Friday, February 24, 2017

KITA TIDAK PERNAH SAMA

Pengalaman belajar di UIAM memberi peluang kepada penulis mengenali lebih ramai kawan yang berbeza asal-usulnya. Lalu, kita sebenarnya menjadi lebih peduli tentang dunia sekitar kita. Contoh yang nyata, kalau dulu hanya sekadar menyedari kewujudan negara Thailand yang hanya bersebelahan dengan Malaysia, tetapi sekarang sudah mampu menuturkan beberapa patah kata perbualan dalam bahasa Thai hasil daripada perkenalan dengan beberapa pelajar dari Thailand yang kebanyakannya agak peramah.
Kita sering berfikir bahawa orang Arab itu kasar dan kadangkala tidak tahu menghormati orang, tetapi jarang antara kita yang menyedari mereka sebenarnya mempunyai banyak budaya dan cara hidup yang ‘halus’. Apabila mereka bersalam dengan kawannya yang sedang duduk bersama orang-orang lain yang tidak dikenali, mereka tidak hanya bersalam dengan kawannya yang seorang itu sahaja, tetapi dengan kesemua sekali sebagai tanda kita menghormati kewujudan mereka di situ. Ini berbeza sekali dengan cara orang kita yang hanya tahu bersalam ataupun memberi salam kepada kawan atau orang dikenalinya sahaja. Orang Arab juga tidak pernah gagal menjawab salam apabila diberi salam oleh sesiapa sahaja. Dan sudah tentunya mereka lebih suka menyapa dengan memberi salam daripada berkata “hai” atau “hey, dah lama tak jumpa” seperti yang biasa diucapkan oleh orang kita.
Saya pernah diberitahu oleh seorang teman yang berasal dari Iraq bahawa beliau amat terkejut dengan budaya “berpasang-pasangan” remaja Melayu yang dianggapnya berleluasa. Baginya ini adalah satu cara hidup (atau anda ingin memanggilnya kebiasaan) yang sangat tidak bagus kerana bertentangan dengan agama. Kerana baginya, adalah haram untuk dua bukan mahram untuk menjalinkan apa-apa hubungan, kecuali jika mereka sudah berkahwin atau mempunyai kerja yang sangat penting untuk dibincang, contohnya mengenai pelajaran. Bukan tiada orang Arab yang berpasang-pasangan, tetapi keadaannya di Malaysia ini sudah terlalu berleluasa sehinggakan anda mungkin dianggap ganjil atau tidak normal jika tidak mempunyai teman wanita/lelaki. Mempunyai bekas teman wanita/lelaki (ex) adalah biasa bagi kebanyakan remaja melayu. Pemandangan pasangan remaja berjalan bersama-sama, makan bersama-sama, malah berpegangan tangan adalah kedapatan di mana-mana termasuk di dalam kampus UIA sendiri! Oh, jangan beritahu saya anda tidak pernah melihat pasangan (belum berkahwin) yang menunggang motosikal bersama-sama di dalam kampus UIA. Saya ingin beritahu anda, terdapat banyak yang berbuat demikian terutamanya semasa Pesta Konvo baru-baru ini.
Jadi saya rasa saya harus bersetuju dengan komen teman saya itu. Gadis-gadis Melayu mungkin suka mengenakan tudung di atas kepalanya, tetapi mereka mungkin berpendapat tiada salahnya mempunyai teman lelaki dan membuat temujanji (dating). Malah yang bertudung labuh dan dan berstoking sampai ke lengan pun mempunyai teman lelaki, dan keluar berdua-duaan menaiki kereta dengan bukan mahramnya juga (bukan kesemua). Saya menjelaskan kepada teman Arab saya itu, rata-rata orang Melayu beranggapan bahawa “coupling” itu tidak salah asalkan kamu tidak bersentuhan atau bercakap tentang seks dengan pasangan kamu itu. Malaysia kan negara Islam berfahaman sederhana! Mungkin kita semua juga pernah mendengar tentang Islam Hadhari.
Cukup tentang budaya berpasangan. Anda mungkin ingin mengetahui bahawa kebanyakan pelajar-pelajar lelaki asing merasakan bahawa pelajar lelaki Melayu tidak ada wibawa dan karisma, tidak mempunyai kepimpinan dan agak ‘penakut’ berbanding dengan perempuan Melayu. Mereka mungkin benar, atau mungkin juga silap. Mereka mungkin juga telah membuat andaian secara terlalu umum dengan berdasarkan kes-kes yang terpencil. Tetapi kawan saya Kartini, Melayu berasal daripada Kuala Lumpur merasakan pendapat itu secara kasarnya benar! Anda bagaimana?
Kawan saya, Melayu yang tinggal di Arab Saudi dan Thai-Muslim  pernah membuat kenyataan, kebanyakan pelajar-pelajar perempuan melayu di sini tidak tahu berfesyen. Baju-baju yang dikenakan sangat stereotaip dan membosankan. Mereka memakai jeans yang terlalu besar, dan dilipat-lipat kakinya, sungguh tidak kena! Saya ingin menegaskan di sini, ada pengecualiannya, ada Melayu yang sangat pandai bergaya dan tahu mengenakan pakaian yang cantik dengan sesuai. Bukan gadis Bosnia, Thai, atau Turki sahaja yang tahu bergaya. Tetapi pendapat kawan-kawan saya itu mungkin juga ada benarnya, dan anda boleh mula membuat pemerhatian sekarang! (Nasriah, Sitihajar dan Suhaila mungkin mahu menghantar komen mereka ke dalam blog penulis ini, silakan). Penulis merasakan lebih penting membincangkan bagaimana menutup aurat dengan sempurna daripada membincangkan fesyen siapa lebih bagus. Kata Ustaz Ismail Chong Abdullah, Barat menyerang Islam dengan tiga F: Food, Fashion, and Fun.
Tidak berapa lama dulu, seorang rakan berasal dari Afrika Selatan pernah memberitahu saya, pelajar Bosnia tidak suka berkawan dengan pelajar Malaysia. Setiap kali pelajar junior dari Bosnia datang mendaftar di UIA, senior mereka akan memberitahu mereka supaya melakukan benda yang sama- tidak berkawan dengan pelajar Melayu. Ini berlaku terutamanya kepada pelajar lelaki. Atas alasan apa, saya pun kurang pasti. Walaupun saya sentiasa berharap ini tidak benar atau sudah tidak berlaku sekarang, tetapi jauh di sudut hati, saya dapat memahami kenapa pelajar Bosnia amat sukat didekati oleh pelajar Melayu. Mereka dilihat mengamalkan kepercayaan “white superior” dan langsung tidak mengendahkan (walau sebelah mata) kewujudan pelajar-pelajar Melayu. Hai, kami tidak diminta disembahsujud pun! Seorang pensyarah bertaraf Professor di AIKOL pernah melahirkan kekecewaannya terhadap sikap pelajar Bosnia di UIAM yang besar kepala, dan beliau berharap kerajaan Malaysia tidak pernah terlalu baik dan pemurah suatu masa dahulu dengan Bosnia!Tetapi penulis berpeluang mengenali seorang pelajar Bosnia yang agak peramah. Setiap kali terjumpa, pasti dia dahulu yang mengucapkan salam dan bertanyakan khabar, walaupun semasa di dalam kolam renang.
Pandangan masing-masing mungkin berbeza dan tidak sama tetapi memahami perbezaan adalah sangat baik untuk mengenali dan menghormati seseorang itu. Apapun, penulis tidak mengajar atau menghasut sesiapa untuk bersikap kurang ajar, prejudis dan diskriminasi terhadap sesiapa pun. Kita semuanya manusia yang bertaraf sama dan mempunyai hak yang sama di dunia ini. Apatah lagi sebagai Muslim, kita diciptakan untuk mengenali antara satu sama lain. Yang terbaik di sisi Allah pastinya yang paling bertaqwa kepadaNya. Penulis sendiri teringin menjadikan diri seorang Muslim yang komited dan mengamalkan agamanya, namun sering saja terlalai dan tewas…..

2 comments:

Zain said...

Waow Nice Post. I really appreciate your effort. I am dying in love with this article.
It's really full of research and hard working. I will share with my friends.
thanks for this article.
These are my Games Hope you love to play it.
Traffic Racing
Video Downlaoder
American Speed
Stunt Racing UK
HD Video Downloader
Traffic Racer
Flight Simulator

Muhammad Tayyab J. said...

Hey, You are great!
I like your post. Keep it up.
Also, Please check out my game Traffic Racing .
Thanks