Friday, December 11, 2009

Memahami & Mencintai Negara

Semangat patriotik yang lahir dari kefahaman tentang sejarah dan struktur perlembagaan negara adalah sesuatu yang sangat baik untuk dipupuk supaya setiap warganegara lebih memahami tentang perihal negaranya sendiri. Jika benar BTN tidak mempunyai agenda perkauman atau kepentingan politik sesetengah pihak, dicadangkan bahawa modul yang sama didedahkan kepada umum dan diajar di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang lain supaya semangat cintakan negara dapat disemai dengan lebih berkesan. Ceritakan, dedahkan dan tayangkanlah segala-galanya, jangan biarkan ia menjadi sulit atau rahsia lagi. Jika mereka dapat melakukan hanya dalam masa beberapa hari, mengapa tidak dapat guru-guru di sekolah lakukannya sepanjang masa pengajaran yang diperuntukan untuk mata pelajaran Sejarah dan sebagainya. Cukuplah berbalah sesama sendiri menuduh racist, ekstrim dan mengelirukan rakyat, seolah-olah tiada sesiapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam kem BTN.

Tetapi harus difahami bahawa semangat patriotik adalah sesuatu yang sangat berbeza dengan semangat kepartian yang berasaskan perkauman dan ianya tidak wajar dikelirukan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Sejarah pula adalah sesuatu untuk dikaji dan pelajari secara jujur, bukannya untuk dimanipulasi dan dieksploitasi. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang menjunjung tinggi perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang tubuh negara. Apabila perlembagaan dengan jelasnya telah memisahkan tiga badan utama dalam struktur pemerintahan negara, jadi siapakah anda yang pandai-memandai ingin menggunakan dana awam bagi mengukuhkan kedudukan sesuatu parti untuk terus memerintah?

Integriti adalah sama seperti keadilan, ia bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti dilihat dilaksanakan. Bersainglah di atas padang yang sama rata, supaya jika anda menang, menang dengan bergaya. Dan jika kalah, kalah dengan penuh bermaruah. Majulah Malaysia!

11 comments:

Golongan Marhaen said...

betul tu en nafastari..aku nampak hanya 1 cara je nak dapatkan semangat patriotik ni, buang semangat kepartian yg ada dalam diri..cuba terima teguran tanpa prasangka..tapi macam sukar perkara ini untuk dicapai..atau adakah kita perlu dijajah sekali lagi hanya untuk sedarkan masyarakat semangat cintakan negara?

kelisa_samudera said...

dalam Malaysia, saya tak tahu nak sokong parti mana kerana mereka lebih kurang sama. saya memutuskan untuk berdiam dari memberi pendapat dan menghakimi mereka secara diam2 tanpa menyatakan parti mana yang saya sokong.

KopiahPuteh said...

Cadangan yang sama pernah saya kemukakan semasa menjalani BTN dulu.Fasilitator memang xboleh nak jawab dan pandai pula memutarbelitkan soalan saya sehinggakan saya pula yang salah.Diorg memang mengeksploitasi sejarah!Mengutuk individu tertentu yang tak sebulu dengan mereka. Penceramah2 pula hanya bijak bermain dengan bahasa terkini yang kununnya intelektual.Tetapi semuanya berfahaman kebangsaan yang tak menguntungkan langsung agama ISLAM.
Makanan kat kem BTN memang sedap,aku puji soal itu.

Nailofar said...

Hmm..BTN patut bebas dari elemen kepartian dan kena la natural..if not, sapa nak percaya BTN ni bertujuan untuk memupuk semangat patriotik secara jujurnya..fasilitator juga perlu diambil dari pelbagai fahaman parti bukannye dari sebelah pihak yang semestinya akan menghasilkan timbangan yang berat sebelah..Setuju!Setuju!

Mince4AM said...

Buku teks sejarah sekolah mencampur adukkan fakta2 yang betul dan bohong, BTN bukan setakat bohong, tetapi ia dakyah... haha saya pernah menghadiri BTN lebih dari 3 kali

yg_indah said...

masyarakat kita (melayu saja rasanya) masih belum matang dlm berpolitik

kelisa_samudera said...

yg indah : aku rasa bukan saja melayu. cina dan india juga masih belum matang. kalo tidak mereka tidak akan 'keanak-anakan' untuk memijak gambar musuh2 politik mereka.

Nafastari said...

GolonganM, saya tidak fikir perlu buang semangat kepartian. Itu adalah satu ideologi yang perlu dihormati, tetapi ia langsung tidak menghalang seseorang yang menganut ideologi itu untuk terus mencintai tanah airnya sendiri. Cuma mereka tidak perlu menyalahgunakan kuasa, melanggar perlembagaan dan menggunakan duit rakyat bagi memberi tekanan kepada orang yang lemah dan pihak yang tidak bersependapat dengan mereka.

KelisaS, tiada siapa yang boleh memaksa anda hendak menyokong parti mana. Sebagai seorang yang matang dan berpendidikan anda tentunya bijak dalam menentukan masa depan negara anda.

KopiahP, benar sekali. Saya memahami perkara ini kerana saya juga pernah mengalaminya. Mereka sangat tertutup dan seolah-olah tidak faham konsep demokrasi dan perlembagaan negara. Ya, makanan yang lazat dan cukup!

Nailofar, benar sekali. Jika pun mereka harus menyentuh tentang semangat kepartian, tetap perkara itu harus dilakukan dengan adil. Kerana kursus itu dibiayai oleh duit rakyat jadi ia tidak perlu membiayai perbelanjaan bagi kepentingan satu parti politik sahaja.

Mince4Am, dakyah adalah membahayakan. Marilah kita membenci dakyah perkauman!

Yg_indah, tidak boleh pukul rata. Anda sendiri tentunya telah matang, bukan?

KelisaS, saya fikir pijakan2 itu sekadar satu luahan dan ekspresi. Tidak boleh dijadikan ukuran kematangan seseorang dalam berpolitik. Saya cuma ingin memahamkan pembaca tentang prinsip2 keadilan, integriti dan nilai2 murni. Saya tidak boleh menghakimi kematangan seseorang yang di luar sana, kerana mereka juga ada pendapat dan alasan mereka sendiri dan saya menghormati suara mereka.

KopiahPuteh said...

Biasanya,orang yang banyak jerawat lebih matang.Hhehehehehe.. Wat lawak ckit.

kelisa_samudera said...

di perak, ada daerah nama larut, matang dan selama.

--lawak nombor 2.

Golongan Marhaen said...

kematangan hanya dapat diperoleh berdasar pengalaman hidup..ia bukan terdapat di sekolah..dan tak bleh diajar..

-fakta-