Thursday, April 23, 2009

Syafaakillah II

Sudah lima hari Embun berada di wad, malam-malam tidur tanpa ibunya. Dijemur bawah sinar biru terapi lampu dalam keadaan yang tidak berbaju, cuma lampin. Jika dia menangis tiada siapa yang memujuknya atau mendukungnya. Dicucuk-cucuk jarum untuk diambil darah mungkin dua atau tiga kali sehari. Diberi susu badan oleh Mawar yang mampu melawatnya sekali sehari, atau susu badan yang telah dipam ke dalam bekas khas dan dihantar oleh saya ke hospital, dan selebihnya diberi susu formula oleh jururawat mengikut waktunya. Peraturan wad di hospital tidak membenarkan bayi dijaga oleh ibu pada setiap masa. Saya tidak tahu bagaimana mereka menukar lampin dan menyusukan Embun.

Dalam setiap hari untuk empat hari pertama keadaan Embun bertambah baik. Setiap hari kadar billirubin dalam darahnya menurun dengan banyak. Jadi pada hari kelima kami fikir ia akan dibenarkan pulang untuk menjalani hidup seperti bayi yang biasa bersama ibu bapanya di rumahnya. Tadi dengan perasaan yang sungguh teruja dan gembira kami berdua ke hospital bersama segala pakaian dan kelengkapannya untuk menjemputnya pulang. Tidak sabar-sabar untuk memeluk dan menciumnya.

Tapi doktor memberitahu tahap billirubin dalam darahnya untuk hari ini tiba-tiba kembali naik dan dia perlu diletakkan semula bawah terapi lampu. Air mata Mawar jatuh lagi. Kami pun pulang ke rumah bersama pakaian dan kelengkapannya, tanpa Embun. Saya tidak tahu mahu cerita apa lagi tentang teruknya perasaan kami.

8 comments:

Unknown said...

tabahkan hati...
doakan semoga nadaa cpat sembuh dan kembali spt sedia kala....
ayah haruslah lebih tabah utk memberi semangat pd si ibu....

Anonymous said...

FIE...

ehmm...kite same2 bdoa..

Bila Diary Bercerita said...

InsyaAllah Nadaa pasti sembuh. Mawar kena kuat semangat dan terus berdoa untuk Nadaa. Ibu dalam pantang kena kuat emosi.

Akak doakan semoga Nadaa cepat sembuh.

Anonymous said...

salam..mungkin awk boleh bg Embun makan/menghisap buah anggur hitam..perah buah sehingga kluar air, bg Embun minum..guna sudu la..

Nafastari said...

Noor, terima kasih. Itulah yang sedang kami lakukan. Apa saya tidak cukup tabah? Kadang-kadang komen anda cuma memberi sakit pada hati saya. Terima kasih, janganlah serik berkunjung lagi.

Fie, terima kasih. Anda sahabat yang sangat baik dan prihatin. Semoga Tuhan sentiasa merahmati anda sekeluarga.

Aishah, insyaAllah, terima kasih. Saya percaya Mawar sememangnya seorang yang kuat semangat dan banyak berdoa. Nanti bila dah besar sikit Embun akan mengunjungi Aishah...

Tasya, terima kasih. Itu telah pun kami lakukan sebanyak tiga kali sehari sebelum Embun diarahkan masuk ke wad.

Mohd Yahyal Haq Muslan said...

salam... nak pesan sikit takut xde org ingatkan... kena tengok kepala baby tu sikit, kalau nampak ada yang tak kena, kena cepat betulkan sikit. maklumlah, kepala lembut lagi. anak saya lama duduk kat wad masa baru lahir, sekarang kemik sikit, pasal asyik tidur mengereng. nurse x sempat nak perati.semoga baby cepat sembuh

Nafastari said...

Yahyal Haq, terima kasih banyak atas peringatan itu. Memang saya perhatikan Embun lebih suka tidur mengiring. Selepas ini saya akan lebih perhatikan posisi kepalanya semasa tidur.

HambaAllah said...

bersabarlah kalian berdua,semoga cik embun kembali sihat seperti sediakala.jangan putus berdoa agar embum cepat sembuh yer.