Anak perempuan saya cepat menyesuaikan dirinya di tempat baru dengan cuaca dan iklim yang baru. Jika saya dan Mawar menghadapi kekeringan kulit dan sebagainya tetapi Embun langsung tidak mempunyai apa-apa masalah berkaitan cuaca di musim panas. Pada saya dia kelihatan sangat comel, kulitnya cerah. Jika suhu terlalu panas kulitnya akan kelihatan sedikit kemerahan, tetapi dia tidak apa-apa. Keadaan kesihatannya sangat baik dan dia membesar dengan cepat. Buat masa sekarang ini dia tidak makan dan minum apa-apa kecuali susu ibunya sahaja. Sewaktu datang ke Islamabad beratnya cuma 2.9 kg, tetapi sekarang dia sudah menjadi lebih berat. Pada 15 Jun yang lepas sewaktu membawanya ke klinik kesihatan bayi untuk suntikan, beratnya sudah mencecah 4.2 kg. Sekarang mungkin sudah hampir 5 kg.
Semalam kami semua ke Pasar Kohsar terletak di Sektor F6, tidak berapa jauh dari tempat tinggal kami. Penjual di sebuah kedai sangat tertarik dengan dengan Embun dan bertanyakan namanya kepada saya. Saya memberitahu namanya Embun dan jika diterjemah dalam bahasa Urdu namanya menjadi Syabnam, dan jika dalam bahasa Arab, ia menjadi Nadaa. Orang Pakistan sangat sukar menyebut Nadaa, tetapi nama Nida adalah sangat popular dan biasa. Penjual yang bernama Imran itu sangat menyukai nama baru Embun- Syabnam. Semasa kami membayar di kaunter dia menghadiahkan satu mangkuk seramik kecil yang cantik, untuk Syabnam.
Sudah sebulan saya di Islamabad dan menghabiskan sebahagian dari hidup kami di hotel yang mewah dan dikatakan paling selamat, tetapi langsung tidak berjaya memujuk dan meredakan kebimbangan yang bertapak di fikiran. Polis dan pengawal bersenjata ada di mana-mana, di sekitar hotel. Setiap pagi pasti terserempak dengan seorang lelaki yang berpakaian kemas di hadapan bilik kami, duduk di sofa yang sememang diletakkan di situ. Mulanya saya fikir dia seorang pekerja hotel, tetapi akhirnya setelah berkenalan saya mendapat tahu dia seorang anggota polis cawangan khas. Dari "special branch" katanya, tetapi tidak saya bertanya lanjut tentang apa yang dibuatnya di hotel itu.
Dua hari lepas akhirnya saya keluar dari penjara mewah itu, membebaskan diri di tempat yang saya harus panggil sebagai rumah saya selama saya berada di sini. Sangat selesa, jauh lebih baik dari yang saya mampu sediakan sewaktu di tanah air. Bayangkan sebuah rumah yang mempunyai enam bilik tidur yang semuanya berpendingin hawa, lima bilik air yang siap dengan tab mandi, ruang tamu yang luas, dapur yang selesa dan taman yang menghijau di laman depan. Tuhan, saya tidak inginkan apa-apa lagi. Alhamdulillah.
Selain dari rumah ini majikan menyediakan satu mesin generator untuk rumah saya. Di Pakistan tenaga elektrik yang mereka jana tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk mereka. Jadi sebagai alternatif, tenaga elektrik dicatu. Dalam masa sehari mereka akan memutuskan bekalan elektrik selama dua jam di setiap rumah. Di sektor tempat tinggal saya bekalan elektrik akan diputuskan dua kali sehari, pada pukul 4 hingga 5 petang, dan dari 12 tengah malam hingga 1 pagi. Generator akan menjadi penyelamat kepada saya kerana ia akan tetap memberikan saya tenaga elektrik bagi menghidupkan pendingin hawa (harus diingat sekarang adalah musim panas, suhu mencecah 48'c), lampu, peti sejuk dan sebagainya.
Tetapi semalam saya mendapat masalah baru. Jiran di sebelah kanan saya tidak selesa mendengar bunyi generator saya walaupun rumah kami telah dipisahkan dengan pagar batu yang agak tinggi. Semalam sekonyong-konyong dia datang bertandang ke rumah saya, bukan untuk berkenalan. Katanya bunyi generator rumah saya sangat kuat dan mengganggu tidurnya. Saya tidak memberitahunya padahal pemandu saya yang biliknya cuma bersebelahan dengan mesin itu langsung tidak mempunyai masalah dengan bunyi itu. Sudah dua kali jiran sebelah datang komplen kepada saya dan Mawar. Mulanya dia kelihatan sangat marah tetapi saya langsung tidak melayan kemarahannya sebaliknya cuba berkenalan dengan bertanya macam-macam dan berbasa-basi. Tetapi tidak pula saya janjikan apa-apa kepadanya.
Kalau menurut kawan senegara saya, usah dilayan dengan jiran yang berdengki dan mementingkan diri seperti jiran saya itu. Dia dan beberapa kawan Malaysia yang lain turut mempunyai masalah yang sama. "Nasib dialah duduk sebelah rumah kita. Dia patut salahkan kerajaan Pakistan, bukan salahkan kita yang terpaksa menggunakan mesin generator. Cuba tawarkan dia untuk sambungkan tenaga elektrik ke rumahnya juga, pasti dia akan senyap selepas itu. Sebenarnya dia cuma dengki kerana dia tidak mempunyai generator seperti kita."
Sebenarnya perkara ini turut menghantui saya. Saya tidak mahu menyakiti hati sesiapa di sini, tambah-tambah lagi jiran saya. Saya rasa dia punyai hak untuk tidak diganggu dan hidup dalam suasana yang senyap dan aman. Tidak lama lagi saya akan alihkan mesin itu ke suatu sudut yang lain yang jauh sedikit dari rumahnya, semoga tidak mengganggu hidupnya lagi. Buat masa ini, itu sahaja pilihan yang saya ada. Maafkan saya wahai jiran, sila salahkan kerajaan anda!
Mereka bangsa yang gila kriket! Mungkin itulah pernyataan yang paling sempurna untuk menggambarkan tahap keghairahan mereka kepada sukan kriket. Jika di tanah air kita melihat orang bermain bola sepak di mana-mana sahaja kerana itu adalah antara permainan yang paling popular kepada orang kita. Tetapi di Pakistan kriket menjadi permainan utama. Di mana-mana sahaja terdapat orang bermain kriket. Padang kriket juga terdapat di mana-mana sahaja, ada padang yang sempurna yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dan ada juga padang yang dicipta sendiri oleh masyarakat setempat. Kadang-kadang mereka bermain kriket hanya dengan memakai baju labuh tradisional (sarwal khamiz), di petang-petang hari yang sangat panas di musim ini dan juga di malam hari, sehingga ke tengah malam.
Malam dua hari lepas saya berada di Jinnah Super Market (sebenarnya cuma deretan kedai-kedai, bukan pasaraya seperti di tempat kita) untuk suatu urusan. Saya lihat begitu ramai orang berkumpul menghadap suatu skrin tayangan yang sangat besar, menyaksikan suatu perlawanan kriket! Rupa-rupanya ia suatu perlawanan yang sangat penting iaitu perlawanan akhir Piala Dunia (20-20) antara Pakistan dan Sri Lanka. Pakistan menang bergaya dengan kelebihan 8 wicket, itu yang mereka beritahu kepada saya yang jahil kriket ini.
Setelah perlawanan tamat mereka semua menjadi histeria terjerit-jerit, ada yang menari-nari, ada yang melompat, berpeluk-pelukan, mengibar-ngibarkan bendera dan sebagainya. Agak agresif! Biasanya saya melihat situasi begini hanya di televisyen, tapi sekarang sudah depan mata sendiri. Paling menarik perhatian saya adalah gema jeritan "Pakistan Zindabad, Pakistan Zindabad" (hidup Pakistan!) yang dilaungkan berulang-ulang secara beramai-ramai. Mereka tersangat gembira kerana kriket adalah sebahagian daripada hidup mereka, dan sekarang negara mereka telah memenangi piala dunia. Kali terakhir mereka memenangi piala dunia adalah pada 1992, ketika Imran Khan masih menjadi kapten pasukan kebangsaan.
Saya cuma melihat reaksi mereka tanpa melibatkan sebarang emosi kerana saya tidak tahu apa-apa tentang kriket. Pada malam itu semua orang Pakistan cuma ingin bercakap tentang kriket. Apabila berjumpa kawan-kawan mereka bersorak, berpelukan dan mengucapkan tahniah sesama mereka. Esoknya semua muka depan surat khabar bercerita tentang kriket. TV pun sama. Ada senyuman kepuasan pada setiap wajah orang Pakistan. Untuk seketika mereka dan saya lupa tentang ancaman bom dan taliban.
Kehadapan Puan Saghir Hussain yang saya hormati, semoga anda dan suami serta keluarga berada dalam keadaan yang sejahtera.
Pertamanya saya ingin meminta maaf kerana saya tidak dapat memenuhi hasrat anda supaya menyewa rumah sewa milik anda di Sektor F8 Bandaraya Islamabad. Keputusan ini adalah muktamad dan saya tidak mahu berbincang apa-apa lagi mengenai rumah itu dengan anda mahupun melalui ejen hartanah Encik Arshad yang sangat menyakitkan hati saya itu. Saya juga tidak akan menjawab panggilan telefon dan tidak ingin melihat muka anda berdua lagi. Keduanya saya ingin meminta maaf atas kekasaran saya berbicara dengan anda melalui telefon sebentar tadi. Saya tahu anda sudah tua 73 tahun, serta tidak sihat, sementara saya sangat muda dan cuma sebaya dengan cucu-cucu anda. Tetapi saya mempunyai alasan yang kukuh untuk berbicara dengan cara yang sedemikian.
Anda mungkin seorang perempuan kaya dan sangat dihormati lebih-lebih lagi kerana suami anda yang sedang menderita penyakit parkinson itu adalah seorang tentera bersara berpangkat Jeneral. Saya faham orang yang berpangkat dalam tentera walaupun setelah bersara sangat disanjung tinggi dalam masyarakat di negara anda kerana mereka mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang diberi oleh kerajaan di negara anda, Pakistan. Malah tentera mempunyai kuasa dan pengaruh yang sangat besar dalam negara anda sehingga boleh menggulingkan sebuah kerajaan yang sah dan selepas itu membentuk kerajaan tentera. Sejarah negara anda juga telah menyaksikan tentera berjaya membawa seorang Perdana Menteri ke tali gantung, anda tentu masih ingat bagaimana mereka melakukannya terhadap Zulfikar Ali Bhutto (ayah Benazir Bhutto) pada tahun 1979. Tapi anda lupa, saya dari Malaysia dan saya tidak peduli tentang pangkat suami anda.
Rumah yang anda hendak sewakan itu adalah sangat cantik kerana ia mempunyai taman yang luas, lantai dan bilik air yang cantik serta dapur yang baru diubahsuai. Sebab itulah saya masih membuka satu lagi peluang kepada anda dan ejen (Arshad) bagi membincangkan tentangnya walaupun pada mulanya saya sudah kecewa dengan ejen yang suka menipu dan berbelit-belit. Saya benar-benar perlukan sebuah rumah sekarang kerana saya dan dan isteri serta bayi kami sudah bosan berlama-lama di hotel yang dikawal ketat ini. Saya sangat terkejut dengan cara bagaimana anda mengendalikan urusan penyewaan rumah. Anda tidak jujur dan sangat memberi tekanan kepada pihak saya. Rumah anda cantik dan saya sangat suka, tetapi saya tidak suka dengan sikap dan cara anda.
Pada mulanya ejen memberitahu anda bersetuju untuk menyewakannya pada harga USD1,800 dengan berperabot penuh. Tetapi setelah itu anda memberi bermacam-macam alasan untuk tidak menyediakan perabot penuh walaupun pada mulanya menurut ejen anda telah bersetuju. Saya tidak tahu samada anda atau ejen yang menipu, atau pun kedua-duanya sekali. Walaupun setelah kami naikkan menjadi USD2,000 anda masih berkeras hanya ingin menyediakan perabot sebagaimana yang anda tentukan. Anda hanya mahu mengikut kehendak anda dan langsung tidak mendengar dan menghormati perasaan saya sebagai penyewa. Semalam saya tidak kisah untuk ke tempat istirehat anda di Mes Tentera di Rawalpindi untuk berjumpa anda kerana anda sudah tua dan punyai suami yang sakit lalu tidak larat untuk bertandang ke tempat saya di Islamabad, kerana saya dengan suci hati ingin berbincang dengan anda untuk mendapatkan rumah itu. Saya tidak kisah biarpun terpaksa bersesat jalan untuk mencari mes tentera itu, terperangkap dalam kesesakan bandar Rawalpindi dan diganggu dengan pondan-pondan peminta sedekah jalanan, semata-mata untuk berjumpa dengan anda. Lagi pula anda telah bersusah payah telah datang ke sini dari tempat menetap anda di Lahore.
Pada mulanya ejen yang datang ke Rawalpindi bersama-sama saya dan kawan saya memberitahu anda cuma ingin berbincang tentang senarai perabot. Dan saya terkejut besar apabila anda dengan lagak tuan tanah (landlord) yang sangat sombong dan angkuh memberitahu bahawa anda inginkan cek wang deposit sebagai jaminan pada masa itu juga. Anda ingin saya siapkan dokumen perjanjian pada masa itu juga. Padahal kita belum pun membuat persetujuan apa-apa tentang senarai perabotnya, malah tentang kadar bayaran sewa rumah itu. Anda tidak jujur dan anda hanya mahukan keuntungan serta wang yang banyak!
Selepas itu bila saya bertanyakan berapakah kadar sewa jika tanpa perabot, anda menyatakan ia tetap USD2,000 dan mahukan saya meletakkan tarikh sewa dalam perjanjian bermula semalam. Anda menyatakan dengan angkuh bahawa ada ramai orang yang inginkan rumah anda dengan harga yang lebih tinggi. Tapi saya masih sabar dan tidak meninggikan suara. Malah saya dan kawan saya dengan hormatnya melayan dan mendengar segala kehendak anda. Ketika saya sudah tidak berminat lagi untuk meneruskan rundingan tetapi kawan saya menyuruh saya diam dan dia telah meneruskan rundingan selepas itu, saya cuma mendengar. Saya lihat anda sangat gembira apabila kawan saya menyatakan bahawa kami sanggup membayar USD2,500 sebulan jika anda memenuhkan rumah itu dengan perabot seperti yang saya mahukan. Sebenarnya kawan saya sengaja ingin mengendurkan ketegangan antara kita, lebih-lebih lagi apabila melihat anda telah menyuruh hamba anda menghidangkan makanan tengah hari. Kami tahu ianya tidak sopan untuk bertelingkah di hadapan makanan atau pun meninggalkan anda tanpa menyentuh makanan yang dihidangkan.
Sebelum saya meninggalkan anda di Mes Tentera Rawalpindi semalam anda menekan saya supaya mendapatkan kelulusan segera daripada majikan saya di Malaysia dan menyiapkan segera cek wang deposit yang anda mahukan serta dokumen perjanjian penyewaan rumah tersebut. Anda juga telah menegaskan bahawa saya perlu membayar sewa secara sekaligus untuk dua tahun setelah perjanjian siap ditandatangani. Tetapi saya tidak memberitahu anda bahawa untuk mendapatkan kelulusan sahaja pun memerlukan sekurang-kurangnya seminggu, belum lagi urusan yang lain-lain. Saya sengaja tidak memberitahu kerana saya tahu anda tidak pernah cuba untuk memahami keadaan dan perasaan saya, anda cuma ingin wang yang banyak dalam masa yang singkat.
Petang tadi sewaktu saya menelefon anda saya sudah tahu bahawa akhirnya saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa saya tidak ingin lagi berhasrat untuk menyewa rumah yang besar, selesa dan cantik itu. Kerana saya tahu jika di peringkat ini saya menghadapi masalah, sudah tentu saya juga akan menghadapi masalah yang lebih besar dengan anda di masa-masa hadapan sewaktu saya sedang menduduki rumah anda. Tetapi petang tadi saya membiarkan anda dahulu yang bercakap dan membebel, seperti biasa tentang anda perlukan cek atau tunai, wang deposit sebagai jaminan dengan cepat supaya segalanya selamat dan berpihak kepada anda. Anda juga sibuk membilang kepada saya ada ramai orang sedang memujuk anda supaya menyewakan rumah itu kepada mereka. Tetapi dengan manisnya anda memberitahu bahawa anda sukakan saya kerana saya dari negara sahabat Pakistan dan beragama sama dengan anda lalu anda terpaksa membenarkan saya walaupun dengan kadar sewa yang lebih rendah.
Dahulu pada tahun 80-an tahap kemajuan negara anda dan saya adalah lebih kurang sama walaupun negara anda mendapat kemerdekaan dari British 10 tahun lebih awal. Tetapi sekarang, negara saya sudah jauh meninggalkan negara anda dari segenap aspek. Malah dalam beberapa perkara bandar Kuala Terengganu di negeri asal saya jauh lebih maju dari Islamabad yang orang-orang lelakinya masih kencing di tepi-tepi jalan dan longkang secara terbuka. Saya rasa salah satunya adalah disebabkan oleh orang-orang seperti anda yang memiliki banyak tanah dan memonopoli kekayaan, tetapi angkuh dan suka menindas orang-orang bawahan yang miskin dan terdesak. Sebab itulah di negara anda, cuma ada orang yang terlalu kaya dan terlalu miskin.
Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikiran anda petang semalam apabila anda bertanya tentang pekerjaan ayah saya dan jika ayah saya merupakan seorang diplomat. Saya perasan anda terkejut apabila saya memberitahu bahawa ayah saya seorang petani dan anda cepat-cepat membalas bahawa pekerjaan ayah anda serupa macam ayah saya. Tetapi lima minit kemudian anda sibuk bercerita bahawa anda telah sampai ke banyak buah negara termasuk ke Tanah Melayu pada tahun 1943, kerana ayah anda seorang pegawai tinggi yang berkhidmat dengan kerajaan British. Anda seorang perempuan tua yang banyak menipu dan pelupa. Saya tahu apa yang ada dalam fikiran anda. Anda merasakan saya terlalu cepat untuk mendapat suatu pekerjaan yang bagus di sebuah negara asing pada umur semuda ini lalu sudah tentu saya merupakan anak seseorang yang berpengaruh sebagaimana amalan golongan elit di negara anda. Di negara anda untuk menjawat jawatan penting mereka perlu dilahirkan dalam keluarga elit yang berpengaruh dan kaya, barulah mereka akan dapat masuk ke sekolah yang bagus dan akhirnya menjadi orang yang penting dan kaya. Orang miskin tidak ke sekolah dan tidak dibantu, 50% daripada keseluruhan rakyat di negara anda adalah buta huruf! Tetapi di negara saya sesiapa pun boleh maju ke hadapan.
Puan Saghir, seperti yang saya jerit kepada anda melalui telefon petang tadi, sebenarnya saya sudah penat dan bosan dengan anda. Saya sudah tidak ingin rumah itu sejak semalam lagi, tetapi kawan saya terpaksa bermanis mulut dengan anda semalam disebabkan hidangan roti capati dengan bau yang menyelerakan itu. Lagipun saya tidak sampai hati berkelakuan kurang ajar meninggalkan hidangan di hadapan orang yang lebih tua lebih-lebih lagi di hadapan suami anda yang sakit dan tidak mampu berkata-kata itu. Jika anda rasa terlalu ramai orang berminat untuk menyewakan rumah anda dengan kadar yang lebih tinggi, silakan beri kepada mereka. "Saya sudah tidak mahu rumah anda lagi!" Dengan beraninya saya jerit kata-kata itu dan terus meletakkan telefon tanpa mendengar apa-apa lagi yang anda ingin katakan. Anda mungkin terkejut dengan sikap saya pada perbualan telefon petang tadi, tetapi sebenarnya andalah yang mengajar saya menjadi keras hati begini dan terpaksa biadap terhadap orang tua seperti anda. Anda seorang perempuan yang sangat sombong dan tamak.
Saya berharap anda Puan Saghir dan Encik Arshad tidak mewakili orang Pakistan secara keseluruhan, saya ingin bersangka baik terhadap negara anda kerana saya ingin tinggal lama di sini. Maaf, saya tidak dapat menerima jemputan anda untuk bercuti di Muree bersama anda sekeluarga. Dan saya doakan tidak lama lagi ada orang lain yang sanggup menjadi penyewa rumah anda dan tahan dengan sikap sombong anda. Sampaikan salam saya kepada suami anda, walaupun sakit tetapi dia bertuah kerana punyai isteri yang bijak seperti anda. Selamat pulang ke Lahore, semoga selamat sampai.
Kadang-kadang kita terpaksa membuat perhitungan supaya tidak tersilap langkah. Antara ketakutan dan keberterusan hidup saya semakin tidak pasti. Dua hari lepas Hotel Pearl Continental Peshawar yang bertaraf lima bintang meletup menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terkorban termasuk rakyat asing. Berpuluh-puluh lagi cedera. Penyerang berani mati memang mensasarkan tempat yang menjadi tumpuan rakyat asing untuk mereka letupkan. Penyerang meletupkan bahan letupan yang dibawa dengan trak setelah merempuh sekatan kawalan keselamatan hotel.
Akhbar The Nation (Pakistan) hari ini melaporkan hampir semua hotel di Peshawar sudah kosong dan kebanyakan rakyat asing mula meninggalkan kota itu dan memasuki Islamabad yang dikatakan paling selamat setakat ini. Di hotel tempat saya menginap kawalan keselamatan menjadi semakin ketat. Ada beberapa lapis sekatan jalan raya dan kawalan keselamatan sebelum dapat masuk ke kawasan hotel. Kenderaan tidak dibenarkan menghampiri kawasan hotel, mesti diletakkan jauh di satu tempat yang khas. Kemudian kereta khas hotel yang akan membawa kami ke lobi hotel setelah melalui beberapa saringan imbasan. Terdapat ramai diplomat dan rakyat asing yang menginap di hotel ini.
Petang semalam sambil duduk minum kopi kami berkira-kira, jika bom meletup di tempat letak kereta di sana adakah ia akan turut memusnahkan bangunan hotel tempat kami menginap ini? Jika turut mengena adakah ia akan meruntuhkan bangunan ini secara keseluruhan atau cuma memecahkan kaca-kaca tingkap? Adakah kami akan terselamat, tercedera atau bagaimana? Kami terus membuat perhitungan. Dan berdoa semoga dapat segera keluar meninggalkan hotel ini dan berpindah ke rumah sewa cepat-cepat. Saya sudah penat memujuk perasaan sendiri di hotel ini.
Bukan semuanya teruk dan negatif tentang Pakistan. Media di Malaysia tidak bercerita tentang Pakistan kecuali tentang keganasan, letupan bom, konflik politik dan tunjuk perasaan. Sebab itulah saya juga perlu mencatat sesuatu yang sebaliknya di sini. Supaya anda tidak berfikir bahawa esok kami akan mati terkena letupan bom. Saya dan Mawar dijemput untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di New Muree, iaitu sebuah kawasan pergunungan yang terletak kira-kira 2 jam perjalanan dari pusat bandar Islamabad. Sayang sekali Mawar tidak dapat hadir kerana terpaksa menjaga Embun yang terlalu kecil dan tidak sesuai untuk dibawa bersama.
Perjalanan melalui lereng bukit yang berselekoh. Pada mulanya melalui jalan raya yang elok tetapi separuh lagi perjalanan adalah melalui jalan yang sempit. Jika bertembung dengan kenderaan yang datang dari haluan yang berbeza, salah satu kenderaan harus mengalah dengan mengelak ke tepi. New Muree adalah berdekatan dengan Muree, satu tempat percutian yang agak popular. Pada masa sekarang suhunya nyaman, lebih sejuk dari Genting Hingland atau Bukit Fraser di Malaysia. Perlu diberitahu sekarang adalah musim panas di Pakistan, dan jika di musim sejuk tempat ini mendapat nikmat kepasan salji dan menjadi destinasi terkenal untuk bermain salji.
Majlis perkahwinan yang saya hadiri dianjurkan dengan sederhana. Tiada muzik dan tarian. Semua hadirin memakai pakaian tradisional Pakistan, pakaian tetamu perempuan kelihatan lebih meriah dan berwarna-warni. Hampir semua meletakkan selendang mereka yang besar di atas kepala menutupi rambut dan sebahagian lagi menutup muka memperlihatkan cuma matanya. Agak saya orang di kawasan ini lebih kuat beragama dan tidak terlalu terdedah kepada dunia luar. Saya takut-takut untuk mengambil gambar dan tidak melihat pengantin dari dekat kerana kelihatan hanya orang perempuan yang mengerumuni pengantin. Mereka makan dalam khemah berdinding yang dibina khas, khemah untuk lelaki diasingkan daripada perempuan.
Kami dihidangkan dengan nasi beriyani, roti capati yang sangat besar bersama kari ayam, masakan berasaskan kambing, daging hancur, sayur yang dimasukkan dalam kuah daripada yoghurt dan semuanya sedap! Buat pertama kalinya saya makan kambing tanpa apa-apa masalah malah saya menambah dua kali. Pusingan pertama makan bersama nasi dan kedua dengan roti capati. Benarlah kata kawan saya yang telah lama tinggal di sini, kambing di sini sedap dan tidak berbau seperti di Malaysia. Dulu saya pernah mencuba daging kambing termasuk di Secret Recipe tetapi tidak pernah saya berjaya menelannya. Saya akan terus memakan daging kambing di sini jika rasanya tidak berbau hamis dan memang sedap begini. Dan sebenarnya, selepas waktu Maghrib kelmarin terdapat satu letupan bom di Sektor G8 Islamabad, tidak jauh dari tempat rumah yang akan kami sewa. Letupannya agak kuat dan mengorbankan dua orang. Kata orang pengebom berani mati tersebut cuba meletupkan sebuah balai polis, tetapi telah berjaya dikesan lebih awal oleh anggota yang berkawal, sebab itulah angka korbannya tidak ramai.
Saya tidak pernah bermimpi untuk tiba di sini, apatah lagi untuk tinggal dan bekerja di sini. Tetapi kami sudah membuat keputusan untuk datang ke sini dan hari ini sudah seminggu lebih di sini. Musim panas baru bermula, dan cuaca sangat panas lebih panas dari matahari di tanah air. Kulit menjadi kering, bibir menjadi pecah. Kulit paha dan betis saya menjadi sangat kering dan gatal, setelah digaru timbul bintik-bintik merah yang memedihkan. Saya belum menjumpai krim atau losyen yang dapat melegakannya.
Kawalan keselamatan sangat ketat dan polis, askar, pasukan anti-pengganas ada di mana-mana sahaja terutama di hotel-hotel mewah, tempat-tempat yang mempunyai kepentingan US (termasuk restoran McDonald), jalan-jalan raya, kawasan berdekatan bangunan kerajaan dan sebagainya. Sekarang kami masih tinggal di Hotel Serena yang menjadi satu-satunya hotel berbintang yang belum dibom. Hotel Mariott sudah dibom pada bulan Ramadhan tahun 2008 lepas dan baru dibuka semula Januari ini. Sebelum setiap kali dibenarkan masuk ke hotel pelbagai saringan keselamatan dibuat. Kereta diberhentikan dan bonet depan dan belakang dibuka dan diperiksa. Bahagian bawah kereta juga diperiksa. Badan dan barang-barang kami diimbas dan diperiksa berkali-kali oleh pengawal-pengawal keselamatan. Berpuluh-puluh anggota beruniform lengkap dengan bersenjata dan berjaket kalis peluru setia mengawal hotel bagai mengawal sebuah kubu. Saya lihat Hotel Mariott benar-benar dikawal laksana sebuah kubu lengkap dengan pagar batu tinggi dan kawat duri di atasnya. Mulanya saya rasa mereka paranoid, tetapi apa pilihan yang mereka ada? Hampir setiap hari ada berita pengobom berani mati meletupkan dirinya di tempat awam. Tadi saya terbaca akhbar tempatan berbahasa Inggeris, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di sebuah masjid dalam Daerah Dir Upper, Peshawar sebelum solat Jumaat semalam, lebih 40 orang meninggal dunia termasuk kanak-kanak. Dan sekarang saya tidak lagi berasa takut seperti hari pertama dan kedua kami tiba di sini. Seperti nasihat kawan saya rakyat Malaysia yang sudah dua tahun di sini, "Di sini tak boleh takut, kalau takut bagaimana hendak hidup?"
Saya sedikit keliru tentang waktu solat di sini, terutama untuk waktu solat Asar. Saya difahamkan kebanyakan penduduk di sini bermazhab Hanafi dan waktu Asar mereka lebih lewat berbanding dengan amalan mereka yang bermazhab Shafi'ie. Rakan saya seorang rakyat Malaysia langsung mengikut mazhab Hanafi dalam menentukan waktu Asar, tetapi ada juga rakyat Malaysia yang lain cuma kadang-kadang sahaja mengikut waktu Asar mazhab Hanafi, iaitu jika dia terlewat untuk solat Zuhur. Solat Jumaat di sini juga tidak serentak di semua masjid, ada yang awal iaitu sebaik sahaja masuk waktu Zuhur tetapi ada juga yang menunggu sehingga sejam selepas masuk waktu dan yang paling lewat adalah pada pukul 2.30 petang.
Kebanyakan lelaki dan perempuan di sini gemar memakai pakaian tradisional mereka yang dipanggil Syarwal Khamiz. Mereka memakainya untuk apa saja majlis dan upacara. Dan ada yang memakainya berhari-hari tanpa membasuhnya lalu kelihatan sangat comot. Perempuan mereka pula akan meletakkan sehelai selendang pada atas dada mereka, seolah-olah satu kemestian kerana hampir tiada perempuan Pakistan yang keluar rumah tanpa meletakkan sehelai selendang atas dadanya. Walaupun ramai yang tidak menutupi rambut, tetapi ada yang meletakkan selendang di atas kepala lalu menutupi rambut mereka, tetapi ada juga yang menampakkan sebahagian daripada rambut seperti Allahyarhamah Benazir Bhutto. Wanita berpurdah (niqab) juga boleh dilihat di mana-mana walaupun bilangannya tidak ramai. Ada yang menutupi muka dengan niqab hitam ala Arab, tetapi ada juga yang cuma menggunakan kain selendang kebiasaan mereka untuk menutupi sebahagian dari muka.
Saya dan Mawar berkongsi satu perasaan yang sama. Sukar untuk kami menerima bahawa kami sekarang berada di Pakistan, kerana setiap kali keluar kami merasakan seperti berada di India dan dikelilingi oleh orang-orang dan kebudayaan India. Mungkin kerana rupa, bahasa, makanan dan pakaian mereka yang seakan-akan sama. Untuk itu kami dengan konsistennya sedang mengingatkan diri kami bahawa kami sedang berada di negara Republik Islam Pakistan yang mempunyai beberapa masalah dalam hubungan diplomatik dengan India.