Friday, June 12, 2009

Surat Untuk Puan Saghir Hussain

Kehadapan Puan Saghir Hussain yang saya hormati, semoga anda dan suami serta keluarga berada dalam keadaan yang sejahtera.

Pertamanya saya ingin meminta maaf kerana saya tidak dapat memenuhi hasrat anda supaya menyewa rumah sewa milik anda di Sektor F8 Bandaraya Islamabad. Keputusan ini adalah muktamad dan saya tidak mahu berbincang apa-apa lagi mengenai rumah itu dengan anda mahupun melalui ejen hartanah Encik Arshad yang sangat menyakitkan hati saya itu. Saya juga tidak akan menjawab panggilan telefon dan tidak ingin melihat muka anda berdua lagi. Keduanya saya ingin meminta maaf atas kekasaran saya berbicara dengan anda melalui telefon sebentar tadi. Saya tahu anda sudah tua 73 tahun, serta tidak sihat, sementara saya sangat muda dan cuma sebaya dengan cucu-cucu anda. Tetapi saya mempunyai alasan yang kukuh untuk berbicara dengan cara yang sedemikian.

Anda mungkin seorang perempuan kaya dan sangat dihormati lebih-lebih lagi kerana suami anda yang sedang menderita penyakit parkinson itu adalah seorang tentera bersara berpangkat Jeneral. Saya faham orang yang berpangkat dalam tentera walaupun setelah bersara sangat disanjung tinggi dalam masyarakat di negara anda kerana mereka mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang diberi oleh kerajaan di negara anda, Pakistan. Malah tentera mempunyai kuasa dan pengaruh yang sangat besar dalam negara anda sehingga boleh menggulingkan sebuah kerajaan yang sah dan selepas itu membentuk kerajaan tentera. Sejarah negara anda juga telah menyaksikan tentera berjaya membawa seorang Perdana Menteri ke tali gantung, anda tentu masih ingat bagaimana mereka melakukannya terhadap Zulfikar Ali Bhutto (ayah Benazir Bhutto) pada tahun 1979. Tapi anda lupa, saya dari Malaysia dan saya tidak peduli tentang pangkat suami anda.

Rumah yang anda hendak sewakan itu adalah sangat cantik kerana ia mempunyai taman yang luas, lantai dan bilik air yang cantik serta dapur yang baru diubahsuai. Sebab itulah saya masih membuka satu lagi peluang kepada anda dan ejen (Arshad) bagi membincangkan tentangnya walaupun pada mulanya saya sudah kecewa dengan ejen yang suka menipu dan berbelit-belit. Saya benar-benar perlukan sebuah rumah sekarang kerana saya dan dan isteri serta bayi kami sudah bosan berlama-lama di hotel yang dikawal ketat ini. Saya sangat terkejut dengan cara bagaimana anda mengendalikan urusan penyewaan rumah. Anda tidak jujur dan sangat memberi tekanan kepada pihak saya. Rumah anda cantik dan saya sangat suka, tetapi saya tidak suka dengan sikap dan cara anda.

Pada mulanya ejen memberitahu anda bersetuju untuk menyewakannya pada harga USD1,800 dengan berperabot penuh. Tetapi setelah itu anda memberi bermacam-macam alasan untuk tidak menyediakan perabot penuh walaupun pada mulanya menurut ejen anda telah bersetuju. Saya tidak tahu samada anda atau ejen yang menipu, atau pun kedua-duanya sekali. Walaupun setelah kami naikkan menjadi USD2,000 anda masih berkeras hanya ingin menyediakan perabot sebagaimana yang anda tentukan. Anda hanya mahu mengikut kehendak anda dan langsung tidak mendengar dan menghormati perasaan saya sebagai penyewa. Semalam saya tidak kisah untuk ke tempat istirehat anda di Mes Tentera di Rawalpindi untuk berjumpa anda kerana anda sudah tua dan punyai suami yang sakit lalu tidak larat untuk bertandang ke tempat saya di Islamabad, kerana saya dengan suci hati ingin berbincang dengan anda untuk mendapatkan rumah itu. Saya tidak kisah biarpun terpaksa bersesat jalan untuk mencari mes tentera itu, terperangkap dalam kesesakan bandar Rawalpindi dan diganggu dengan pondan-pondan peminta sedekah jalanan, semata-mata untuk berjumpa dengan anda. Lagi pula anda telah bersusah payah telah datang ke sini dari tempat menetap anda di Lahore.

Pada mulanya ejen yang datang ke Rawalpindi bersama-sama saya dan kawan saya memberitahu anda cuma ingin berbincang tentang senarai perabot. Dan saya terkejut besar apabila anda dengan lagak tuan tanah (landlord) yang sangat sombong dan angkuh memberitahu bahawa anda inginkan cek wang deposit sebagai jaminan pada masa itu juga. Anda ingin saya siapkan dokumen perjanjian pada masa itu juga. Padahal kita belum pun membuat persetujuan apa-apa tentang senarai perabotnya, malah tentang kadar bayaran sewa rumah itu. Anda tidak jujur dan anda hanya mahukan keuntungan serta wang yang banyak!

Selepas itu bila saya bertanyakan berapakah kadar sewa jika tanpa perabot, anda menyatakan ia tetap USD2,000 dan mahukan saya meletakkan tarikh sewa dalam perjanjian bermula semalam. Anda menyatakan dengan angkuh bahawa ada ramai orang yang inginkan rumah anda dengan harga yang lebih tinggi. Tapi saya masih sabar dan tidak meninggikan suara. Malah saya dan kawan saya dengan hormatnya melayan dan mendengar segala kehendak anda. Ketika saya sudah tidak berminat lagi untuk meneruskan rundingan tetapi kawan saya menyuruh saya diam dan dia telah meneruskan rundingan selepas itu, saya cuma mendengar. Saya lihat anda sangat gembira apabila kawan saya menyatakan bahawa kami sanggup membayar USD2,500 sebulan jika anda memenuhkan rumah itu dengan perabot seperti yang saya mahukan. Sebenarnya kawan saya sengaja ingin mengendurkan ketegangan antara kita, lebih-lebih lagi apabila melihat anda telah menyuruh hamba anda menghidangkan makanan tengah hari. Kami tahu ianya tidak sopan untuk bertelingkah di hadapan makanan atau pun meninggalkan anda tanpa menyentuh makanan yang dihidangkan.

Sebelum saya meninggalkan anda di Mes Tentera Rawalpindi semalam anda menekan saya supaya mendapatkan kelulusan segera daripada majikan saya di Malaysia dan menyiapkan segera cek wang deposit yang anda mahukan serta dokumen perjanjian penyewaan rumah tersebut. Anda juga telah menegaskan bahawa saya perlu membayar sewa secara sekaligus untuk dua tahun setelah perjanjian siap ditandatangani. Tetapi saya tidak memberitahu anda bahawa untuk mendapatkan kelulusan sahaja pun memerlukan sekurang-kurangnya seminggu, belum lagi urusan yang lain-lain. Saya sengaja tidak memberitahu kerana saya tahu anda tidak pernah cuba untuk memahami keadaan dan perasaan saya, anda cuma ingin wang yang banyak dalam masa yang singkat.

Petang tadi sewaktu saya menelefon anda saya sudah tahu bahawa akhirnya saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa saya tidak ingin lagi berhasrat untuk menyewa rumah yang besar, selesa dan cantik itu. Kerana saya tahu jika di peringkat ini saya menghadapi masalah, sudah tentu saya juga akan menghadapi masalah yang lebih besar dengan anda di masa-masa hadapan sewaktu saya sedang menduduki rumah anda. Tetapi petang tadi saya membiarkan anda dahulu yang bercakap dan membebel, seperti biasa tentang anda perlukan cek atau tunai, wang deposit sebagai jaminan dengan cepat supaya segalanya selamat dan berpihak kepada anda. Anda juga sibuk membilang kepada saya ada ramai orang sedang memujuk anda supaya menyewakan rumah itu kepada mereka. Tetapi dengan manisnya anda memberitahu bahawa anda sukakan saya kerana saya dari negara sahabat Pakistan dan beragama sama dengan anda lalu anda terpaksa membenarkan saya walaupun dengan kadar sewa yang lebih rendah.

Dahulu pada tahun 80-an tahap kemajuan negara anda dan saya adalah lebih kurang sama walaupun negara anda mendapat kemerdekaan dari British 10 tahun lebih awal. Tetapi sekarang, negara saya sudah jauh meninggalkan negara anda dari segenap aspek. Malah dalam beberapa perkara bandar Kuala Terengganu di negeri asal saya jauh lebih maju dari Islamabad yang orang-orang lelakinya masih kencing di tepi-tepi jalan dan longkang secara terbuka. Saya rasa salah satunya adalah disebabkan oleh orang-orang seperti anda yang memiliki banyak tanah dan memonopoli kekayaan, tetapi angkuh dan suka menindas orang-orang bawahan yang miskin dan terdesak. Sebab itulah di negara anda, cuma ada orang yang terlalu kaya dan terlalu miskin.

Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikiran anda petang semalam apabila anda bertanya tentang pekerjaan ayah saya dan jika ayah saya merupakan seorang diplomat. Saya perasan anda terkejut apabila saya memberitahu bahawa ayah saya seorang petani dan anda cepat-cepat membalas bahawa pekerjaan ayah anda serupa macam ayah saya. Tetapi lima minit kemudian anda sibuk bercerita bahawa anda telah sampai ke banyak buah negara termasuk ke Tanah Melayu pada tahun 1943, kerana ayah anda seorang pegawai tinggi yang berkhidmat dengan kerajaan British. Anda seorang perempuan tua yang banyak menipu dan pelupa. Saya tahu apa yang ada dalam fikiran anda. Anda merasakan saya terlalu cepat untuk mendapat suatu pekerjaan yang bagus di sebuah negara asing pada umur semuda ini lalu sudah tentu saya merupakan anak seseorang yang berpengaruh sebagaimana amalan golongan elit di negara anda. Di negara anda untuk menjawat jawatan penting mereka perlu dilahirkan dalam keluarga elit yang berpengaruh dan kaya, barulah mereka akan dapat masuk ke sekolah yang bagus dan akhirnya menjadi orang yang penting dan kaya. Orang miskin tidak ke sekolah dan tidak dibantu, 50% daripada keseluruhan rakyat di negara anda adalah buta huruf! Tetapi di negara saya sesiapa pun boleh maju ke hadapan.

Puan Saghir, seperti yang saya jerit kepada anda melalui telefon petang tadi, sebenarnya saya sudah penat dan bosan dengan anda. Saya sudah tidak ingin rumah itu sejak semalam lagi, tetapi kawan saya terpaksa bermanis mulut dengan anda semalam disebabkan hidangan roti capati dengan bau yang menyelerakan itu. Lagipun saya tidak sampai hati berkelakuan kurang ajar meninggalkan hidangan di hadapan orang yang lebih tua lebih-lebih lagi di hadapan suami anda yang sakit dan tidak mampu berkata-kata itu. Jika anda rasa terlalu ramai orang berminat untuk menyewakan rumah anda dengan kadar yang lebih tinggi, silakan beri kepada mereka. "Saya sudah tidak mahu rumah anda lagi!" Dengan beraninya saya jerit kata-kata itu dan terus meletakkan telefon tanpa mendengar apa-apa lagi yang anda ingin katakan. Anda mungkin terkejut dengan sikap saya pada perbualan telefon petang tadi, tetapi sebenarnya andalah yang mengajar saya menjadi keras hati begini dan terpaksa biadap terhadap orang tua seperti anda. Anda seorang perempuan yang sangat sombong dan tamak.

Saya berharap anda Puan Saghir dan Encik Arshad tidak mewakili orang Pakistan secara keseluruhan, saya ingin bersangka baik terhadap negara anda kerana saya ingin tinggal lama di sini. Maaf, saya tidak dapat menerima jemputan anda untuk bercuti di Muree bersama anda sekeluarga. Dan saya doakan tidak lama lagi ada orang lain yang sanggup menjadi penyewa rumah anda dan tahan dengan sikap sombong anda. Sampaikan salam saya kepada suami anda, walaupun sakit tetapi dia bertuah kerana punyai isteri yang bijak seperti anda. Selamat pulang ke Lahore, semoga selamat sampai.

Sekian, terima kasih.


Yang Ikhlas,

Penyewa Tak Jadi

20 comments:

Aku... said...

Salam....
Hahahahha...saya hormat dengan cara anda mengendalikan penyewa yang tidak tahu menghormati tetamu... kadang kala kita perlu menjadi nakal apabila berurusan dengan orang seperti ini... Bertuah la dia kerana anda adalah penyewa yang tak jadi...Selamat mencari rumah baru...

Aku... said...

tuan rumah...oppsss...

Ummi Wafa (UW) said...

i know who r u...
banyak2 bersabar....org yang berani dan kuat adalah mereka yg dapat menahan nafsu amarah. semoga Allah sentiasa bersama kamu.

wirkab said...

Hati-hati bila berada di negara orang, lebih-lebih lagi negara yang bergolak. Walaupun sakit, itulah yang kita terpaksa hadapi. Jagalah interaksi dgn penduduk di sana sebab kita tak tahu lagi bagaimana sikap mereka jika terasa tercabar. Tolaklah tawaran dengan baik walaupun hanya berlakon.

Mince4AM said...

pergh.. kamu sebetulnya seorang pejuang hak! tapi hati-hati ye. Semoga terus-menerus dilindungi Allah..

nasikerabupetro said...

Semoga urusan kamu dipermudahkan, sahabat...amiin...

Anonymous said...

woww.. this is a whole new u..
the J i knew always jump there and then when he wants to say what he feels right hehehehe sepanjang membaca entry nih aku tunggu je bile ko nak "meletup" nihh??

baguslah, jadi bapak ni kesabaran dah kene start di tebal-tebalkan. bersangka baiklah dengan diorang, insyaAllah kalau ko susah kat sana, dioranglah juga antara pilihan untuk meminta pertolongan, sure ade yang ok2 jugak among them... yang commit with agama, yang x merendahkan taraf perempuan dan yang educated.

-joe-

Anonymous said...

jika kamu ingin mngistiharkan perang jangan lupa mengajak kami yang akan berjuang bersama kamu...

amdang81 said...

Aku tunggu Puan Saghir Hussain jawab surat ni dalam blog beliau... hehehhe

dhuat79 said...

Kalau abang mi, kat situ juga bertikam lidah!

Syabas Nafastari, menyatakan ketegasan anda.

Nafastari said...

Aku, memang kena jadi nakal sikit! Sekarang pun saya masih belum dapat rumah.

UW, ya, saya masih saya jika anda benar-benar kenal saya. Hahaa...

Wirkab, tapi orang Malaysia yang telah tinggal lama di sini menasihati saya sebaliknya. Jangan cakap berlapik-lapik dan perlu tegas, kalau tidak mereka akan naik kepala.

Mince4AM, agaknya saya memang dilahirkan untuk memperjuangkan hak... Terima kasih atas ingatan saudara.

Nasikerabupetro, amin. Terima kasih.

Joe, komen kamu saja yang lain sedikit dari yang lain. Kamu memang kenali saya sebagai yang agresif dan pro-aktif dalam memperjuangkan hak. Yang lambat meletup tu sebab dia sudah sangat tua dan punya suami yang sakit duduk di sebelahnya. Dan juga sebab roti capati yang sudah dihidang!

Anonymous, saya kurang gemar anonymous tetapi selalu bertoleransi. Bagaimana saya ingin mengajak anda berperang jika anda cuma ingin dikenali sebagai anonymous.

Amdang81, itu tidak akan terjadi kerana Puan Saghir Hussain yang tua dan berlagak itu tidak tahu bahasa Malaysia. Hehee...

Dhuat79, saya memang akan terus bertegas selepas ini dengan mana-mana orang Paki yang berlagak. Hahaha...

Dad of 4+1 said...

Nice one! Way to go Ahmad!

addyaholix said...

tau apa persamaan kita sekarang bang? kita sama-sama tengah cari rumah. haha!

sakit hati berurusan dengan manusia macam tu kan? kalau saya, memang bahasa kesat yang dah saya tuturkan. itu kelemahan saya.

dan selamat cari rumah baru bang!

Anonymous said...

Huh,aku bangga ada kembar mcm mung!!
Keputusan yang sangat tepat dan jitu sekali.Baso ore tuo xmikir nk mati.Harap2 dia insaf la sikit dengat teguran yang manis dan berhikmah mung tu.Tapi banyak2 lah bersobar duk atas bomi tuhe ni.Bas dekat islamabad mano come dengan bas sp bomi kito????hehehehe

Ishan Qureshi Mehmood said...

Salam AHMAD,

Kya hal hai mera dost? Aap kaise hai? Thik hai na?!!! Mujhe maaf kardo krn sudah lama tidak menjengah ke blog kamu!

Mcm mana hidup di Pakistan? Harapnya kamu sekeluarga sentiasa bahagia & dilindungi Allah sentiasa. Dah terer cakap Urdu? nanti bolehlah saya selalu speaking Urdu dgn kamu:-)

Alang2 dah sampai ke Islamabad, kalau punya kelapangan waktu jemputla datang ke rumah saya di Delhi. Walaupun saya tiada di sana,tapi abbajan (ayah) dan ammi (ibu) saya masih setia di bumi Delhi. Saya ada khabarkan pada mereka yg kamu kini berada di Islamabad dan mereka begitu teruja. Mereka masih ingat pada kamu walaupun sudah lama tidak ketemu kamu. Apa pun, kalau kamu sampai ke kampung halaman saya itu, cuma satu pinta saya...jgn kamu bicarakan kondisi saya di Malaya ini. Bilang saja saya berbahagia dan sihat sejahtera di bumi Malaya...saya tak mahu mereka sedih dan susah hati tentang saya.

Ok la AHMAD, kalau pjg umur...insya-Allah kita kan ketemu lagi. Insya-Allah kalau saya pulang ke Delhi awal tahun depan, saya akan langsung menziarahi kamu di Islamabad.

Phir milinggei...Allah hafiz! Wassalam!

Nafastari said...

Dad of 4+?, thank you!

Addyaholix, kamu juga pindah? Tapi saya rasa tuan rumah di Malaysia pada umumnya tidak secerewet di Pakistan. Ya, sangat menyakitkan hati dan sungguh memenatkan kami sekeluarga. Saya masih dalam proses untuk mendapatkan rumah sewa saya di sini.

Anonymous, terima kasih saudara. Sebenarnya dalam fikiran aku pun ada ayat-ayat tersebut, "orang tua ni tak ingat mati ke?"... Ya, aku cuma boleh bersabar saja, tiada pilihan lain yang lebih baik. Mereka tiada bas yang sebagus SP Bumi. Bas Intan Unggul pun mereka sukar nak tandingi. Bas mereka kebanyakannya lama dan tidak cantik. Kadang-kadang mereka duduk menumpang di atas bumbung bas.

Ishan Qureshi, thik he. Semuanya sihat dan baik-baik di sini. Saya belum menguasai Urdu sepenuhnya. Mujhe maaf kardo.
Saat saya melihat orang di sini berbicara dan berpakaian, saya selalu teringat pada kamu dan keluarga. Saya juga teringin sekali untuk berjumpa dengan abbijan dan ammi kamu. Jika ada kelapangan saya pasti akan melawat mereka di Delhi bersama-sama Mawar dan Embun. Adakah mereka suka bayi?
Jangan risau segala rahsia anda akan saya jaga dengan baik, saya menurut saja apa yang kamu pinta. Tapi janji dengan saya kamu akan sentiasa menjaga kesihatan kamu serta sentiasa tabah dan sabar.
Tentu sekali saya berharap kita akan berjumpa lagi, samada di Delhi atau Islamabad.

Ishan Qureshi Mehmood said...

Salam AHMAD,

Aaj aap kaise hai? Moga sihat hendaknya! Ya, abbijan dan ammi memang sukakan bayi! Kalau kamu ke Delhi bersama Mawar dan Embun utk menziarahi mereka....pasti mereka tak akan benarkan kalian pulang ke Islamabad krn tak puas bermain dgn Embun. Cakap pasal bayi...tiba2 teringat pula kata2 abbijan pada kamu semasa kita masih di bangku Sekolah Taman Ilmu dan Budi dulu...abbijan kata kamu macam budak sekolah je! Tak sangka, budak sekolah yg abbijan dan ammi jumpa dahulu dah jadi bapak budak yg belum bersekolah...hehehe! Apa pun, selamat hari bapa buat kamu.

Wassalam...khuda hafiz aur phir milinggei:-)

Maswafi Abd Samat said...

Salam.

Kalau den la yang kono, dah lama den tempeleng land lord tu!!!

Anonymous said...

Salam...
Akak mengenali blog ini kerana akak pesakit dialysis di hospital serdang...(Tentunya nafastari dah boleh agak ya...)
Kekadang tu kita memang kena beritahu tepat-tepat pada insan yang macam puan saghir tu. Bagus tindakan nafastari yang memutuskan untuk tidak meneruskan hajat menyewa rumah tersebut.
Duit kan tangan kita.... Pilihlah yang terbaik.
Sampaikan salam buat mawar. Enjoy sungguh akak membaca blog nafastari dan mawar. Cerita dan pengalaman nafastari diluar negara dan di kampong halaman sungguh menghiburkan.

Nafastari said...

Ishan Q., ya masa berlalu sangat pantas. Kamu bila hendak menjadi bapa? Allah hafiz.

Maswafi, kalau diikutkan hati itulah yang saya nak lakukan!

Anonymous: akak, saya sangat suka dengan cara anda memperkenalkan diri. Ringkas dan padat. Dan kalau begitu saya percaya anda mungkin kenal saya lebih daripada saya sebagai seorang Nafastari. Salam perkenalan. Terima kasih kerana singgah di laman saya dan membaca catatan saya yang serba kekurangan. Sekarang saya rasa lebih rajin dan bersemangat untuk menulis setelah membaca komen dari anda. ;-)