Wednesday, January 26, 2011

Bersalam Dengan Bukan Mahram

Tentu dia bukan wanita yang biasa. Kerana di sebalik wajahnya yang redup dan lembut itu rupa-rupanya ada semangat juang yang tinggi dalam dirinya. Kewibawaannya terpancar melalui patah bicaranya yang disusun berhati-hati sebelum dituturkannya. Jika melihat pada raut wajahnya yang lembut, imej dan keterampilannya sukar mepercayai bahawa dia akan  berucap dengan tegas, berani dan yakin begitu. Tapi dia telah membuktikan kepada semua bahawa tangan yang menggoncang buaian itu mampu menggoncang dunia.

Dan tiba-tiba semua orang ingin melihat tangannya. Ingin melihat jika dia akan bersalam dengan lelaki bukan mahramnya. Ingin melihat jika dia memakai sarung tangannya atau pun tidak. Semuanya gara-gara seorang apek tua bacul yang pernah dilihat dalam video lucah lucah itu! Dia mempersoalkan tindakan wanita yang beragama Islam itu yang tidak bersalam dengan mana-mana lelaki bukan mahramnya dan seolah-olah suatu masalah yang besar untuknya. Apek tua yang biadap itu lupa dia sedang tinggal di sebuah negara yang telah terang-terang menamakan Islam sebagai agama Persekutuannya dan di negaranya terdapat berjuta-juta orang Islam yang diwajibkan menjaga adab dan tatatertib sebagaimana yang dipraktikkan oleh wanita itu.

Cuma masalah apek tua bacul itu adalah kerana kawan-kawan Muslimnya tidak pernah memberitahunya tentang hukum dan adab itu. Kerana kawan-kawan Muslimnya juga tidak pernah mempraktikkan amalan itu di hadapannya, lalu menjadikan apek tua itu sangat jahil. Jahil sehingga dia berani menepuk air di dulang, meludah ke langit.

Dan wanita itu dengan tenang terus bersuara bagi pihak saudara-saudara seagamanya menjelaskan pendirian dan prinsipnya, lalu melegakan semua yang sejalan dengannya. 

"Saya anggap 53 tahun (kita) merdeka, komponen BN gagal memahamkan ahli komponen mereka, (termasuk) MCA dan sebagainya, bagaimana adab bersalaman seorang individu muslim dan dengan yang lain. 

"Kami sebagai individu Muslim, kami (wanita) memang tidak bersalam dengan lelaki... Begitu juga dengan kaum Tiong Hua, kami bersalaman dengan perempuan (Tiong Hua) tidak ada masalah, (sebab) mereka perempuan.

"Hatta kami saudara seislam pun, kami tidak bersalaman dengan lelaki."



Terima kasih Normala Sudirman.

Saturday, January 08, 2011

Sesudah Gabenor Dibunuh

Dua hari lepas Gabenor Wilayah Punjab Salman Taseer mati dibunuh di kawasan Pasar Kohsar Islamabad. Pasar Kohsar terletak cuma lebih kurang 2km dari rumah saya. Sehari sebelum kejadian tersebut saya dan ibu mertua ke Pasar Kohsar membeli sayur-sayuran dan air kopi dari Gloria Jeans. Itu adalah tempat kebiasaan kami untuk mendapatkan pelbagai jenis barang keperluan dapur dan bahan-bahan mentah. Pasar Kohsar juga adalah destinasi yang popular untuk diplomat dan ekspatriat di Islamabad kerana di situ terdapat pelabagai barang-barang keperluan yang bersifat antarabangsa dan orang-orang asing gemar berkunjung ke situ termasuklah saya dan warganegara Malaysia yang lain di Islamabad ini. Hari-hari selepas pembunuhan itu Pasar Kohsar dilaporkan lengang, itulah yang saya baca dan lihat di surat khabar.

Lebih mengejutkan kami, kerana Gabenor tersebut telah dibunuh oleh pengawal keselamatannya sendiri! Malik Qadri Mumtaz telah menembaknya bertubi-tubi sehingga habis 2 kelopak peluru dan 27 peluru terbenam di dalam badannya. Dia sempat menghabiskan 2 kelopak peluru pistolnya tanpa ada sesiapa yang menghalangnya, sedangkan dia ditembak dari jarak yang tidak jauh dan di kawasan awam. Sebaik sahaja selesai menembak dia terus ditangkap dan laporan berita menyebut dia memang tidak lari tetapi terus menyerah diri. Malik Qadri Mumtaz memberitahu umum bahawa dia membunuh gabenor itu kerana dia menentang undang-undang blasphemy di Pakistan dengan memanggilnya sebagai black law

Bertentangan dengan laporan di media-media utama di sini, saya perhatikan ramai orang yang menyokong pembunuhan itu. Ramai orang yang saya jumpa dan berbual dengan mereka, tidak menyukai gabenor itu yang disifatkan sebagai seorang yang liberal, tidak Islamik dan malah ada menganggapnya sudah murtad. Khadim seorang pemuda  Pashtun pertengahan 20-an yang mengaku tidak pernah solat berkata, "it's good, he's a mother fucker!" Ada juga yang melahirkan sokongan dan menyanjung tinggi pembunuh itu, saya mendengar orang Pakistan berkata, "janggutnya panjang dan dia kelihatan seperti seorang Muslim yang sangat taat". Seorang kawan, Naeem yang kelihatan agak moden, rajin membaca, berpengetahuan dan berjanggut panjang berkata dia menyokong pembunuhan kerana gabenor itu sudah murtad kerana dia menghina undang-undang Islam yang menjaga kesucian agama Islam dan nabi Muhammad. Naeem tidak berpuas hati dengan saya kerana saya tidak bersetuju dengan pembunuhan dengan cara itu. Dan saya sangat terkejut dengan reaksinya tentang pembunuhan itu kerana selama ini saya menganggap dia adalah seorang yang berfikiran sederhana.

Ini adalah sebahagian dari Pakistan. Ramai orang-orang yang suka membunuh orang atas nama agama atau menghalalkan pembunuhan jenis itu dan mereka menganggap bahawa mereka adalah wakil Tuhan yang telah diberikan kuasa untuk melaksanakan segala hukuman dari Tuhan. Tiada pembuktian, tiada perbicaraan dan tiada mahkamah, malah bukti pandang dengar pun sudah cukup untuk mereka. Dan saya percaya mereka tidak faham pun apa itu Islam yang sebenarnya tetapi sangat fanatik pada ajaran yang telah disalahfahami itu. Pihak berkuasa di negara ini telah gagal memberikan ilmu pengetahuan kepada rakyatnya supaya memahami kesederhanaan dan toleransi Islam. Pembunuhan-pembunuhan yang disebabkan perbezaan pemikiran dan mazhab adalah antara masalah yang serius di negara ini. Saya sangat sedih dan kecewa dengan keadaan ini kerana ia memberikan satu gambaran yang sangat buruk kepada agama yang saya juga penganutnya.

Naeem menyalahkan kerajaannya. "Kelemahan kami adalah pemimpin kami, kami tiada pemimpin sebaik Mahathir Mohamed".
Lalu saya menjawab, "sebenarnya kamu sendiri dan orang-orang Pakistan yang keliru. Saya rasa seandainya kamu mengenali Mahathir Mohamed dengan lebih dekat, saya rasa kamu juga ingin membunuhnya! Maaf, ideologi kita tidak sama dan pemikiran kita sangat berbeza sekali, tetapi saya harap kamu tidak akan membunuh saya hanya sebab kita berbeza."