Tuesday, March 18, 2008

Aku Bukan Kontraktor

Pilihanraya Umum ke-12 Malaysia bukan sahaja menggemparkan seluruh penyokong dan pendokong UMNO/BN yang sekian lama mendabik dada sebagai kuasa terbesar yang menentukan arah dan halatuju kepimpinan demokrasi di Malaysia malah juga mengejutkan pihak pembangkang yang langsung tidak menyangka akan memerintah sehingga 5 buah negeri: Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak.

Pada malam pengumuman keputusan, media arus perdana yang sememangnya berat sebelah itu terpaksa mengheret panjang cerita tentang kekocohan di Rusila kerana kononnya penyokong PAS telah menghalang orang ramai daripada pergi mengundi, padahal orang-orang di Terengganu sememangnya telah maklum akan kemunculan pengundi hantu yang telah dirancang oleh pihak-pihak tertentu yang sangat terdesak untuk menang dan terus mengumpul harta bertimbun. Sungguh lega rasanya apabila tiada lagi bebelan “Kita sudah berada di landasan yang betul….” Teringat kata-kata Hayatuddin, “… tapi kita berada di gerabak yang salah”.

Tiada apa yang diharapkan dari sebuah kerajaan di Malaysia ini. Penulis yang bukan seorang kontraktor mahupun ahli politik, akan terus hidup seperti biasa. Tiada apa-apa kepentingan peribadi yang hendak dijaga, lalu sesiapa pun yang akan menjadi kerajaan itu tidak akan membawa banyak perubahan kepada kehidupan seharian.

Cuma sebagai seorang individu yang ingin menjadi warganegara yang baik di sebuh negara demokrasi yang bertamadun, penulis mengharapkan kita mempunyai pemimpin yang telus dan amanah. Prinsip demokrasi dan perlembagaan dihormati dan dipatuhi terutamanya oleh pihak berkuasa yang memerintah, tiada sesiapa pun yang berada lebih tinggi daripada undang-undang. Jika anda terlibat dengan rasuah, tindakan undang-undang mesti dikenakan ke atas anda walaupun anda seorang raja, perdana menteri atau ketua pengarah di jabatan kerajaan.

Nabi Muhammad pun pernah bersabda, “Demi Allah, sekiranya Fatimah puteri Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya”. Sepatutnya tiada amalan kronisma dan nepotisma yang dibenarkan dalam sebuah negara yang bertamadun, dan sebab itu jugalah dikatakan menjadi punca kepada kejatuhan pemerintahan Khalifah Usman Ibn Affan.

Media sepatutnya perlu belajar sesuatu daripada keputusan pilihanraya ini. Kerana dengan menggambarkan sesuatu dengan tidak tepat atau menambah-reka cerita yang bukan-bukan dengan berulangkali tentu sahaja akan membuat penonton berasa meluat dan menyampah. Bukankah kalau seseorang itu baik, lambat-laun orang ramai akan tahu juga dia baik? Rakyat juga semakin terbuka dan berpengetahuan, bukan seperti di zaman 60-an dulu. Jadi bahan-bahan di media juga mesti dipersembahkan selari dengan perkembangan intelektual orang ramai, kalau tidak pasti sahaja media tersebut akan dicap sebagai bodoh dan ketinggalan zaman.

Ramai yang mengatakan SPR sudah menjalankan tanggungjawab dengan adil dan telus kerana pembangkang pun berjaya memenangi pilihanraya di Malaysia. Bagi penulis ini bukan ukurannya. SPR perlu bukan sahaja perlu adil dan telus, tetapi mereka perlu dilihat sebagai adil dan telus. Jika masih ada kritikan-kritikan yang secara jelas memperlihatkan kesilapan bodoh mereka bermakna mereka masih belum mencapai tahap yang boleh dipuji. Pengadil tidak boleh berpihak dan tidak boleh menunjukkan mereka berpihak.

Lalu UMNO sekarang sibuk membuat demonstrasi (dulu ianya bukan budaya mereka) di Pulau Pinang kononnya memperjuangkan Melayu Pulau Pinang yang terpinggir lantaran DAP telah berkuasa dan mengisytiharkan untuk tidak meneruskan dasar DEB serta akan melaksanakan projek kerajaan melalui sistem tender terbuka. Kenapa sekarang, kenapa dulu mereka tidak berdemonstrasi untuk memperjuangkan nasib-nasib Melayu sewaktu cina Gerakan memerintah di sana? Kerana DEB hanya menguntungkan sebahagian kumpulan kecil yang mempunyai hubungkait dengan pemerintah, sebab itulah agaknya orang UMNO perlu berdemonstrasi kerana mereka mungkin akan kehilangan banyak projek.

Sebagai seorang Muslim sudah tentu penulis ingin melihat negara sendiri menjadi islamik dan persekitarannya kondusif untuk membesarkan anak-anak untuk menjadi Muslim dan warganegara yang baik. Kita juga berhasrat untuk tinggal di sebuah negara yang harmoni, bersih, bertamadun, selamat dan mempunyai pemimpin-pemimpin yang berintegriti. Tetapi kalau itu belum mampu dapat dilakukan oleh seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam mengapa tidak kita berkongsi kuasa dan memberi peluang kepada orang lain untuk melakukannya. Lagipun keistimewaan orang Melayu itu sudah pun terjamin di bawah perlembagaan persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara.

Sudah tiba masanya kita sendiri yang menentukan nasib dan masa depan kita. Marilah kita bangsa Malaysia bersatu dan menentang segala semangat perkauman yang boleh meruntuhkan bangsa kita. Kita menyokong sesiapa sahaja yang mampu membuat perubahan ke arah kebaikan tanpa melihat kepada perbezaan warna kulit kita. Makkal sakhti!

10 comments:

Hartini Omar said...

tuan,

bercerita tentang PRU, saya gemar memikir tentang keadaan negeri tuan iaitu Terengganu. benarkah cerita2 tentang pengundi hantu itu? atau sememangnya rakyat terengganu sudah serasi dan bahagia dengan pimpinan baru, lalu meninggalkan dan tidak mahu kembali kepada pimpinan yang dulu?

saya masih sayangkan bangsa melayu ini, dan kalau boleh saya tidak mahu ia disisihkan di negeri sendiri. namun dalam keterbatasan menjaga bangsa, kita juga harus sedar bahawa kita bersaudara dengan yang lainnya. maka pendapat dan peranan mereka perlu juga kita ambil untuk membangunkan negara

namun biarlah kita beringat bahawa jangan sampai bangsa kita dikaki-kakikan saja di atas sifat belas kasihan, ihsan dan lemah lembut kita. adil itu bukan bereti sama rata. adil itu adalah meletakkan sesuatu sesuai dan kena pada tempatnya...

Anonymous said...

lame dah tunggu posting pasca PRU hang..
-joe-

yginsaf said...

semoga negara akan tetap aman damai sejahtera sentiasa..

salam

Maswafi Abd Samat said...

Seperti kata Raja Nazrin, manusia bila terlampau lama memegang tampuk pemerintahan lupa usul mereka.

Anonymous said...

Kalau kontraktor macam AWI kt kg awak tu mesti banyak jugak faedahnya..tambahan pulak yang dapat jd YB tu abang dia. Tambah besar la kete dia pasni.

Penyokong BA

Anonymous said...

Fuh..!!!Gua cayakk lu.Tulisan yang sangat baik.Tp comentar masih berfikir ditakut lama.Xsume,ada sorang.

Anonymous said...

"Tetapi kalau itu belum mampu dapat dilakukan oleh seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam mengapa tidak kita [berkongsi kuasa] dan memberi peluang kepada orang lain untuk melakukannya"

"Kita menyokong [sesiapa sahaja] yang mampu membuat perubahan ke arah kebaikan tanpa melihat kepada perbezaan warna kulit kita"

bro, gua rs bek lu bc blk ayt lu.. sbb gua bc da mcm pelik bunyiknye.. pk bebaik bro, org asing mmg tgu mentality cani.. org mlayu ni bek sgt, kalo kongsi kuasa pun tak tindas org.. tp yg bukan mlayu.. phm2 sndiri la.. dorg slalu bek ada makna.. blaja la dr sjarah..

-sj gua kongsi crita
yop

Nafastari said...

Hartini,
Cerita pengundi hantu itu ada asasnya. Keserasian dan kebahagian yang sangat pelik sehingga mereka memilih suatu kumpulan pemimpin sedang bercakaran semasa sendiri atas nama kuasa.
Saya sayang agama saya dan prinsip-prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Joe, teringin benar ingin mengetahui siapa gerangannya diri tuan hamba.

Yginsaf, begitu jua diharapkan.

Maswafi, benar sekali, sehingga mereka lupa apa itu demokrasi dan pilihanraya yang telus dan adil.

Penyokong BA, mungkin...

Anonymous,terima kasih. Saya juga sedang mendidik pembaca untuk berfikiran lebih terbuka.

Yop,
Telah pun saya baca semula dan faham kerana saya tahu apa yang saya tulis dan bagaimana saya memaksudkannya.
Melayu yang pernah berkuasa pun menindas Melayu yang lain, menjaga hanya periuk nasi kroni-kroni, anak menantu sendiri juga. Merampas tanah dan hak-hak orang lain, merobohkan masjid surau Melayu lain yang tidak seideologi dengannya.

Sekurang-kurangnya penulis tidak racist dan menyambut baik hasrat kerajaan untuk membentuk bangsa Malaysia yang maju. "Orang asing" tidak sepatutnya mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Kamu tentu tahu, UMNO juga sedang berkongsi kuasa dengan cina, india, iban, bidayuh, kadazan & dusun. Saya cuba menghayati dan belajar dari sejarah. Terima kasih atas ingatan.

Anonymous said...

Tuan,
Anda bukan sahaja menyebarkan fikrah yang sangat baik,tapi bijak juga membuka minda yang tertutup.Idea2 macam orang yang baru lepas BTN perlu diperbetulkan.Ia sangat tragis dan sangat perkauman.Dalam tak sedar kita tertindas dengan bangsa sendiri yang kununnya sangat menjaga kepentingan bangsa sendiri.Allaaahuakbar.
-M.A lutfi

Anonymous said...

allahuakbar.... bukan hidup pak lah....