Wednesday, August 27, 2008

Dari Batu Tiga ke KL Sentral

Atas sebab-sebab tertentu dan untuk tujuan yang tertentu penulis terpaksa menaiki komuter untuk satu jarak perjalanan dari stesen Batu Tiga, Shah Alam ke KL Sentral. Suatu perjalanan yang agak membosankan. Saya memilih untuk bersandar di dinding hujung gerabak dan sambil berdiri membaca buku yang baru saja dibeli. Saya melihat ada seorang lelaki yang sedang memberi reaksi yang tidak senang, mungkin marah dengan keadaan dalam gerabak Komuter yang sangat panas, sesak dan perlahan.

Saya mendengar dia bercakap tentang kepimpinan negara yang melawat komuter, dan dia berkata bahawa itu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Saya mengiyakan sahaja kata-katanya. Pemimpin kita hanya melawat dan selepas lawatan itu beliau sekadar melahirkan ketidakpuashatian terhadap perkhidmatan tersebut. Keesokan harinya dan minggu-minggu yang berikutnya rakyat marhain terus berasak-asak dalam gerabak yang kadang-kadang pendingin hawanya tidak berfungsi. Pemimpin yang dilihat sebagai prihatin itu tidak akan menaiki komuter lagi, dia cuma datang melawat supaya nanti ia boleh menjadi tajuk utama akhbar-akhbar haluan kanan seluruh negara.

Sebelum sampai ke Stesen Sentral KL, lelaki itu bertanya kepada saya jika saya sedang membaca buku Kassim Ahmad. Sememangnya saya sedang membaca Kassim Ahmad- Mencari Jalan Pulang, dan saya memberitahunya bahawa saya menyukai tulisan-tulisan Kassim Ahmad. Dia semacam khuatir dan menanyakan saya jika saya mengetahui siapakah Kassim Ahmad, latar belakangnya, ideologinya dan sebagainya. Saya sudah dapat membaca kerisauannya dan memberitahunya bahawa dia tidak sepatutnya bimbang kerana saya adalah seorang Muslim -ahli sunnah waljamaah, bukan anti-hadis.

Saya memberitahunya bahawa ramai orang lebih suka menilai, mengkritik dan menghukum orang lain tanpa ingin cuba memahami perkara yang sebenarnya. Ramai yang menuduh Kassim Ahmad fasiq, malah kafir, tetapi belum pun pernah membaca atau melihat bukunya Hadis- Satu Penilaian Semula. Dia berkata kepada saya, jika sudah terang-terang dia menolak hadis apa perlu lagi membaca buku tulisannya!

Ketika komuter sudah hampir sampai di Sentral, saya memberitahunya bahawa saya berasa sangat senang dapat bersembang dengannya dan saya meminta sekeping kad namanya, dia memberinya. Saya berharap dapat menghantar emel kepadanya dan berborak lagi, tentang politik, Islam dan mungkin Kassim Ahmad.

4 comments:

miss N said...

salam. mungkin saudara boleh buat review buku tu. saya berminat untuk tahu serba sedikit isi kandungannya.

narumi hayashida said...

Setuju dengan miss n, saya masih belum berkesempatan meneliti hasil tulisan manusia bernama Kassim Ahmad ini.

Jadi menghukum dia berdasarkan pemahaman melalui media semata-mata sangat tidak adil.

Saya cadangkan agar kamu dapat menceritakan perihalnya jika berkesempatan, semoga terus sukses!

z i z o u said...

salam ramadhan...

benar spt kata penulis agar tiada telahan rasmi ke atas Kassim Ahmad.

Sekiranya terluang, mohon saudara sinopsiskan kisah dlm 'mencari jalan pulang'...

Wasallam

Nafastari said...

Miss N, Narumi, Zizou,
Terima kasih atas komen anda semua.

Mencari Jalan Pulang menceritakan bagaimana Kassim Ahmad akhirnya kembali percaya kepada Islam sebagai sebuah cara hidup yang syumul dan paling lengkap.

Dia juga menceritakan bagaimana kepercayaannya kepada sosialisma semakin terhakis kerana dia telah melihat sendiri bagaimana kejatuhan sistem itu yang berpunca daripada kelemahan dasar sistem itu sendiri.

Saya amat gemar cara bagaimana Kassim mengkritik bahawa ramai Muslim yang tidak memahami isi Quran dan tiada siapa peduli untuk memahami Quran dengan lebih baik. Dalam buku ini juga Kassim menegaskan dia bukan seorang anti hadis, cuma dia menekankan bahawa beberapa hadis perlu dinilai semula.

Anda tidak semestinya bersetuju dengan semua pendapat & tulisan beliau, tapi saya sangat menyukai tulisan beliau yang sangat membuka minda.