Saturday, August 15, 2009

Sudah 62 Tahun Merdeka

Semalam 14 Ogos 2009, merupakan hari ulang tahun kemerdekaan negara Pakistan yang ke-62. Saya tidak pergi bekerja semalam kerana hari tersebut merupakan hari cuti umum bagi seluruh negara Pakistan. Saya tidak ke mana-mana, cuma menghabiskan hari cuti umum tersebut dan hujung minggu dengan bermalas-malasan di rumah. Terasa seperti sangat ingin melihat Lahore atau Peshawar, atau tempat-tempat menarik seperti Kaghan-Naran atau lembah Swat, tetapi bila memikirkan keadaan cuaca yang sangat panas, bayi saya baru 4 bulan dan keadaan keselamatan serta ancaman-ancaman, maka saya terpaksa lupakan seketika rancangan tersebut.

Petang semalam selepas solat Maghrib Mawar mengajak ke kedai buku Saeed Book Bank di Jinnah Supermarket. Langsung kami tidak menyangka terdapat ramai orang di atas jalan raya dan kawasan sekitar Jinnah Supermarket, Sektor F7 kerana mereka masih lagi dalam semangat perayaan kemerdekaan negara mereka. Kerana kalau di negara saya orang akan menyambutnya pada tengah malam menjelang hari kemerdekaan tersebut. Tetapi di sini mereka menyambut terus menerus sehingga malam selepas hari 14 Ogos.

Kelihatan remaja-remaja bertenggek di tingkap kereta dengan kaki masuk ke dalam kereta dan badan ke luar dan kereta akan dipandu dengan megahnya melalui jalan-jalan yang menjadi tumpuan ramai. Muzik dalam kereta dipasang dengan kuat dan mereka melonjak-lonjak keriangan. Ada juga yang membuka bonet kereta dan dua atau tiga remaja akan duduk bertenggek di bonet kereta yang terbuka itu, dan biasanya kereta akan dipandu secara gila-gila bagi menarik perhatian orang ramai. Bendera negara Republik Islam Pakistan boleh dilihat di mana-mana dan juga dikibarkan di kenderaan yang lalu-lalang.

Di hadapan kedai buku Saeed Book Bank, kami melihat sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang dihias indah dengan kerlipan berwarna hijau dan putih mewakili bendera Pakistan. Seorang pemuda berdiri dalam kereta dan menjengah kepalanya dengan bangga melalui bumbung kereta yang dibuka. Lagu berbahasa Urdu (kedengaran sepeti lagu patriotik) dipasang dengan kuat dari kenderaan tersebut. Ramai orang mengambil gambar keretanya dan dia tersenyum dengan bangga sambil kadang-kadang melambai ke arah orang ramai. Mercun dan bunga api di sana-sini membuatkan keadaan bertambah bingit. Mereka menjadi semakin agresif, beberapa kumpulan pemuda sudah dibentuk di atas jalan, menari-nari dengan mengangkat kedua-dua belah tangan menunjuk-nunjuk ke arah langit. Yang menonton bertepuk tangan, bersiul dan bersorak.

Saya tidak fikir Embun perlu berada lebih lama di situ dan kami terus pulang ke rumah, sambil menyuruh pemandu saya lebih berhati-hati dengan dengan kereta-kereta yang dipandu oleh orang Pakistan yang sangat berbangga dengan peristiwa kemerdekaan negara mereka daripada penjajah, 62 tahun yang lepas.

5 comments:

Pu3abdul said...

Selamat Hari Merdeka, Pakistan! =)

ckLah @xiiinam said...

Salam...terima kasih atas doa yang dikirim...

yg_indah said...

muda mudi malaysia pun ada lagi teruk dr mereka.

Nafastari said...

Put3abdul, Pakistan zindabad!

xiiinam, hanya sekadar doa dari seorang saudara muslim. Sekarang saya berasa lega kamu sudah selamat.

Yg_indah, dari satu segi saya setuju! Dan sekurang-kurangnya di sini tidak kelihatan minuman keras dan pasangan lelaki-perempuan berbuat maksiat secara terbuka.

Aku... said...

JUST FOR YOUR INFO...DUA HARI LEPAS 13 ORANG PEKERJA MYDIN kUALA TERENGGANU DIMASUKKAN KE HOSPITAL ATAS SEBAB H1NI....KADAR KEMATIAN DI MALAYSIA DAH MENCAPAI 67 ORANG SETAKAT KOMEN INI DITULIS... SEMOGA KAMU SELAMAT DI SANA...