Saturday, January 08, 2011

Sesudah Gabenor Dibunuh

Dua hari lepas Gabenor Wilayah Punjab Salman Taseer mati dibunuh di kawasan Pasar Kohsar Islamabad. Pasar Kohsar terletak cuma lebih kurang 2km dari rumah saya. Sehari sebelum kejadian tersebut saya dan ibu mertua ke Pasar Kohsar membeli sayur-sayuran dan air kopi dari Gloria Jeans. Itu adalah tempat kebiasaan kami untuk mendapatkan pelbagai jenis barang keperluan dapur dan bahan-bahan mentah. Pasar Kohsar juga adalah destinasi yang popular untuk diplomat dan ekspatriat di Islamabad kerana di situ terdapat pelabagai barang-barang keperluan yang bersifat antarabangsa dan orang-orang asing gemar berkunjung ke situ termasuklah saya dan warganegara Malaysia yang lain di Islamabad ini. Hari-hari selepas pembunuhan itu Pasar Kohsar dilaporkan lengang, itulah yang saya baca dan lihat di surat khabar.

Lebih mengejutkan kami, kerana Gabenor tersebut telah dibunuh oleh pengawal keselamatannya sendiri! Malik Qadri Mumtaz telah menembaknya bertubi-tubi sehingga habis 2 kelopak peluru dan 27 peluru terbenam di dalam badannya. Dia sempat menghabiskan 2 kelopak peluru pistolnya tanpa ada sesiapa yang menghalangnya, sedangkan dia ditembak dari jarak yang tidak jauh dan di kawasan awam. Sebaik sahaja selesai menembak dia terus ditangkap dan laporan berita menyebut dia memang tidak lari tetapi terus menyerah diri. Malik Qadri Mumtaz memberitahu umum bahawa dia membunuh gabenor itu kerana dia menentang undang-undang blasphemy di Pakistan dengan memanggilnya sebagai black law

Bertentangan dengan laporan di media-media utama di sini, saya perhatikan ramai orang yang menyokong pembunuhan itu. Ramai orang yang saya jumpa dan berbual dengan mereka, tidak menyukai gabenor itu yang disifatkan sebagai seorang yang liberal, tidak Islamik dan malah ada menganggapnya sudah murtad. Khadim seorang pemuda  Pashtun pertengahan 20-an yang mengaku tidak pernah solat berkata, "it's good, he's a mother fucker!" Ada juga yang melahirkan sokongan dan menyanjung tinggi pembunuh itu, saya mendengar orang Pakistan berkata, "janggutnya panjang dan dia kelihatan seperti seorang Muslim yang sangat taat". Seorang kawan, Naeem yang kelihatan agak moden, rajin membaca, berpengetahuan dan berjanggut panjang berkata dia menyokong pembunuhan kerana gabenor itu sudah murtad kerana dia menghina undang-undang Islam yang menjaga kesucian agama Islam dan nabi Muhammad. Naeem tidak berpuas hati dengan saya kerana saya tidak bersetuju dengan pembunuhan dengan cara itu. Dan saya sangat terkejut dengan reaksinya tentang pembunuhan itu kerana selama ini saya menganggap dia adalah seorang yang berfikiran sederhana.

Ini adalah sebahagian dari Pakistan. Ramai orang-orang yang suka membunuh orang atas nama agama atau menghalalkan pembunuhan jenis itu dan mereka menganggap bahawa mereka adalah wakil Tuhan yang telah diberikan kuasa untuk melaksanakan segala hukuman dari Tuhan. Tiada pembuktian, tiada perbicaraan dan tiada mahkamah, malah bukti pandang dengar pun sudah cukup untuk mereka. Dan saya percaya mereka tidak faham pun apa itu Islam yang sebenarnya tetapi sangat fanatik pada ajaran yang telah disalahfahami itu. Pihak berkuasa di negara ini telah gagal memberikan ilmu pengetahuan kepada rakyatnya supaya memahami kesederhanaan dan toleransi Islam. Pembunuhan-pembunuhan yang disebabkan perbezaan pemikiran dan mazhab adalah antara masalah yang serius di negara ini. Saya sangat sedih dan kecewa dengan keadaan ini kerana ia memberikan satu gambaran yang sangat buruk kepada agama yang saya juga penganutnya.

Naeem menyalahkan kerajaannya. "Kelemahan kami adalah pemimpin kami, kami tiada pemimpin sebaik Mahathir Mohamed".
Lalu saya menjawab, "sebenarnya kamu sendiri dan orang-orang Pakistan yang keliru. Saya rasa seandainya kamu mengenali Mahathir Mohamed dengan lebih dekat, saya rasa kamu juga ingin membunuhnya! Maaf, ideologi kita tidak sama dan pemikiran kita sangat berbeza sekali, tetapi saya harap kamu tidak akan membunuh saya hanya sebab kita berbeza."

4 comments:

kelisa_samudera said...

mungkin kalau pembunuhan politik berlaku di malaysia, ia akan jadi sebab untuk pemimpin mengharamkan pilihanraya.

Aishah Jamal said...

Huh! fofular sungguh Che Det dimata orang sana...

ashrafi said...

Pernah di 'tag' gambar Tun M itu dengan tagline si tuan punya profile "Pemimpin idolaku". Menjengkelkan!

kruzz said...

salam nafastari ... kiya hal hey? saya penah kat isb.. iiui :) mmg sonok dok isb. ni nafastari ni keja sana ke student? byk nak tanya pasal isb nih...rindu sgt... nx time yerk...