Tuesday, December 29, 2009

Lahore Yang Bersejarah


Apabila pertama memasuki bandar Lahore saya menjadi terus skeptikal dan ingin menyamakannya dengan Karachi yang pernah saya lawati pada awal bulan ini. Tetapi sebenarnya ada banyak perkara yang membezakan Lahore dari Karachi. Lahore terbahagi kepada dua bahagian iaitu pekan lamanya- Old Lahore dan sebelah yang lebih moden yang mana terletaknya Liberty Market, Pekan Gulberg dan Mall Road. Keadaan di Old Lahore adalah sangat sesak, bising dan kadang-kadang kelihatan sangat kotor, kereta lembu, kuda dan kaldai juga memenuhi jalan-jalan raya yang sangat berdebu dan selalu sesak itu. Ia memang mirip Karachi. Tetapi sesiapa pun akan terpana seketika melihat teguhnya bangunan-bangunan lamanya yang sangat menarik dan mempunyai nilai senibina yang tinggi hasil tinggalan pelabagai pemerintahan kesultanan dan koloni yang pernah menduduki Lahore. Dari segi itu Lahore adalah sebuah bandar yang istimewa!

Di sebelah Gulberg segala-galanya kelihatan lebih moden, dan yang paling jelas tiada lagi kelihatan kereta-kereta haiwan menggunakan jalan raya. Hon kenderaan juga tidak sekerap dan sebising Old Lahore. Kami bermalam di sebuah hotel di Gulberg yang meletakkan kadar harga yang agak tinggi bagai hotel lima bintang di Malaysia tetapi tahap perkhidmatan dan kemudahannya adalah lebih rendah dari hotel tiga bintang di Malaysia. Pada beberapa bulan yang lepas terdapat satu letupan bom di tempat membeli-belah di Liberty Market berhampiran dengan hotel kami dan kelihatan polis sedia berkawal di situ memeriksa setiap kenderaan yang memasuki kawasan itu. Apa yang menggembirakan saya pada malam itu adalah kerana saya dapat menikmati hidangan Nando's kesukaan saya di satu restoran di Gulberg. Hanya terdapat dua restoran Nando's di Pakistan iaitu satu di Karachi dan sebuah lagi di Lahore.

Ada satu perkara yang tidak membezakan Lahore dari bandar-bandar lain di Pakistan, iaitu peminta sedekah dan penjaja jalanannya. Sama seperti di Islamabad dan Karachi, mereka menyelinap di jalan-jalan yang sesak dan mengetuk-ngetuk cermin kenderaan kami. Tangannya akan menggayakan seperti menyuap makanan ke mulutnya, kepalanya akan ditelengkan, mukanya akan digayakan dengan mimik yang sangat sedih dan minta simpati sambil mulutnya akan menyebut "kana, kana" (makan, makan) dan beberapa perkataan Urdu yang tidak difahami. Sengaja kami siapkan satu beg kecil penuh berisi syiling supaya dapat membahagikan kepada mereka sewaktu berhenti di persimpangan lampu isyarat dan memang tidak menang tangan melayan karenah mereka yang berebut-rebut syiling Rs5, Rs2 dan Rs1 yang kami hulurkan melalui tingkap kenderaan yang hanya diturunkan sedikit. Ketika kami berhenti hendak bertanyakan arah jalan pun, peminta sedekah akan meluru ke arah kenderaan dan meminta duit.

5 comments:

kelisa_samudera said...

agak merimaskan jika ada ramai peminta sedekah. tetapi itulah sebenarnya ujian kepada kita. mungkin di celah2 mereka ada malaikat yg sengaja menguji kita.

Mince4AM said...

slm Ahmad,
Asyik sekali membaca cerita pengembaraan dan penerokaan kamu..tunggu apa lagi?, aku rasa kamu mempunyai ramai kenalan di utusan..iya betul memang loya,tapikan yang loya itu berita-berita semasanya sahaja...

aku hanya menebak!!haha

Golongan Marhaen said...

atau ada di kalangan mereka yang sebenarnya sudah kaya raya?wallahualam...

Nailofar said...

beruntungla nafastari dapat menjelajah bumi Allah yang luas ini..Semoga pengembaraan nafastari dapat mencetuskan keinsafan kepada diri dan juga teman yang membacanya..:)

Nafastari said...

KelisaS, ya, sebab itulah kami tidak pernah menghalau atau berkata sesuatu yang tidak elok kepada mereka walaupun kami tidak memberi.

Mince4Am, benarkah begitu? Atau kamu sengaja memuji berlebih-lebih? Rasanya tidaklah sampai ke tahap menyiarkan tulisan yang tak seberapa ini sampai ke situ.

GM, tapi kulihat mereka sungguh daif dan kotor, tidak mungkin mereka telah kaya-raya...

Nailofar, alhamdulillah peluang yang dibuka oleh Tuhan. Terima kasih atas sokongan anda.