Thursday, June 11, 2009

Sebelum Sampai Takah Tiga

Kadang-kadang kita terpaksa membuat perhitungan supaya tidak tersilap langkah. Antara ketakutan dan keberterusan hidup saya semakin tidak pasti. Dua hari lepas Hotel Pearl Continental Peshawar yang bertaraf lima bintang meletup menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terkorban termasuk rakyat asing. Berpuluh-puluh lagi cedera. Penyerang berani mati memang mensasarkan tempat yang menjadi tumpuan rakyat asing untuk mereka letupkan. Penyerang meletupkan bahan letupan yang dibawa dengan trak setelah merempuh sekatan kawalan keselamatan hotel.

Akhbar The Nation (Pakistan) hari ini melaporkan hampir semua hotel di Peshawar sudah kosong dan kebanyakan rakyat asing mula meninggalkan kota itu dan memasuki Islamabad yang dikatakan paling selamat setakat ini. Di hotel tempat saya menginap kawalan keselamatan menjadi semakin ketat. Ada beberapa lapis sekatan jalan raya dan kawalan keselamatan sebelum dapat masuk ke kawasan hotel. Kenderaan tidak dibenarkan menghampiri kawasan hotel, mesti diletakkan jauh di satu tempat yang khas. Kemudian kereta khas hotel yang akan membawa kami ke lobi hotel setelah melalui beberapa saringan imbasan. Terdapat ramai diplomat dan rakyat asing yang menginap di hotel ini.

Petang semalam sambil duduk minum kopi kami berkira-kira, jika bom meletup di tempat letak kereta di sana adakah ia akan turut memusnahkan bangunan hotel tempat kami menginap ini? Jika turut mengena adakah ia akan meruntuhkan bangunan ini secara keseluruhan atau cuma memecahkan kaca-kaca tingkap? Adakah kami akan terselamat, tercedera atau bagaimana? Kami terus membuat perhitungan. Dan berdoa semoga dapat segera keluar meninggalkan hotel ini dan berpindah ke rumah sewa cepat-cepat. Saya sudah penat memujuk perasaan sendiri di hotel ini.

Malam tadi sukar saya lelapkan mata...

8 comments:

Unknown said...

hidup dlm kebimbangan dan ketakutan, sememangnya amat mengerikan. semoga Allah sentiasa melindungi kamu sekeluarga. andaikata kamu berjaya meninggal bilik hotel dgn secepat mungkin, adakah kehidupan di rumah sewa kamu itu pasti akan selamat? andaikata kamu sudah pindah, bagaimana sepeninggalan kamu ke tempat kerja, kondisi mawar dan embun, adakah mereka juga di bawah 'jagaan'? semoga kamu dan mawar tabah dan kuat semangat utk mengharungi kehidupan di sana. hanya doa kami dapat mengiringi kamu sekeluarga. uuoohhh kesian embun yg masih kecil dan masih tidak mengerti apa itu sebuah kehidupan yang mengerikan....berat mata yg membaca berat lagi bahu yg memikul..semoga bahu itu akan sentiasa kuat, perbanyakan istighfar kepadaNya.

addyaholix said...

selalu berdoa. moga kamu sekeluarga dijauhkan segala malapetaka bang.

Mince4AM said...

Ahmad,
saya rasa lebih baik kamu cepat berpindah ke rumah sewa..bergaul dengan penduduk..saya tidak merasakan kamu menjadi sasaran mereka bila berada di kawasan penempatan rakyat mereka sendiri.. dapat juga kenalan baru..juga budaya baru.. semoga kamu sekeluarga dilindungi Allah

Aku... said...

Salam..bukan untuk mengingatkan tetapi cuma untuk berkongsi sesuatu...Ingat mati adalah antara bukti keteguhan iman kepada Allah SWT dan hari akhirat sementara lupa atau takut mati adalah ciri kemunafikan. Rasulullah SAW menegaskan bahawa orang yang cerdik adalah orang yang banyak mengingati mati dan serius dalam membuat persiapan berdepan dengan kematian. Apabila seseorang itu mengingati mati, maka ibadahnya akan dipertingkatkan, keikhlasan dalam ibadah makin tulus serta akan terlihat kerajinannya dalam beribadah kepada Allah SWT. Para salihin tidak dapat tidur malam kerana terkenangkan mati dan akhirat dan kematian, sedangkan munafiq tidur kekenyangan pada malam hari tanpa sedikitpun ingatan kepada akhirat.....

wirkab said...

Mungkin sekarang sukar mencari istilah hujan emas di negara orang...moga kuat semangat,tabah dan cekal menjalani hidup di sana.

Anonymous said...

sabar dan doa k!

-joe-

Nafastari said...

UW, tiada tempat yang dijamin selamat secara mutlak. Kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya. Cuma kami merasakan hidup di rumah sewa adalah lebih baik daripada di hotel ini, kerana pada kebiasaannya pengebom berani mati atau pengganas (atau apa saja panggilannya) lebih menumpukan tempat-tempat seperti hotel mewah kerana di sini terdapat ramai orang asing termasuk yang berkulit putih dari barat. Mereka inginkan perhatian dunia, dan jika ada melibatkan kematian orang asing itu lebih baik untuk mereka.

Addyaholix, semogalah. Terima kasih.

Mince4AM, itulah yang berada dalam kotak fikiran saya sekarang.

Aku, terima kasih kerana berkongsi ingatan yang sangat bagus. Semoga Tuhan merahmati hidup anda dan keluarga.

Wirkab, entahlah. Tapi jika ada pun hujan emas di tempat orang, tapi hujan batu ditempat sendiri masih selalu lebih baik.

Joe, pasti. Terima kasih.

Nurul Zahar said...

Tahun lepas, 2-3 hari selepas kepulangan bapa saya dari Pakistan, pemandu yang bertanggungjawab membawanya ke hulu ke hilir mati dibom bersama kenderaan yg dipandunya. Pakistan bukan negara yg selamat. Semoga anda sekeluarga dilindungi.

Sentiasa bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan. Dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.