Sunday, March 02, 2008

Toman 4kg di Tasik Kenyir




Sewaktu penulis dipaksa untuk menghadiri suatu perhimpunan yang kononnya "Pemimpin Bersama Rakyat", kami membuat keputusan untuk tidak membatalkan aktiviti yang telah lama kami rancang, memancing di tasik buatan yang terbesar di Asia Tenggara. Lagipun penulis tidak mahu menghampakan harapan ayah kerana janji telah pun dibuat dan ayah sungguh bersemangat sekali untuk menawan Toman di Tasik Kenyir. Lalu kami tidak endahkan segala surat dan sms yang berbaur ancaman terhadap kami dan pada pagi Jumaat lepas seawal 9 pagi kami sudah berada di pangkalan Jenagor untuk menaiki bot dan memulakan misi dengan menaiki sebuah bot dua tingkat yang besar dan mampu memuatkan sehingga 20 orang dalam satu-satu masa.


Pemandangan sekitar tasik yang sungguh mendamaikan membuatkan penulis banyak menghabiskan masa dengan merebahkan badan di atas tilam yang selesa sambil menyelusuri tasik yang sangat luas dengan angin yang sungguh nyaman, sesekali hujan turun membuatkan kami berasa rugi kerana tidak membawa selimut yang tebal.

Setelah berlabuh di tengah-tengah tasik, maka kami memulakan aktiviti memancing dan ada juga yang menjala dan memasang "rawai". Wahab yang menaikkan ikan pertama, anak Sebarau. Dan selepas itu ada beberapa ekor lagi yang naik tetapi kebanyakannya cuma Sebarau dan Lampam. Nasi berlaukkan sardin dan timun pada tengah hari itu terasa sungguh lebih enak dari biasa. Dan petangnya penulis dan adik bermain kayak dan bermandi-manda di tasik yang sungguh dalam itu. Pada sebelah malam kami menjamu selera nasi goreng beserta keropok, ayam goreng dan sebarau goreng.

Kami tidur dengan nyenyak sekali pada malam itu mungkin kerana dikelilingi tasik dan hutan yang sungguh membahagiakan. Sesekali terkejut juga kesejukan angin malam yang diselangi hujan rintik-rintik dan kedengaran ahli rombongan yang belum juga tidur atau telah bangun semula untuk melihat hasil di "rawai" yang telah dipasang pada petangnya.



Paginya penulis bersarapan dengan bihun goreng yang digoreng oleh entah siapa kerana sebaik sahaja bangun segala sudah siap tersedia, ternyatalah penulis bangun lambat kerana sengaja melayani kedinginan pagi selepas bangun pada Subuhnya. Masing-masing meneruskan aktiviti sendiri, ada yang pergi menjala lagi dengan menaiki bot kecil, ada yang memancing secara gewang, ada yang bermain kayak, ada yang mandi-manda di sekitar bot besar (tentulah dengan memakai jaket keselamatan kerana airnya sangat dalam) dan ada juga yang sekadar duduk melepak sambil berbual-bual kosong walaupun sesekali terpaksa juga menyentuh tentang topik pilihanraya.



Ayah berjaya menaikkan seekor Toman yang besar hanya dengan cara mengail tanpa menggunakan joran dan riak wajahnya menceritakan segala kepuasan seorang pemancing. Sebelum pulang tengah hari itu kami singgah untuk mandi-manda di Air Terjun Lasir yang sungguh menakjubkan! Ianya sangat tinggi, sejuk dan sekitarnya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti trek pejalan kaki, pondok rehat, jambatan gantung, tandas, tong sampah dan menara pemandangan yang sangat tinggi. Ada sebuah tapak perkhemahan yang selesa disediakan di situ dan kami mula berangan-angan untuk kembali ke sana dan berkemah suatu hari nanti.

Kami tiba di pengkalan empangan Jenagor dalam 4 petang dan penulis mendapat satu idea yang telah pun dibincangkan dengan ayah, abang dan adik, "Apa kata kalau kita adakan satu hari keluarga untuk keluarga kita di atas Tasik Kenyir ini?" Saya pasti semua tentu setuju, kerana memang mereka semua kaki pancing yang sangat gila.

10 comments:

Anonymous said...

* sesekali meluangkan masa bersama family di tmpt yg menarik mmg memberangsangkan...eratkan silaturahim antara satu sama lain..

-waheeda:)-

Anonymous said...

xde gambar toman besar ke? Teruja nk tgk gmbr ayah tarik toman ni.
-Jusoh.

Anonymous said...

Agak-agaknya ikan toman tu dimasak dengan menu apa ye..? Macam nak merasa jugak, tapi masih ada lagi ke?

sis

Anonymous said...

ikan oh ikan kenapa engkau ikan?

sesiapa yang bertanya soklan itu perlu melihat bahawa bahawa soklan itu untuk dijawap ker atau disergah kembali sebagai 'ko nie kenape?'


jawapanya ialah ...
..bagus juga soklan itu, boleh tak ditukar menjadi jawapan cenggini...

''goreng pun sodap...

-mokh

Anonymous said...

saya amat berharap dapat ke sana nanti. Ini mengingatkan saya kepada kenangan2 saya bersama penulis semasa masih menuntut dahulu. aktiviti sebegini memang menjadi kegilaan kami. Harap penulis dapat membawa saya bersama di lain hari :)
Nenggiri Challenge adalah antara kenangan yang paling manis bersama penulis.
syed.aljefrey

Anonymous said...

Fakhrurazi tak pergi ke time ni? X nampak pun dia..

Nafastari said...

Sis,
Ikan tersebut telah disiang oleh ayah, diletak garam dan dikeringkan. Masih ada, kalau nak rasa pulanglah ke rumah.

Mokh,
Benar, ianya untuk digoreng, memang sedap!

Syed Aljefry,
InsyaAllah kami akan berkunjung lagi ke sana dan kalau jadi tentu sekali penulis tidak akan lupakan kamu kali ini. Kami juga bercadang untuk mendaki gunung bersama-sama dengan rakan sepejabat.

Anonymous,
Fakhrurazi tidak menyertai kami walaupun telah diajak. Tambahan dia demam pada waktu itu.

Anonymous said...

aik... pegi daki gunung dgn rakan pejabat je ke? tak bawa org rumah skali? heh....

Anonymous said...

Saya pegang janji penulis:)
sekarang saya amat sedih memikirkan nasib bangsa saya yang semakin meruncing, apa pendapat penulis?
sebetulnya saya mmg kecewa dengan pemerintahan BN, tapi saya tidak sampai mengadaikan tanah melayu saya ini. bagi saya sebusuk2 umno yang sering saya protes, saya masih lagi sedar jasa umno jugalah saya mampu berdiri sekarang ini. saya juga hiba melihat rakan2 melayu sepejabat yang bersorak gembira atas kejatuhan umno dan BN, saya tidak faham mereka ini. Skg mereka hanya ghairah bercerita mengeniai anugerah juara lagu??
inilah nasib melayu, apa pendapat penulis?
syed.aljefrey

Anonymous said...

Tiada ke blog baru yang menceritakan perihal pilihanraya dan pendapat dari pihak Tuan di atas kemenangan BN di Terengganu.. Saya menunggu juga..