota Rohtas yang tersergam itu, sebaliknya cuma menghabiskan lebih banyak masa mengambil gambar sambil membuat pelbagai aksi dan gaya berlatarbelakangkan kota tinggalan yang bersejarah itu. Terdapat satu muzium di hujung kota dan pada waktu kami melawatnya kurator memberitahu tiada lampu di dalamnya kerana loadshedding, satu perkara yang biasa di Pakistan. Sebelum pulang kami memberikan Rs300 kepada Pakcik Local Guide itu dan dia kelihatan terharu sekali hampir-hampir menangis. Dia bersalam dengan saya dan yang lain serta meletakkan tangannya di atas kepala Mawar (ala Hindustan) dan mencium Embun. Dia juga memesan kepada pemandu kami supaya mengajar kami bahasa Urdu. Sampai sekarang saya masih ingat bagaimana bersemangatnya dia melambai-lambai selamat tinggal sewaktu kenderaan kami meluncur pergi meninggalkan Kota Rohtas, menuju ke Lahore.

Monday, December 28, 2009

Mera Hussin Tera Hussin, Ya Hussin...




Pada hari ulangtahun pernikahan saya dengan Mawar yang kedua, Pakistan sedang sibuk dengan perayaan 10 Muharam yang dirayakan secara besar-besaran oleh kebanyakan penganut mazhab syi'ah yang membentuk kira-kira 30% dari keseluruhan Muslim di Pakistan. Pada hari 9 dan 10 Muharam, kerajaan Pakistan mengishtiharkan cuti umum dan pada pagi tadi (10 Muharam) saya lihat jalan raya lengang dan sunyi sepi. Kedai yang menjual coklat kesukaan Mawar juga tutup sepanjang hari, bermakna tiadalah coklat itu untuk Mawar. Kebanyakan TV Pakistan memberikan liputan secara besar-besaran kepada perarakan-perarakan yang diadakan di jalan-jalan raya. Nasyid dan lagu-lagu yang meratapi kematian Hussin dan peristiwa Karbala memenuhi kebanyakan program di TV.



Sudah beberapa hari juga saya tidak melihat chukida (jaga) di sebelah rumah saya yang bermazhab syi'ah, mungkin dia juga sedang bercuti  meraikan 10 Muharam. Menurut seorang kenalan Pakistan saya yang bermazhab sunni, kebanyakan aksi agresif yang boleh mencederakan diri sendiri pada perarakan 10 Muharam hanya dibuat oleh orang-orang miskin dan tidak berpelajaran yang diupah oleh orang-orang syi'ah yang kaya. Mereka yang lebih berpelajaran biasanya hanya hanya akan menepuk-nepuk dada dengan sederhana sebagai meratapi kesedihan atas apa yang berlaku kepada Imam Hussin semasa peristiwa Karbala. Menurut seorang india warganegara Malaysia yang bekerja di sini, sambutan 10 Muharam itu tidak jauh bezanya dengan sambutan Thaipusam di Malaysia.

Ada beberapa program berbahasa Urdu yang saya tonton di TV menayangkan kumpulan syiah yang duduk dalam masjid sambil mendengar kepada seorang yang gaya seperti penceramah atau tukang cerita. Hampir 10 TV menyiarkan majlis yang sebegitu pada malam 9 Muharam, ada yang disampaikan oleh lelaki tua, lelaki muda dan malah perempuan yang menyampaikannya pada hadirin perempuan sahaja. Dia akan bercerita sambil menangis-nangis dan kadang-kadang disahut dengan jeritan dari kalangan pendengar yang duduk di hadapannya. Hadirin yang berpakaian serba hitam itu juga meratap, menangis-nangis (yang bagai dibuat-buat) dan menepuk-nepuk dada dan kepala mereka sewaktu mendengar cerita sedih yang tidak lekang menyebut nama Hussin, Ali dan Fatimah.

Pada 9 Muharam saya berada di Lahore. Pada malam itu kenderaan kami tiba-tiba memasuki satu jalan yang lengang dan gelap. Selepas itu baru kami menyedari bahawa terdapat satu perarakan kumpulan orang Syi'ah dengan sepanduk yang dijulang tinggi dan laungan suara yang menyebut antara lain, "Hussin... Ya Hussin..." Lelaki berjalan di hadapan dan kumpulan perempuan di belakang, mereka semuanya berpakaian serba hitam. Dan pemandu kami yang bermazhab Sunni itu kelihatan agak terkejut apabila melihat mereka dan cepat-cepat berpatah balik dan menukar haluan.

Saturday, December 19, 2009

Laksam Terengganu di Islamabad





Apabila saya seorang lelaki yang dahulunya tidak berapa gemar memakan Laksam apatah lagi memasaknya, siapalah yang menyangka sekarang saya akan mengukus Laksam sendiri. Tetapi saya masih ingat lagi bebarapa ketika dulu sewaktu saya masih kecil ibu saya seringkali menyediakan hidangan Laksam sebagai sarapan kami. Saya cuma dapat ingat bagaimana dia meletakkan adunan tepung dan air yang cair ke atas tudung periuk yang nipis atau loyang, dan dikukusnya di atas periuk kukusan yang bertingkat-tingkat.

Setelah memastikan jenis tepung yang digunakan melalui sms kepada kakak saya di Terengganu, saya mula sibuk di dapur. Rupa-rupanya adunan itu cumalah tepung beras yang dicampur dengan air dan sedikit gandum. Menurut kakak, adunan itu dibuat cair sahaja dan elok diletakkan minyak sedikit di atas loyang yang hendak diletakkan adunan supaya laksam yang telah masak tidak akan melekat. Cubaan pertama saya boleh dikira agak menjadi dan pada pagi hari minggu itu kami bersarapan dengan Laksam yang cuma berulamkan timun. Kuah Laksam disediakan oleh Mawar dan itulah juga kali pertama dia menyediakan kuah laksam ala Terengganu-Kelantan setelah dipelajarinya melalui blog birasnya yang berasal dari Kelantan.



Selepas itu saya dengan yakinnya hendak menjamu seramai 40 orang Malaysia di Islamabad untuk memakan Laksam yang akan saya sediakan sendiri. Tetapi nampaknya keyakinan sahaja tidak mencukupi. Saya gagal, kecewa dan patah semangat selepas mengukus beberapa gulung yang sangat buruk rupanya. Laksam saya menjadi lembik melekat-lekat di atas loyang dan susah hendak digulung. Saya pun berhenti mengukus, menyimpan baki adunan dan masuk tidur sambil mendengar suara bebelan dari seseorang.



Mujurlah seorang sahabat Malaysia di sini meminjamkan saya tiga bungkus laksa kering, lalu selamatlah kuah laksa lemak dengan 3kg ikan kembung yang telah disediakan oleh Mawar. Saya berasa gembira dan bangga akhirnya 40 tetamu saya dapat makan kuah laksam itu dengan laksa yang direbus oleh saya. Saya mempunyai perasaaan bahawa mereka ikhlas apabila mereka memuji laksa kuah putih itu sedap.

Friday, December 11, 2009

Memahami & Mencintai Negara

Semangat patriotik yang lahir dari kefahaman tentang sejarah dan struktur perlembagaan negara adalah sesuatu yang sangat baik untuk dipupuk supaya setiap warganegara lebih memahami tentang perihal negaranya sendiri. Jika benar BTN tidak mempunyai agenda perkauman atau kepentingan politik sesetengah pihak, dicadangkan bahawa modul yang sama didedahkan kepada umum dan diajar di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang lain supaya semangat cintakan negara dapat disemai dengan lebih berkesan. Ceritakan, dedahkan dan tayangkanlah segala-galanya, jangan biarkan ia menjadi sulit atau rahsia lagi. Jika mereka dapat melakukan hanya dalam masa beberapa hari, mengapa tidak dapat guru-guru di sekolah lakukannya sepanjang masa pengajaran yang diperuntukan untuk mata pelajaran Sejarah dan sebagainya. Cukuplah berbalah sesama sendiri menuduh racist, ekstrim dan mengelirukan rakyat, seolah-olah tiada sesiapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam kem BTN.

Tetapi harus difahami bahawa semangat patriotik adalah sesuatu yang sangat berbeza dengan semangat kepartian yang berasaskan perkauman dan ianya tidak wajar dikelirukan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Sejarah pula adalah sesuatu untuk dikaji dan pelajari secara jujur, bukannya untuk dimanipulasi dan dieksploitasi. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang menjunjung tinggi perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang tubuh negara. Apabila perlembagaan dengan jelasnya telah memisahkan tiga badan utama dalam struktur pemerintahan negara, jadi siapakah anda yang pandai-memandai ingin menggunakan dana awam bagi mengukuhkan kedudukan sesuatu parti untuk terus memerintah?

Integriti adalah sama seperti keadilan, ia bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti dilihat dilaksanakan. Bersainglah di atas padang yang sama rata, supaya jika anda menang, menang dengan bergaya. Dan jika kalah, kalah dengan penuh bermaruah. Majulah Malaysia!

Monday, December 07, 2009

Karachi Yang Bising

Karachi adalah sebuah bandar yang sangat bising, sesak dan kotor. Di atas jalan raya, terdapat kereta keldai dan kereta kuda yang biasanya membawa barang yang banyak. Pemandu kenderaan sangat suka membunyikan hon kenderaan masing-masing tanpa alasan kukuh. Seorang pelajar Malaysia yang belajar di sini memberitahu, pada suatu hari seorang pemandu van tidak mahu menumpangkan dia kerana menurutnya vannya telah rosak. Setelah ditanyakan apakah kerosakannya, maka dijawabnya hon yang rosak. Betapa pentingnya hon kepada mereka!

Karachi yang terletak kira-kira 1142km ke Barat Daya Islamabad, adalah jauh lebih besar dari Islamabad. Terdapat banyak bas yang dihias berwarna-warni dan juga recha (sama seperti tuk-tuk di Thailand) sesuatu yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk beroperasi di Islamabad, mungkin kerana menjaga imej ibu negara mereka supaya kelihatan lebih moden. Bas di sini biasanya mempunyai tempat khas di atas bumbung bagi memudahkan penumpang untuk menumpang naik sehingga ke atas bumbung. Teksi (Suzuki Mehran) mereka sangat kecil cuma sebesar kereta Perodua Kancil dan biasanya penumpang perlu bertelingkah terlebih dahulu untuk mendapatkan tambang yang lebih murah.

Saya bertuah sekali kerana terdapat dua orang pelajar melayu yang menemani kami untuk ke bersiar-siar dalam bandar Karachi. Seorang berasal dari Temerloh dan seorang lagi warganegara Thai dari Pattani, merekalah yang membawa kami ke tempat tumpuan seperti Jalan Tariq, Pasar Zainab dan pusat membeli-belah Park Tower yang berdekatan dengan pantai. Di Pasar Zainab terdapat jaket kulit yang harganya lebih murah dari kedai di Islamabad. Tidak jauh dari situ terdapat kedai factory outlet Levi's dan beberapa jenama yang lain lagi yang menawarkan barangan pada harga yang sangat murah. Di Karachi, baru saya menyedari bahawa harga minyak wangi berjenama di Pakistan adalah jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Dan saya juga tidak akan melupakan pengalaman menjamu selera di satu Lorong yang kurang bersih berdekatan dengan Tariq Road, rasa ayam karahi yang dimakan dengan roti nan serta minuman lassi ciku itu membuat saya lupa seketika bagaimana keadaan di sekitar kedai itu.


Kadang-kadang kami terpaksa melayani karenah peminta sedekah yang agak agresif. Jika berhenti di persimpangan lampu isyarat, mereka akan datang dengan lakonan muka berbelas kasihan sambil mengetuk-ngetuk cermin kereta. Saya pernah memberi pada seorang melalui tingkap sebelah kiri dan selepas itu ada empat lagi datang di sebelah kanan! "Perempuan pelik" yang bermekap tebal yang siap berselendang juga meminta sedekah di jalan-jalan yang sibuk berdekatan tempat tumpuan untuk membeli-belah. Saya meminta kebenaran salah seorang dari mereka untuk diambil gambar dan dia membenarkannya, malah beraksi dengan lincah di hadapan kamera sambil membuka kain dupatta yang menutup kepalanya. Selepas mendapat RS20, saya lihat dia berlalu dengan gembira. Dalam gambar yang dizoom-in saya lihat dagunya tidak dicukur bersih, ada tunggul rerambut kasar yang tertinggal.

Saya diberitahu oleh orang-orang Malaysia di sini bahawa kadar jenayah di Karachi agak membimbangkan. Semasa di dalam bas mereka boleh datang dan duduk di sebelah kita dan menunjukkan hujung pistol, lalu meminta telefon bimbit, dompet dan sebagainya. Dalam kesesakan lalulintas pun penjenayah boleh melakukan begitu melalui tingkap kenderaan semasa kenderaan berhenti. Mungkin disebabkan populasi yang terlalu ramai dan keadaan ekonominya, perkara itu bagai sukar dikawal. Jenayah melibatkan pengedaran dadah juga agak tinggi di Karachi. Difahamkan buat masa ini terdapat tiga wanita Malaysia yang terdapat dalam penjara wanita Karachi atas kesalahan narkotik, yang mana jika tertangkap di Malaysia hanya hukuman gantung sampai mati yang layak untuk mereka.